10 Februari 2010

Kerajaan negeri Perak terus goyah


Humayun Kabir
Feb 10, 10
10:43am
Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan memihak kepada Datuk Seri Zambry Abdul Kadir, namun kedudukan menteri besar Perak itu ternyata goyah.

Zambry masih bergantung kepada tiga ahli dewan undangan negeri Pakatan Rakyat yang berpaling tadah dan mendakwa mereka mesra dengan kerajaan Barisan Nasional (BN).

BN dan Pakatan Rakyat masing-masing mempunyai 28 kerusi di dun Perak manakala tiga lagi diduduki oleh tiga wakil 'bebas' berkenaan.

"Kedudukan Zambry ternyata goyah dan dia terpaksa menari mengikut rentak dan irama serta tuntutan daripada tiga 'katak' berkenaan, jika ingin meneruskan kuasa sehingga pilihan raya sdiadakan," kata menteri besar yang disingkirkan, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin.

"Pilihan terbaik bagi beliau ialah mengumumkan pilihan raya kecil bagi ketiga-tiga kerusi berkenaan (Jelapang, Changkat Jering dan Behrang) untuk memperkuatkan pegangan politiknya bagi mentadbir Perak," katanya lagi.

Sementara itu, Bernama melaporkan Mohammad Nizar sebagai berkata Pakatan Rakyat sedia memberikan kerjasama kepada kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) demi kepentingan rakyat sekiranya syarat yang mereka tetapkan dipenuhi.

Beliau berkata anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) parti gabungan pembangkang yang bermesyuarat malam semalam juga menetapkan supaya mereka dibenarkan menggunakan kemudahan dewan orang ramai di Perak untuk menjalankan aktivitinya.

Selain tidak disekat daripada menghadiri mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah bagi membolehkan mereka memberikan input bagi kepentingan rakyat Perak, katanya kepada pemberita di Ipoh malam semalam.

Beliau juga berkata: "Kami merayu ADUN pembangkang dibekalkan dengan sedikit peruntukan kewangan supaya kita dapat melancarkan kerja-kerja berkaitan kebajikan rakyat."

Mohammad Nizar berkata walaupun beliau menerima keputusan Mahkamah Persekutuan semalam yang mengisytiharkan Zambry sebagai Menteri Besar Perak, tetap menganggap ia merupakan sesuatu yang menyedihkan dan akan meneliti keputusan penghakiman itu sebelum memutuskan tindakan seterusnya.



Saya tidak terkejut dengan penghakiman Mahkamah Persekutuan pagi tadi yang mengisytiharkan Dato’ Seri Nizar bukannya Menteri Besar Perak yang sah. Umno sedang kuat mencengkam segala institusi agar memenuhi hasrat mereka untuk terus kekal berkuasa. Pimpinannya sanggup melenyapkan siapa dan apa sahaja yang menghalang mereka. Namun yang pasti mereka tidak berani berhadapan dengan rakyat.

Hanya mereka yang sudah usang dan sebati dengan kezaliman sahaja menyanggupi serta gembira dengan tindak tanduk kerajaan sekarang.

Kepada mereka yang mahu terus hidup mengabdi kepada kekuasaan, silakan, nikmatilah segala laba yang dihamburkan selagi masih berpeluang. Tunggulah saatnya nanti apabila laungan Rakyat Hakim Negara bergema menggegar bongkah-bongkah keangkuhan yang dibina dari darah dan air mata rakyat!

Saudara saya rakyat Malaysia sekalian, ini bukannya masa untuk berputus harap. Ini adalah waktunya kita menggembeling daya dan upaya kita untuk membawa Perubahan. Teruskan usaha membawa getar Perubahan ini di segenap pelusuk desa dan bandar. Tidak ada dolak dalih lagi, nyatakan dengan penuh keyakinan bahawa Perubahan ini demi kemaslahatan semua.

ANWAR IBRAHIM