TAQWA MENJANA KEMENANGAN

Seorang pejuang yang bebas dari sebarang jangkitan virus suma'h , ujub , riak , ananiah , takabbur malah 1001 mazmumah , pasti sahaja sirna raut kegembiraan pada wajahnya menjelang tiba Ramadhan al Mubarak .

Manakan tidak ......

Ramadhan laksana "al Hira' " tempat bersuluk hati yang mencari redho Ilahi dalam setiap sentuhan dan bisikannya.

Ramadhan jua menepati sebuah " halaqah " tempat muhasabah prestasi iman dan kualiti amal .

Ketabahan dan kecekalan jiwa seorang pejuang turut ditempa dan dicerna melalui proses pendisiplinan diri di " mukhayyam " Ramadhan .

Bahkan Ramadhan lebih berfungsi untuk melahirkan pejuang yang memiliki asas kekuatan malah senjata sakti untuk menempah tempoh kemenangan dengan membelah segala halangan . Kekuatan asas dan kesaktian senjata yang saya maksudkan ialah at Taqwa yang menjadi objektif utama orientasi Ramadhan.

Firman Allah swt :

يأيها الذين ءامنوا كتب عليكم الصيام كما كتب على الذين من قبلكم لعلكم تتقون

Wahai orang - orang yang beriman , diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana ianya diwajibkan ke atas orang - orang sebelum kamu , semoga kamu bertaqwa ( kepada Allah swt ) .

Surah al Baqarah : 183

Taqwa sehebat - hebat strategi

Perjuangan yang kita dokong ini memerlukan sebuah kemenangan , agar ruang kemenangan itu kelak memungkinkan kita mendaulatkan syariat Ilahi dan sunnah an nabawi .

Kemenangan yang diharapkan ini bukanlah bertolak dari nafsu yang ingin berkuasa atau syahwat yang ingin merasa tetapi berasaskan aqidah yang memaksa dan ketakutan untuk terus hidup dalam gelumang dosa dek kerana membiarkan kezaliman bermaharaja lela dan mungkar berleluasa .

Kemenangan menjadi suatu yang wajib dicapai sebagaimana wajibnya berjuang. segalanya adalah demi mendaulatkan syariat dan memartabatkan sunnah. Menjadi penghalang kepada kemenangan samalah besarnya nilai jenayah dengan mereka yang menghalang perjuangan.

Namun bercakap soal kemenangan , sayugianya diinsafi bahawa kemenangan itu tidak mungkin hadhir tanpa perjuangan dan pengorbanan .

Perjuangan memerlukan gerak gelut serta perit jerih melepasi apa jua tahap rintangan dan bongkah halangan sementara pengorbanan ialah memberi hak dan mengabaikan kepentingan diri .

Sebagai anggota gerakan Islam , saya yakin kita semua tahu apakah strategi yang perlu diatur , bermula dari dakwah fardiyyah , merakyat perjuangan , doa munajat , kematangan berpolitik ( politik high class ) , merapat saff , bijak mensasar musuh , memasak aqidah perjuangan , menguasai teknikal pilihanraya , meningkat kualiti pengurusan dan sebagainya , hinggalah strategi yang paling ampuh untuk mendepani cabaran , menyerap tekanan dan menyahut musuh ialah at Taqwa.

Taqwa inilah yang mesti dimiliki oleh kita semua sebagai bekal mengharungi medan , senjata menyambut lawan , kubu membentengi dakyah , ramuan pengubat resah , motivasi penggagah semangat dan sebagai pintu membebaskan diri dari segala kerumitan dan kesulitan .

Pejuang yang bertaqwa ( muttaqin ) pasti sahaja memiliki hemah tinggi dan jiwa yang wibawa , sebaik melangkah kaki menuruni setiap cerun perjuangan ini. Akhirnya meletakkan dirinya sebagai seorang pejuang yang hebat , digeruni lawan dan disanjungi kawan .

Pejuang seperti ini ( pejuang muttaqin ) .....

Penampilannya penuh karisma. Hanya takut kepada Allah swt , tidak sekali - kali tunduk dan akur kepada musuh Allah dan musuh agama Islam yang suci ini.

Tegas menghadapi penyelewengan pemikiran dan kesongsangan fikrah serta amanah dalam memikul tanggungjawab biarpun sukar dan berat untuk dilunaskan.

Tingkah lakunya menenangkan perasaan kita , jauh dari tindakan yang menyakitkan hati dan menimbulkan rasa jengkel di mata madu'u . Ucapannya menyejuk sanubari , jauh pula dari maki hamun dan cerca nista yang tidak bertempat dan tidak pula sepadan dengan kesalahan . Kepimpinannya berhikmah dan bijak menangani kemelut dalaman serta krisis approach dengan kumpulan Islam yang lain , demikian juga mengurai kekusutan yang dialami oleh ahli.

Taqwa mewarnai aqidah , fikrah dan syakhsiyyah seorang pejuang . Justeru itulah , hadhirnya Ramadhan al Mubarak bersama modul ketaqwaannya untuk melahirkan insan muttaqin , sangat dirindui dan dinanti oleh semua insan yang berjuang.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI