MEREALISASIKAN AGENDA MENDAULATKAN ISLAM DALAM MASYARAKAT MAJMUK

Dipetik dari blog Pejuang Kebenaran

Pendahuluan

Sekiranya perkataan ‘agenda’ bermakna satu senarai program yang ingin dilaksanakan dan perkataan ‘daulat’ dimaksudkan dengan mengamal atau mempunyai asas perundangan atau kuasa yang tertinggi (exercising or possessing supreme jurisdiction or power), maka agenda mendaulatkan Islam di Malaysia masih bersifat problematik. Peruntukan-peruntukan yang ada dalam Perlembagaan negara mengenai Islam, tidak memungkinkan Islam didaulatkan kerana Islam telah dan akan disubsume dibawah kerangka Perlembagaan yang secara hakikinya bersifat sekular. Ini dirumitkan lagi dengan pentafsiran masyarakat majmuk yang di lihat secara intrinsiknya berkecenderungan untuk berkonflik sekaligus melahirkan ketidakstabilan politik. Dalam konteks dan suasana inilah Islam dikompromikan; dan sekaligus Islam memiliki status diperintah bukan yang memerintah.

Kolonialisme dan Islam: Sebenarnya kuasa kolonialisme, terutamanya Inggeris, telah meminggirkan peranan Islam dengan pengenalan Piagam Keadilan (Charter of Justice)dan seterusnya Sistem Residen. Sejarah telah membuktikan bahawa sebelum kedatangan Inggeris Islam telah didaulatkan terutamanya di negeri-negeri seperti Melaka, Terengganu, Kelantan dan Johor. Dipengaruhi oleh pemikiran Kristian yang menekankan pemisahan antara agama dan negara (politik) dan agama adalah sebahgian dari budaya, maka hal-hal yang berkaitan dengan agama (Islam) dan budaya Melayu diserahkan kepada Raja-raja Melayu. Secara institusinya ini dijelmakan dalam Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negeri-negeri. Struktur pentadbiran moden Islam yang dicipta oleh Inggeris inilah dipanjangkan kepada Perlembagaan Malaya/Malaysia yang merdeka. Dari sudut ini, secara hakikiya Islam masih tidak merdeka.

Kolonialisme dan Masyarakat Majmuk: Pihak kolonial sebenarnya telah ‘mencipta’ atau mengkonstruk masyarakat majmuk dan melihatnya sebagai sesuatu yang sedia ada (as given). Mengikut Furnivall (1956), masyarakat majmuk adalah masyarakat yang secara hakikinya berkecenderungan untuk berkonflik dan melahirkan ketidakstabilan politik. Ini kerana masyarakat yang terdiri dari pelbagai ras mempunyai pelbagai budaya dan agama; maka untuk menstabilkan masyarakat ini satu kuasa dari luar adalah perlu bagi mengurus ketidakstabilan ini dan kuasa luar tersebut dikenali sebagai kolonialisme. Dalam konteks ini kuasa kolonial dilihat sebagai penyelamat kepada masyarakat majmuk. Urutan dari logik intelek ini ialah terbentuknya dasar ‘pecah dan perintah’ (divide and rule ) dan dari sudut dasar ekonomi wujudnya apa yang boleh dilabel sebagai pengkhususan ekonomi berdasarkan etnisiti (economic specialization on the basis of ethnicity). Apa yang terhasil dari masyarakat majmuk yang dikonstruksikan oleh pihak penjajah dan dasar-dasar yang mengiringinya ialah betapa rapuhnya integrasi kaum. Ia juga meminimakan sumbangan Islam, yang sepatutnya diberi tanggungjawab yang lebih besar dalam hal yang berkaitan dengan integrasi kuam, kerana Islam menekankan aspek universalisme yang bercanggahan dengan aspek particularisme (kaum).

Kemerdekaan dan Politik
Malaysia Moden: Kemerdekaan hanya merupakan penerusan kepada dasar-dasar yang telah digubal oleh pihak kolonial; tidak ada perubahan struktural yang radikal (old wine in new bottles). Penubuhan parti-parti politik masih berasaskan kaum; terbinanya politik pemuafakatan (consociational politics) dalam bentuk Perikatan dan akhirnya Barisan Nasional adalah pada hakikatnya untuk memenuhi tuntutan masyarakat majmuk yang secara hakikinya tidak stabil sebagaimana yang dikonsepsikan oleh bekas penjajah. Disebabkan kekangan yang dibina ini maka UMNO (komponen Islam yang paling dominan dalam pakatan BN) nampaknya gagal untuk melihat bahawa kepelbagaian ras adalah sebenarnya mencerminkan kebesaran Allah dan sekaligus masyarakat majmuk merupakan tanah yang paling berbaja (a fertile ground) bagi menanam benih Islam, bukan sebagai penghalang kepada pelaksanaannya. Sekiranya UMNO coba untuk mempromosikan Islam, ia nampak tempang kerana usaha itu digerakkan dalam kerangka kaum. Cadangan Penambahbaikan Agenda Mendaulatkan Islam: Berdasarkan kekangan peranan yang dimainkan oleh Islam di Malaysia yang secara asasnya terhasil dari pengalaman sejarah kolonialisme dan diteruskan di bawah sistem politik
Malaysia moden tanpa perubahan yang radikal, maka dicadangkan beberapa kaedah penambahbaikan bagai tujuan mendaulatkan peranan Islam di Malaysia. Penambahbaikan ini bersifat jangka panjang, sederhana dan pendek.

Panambahbaikan Jangka Panjang: Dalam konteks penambahbaikan bersifat jangka panjang, Ia memerlukan kepada perubahan perundangan. Peruntukan 3(1) Perlembagaan perlu ditafasirkan (oleh Hakim yang bersidang di Mahkamah Tinggi agar ia menjadi satu legal precedent) supaya ia membawa maksud bahawa Islam adalah agama rasmi bukan cuma agama persekutuan. Ini juga memerlukan pemansuhan Perkara 4(1) Perlembagaan yang menjadi penghalang utama kepada pelaksanaan Islam secara yang menyeluruh.

Penambahbaikan Jangka Sederhana: Dalam kategori ini satu usaha perlu dilakukan bagi menubuh satu jawatankuasa yang boleh dikenali sebagai Jawatankuasa Islam dan Masyarakat Majmuk di peringkat Kabinet. Ini memberi peluang kepada Perdana Menteri memberi penjelasan kepada Menteri bukan Islam tentang kebaikan program-program Islam yang dilaksanakan dan program-program ini tidak bercanggah dengan kewujudan masyarakat majmuk itu sendiri. Program-program yang berkaitan dengan Islam sama ada ianya atas nama Islamisasi atau Islam Hadhari perlu dikemukakan secara resmi beserta peruntukan perbelanjaan yang berkaitan dalam Rancangan-rancangan Malaysia selama
lima tahun.
Ada sasaran-sasaran tertentu yang ingin dicapai. Ini lebih sistematis dan terbuka dan ini mengurangkan syak wasangka masyarakat bukan Islam terhadap program-program Islam yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan. Di peringkat ini juga perlu ada usaha-usaha bagi mengurangkan prejudis dan salah faham antara ‘Islam resmi’ (kerajaan) dan ‘ Islam tidak resmi’ (bukan kerajaan, sama ada diwakili oleh parti politik atau NGO Islam). Perlu ada sifat berlapang dada dan berjiwa besar untuk menerima kebaikan Islam dari mana-mana pihak sekali pun. Individu-individu yang mewakili NGO-NGO Islam seperti ABIM dan JIM perlu dilantik sebagai Penasihat, Ahli Lembaga Pengarah dan sebagainya di yayasan, institusi atau agensi kerajaan yang memiliki label Islam. Usaha juga perlu dilakukan bagi tujuan memperkasa dan memodenkan sekolah agama rakyat (SAR) tanpa menghilangkan semangat dan matlamat asal penubuhannya. Di tahap ini juga perlu ada usaha yang gigih untuk memperkasa sistem ekonomi Islam sebagai sistem ekonomi alternatif bukan sahaja di peringkat domestik malah ke peringkat antarabangsa. Secara khusus meningkatkan penggunaan Dinar Mas di peringkat antarabangsa supaya akhirnya ia menjadi medium pertukaran alternatif kepada US Dollar. Atas hakikat ini perdagangan antarabangsa akan lebih seimbang dan stabil. Islam progresif sebagaimana yang ingin dilaksanakan oleh pihak kerajaan perlu mempastikan tidak berlakunya percanggahan antara ‘haq’ dan ‘bathil’, pastikan yang ‘haq’(atau maaruf) itu senantiasa meningkat(progresif) dan dalam masa yang sama yang ‘bathil’ (atau mungkar ) menurun(regresif).

Penambaikan Jangka Pendek: Penambaikan dalam kategori ini hendaklah dilakukan segera oleh pihak yang berwajib. Pertamanya, haramkan semua bentuk perjudian, terutamanya di premis dibawah seliaan kerajaan (PBT). Atas kadar yang segera juga perlu digubal Undang-undang Murtad berdasarkan kepada kehendak syariah yang sebenar. Ini dapat mematikan kontroversi yang tiada penghujung misalnya, berhubung dengan Perkara 121 (1A).

Kesimpulan: Masyarakat majmuk seperti yang ada di Malaysia adalah anugerah Allah. Harus diperjelaskan secara serius dan berterusan oleh semua pihak (terutamanya oleh pihak kerajaan) kepada anggota masyarakat majmuk yang bukan Islam hakikat bahawa mendapat manfaat dari pelaksanaan syariat Islam tidak bermakna mereka terpaksa memeluk agama Islam.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI