SEKOLAH PONDOK ALA CHALET AKAN DIBANGUNKAN DI JURU

Mohd Sabri Said
Mon | Dec 15, 08 | 1:13:16 pm MYT

BUKIT MERTAJAM, 15 Dis (Hrkh) - Kampung Sekolah, Juru di Seberang Perai Tengah (SPT) bakal dibangunkan sebuah institusi pondok tradisonal bercirikan chalet di kawasan berbukit mulai tahun depan oleh sebuah pertubuhan yang dikenali dengan Pertubuhan Pondok Turath Islam Pulau Pinang.

Menurut Pengerusi pertubuhan tersebut, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar, tujuan utama penubuhan pondok berkenaan ialah mahu memastikan institusi pondok lama tidak hilang ditelan zaman.

"Pemilihan Kampung Sekolah, Juru sebagai sebuah pusat pengajian pondok tradisional berkonsep chalet kerana tanah seluas dua ekar telah diwakafkan oleh aktivis masyarakat, Haji Abdul Razak Saad yang turut mahukan institusi ini tumbuh subur selari dengan kebangkitan Islam sekarang," ujarnya pada Harakahdaily baru-baru ini.

Kata beliau lagi, walaupun terdapat ketinggian namun tidak merbahaya kerana ia tidak terletak di kawasan cerun yang boleh mengundang keruntuhan bukit seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan empat nyawa dan memusnahkan 14 buah rumah mewah.

Ia agak tinggi dari paras jalan raya dan mempunyai pemandangan yang cantik, tambahan lagi bukit dulunya tinggi kini telah diratakan bagi pembinaan 60 buah pondok untuk pelajar seramai 120 orang, katanya.

Katanya, pondok yang bakal dibina nanti mempunyai keluasan 10 x 12 kaki persegi boleh menempatkan dua orang dalam satu rumah.

Di situ juga sebuah surau akan dibina melibatkan RM950 ribu termasuk infrastruktur asal, tenaga pengajar dan sebagainya, jelasnya.

"Buat pertama kali kita akan menerima pelajar seramai 120 orang tidak termasuk golongan veteran yang berminat kerana pengajian bercorak umum akan dibangunkan selepas fasa pertama siap," terangnya yang juga pengerusi pondok yang akan dikenali dengan Al-Majma' Attutath Al-Islami Al-Malizi.

Menurut Ustaz Tajudin lagi, pemilihan lokasi itu juga kebetulan Kampung Sekolah telah berjaya menubuhkan Pusat Pendidikan Islam (Pasti) dan menjadi pusat gerakan aktiviti masyarakat tanpa melibatkan percaturan politik mana-mana pihak.

Faktor itu sambungnya, membuatkan pertubuhan yang bakal diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan penghujung bulan ini menumpukan sepenuh kerja-kerja pembinaan yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dijangkakan pada bulan Februari 2009.

"Ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak mereka bagi meneruskan pengajian pondok bercorak tradisional boleh mendaftarkan diri pada tarikh yang ditetapkan kelak. Buat masa ini kami lebih menumpukan pencarian dana dan pembangunan untuk institusi yang mendapat pengiftirafan Pejabat Agama Islam Pulau Pinang," jelasnya.

Pengajian di sini katanya, lebih tertumpu pada pengajian bukan setakat penghafalan al-Quran malahan memahami kaedah Bahasa Arab secara mendalam berbanding Pusat Tahfiz yang ada.

Selain itu ia juga ia dapat menjamin pengajian secara nahu Bahasa Arab, Mantik, Balahaq, Bayan dan sebagainya bagi memudahkan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka ke Timur Tengah, katanya.

"Selepas itu baru ilmu Tafsir dan Hadith akan menyusul. Untuk menjayakan hasrat tersebut, mana-mana individu boleh menyumbangkan segala bentuk keperluan barangan dan wang ringgit kepada akaun Bank Islam 07052010004134 atau menghubunginya di talian 019-4978551 bagi mendapatkan keterangan lanjut," katanya. - mns_

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI