Pilihanraya Kecil Dun Behrang dan Dun Changkat Jering memang pasti akan di adakan

Pilihanraya kecil Dun Behrang dan Dun Changkat Jering memang pasti akan diadakan walaupun dua bekas adun kawasan itu membuat injuksi di mahkamah . Itu sekadar usaha dua bekas adun dan bekas exco yang kecewa.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, surat peletakan jawatan dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari Parti Keadilan Rakyat memang wujud berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan Speaker Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak.

"Surat itu memang ada dan ia ditujukan kepada Speaker.

"Ini bermakna beliau ada bukti bagi mengatakan yang kerusi DUN Behrang dan Changkat Jering sememangnya telah kosong.

"Dalam Perak ini, Speaker mempunyai kuasa berhubung hal tersebut," katanya.

Professor Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa, Dr. Abdul Aziz Bari berkata, tindakan ADUN terbabit, Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd. Osman Jailu (Changkat Jering) menghilangkan diri dan tidak dapat dihubungi selama lima hari dengan sendirinya telah memaksa Speaker untuk membuat keputusan itu.

Kata beliau, surat peletakan jawatan tersebut sah walaupun tidak bertarikh semasa ditandatangani memandangkan kedua-dua mereka mengetahui kandungan dan kesan yang akan mereka hadapi jika menandatangani surat itu.

"Mereka sedar dan tahu isi kandungan tersebut.

"Mereka juga bukan diacukan pistol ke kepala mereka untuk dipaksa menandatangani surat tersebut," katanya.

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, adalah pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan dan kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.

Perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen di sini pada 10 Februari ini.

Semalam, Jamaluddin turut berkata beliau dan Osman masih ADUN PKR dan tidak pernah membuat pengumuman menjadi wakil rakyat bebas atau menyertai Umno.

Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang dianggotai PAS, DAP dan PKR kini mempunyai 32 kerusi dengan DAP (18) PKR (lapan) dan PAS (enam) manakala Barisan Nasional 27 kerusi.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, BN menang 28 kerusi tetapi ADUN Bota Datuk Nasaruddin Hashim menyertai PKR minggu lepas.

Pada pilihan raya lepas, Jamaluddin mendapat 6,771 undi menewaskan calon BN Datuk M. Ramasamy yang mendapat 5,744 undi.

Mohd Osman pula menang dengan majoriti 1,102 undi bagi merampas kerusi DUN Changkat Jering.

Beliau memperoleh 9,411 mengalahkan penyandang dari BN Datuk Mat Isa Ismail yang memperoleh 8,309 undi

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI