SELEWENG KUASA : BPR BERSIHKAN MENANTU MB KELANTAN

Tue | Dec 16, 08 | 12:33:57 pm MYT

KOTA BHARU, 16 Dis (Hrkh) - Percubaan pihak tertentu untuk mempalitkan isu rasuah terhadap pemimpin kerajaan negeri dan anggota keluarganya ternyata tersasar apabila tiada kes yang mampu diketengahkan Badan Pencegah Rasuah (BPR) selepas siasatan dilakukan.

Begitu juga kes yang cuba dibabitkan menantu Menteri Besar, Ir Abdul Ariffahmi Abdul Rahman semalam disahkan BPR telah ditutup kerana tiada asas yang mampu diketengahkan.

Pengarah BPR Kelantan, Mohd Jaafar Hussen dilaporkan berkata dakwaan mengenai penyelewengan kuasa oleh Ariffahmi yang juga Ketua Pegawai Operasi Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK) telah ditutup setelah didapati dakwaan itu tidak berasas.

"Dari segi perundangan, kes berkenaan tidak ada kesalahan dan semua dakwaan itu tidak betul menyebabkan kes berkenaan ditutup," katanya.

Ariffahmi ketika dihubungi melahirkan rasa syukur kepada Allah swt kerana telah melindunginya daripada musibah dan membersihkan namanya dari tuduhan tidak berasas sebelum ini.

"Terima kasih di atas sokongan dan doa beterusan Menteri Besar dan pemimpin-pemimpin kerajaan negeri serta kawan-kawan yang mengikuti kes ini.

"Saya memang menghadapi kes ini dengan tenang dan yakin ia akan selesai dengan baik.Terima kasih kepada pengarah dan pegawai BPR yang memberi layanan baik semasa siasatan dilakukan.Image

"Saya tetap komited dengan dasar pentadbiran kerajaan negeri iaitu ubudiah, masuliah dan itqan yang mana ia memberi panduan manual kerja kepada saya untuk dunia dan akhirat," katanya.

Beliau juga memanjatkan doa supaya Allah swt memberikan hidayah, kemudahan, keberkatan dan kekuatan untuk menjalankan tugas yang diamanahkan.

Menurut beliau dengan selesainya kes tersebut, membolehkannya bekerja dengan lebih gigih bagi menjayakan misi dan agenda PMBK.

Katanya juga beliau mengalu-alukan sebarang teguran bagi kebaikan PMBK yang diterajuinya sekarang.

Sebelum ini ada beberapa kes yang cuba dibabitkan pemimpin kerajaan negeri dan pegawai dengan membuat laporan kepada BPR serta polis, namun belum ada yang mampu diketengahkan ke peringkat pendakwaan.

Begitu juga dengan siasatan polis terhadap Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat ekoran kenyataan pernah cuba dirasuah tauke balak ketika baru mengambilalih teraju pentadbiran kerajaan negeri, namun ia senyap sepi sehingga sekarang. - mj _

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI