SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI

Oleh;Ummi Hani Abu Hassan

PENGENALAN

Islam yang gemilang muncul pada abad ke 7m ketika Rasulullah SAW menyebarkan risalah tauhid sehingga bertebaran ke seluruh tanah Arab. Dakwah baginda SAW kemudiannya diteruskan oleh empat khalifah utama iaitu Saidina Abu Bakar as-Siddiq RA ¬632-634, Saidina Umar al-Khattab RA 633-644, Saidina Uthman bin Affan RA-644-656 dan Saidina Ali bin Abi Talib RA- 656-661. Sepanjang tempoh itu, Islam berjaya menakluk sebahagian dunia. Di zaman Khalifah Abu Bakar, tentera Islam melancarkan serangan ke atas kerajaan Rom Timur di Iraq. Penguasaan Islam berlanjutan di zamah Khalifah Umar al-Khattab apabila tentera Islam berjaya menguasai wilayah Parsi dan Rom di Mesir, Palestin, Syria, Afrika Utara dan Armenia. Selepas kewafatan Umar, Khalifah Uthman meneruskan taklukan ke atas Iran, Afrika Utara dan Cyprus.

Pergolakan dalam pemerintahan Islam tercetus di zaman Khalifah Uthman bin Affan sehingga berakhir dengan pembunuhan ke atas baginda RA. Ia dikatakan berpunca daripada sikap khalifah yang memilih kerabatnya untuk memegang jawatan dalam pentadbiran. Selepas itu, perpecahan turut tercetus akibat ketidakpuasan sebahagian pemimpin Islam atas usaha Khalifah Ali menjejaki pembunuh khalifah Uthman sehingga berlakunya Perang Siffin -37 H- dan Perang Jamal-657M- Akibatnya, umat Islam terbahagi kepada kumpulan-kumpulan tertentu seperti Syiah, Khawarij, dan pengikut Muawiyah bin Abi Sufyan. Apabila Ali RA dibunuh, Muawiyah telah diangkat menjadi khalifah bagi Dinasti Umawi yang pertama -661-680m-

Pemerintahan Islam selepas era Khalifah ar-Rasyidin diterajui tiga dinasti utama iaitu Dinasti Umawiyah -661-750m-, Dinasti Abbasiah- 750-1258m dan Dinasti Uthmaniah -1258- 1924 m. Abad ke 8 hingga 20 mengukir jatuh bangun kerajaan Islam bercirikan dinasti. Dalam tempoh itu juga, Islam telah tersebar ke seluruh dunia termasuk di Eropah dan Asia. Islam telah mengalami kegemilangan seperti yang dikecapi pada zaman Rasulullah SAW di bawah pemerintahan beberapa khalifah dinasti seperti zaman Khalifah Harun ar-Rasyid-786-809m-, Khalifah Umar bin Abdul Aziz, Sultan Salahuddin al-Ayubi-1138-1193m dan Sultan Muhammad al-Fateh.

Pada abad ke 18, Eropah bangkit dari zaman kegelapan dan mengalami pembaharuan -refomation- mereka telah menyusun gerakan sekularisme yang menghapuskan campur tangan agama khususnya gereja dalam urusan kehidupan . Sikap masyarakat Eropah yang lari dari agama telah menyebabkan mereka mencapai kemajuan tetapi mengalami kemusnahan nilai yang dahsyat. Malah, punca kerosakan masyarakat Islam juga adalah kerana menjauhi dan tidak mempraktikkan agama dalam kehidupan .

Sejak jatuhnya sistem pemerintahan Khalifah Turki Uthmaniah pada tahun 1924, gerakan Islam dari pelbagai negara memainkan peranan politik dan dakwah bagi memanifestasikan semula corak pemerintahan Islam yang dihancuri para penjajah barat dan komunis. Gerakan Islam tersebut antaranya Ikhwanul Muslimin dari Mesir pimpinan Imam Hassan al-Banna dan Jamiat Islami dari Indo Pakistan pimpinan al-Maududi.Sehingga kini, kuasa pemerintahan Islam yang tumbuh di Madinah pada tahun 622m sehingga kejatuhannya pada tahun 1924m sukar dibaiki bagi meletakkan semula Islam sebagai kuasa besar dunia. Namun, perjuangan gerakan Islam tidak goyah malah kekentalan para pejuang Islam abad 19 dan abad 20 mengalami asimilasi kemodenan sesuai dengan arus perkembangan semasa termasuklah mengkontraksikan semula sistem politik Islam.
Kertas kerja ini akan menumpukan kepada biografi al-Maududi serta sumbangannya dalam bidang politik Islam.

1. Latar Belakang al-Maududi

Sayyid Abul A’la al-Maududi dilahirkan di Aurangabad, sebuah wilayah di Hyderabad, India pada 3 Rejab 1321 Hijrah bersamaan 25 September 1903. Salasilah keluarganya berhubung dengan Rasulullah SAW melalui Saidina Ali AS dan Saidina Hussien AS. Bapa al-Maududi adalah seorang peguam dan seorang yang menitik-beratkan pendidikan agama dan bahasa Arab.

Oleh itu, sehingga berusia sembilan tahun, al-Maududi mempelajari ilmu agama di rumahnya oleh seorang guru yang diupah keluarganya Ketika berusia 13 tahun, al-Maududi sudah menterjemahkan buku ‘al-Islam wal Islah’ karya Syeikh Abdul Aziz Jawisy ke bahasa Urdu’.Pada usia 11 tahun, al-Maududi dimasukkan ke sekolah umum di Aurangabad. Di sekolah ini, al-Maududi mempelajari ilmu-ilmu moden seperti sains, matematik dan lain-lain. Beliau juga seorang pelajar yang genius serta aktif dalam penulisan dan pidato.

Ketika beliau berusia 16 tahun, bapanya, Syed Ahmad Hassan meninggal dunia.Bagi menyara hidupnya, al-Maududi bekerja sebagai wartawan dan editor. Pada tahun 1920, al-Maududi bekerja di akhbar harian India, Taj dan kemudiannya berpindah ke Delhi dan menjadi sidang redaksi bagi akhbat al-Jamiat. Beliau kemudiannya menerbitkan buku al-Jihad fi al-Islam pada tahun 1928.

Sehingga tahun 1932, al-Maududi menerbitkan majalah bulanan Tarjuman al-Quran kemudian bergabung dengan Mohamad Iqbal bagi mendirikikan Akademi Dar as-Salam. Hampir tujuh tahun memimpin Akademi Dar as-Salam, beliau berhijrah ke Lahore pada tahun 1938, selepas kematian Muhammad Iqbal. Di Lahore, al-Maududi bekerja sebagai dekan Fakulti Falsafah di Kolej Islam Lahore. Namum, beliau kemudiannya berpindah semula ke akademinya kerana tidak setuju dengan beberapa dasar kolej tersebut.

Beliau kemudiannya mengaktifkan diri dalam penerbitan buku dan mengasaskan gerakan Jamaat Islami sebagai usaha dakwahnya menentang pengaruh thoghut.Al-Maududi berkahwin dengan Sayyidah Mahmudah iaitu anak seorang tokoh ulama India pada tahun 1938. Selama 30 tahun memimpin Jamaat Islami, beliau telah memberikan impak kepada dunia Islam dalam mencontohi gerakan bercorak politik ini. Al-Maududi meninggal dunia pada 22 September 1979 dalam usianya 76 tahun.

2. Penglibatan dalam Haraki

Kejatuhan sistem khalifah Islam di Turki pada tahun 1924 merupakan agenda barat bagi menularkan gerakan nasionalisme menggantikan gerakan berbentuk agama. Di India, sejak abad ke 17, Islam menjadi agama yang kukuh dalam sejarahnya. Kebanyakkannya negara Islam mengalami revolusi ini sekitar tahun 1940-an apabila pihak penjajah Eropah terutama British mengalami ancaman kuasa dari Jepun dan Komunis. Negara seperti Mesir, Turki, Algeria termasuk Indonesia dan Tanah Melayu mula melancarkan strategi revolusi berbentuk dalaman yang digerakkan sendiri oleh rakyat tempatan.

Al-Maududi sebagai ahli pemikir dan wartawan dapat merasakan perjuangan ahli-ahli revolusi terutama di Turki pimpinan Mustafa at-Tartuk tidak berpaksikan agama sebaliknya menumpukan kepada semangat kebangsaan –nasionalisme- semata-mata. Di India, Parti Kongres mahu menamatkan kuasa Bristish dan menaikkan kepentingan Hindu. Oleh itu, manifesto Parti Kongres amat membahayakan masa depan politik Islam di negara India. Al-Maududi kemudiannya menubuhkan Jamaat Islami-JI- pada 26 Ogos 1941 di Lahore.Al-Maududi melalui gerakan JI dan karya-karyanya telah membangkitkan semangat Islam masyarakat temasuk golongan elit dan akademik di India. Pada tahun 1947, terjadinya pemisahan negara Pakistan daripada India.

Beliau kemudiannya telah menggagaskan sistem pemerintahan Islam bagi membina negara Pakistan. Akibatnya, beliau ditangkap dan dipenjarakan pada tahun 1948 sehingga Mei 1950. Pada tahun 1953, beliau telah dijatuhkan hukuman mati akibat tuduhan menyebarkan risalah haram yang kemudiannya ditukar menjalani hukuman penjara seumur hidup. Sehingga tahun 1955, al-Maududi dibebaskan oleh Mahkamah Agung Pakistan.Namun, ketika Pakistan berada di bawah regim Ayub Khan, gerakan JI telah diharamkan pertubuhannya dan untuk kali ketiga, al-Maududi dipenjarakan semula pada Januari 1964 dan dibebaskan pada 9 Oktober 1964. Walau bagaimanapun, al-Maududi tidak berputus asa dalam usahanya memartabatkan syariat Islam dan sanggup berhadapan dengan pemerintah yang zalim.

3. Keadaan masyarakat dan usaha dakwah al-Maududi

Secara umumnya, usaha dakwah al-Maududi terbahagi kepada dua bentuk iaitu dakwah secara individu dan jemaah. Kerjaya wartawan yang bermula pada tahun 1918 diusahakan al-Maududi secara serius apabila melihat keadaan masyarakat yang semakin rosak.10 tahun kemudiannya, beliau juga menulis buku Jihad fi Islam -1928- dengan tujuan membangkitkan semangat jihad umat Islam untuk menentang penjajah British, kaum radikal Hindu dan pertubuhan kebangsaan yang membelakangkan Islam. Buku ini menghuraikan konsep jihad dan undang-undang perang antarabangsa. Pada tahun 1932, al-Maududi menulis buku Risalah al-Diniyah dan Tarjuman al-Quran sebagai benteng kepada penularan sekularisme yang menyerang pemikiran umat Islam. Sehingga kini, buku-buku tersebut menjadi rujukan dunia Islam khususnya untuk memahami pengadaptasian Islam terhadap dunia moden.

Menjelang tahun 1940-an, kebanyakan umat Islam di seluruh dunia diasakkan dengan semangat proklamasi menentang penjajahan. Usaha-usaha pengislahan agama Islam juga digerakkan oleh para refomis Muslim melihatkan perjuangan revolusioner adalah nasionalisme semata-mata. Pemerintah tempatan yang terdiri daripada raja dan warisnya menjalani orentasi barat sehingga kebanyakan mereka tidak ubah seperti boneka penjajah.

Di India, pada tahun 1941 al-Maududi telah menubuhkan gerakan Jamaat Islami serta mengkontrunsi semula sistem politik Islam. Dalam persidangan pertamanya, seramai 75 ulama dari seluruh wilayah India berhimpun di Lahore dan bersetuju melantik al-Maududi sebagai ketua. Antara fatwa yang dikeluarkan al-Maududi dalam persidangan ini ialah mengharamkan rakyat tempatan bekerja dengan pihak British bagi kepentingan mereka. Dasar Jamaat Islami yang tegas di atas al-Quran dan sunnah menyebabkan ia dikecam dan digeruni pihak penjajah dan revolusioner. Perjuangan al-Maududi semakin mantap dengan adanya organisasi Jamaat Islami. Setelah India merdeka dan mengeluarkan wilayah Pakistan dari negaranya pada tahun 1947, al-Maududi telah mengusulkan sistem politik Islam sebagai teras kepada pentadbiran negara Pakistan. Beliau mahukan supaya Islam dijadikan cara hidup yang menyeluruh dan bukan slogan semata-mata.

Kesannya, Al-Maududi digeruni pihak pemerintah tempatan dan beberapa kali dimasukkan ke dalam penjara. Walau bagaimanapun, pada tahun 1949, asas perlembagaan Islam yang dirangka oleh al-Maududi telah diisytiharkan Lembaga Perlembagaan Negara Pakistan- The Objective Resolution- Susulan daripada itu, al-Maududi masih mengharapkan pemerintah Pakistan melaksanakan sepenuhnya undang-undang Islam. Pada tahun 1951, beliau telah mengumpulkan 31 orang ulama dari pusat-pusat pengajian tinggi di Pakistan untuk menetapkan ciri-ciri Islam dalam Perlembagaan Pakistan. Namun usahanya gagal dan pemerintah rejim Ayub Khan menahan al-Maududi di dalam penjara selama dua tahun bulan.

Al-Maududi telah memimpin Jamaat Islami selama 30 tahun. Sepanjang tempoh itu, beliau dipenjarakan sebanyak empat kali dalam waktu yang berlainan. Umumnya, usaha dakwah al-Maududi sama ada secara jemaah mahupun individu, beliau telah berjaya menularkan pemikirannya ke seluruh negara-negara Islam yang bangkit dari penjajahan. Al-Maududi juga telah menghasilkan 138 buah karya berbentuk buku, jurnal, rencana dan risalah. Karyanya yang paling terkenal ialah Tafhim al-Quran-1972-. Buku ini ditulis sebanyak enam jilid dalam tempoh masa 30 tahun empat bulan.

4. Gagasan Politik al-Maududi

Al-Maududi dalam bukunya Teori Politik Islam-1939 menegaskan bahawa Islam bersifat mandiri dan tidak bergantung kepada sistem luar termasuk dalam bidang politik. Menurutnya lagi, adalah malang bagi umat Islam mempercayai bahawa Islam bergantung kepada sistem barat dan komunis dalam melegalisasikan bentuk pemerintahannya. Bagi al-Maududi, pewacanaan sistem barat seperti demokrasi dan teokrasi sebenarnya telah wujud dalam Islam.

Jika di barat, ia dianggap sebagai isme atau fahaman, tetapi Islam hanya mengiktiraf sistem-sistem tersebut sekadar amalan organisasi yang semulajadi berlangsung dalam syariat.Menurut al-Maududi seperti aspek kehidupan lain, memahami politik Islam hendaklah menyeluruhi ruang tauhid yang menjadi intipati kehidupan seorang Muslim. Asas penciptaan manusia sebagai hamba dan khalifah Allah SWT akan menggerakkan aturan sistem politik ke arah kuasa teokrasi Allah SWT sebagai Tuhan dan Pencipta seluruh makhluk. Manakala panduan perundangan-Nya iaitu Islam ditugaskan kepada para rasul untuk menyebarkan kepada manusia agar memahami dan melaksanakannya selaras dengan hasrat dan tujuan penciptaan mereka ke dunia.

Tuntutan kekuasaan hanya kepada Allah SWT telah dingkari segelintir manusia yang akhirnya menjerumuskan mereka ke lembah kekufuran. Al-Maududi mengkategorikan golongan ingkar ini termasuklah orang kafir, munafik dan ahli maksiat. Sesetengah manusia hanya mahu menyempitkan ruang lingkup agama pada aspek terpencil dan asing daripada urusan keduniaan. Agama menurut mereka sebagai upacara pemujaan dan sembahyang semata-mata. Sebaliknya, ia adalah maksud kepada tujuan penghidupan manusia. Perhubungan yang wujud antara manusia dan Tuhan ialah ‘ orang yang menyembah’ dan ‘Kuasa yang disembah atau ibadat- pengabdian atau berkhidmat- dan ma’bud – Tuhan yang menguasai manusia- Apabila manusia menyedari kuasa Allah SWT sebagai Ilah-Tuhan- dan Robb –pemilik, mereka akan menyedari bahawa tidak ada makhluk yang boleh memiliki sifat-sifat tersebut.

Justeru, adalah mustahil mereka memberikan merit kepada pemerintah terutama para penjajah walaupun hakikatnya mereka seolah berkuasa kepada rakyat. Hanya Allah SWT yang mencipta makhluk dan menyediakan garis panduan yang sesuai dengan fitrah kemanusiaan tersebut. Al-Maududi berpendapat, manusia akan cenderung memiliki rasa penguasaan apabila dia mempunyai harta, pangkat, kecerdikan, kelebihan, kekuatan dan peluang yang membolehkan ia bertindak di luar batasan. Pada zaman moden, pemerintah mengakui bahawa kawujudan alam adalah diciptakan oleh Tuhan. Mereka tidak mendakwa diri mereka sebagai Tuhan tetapi menuntut ketaatan dan kepatuhan rakyat jelata terhadap kuasa pemerintahan mereka supaya bersifat mutlak.

Bagi mereka, kuasa pemerintahan tidak boleh dipertikaikan dan dicabar. Dalam masyarakat awam, segelintir manusia telah memperalatkan manusia lain bagi tujuan nafsu penguasaann mereka. Al-Maududi merumuskan bahawa punca kerosakan dunia ialah penguasaan manusia ke atas manusia sama ada secara langsung atau tidak. Kerana sikap ini, manusia sejak zaman nabi Ibrahim AS sehingga selepas kewafatan Rasulullah SAW saling bertelingkah dan menjadi makhluk perosak.Justeru, reformasi radikal adalah kembali mendaulatkan kuasa Allah SWT sebagai Tuhan dan Pencipta sekalian alam. Para pemimpin Islam di zaman kini perlu meneruskan pekerjaan para rasul iaitu merobohkan kekuasaan manusia ke atas manusia, membebaskan mereka dari ketidak adilan, penghambaan kepada tuhan-tuhan palsu dan kezaliman manusia atas manusia lain.

Seterusnya, membina sebuah masyarakat yang berasaskan persamaan manusia; ia bukan hamba atau tuan kepada manusia lain tetapi menjadi hamba kepada satu Tuhan yang Esa. Firman Allah SWT bermaksud;‘Hai kaumku, sembahlah Allah, tidak ada bagimu Tuhan –Ilah- selain daripadaNya.’ – al-A’raf;59-Menurut al-Maududi, ciri-ciri utama sebuah negara Islam yang terdapat dalam al-Quran ialah;

1. Tidak ada manusia, golongan, bahkan seluruh masyarakat dalam sebuah negara boleh mendakwa mempunyai kekuasaan dan kedaulatan yang sebenar. Semua manusia adalah hambaNya.

2. Allah ialah penggubal undang-undang yang sebenar dan kuasa mutlak membuat undang-undang adalah milikNya. Orang-orang Islam tidak boleh membuat undang-undang yang bertentangan dan mengubahsuai undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah walaupun ada suara yang mempersetujuinya.

3. Sebuah negara Islam mestilah diasaskan pada wahyu Allah. Kerajaan yang memerintah sebuah negara Islam hanya boleh ditaati dalam tugasnya sebagai badan politik yang dibentuk untuk melaksanakan undang-undang Allah. Sekiranya ia melanggar, maka mereka tidak boleh lagi ditaati sebagai pemerintah.Secara umumnya, politik Islam ialah Negara Ketuhanan. Al-Maududi telah memberi istilah teo-demokrasi yang bermaksud rakyat diberi kuasa terhad untuk memilih pemimpin Islam yang layak. Para pemimpin melaksanakan undang-undang Allah dan bagi perkara yang tidak terdapat dalam al-Quran dan sunnah, mereka diberi hak untuk musyawwarah-ijtihad- Bagi pemimpin yang menyimpang daripada syariat, mereka hendaklah dipecat daripada pemerintahan. Secara teokrasinya, pemimpim dan umat Islam tidak berhak menggubal sebarang undang-undang yang telah ditetapkan oleh Allah walaupun majoriti tidak menyenanginya.

Tujuan Allah SWT menghadkan kebebasan manusia adalah untuk menyelamatkan mereka daripada kesesatan yang akan membawa kemusnahan kepada manusia dan alam ini. Atas tujuan mendaulatkan kekuasaan Allah SWT inilah manusia diberi hak untuk bergelar khalifah di muka bumi ini. Firman Allah SWT bermaksud;
‘Sesungguhnya telah Kami utus beberapa rasul untuk membawa keterangan, dan Kami turunkan kepada mereka Kitab dan neraca keadilan supaya berdiri manusia atas keadilan. Dan Kami turunkan besi untuk kekuatan dan beberapa manfaat bagi manusi, dan supaya Allah tahu siapa yang menolong agamaNya dan rasulNya, sedang Dia ghaib dari mereka.’ – al-Hadid; 25

Jelas al-Maududi, politik Islam juga digunakan mengikut keperluan semasa manusia. Misalnya, semua jenis propaganda dan media adalah untuk mengajak manusia kepada kebaikan dan menjauhkan kejahatan. Rakyat diberikan pendidikan akhlak selengkapnya. Malah pengaruh masyarakat dan kewibawaan pendapat umum akan turut diambil-kira dalam politik Islam semasa.

KESIMPULAN

Al-Maududi merupakan tokoh pemikir Islam abad ke 20 yang lahir dari kebuncahan Dunia Islam untuk beradaptasi dengan kebangkitan barat di seluruh dunia. Proses kehidupan beliau yang sejak kecil bergelumang ilmu terutama ilmu agama serta kematangannya menghasilkan kritikan dan wacana ilmiah sejak muda telah membina imejnya sebagai reformis Islam. Tambahan, beliau diterjah dengan gelombang peradaban dunia yang beredar di sekelilingnya seperti Hindu , fundamental Islam, Kristian dan Sekularisme menjadikan keilmuan Islamnya sempurna. Kesan pengaruh beliau bukan sahaja berlegar di tanah kelahiranya iaitu India dan Pakistan, tetapi juga dipraktiskan oleh cawangannya di seluruh dunia seperti Jamiat Islami di Bangladesh, Sri Lanka, Afganistan, India dan Singapura. Di Malaysia, al-Maududi menjadi inspirasi penggerak haraki yang membutuhkan tertegaknya sistem politik Islam di negara ini. Oleh kerana beliau adalah pengasas gerakan Jamiat Islami, namanya sentiasa meniti di bibir para ahli JI dan pelopor-pelopor gerakan Islam yang muncul selepasnya. Tambahan, al-Maududi bukan sekadar menggagaskan idenya melalui lisan bahkan beliau memiliki koleksi penulisan yang membincangkan keseluruhan aspek agama yang akan ditekuni generasi sepanjang zaman.

RUJUKANBUKU
1. Abul A’la al-Maududi, Hukum dan Konstitusi Sistem Politik Islam. Kuala Lumpur ; Penerbit Mizan,
2. Anwar al-Sadat -1976-, Pemberontakan di Lembah Nil. Ahmad Boestamam –terj.- Kuala Lumpur; DBP.
3. Riduan Mohammad Nor -2007-, Sejarah dan Perkembangan Gerakan Islam Abad Moden. Kuala Lumpur; MHI Punlication4. Sayyid Abul ‘Ala al-Maududi -1939- Teori Politik Islam. Kamaruddin A.Rahman-terjmh- Kuala Lumpur; Agensi Media Islam

TESIS
1. Ruzman M.Noor -1988/89-, ‘Konsep Negara Islam Menurut al-Maududi; Tinjauan Pengaruhnya Terhadap PAS dan al-Arqam’-Latihan Ilmiah, Fakulti Syariah, Akademi Islam, Universiti Malaya
2. Nurainy Achmad Rawi et al -2007- ‘Al-Maududi,’ –Kertas Projek, Fakulti Usuluddin, Akademi Islam, Universiti Malaya

MAKALAH
1. Ummu Hani Abu Hassan -2007-, ‘Apatrheid Dalam Filem Take The Lead ‘ artikel dalam Dewan Budaya November 2007

LAMAN WEB
1. www.wikipedia.com

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH