"Pilihanraya ke 12 sudah berlalu. Keputusan Pilihanraya yang menyebabkan dunia menerima kejutan. Pihak Barisan Nasional terkejut dengan berita kekalahan teruk, pihak Pakatan Rakyat pula terkejut dengan berita kemenangan yang tidak disangka-sangka.Dalam satu majlis ijtimak PAS Selangor sebelum pilihanraya, pihak Jabatan pilihanraya PAS Selangor mengatakan, kita bersedia untuk menjadi pembangkang yang kuat. Tetapi, dengan kejayaan piliharaya kali ini, sepatutnya kita kena bersedia menjadi pemerintah yang kuat, bukannya pembangkang yang kuat. Pun begitu, kemenangan hendaklah diterima dengan ridha dan berusaha kearah membina sebuah pemerintah yang kuat, agar kemenangan ini tidak menjadi fitnah kepada kemampuan pada pemerintahan Pakatan Rakyat.

PERJANJIAN HUDAIBIYYAH Membaca sirah nabi, kita akan dapati satu keadaan, yang mana Nabi Muhammad SAW telah mengadakan satu perjanjian antara orang islam dan Kuffar Quraish. perjanjian yang dimetri bermula dengan mimpi Nabi SAW yang menyeru agar pada tahun ke enam Hijrah dilakukan haji ke Kota Makkah. Para sahabat yang terdiri dari Muhajirin amat gembira dengan berita ini. Mengenangkan kampung halaman yang sudah lama ditinggalkan itu, menyebabkan keseronokkan mereka melihat kampung halaman mula terbayang dalam pemikiran mereka. Baginda SAW menyeru umat Islam di madinah, tidak kira orang Ansor atau Mahajirin, agar bersiap sedia untuk berangkat ke Makkah untuk menunaikan haji pada tahun tersebut. Bukan sekadar itu, Baginda SAW juga mengkhabarkan kepada seluruh dunia arab bahawa umat Islam akan bertolak ke Makkah pada bulan Zulkaedah untuk menunaikan haji pada bulan Zulhijjah. Seruan Nabi SAW itu, sedikit sebanyak memberi satu gambaran kepada dunia Arab bahawa sangkaan mereka yang menyangka, Ajaran Nabi SAW telah menafikan upacara nasional dan agama yang diamalkan oleh moyang-moyang mereka, iaitu menunaikan haji dan Umrah di Makkah adalah sangat meleset. Dalam memulakan perjalanan, Baginda SAW telah berpesan kepada seluruh sahabat yang hendak menunaikan haji agar tidak membawa senjata perang, tetapi cukup sekadar membawa senjata kebiasaan sahaja. Begitujuga, apabila sampai di Zu Al-Hulaifah, baginda SAW bersama 1800 orang sahabat telah memakai Ihram yang menandakan perjalanan ke Makkah itu bukanlah bertujuan untuk berperang sepertimana yang disangka kebanyakkan orang arab ketika itu. Dalam perjalanan ke Makkah, iaitu apabila sampai di satu tempat yang bernama Asfan, Baginda SAW diberitahu oleh seorang perisik dari bangsa Kuzaah bahawa orang-orang Kafir Quraish telah mengadakan sekatan jalan raya di kawasan yang berhampiran dengan Makkah, iaitu satu tempat yang bernama Zu Al-Tuwa. Sekatan jalanraya itu pula, diketuai oleh seorang yang sangat dikenali keperkasaannya dalam menghadapi peperangan, iaitu Khalid bin Al-Walid bersama 200 tentera berkuda. Mendengar berita tersebut, Baginda SAW meminta pandangan dari sahabat-sahabat berkenaan pengetahuan mereka tentang laluan lain untuk ke Makkah agar tidak bertembung dengan tentera Khalid yang sedang melakukan sekatan jalan Raya. Seorang pemuda dari suku Aslam telah menawarkan diri untuk memandu para haji dari madinah agar melalui laluan Al-Hudaibiyyah (sekarang disebut sebagai As-Sumaisi) untuk menuju ke Makkah. Sesampai di Al-Hudaibiyyah, Unta yang dinaiki oleh Nabi telah berlutut disitu, menyebabkan Baginda SAW pun mengarahkan kepada para sahabat agar membina khemah disitu. Tentera pimpinan Khalid mengetahui pergerakan umat Islam, menyebabkan mereka bertindak menuju ke arah yang sama dengan harapan dapat menyekat kemaraan para haji umat Islam untuk menunaikan haji pada tahun tersebut. Disebabkan Al-Hudaibiyyah bukan kawasan kekuasaan Makkah lagi ketika itu, menyebabkan pihak tentera pimpinan Khalid tidak boleh bertindak, menyebabkan beliau telah mengarahkan agar pihak kerajaan Makkah dapat menghantar wakil untuk berbincang dengan Baginda SAW. Dengan itu, datangkan tiga orang wakil dari Kerajaan Makkah untuk berbincang dengan Nabi SAW, tetapi segala perbincangan itu, Baginda SAW tetap dengan pendirian untuk masuk ke Makkah juga pada tahun tersebut. Masa berlalu begitu pantas, pihak tentera Khalid masih tetap mempertahankan sempadan agar umat Islam tidak dapat masuk ke Makkah pada tahun tersebut, menyebabkan Baginda SAW telah mengarahkan Saidina Osman bin Affan pergi ke Makkah sebagai Wakil baginda dalam melakukan perbincangan tentang kehadiran mereka untuk melakukan haji pada tahun tersebut. Saidina Osman pergi ke Makkah. Melihatkan Saidina Osman merupakan soerang yang dihormati dikala sebelum kemasukannya kedalam islam lagi, maka kehadiran Saidina Osman itu disambut dengan baik. Dalam perbicangan antara Saidina Osman dan wakil-wakil kerajaan Makkah ketika itu, pihak Makkah tetap berkeras tidak mengizinkan umat Islam mengerjakan haji pada tahun tersebut. Kepulangan Osman ke Al-Hudaibiyyah mengambil masa yang lama, sehinggakan dikhabarkan bahawa Saidina Osman telah dibunuh. Berita itu menyebabkan ramai dari kalangan sahabat mula marah dan mendesak agar berlaku peperangan dengan kerajaan Makkah. Keadaan itu menyeabbkan baginda SAW menjadi kecamuk yang menyebabkan baginda Saw menyeru para sahabat agar melakukan Baiaah Ridhwan, iaitu janji setia mempertahankan islam sehingga titisan darah yang terakhir. Perjanjian telah disaksikan oleh Allah menerusi firman-Nya, iaitu;

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya; ” Sesungguhnya Allah telah ridha terhadap orang-orang mukmin ketika mereka berjanji setia kepadamu di bawah pohon, maka Allah mengetahui apa yang ada dalam hati mereka lalu menurunkan ketenangan atas mereka dan memberi balasan kepada mereka dengan kemenangan yang dekat (waktunya)” (Surah Al-Fath : 18)

Semasa Baiah sedang dilakukan, Saidina Osman timbul, yang menyebabkan disitulah bermulanya titik permulaan dalam perdamaian yang sangat diidam-idamkan oleh nabi SAW. Pemergian Osman berjumpa dengan wakil-wakil kerajaan Makkah, mengambil satu keputusan bahawa pada tahun tersebut, umat Islam tidak dibenarkan melakukan haji di Kaabah. Pun begitu, bagi menyelesaikan masalah ini, Saidina Osman mencadangkan kepada kerajaan Makkah agar menghantar wakil untuk berbincang dengan Nabi SAW dalam menyesaikan masalah ini. Dengan itu, menyebabkan orang Quraish Makkah telah menghantar Suhail bin Amr untuk melakukan perjanjian dengan Nabi SAW. dalam perjanjian tersebut, banyak perkara yang dipersetujui oleh Nabi SAW, tetapi tidak disetujui oleh kebanyakan sahabat. Pun begitu, memperlihatkan kepada maslahat, perjanjian tersebut terpaksa dilaksanakan oleh Nabi SAW. Kalimah ”Bismillah Ar-rahman ar-rahim” diminta untuk ditukarkan kepada ”Bismikallah” menjadi isu penting yang dipolitikkan oleh Suhail, tetapi sikap nabi SAW yang mahu melihat kesan keuntungan dalam menguasai Makkah menyebabkan Nabi SAW akur dengan desakkan tersebut. Apa yang pasti, disebalik toleransi dalam beberapa isu dalam perjanjian tersebut, menyebabkan terhasillah satu perjanjian, yang antara kandungan perjanjian tersebut adalah, dilarang berperang antara Muslim dan Kuffar Quraish selama sepuluh tahun. Penerimaan nabi SAW dengan perjanjian tersebut menyebabkan peluang bagi Nabi dan para sahabat menyampaikan dakwah, yang menyebabkan dikala itu, ramai ”orang-orang besar” dari kalangan Quraish yang memeluk Islam, seperti Khalid bin Al-Walid, Amru bin Al-AS dan sebagainya. Dengan kejayaan itu, berlakulah pembukaan kota Makkah yang menyebabkan islam berjaya memerintah di Makkah dan berjaya juga mengeluarkan segala patung-patung berhala yang berada di keliling Kaabah ketika itu.

KEMENANGAN PERTAMA BUAT PAS Melihat senario politik sekarang, Kelantan dan Kedah seratus peratus telah menjadi kepunyaan PAS, tetapi keadaan berbeza di negeri perak, Selangor dan Pulau Pinang, yang kemenangan di sana hanya menempatkan PAS sebagai antara wakil kerajaan yang wujud. Maka dengan itu, kemenangan ini bukanlah kemenangan yang mutlak yang boleh kita bertindak sesuka hati, bahkan hendaklah diambil sikap bertoleransi dengan parti-parti yang tidak seidealogi dengan PAS. Dilihat kepada sirah, didapati baginda SAW mengambil sikap toleransi dalam perjanjian Hudaibiyyah demi melihat kemenangan besar bagi Islam. Maka keadaan yang sama juga perlu digunakan oleh PAS dalam menghadapi Pakatan rakyat. Melihat kepada cadangan penubuhan Pakatan Rakyat, dilihat islam tidak dijadikan dasar pemerintahan, maka dengan itu, dengan kehadiran PAS, sedikit sebanyak memberi ruang kepada PAS mengambil segala kesempatan yang ada dalam menyampaikan dakwah islamiyyah dengan memberikan model terbaik dalam pemerintahan. Dengan itu, sudah pasti golongan non muslim akan mendengar Islam, begitujuga teman-teman Pakatan Rakyat yang akhirnya mereka meyakini bahawa dengan islam sahaja dapat memberi keamanan kepada mereka.
PENUTUP
Kemenangan ini janganlah kita mengambil sikap terburu-buru dalam menyerang individu tertentu yang terdiri bukan parti islam. Kadangkala ada sebilangan mereka yang tidak berapa setuju dengan pendirian PAS dalam sesuatu isu, yang dengan itu, janganlah pihak tertentu dalam PAS menyerang mereka yang boleh meretakkan lagi keadaan Pakatan Rakyat. Jika Nabi SAW boleh bertoleransi dengan pihak Quraish walaupun melibatkan nyawa, maka mengapa kita tidak boleh bertoleransi dengan mereka disebalik kejahilan mereka terhadap Islam itu sendiri. Pun begitu, ruang yang ada pada PAS, tidak seharusnya dilengah-lengahkan menggunakannya dalam menyampaikan dakwah kepada manusia. Melengah-lengahkan itu pada hakikatnya telah mengabaikan satu tanggungjawab yang telah Allah wajibkan kepada kita. Justeru itu, ambillah iktibar dari kisah Perjanjian Hudaibiyyah dalam berinterasi dengan kerajaan Pakatan rakyat yang dengannya - insya Allah - akan terbina kerajaan Islam yang diidam-idamkan tidak lama lagi..... Sekian Wallahu ’Alam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI