PAS PERSOAL PERKEMBANGAN PROJEK KORIDOR PANTAI TIMUR


Nyza Ayob Tue Oct 14, 08 1:46:31 pm MYT
KUALA LUMPUR, 14 Okt (Hrkh) - Dato' Kamaruddin Jaafar (PAS-Tumpat) melahirkan kebimbangan kerana setelah dua tahun Koridor Pantai Timur (Ecer) dilancarkan, sehingga kini peruntukan RM30 juta yang diumumkan hanya untuk kajian semata-mata.

Jelas Kamaruddin, perkara ini amat mengecewakan terutama bagi rakyat di negeri Kelantan, Terengganu dan Pahang.
"Projek Jambatan Sultan Yahya ke II yang lebih 13 bulan dilancarkan dan untuk pelaksanaan projek selama 30 bulan, tidak sampai 10 peratus dilaksanakan. Perkara ini menunjukkan kegagalan yang jelas di pihak kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian sewaktu mengemukakan soalan tambahan dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Dalam pada itu Kamaruddin turut mengemukakan persoalan, apakah Petronas sebagai peneraju utama projek berkaitan tidak bercadang untuk mewujudkan 'supply base' di Bachok, Pasir Puteh atau Tumpat untuk menyelenggarakan pencarian, penggalian serta penemuan minyak dan gas yang banyak terdapat di persisir lautan Kelantan dan Terengganu.
Menjawab soalan tersebut, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Amirsham A.Aziz berkata Ecer masih baru dilancarkan dan baru dilaksanakan pertengahan tahun ini.
Jelasnya, kerajaan masih dalam peringkat perundingan bagi mendapatkan pelabur di peringkat sektor pembuatan termasuk industri berkaitan minyak.
Sementara itu, dalam isu yang sama, Dato' Abdul Ghafur Salleh (BN- Kalabakan) menyelar kerajaan kerana pelaksanaan koridor di Sabah yang dilancarkan dua tahun dahulu sampai sekarang tidak menampakkan sebarang hasil.
"Sudah dua tahun koridor di Sabah dilancarkan oleh Perdana Menteri tetapi sampai sekarang tidak nampak 'satu butir pasir' pun saya tidak nampak. Kenapa perkara ini dilalaikan. Mungkinkah kerana ini hanya 'manisan' kepada rakyat Sabah sewaktu pilihan raya sahaja?" katanya yang menarik perhatian ahli dewan yang lain.
Abdul Ghaffur juga mempersoalkan apakah janji peruntukan RM5 bilion yang diperuntukan untuk pelaksanaan koridor tersebut telah diberi, akan diberi, belum diberi atau tidak diberi.
Beliau juga melahirkan kekecewaan kerana berlaku ketidakadilan dalam pelaksanaan koridor di Semenanjun dan Sabah.
"Petronas merupakan peneraju utama koridor di Semenanjung. Bagaimanapun peneraju di Sabah adalah syarikat-syarikat kerajaan negeri yang tidak mempunyai wang.
"Rakyat Sabah tidak mahu 'manisan' semata-mata. Jika betul-betul ada peruntukan tersebut, boleh bagi kepada kami. Saya juga lihat dalam bajet tiada dinyatakan mengenai perkara ini. Kita minta penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri megnenai perkara ini," katanya.
Bagaimanapun Amirsham yang bangkit menjawab soalan tersebut menyatakan soalan tersebut tidak mempunyai perkaitan dengan soalan asal yang dikemukakan.
Abdul Ghaffur yang tidak berpuas hati dengan jawapan yang diberikan Amirsham sekali lagi bangkit menyatakan adalah tidak adil bagi beliau kerana sebagai menteri, jawapan bagi perkara tersebut seharusnya dapat diberikan.
"Dato' Speaker, ini tidak adil. Seharusnya semua jawapan berkaitan dengan koridor ini sudah ada dalam kepala Menteri Jabatan Perdana Menteri. Kalau begini tidak layak duduk di Jabatan Perdana Menteri," katanya yang disahut suara-suara ahli dewan.
Timbalan Yang DiPertua, Dato' Ronald Kiandee menyatakan isu yang dinyatakan itu harus dibawa dalam perbahasan bajet. - mns_

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI