PAS PERLU KEKALKAN MOMENTUM BUKAN MELAYU !!!

Harakahdaily Wed Apr 29, 09 10:10:39 am MYT

Pentadbiran Perdana Menteri Dato' Seri, Najib Tun Razak telah banyak mendapat kritikan pelbagai pihak. Harakah mendapatkan pandangan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mohd Hanipa Maidin untuk mengupas tranformasi pentadbiran Najib. Beliau yakin untuk terus menang, PAS perlu mengekalkan momentum bagaimana orang bukan Islam boleh percaya kepada PAS dan dasar PAS. Ikuti temubual wartawan, IRWAN MUHAMMAD ZAIN bersama Pengerusi Lajnah Perundangan dan Hak Asasi Manusia PAS Pusat.

HARAKAH: Perdana Menteri baru, Dato' Seri Najib Tun Razak dan BN telah memperkenalkan konsep One Malaysia dalam pentadbiran beliau. Ramai yang melihat konsep ini sebagai melupakan perjuangan Ketuanan Melayu yang selama ini didokong oleh Umno. Apa komen saudara dalam soal ini?
MOHD HANIPA: Saya rasa sebenarnya BN selama ini memang tak pernah pedulikan tentang orang Melayu. Kalau benar mereka pentingkan orang Melayu, mereka tak akan buat dasar-dasar yang merugikan orang Melayu seperti kita ambil contoh isu PPSMI. BN ini pada saya sebuah parti yang dah tenat. Kalau kita lihat sekarang apa yang mereka buat semua tak kena. Dasar yang dibuat sekarang ini pada saya bukan untuk menguntungkan orang Melayu. Mereka selama ini dasar mereka merugikan orang Melayu cuma sekarang mereka cuba untuk tarik sokongan bukan Melayu yang condong kepada Pakatan Rakyat.
Adakah saudara bersetuju dengan pendapat mengatakan konsep One Malaysia ini, Najib lakukan semata-mata untuk membina imej beliau sebelum pilihan raya umum akan datang dan sejauh mana ia akan dapat menarik sokongan rakyat?
Najib perlu lakukan itu semua kerana ramai yang mengatakan beliau mewarisi sebuah kerajaan yang sudah hampir tumbang. Ia ibarat kapal yang semakin tenggelam jadi Najib perlukan dasar seperti One Malaysia ini untuk menarik sokongan.
Pada saya dasar ini cuma 'lipstick', hanya hiasan semata-mata untuk menarik sokongan terutama bukan Melayu terhadap BN. Jadi beliau boleh uar-uarkan untuk buat itu ini tapi Umno itu sendiri orang sudah tidak percaya. Jadi kalau orang sudah tak percaya terutama Umno itu nak buat apa pun orang akan pandang sinis. Ini semua kerana salah mereka sendiri dengan dasar-dasar dan tindakan-tindakan yang telah mereka lakukan selama mereka berpeluang memerintah negara ini.
Sebelum Najib dilantik sebagai Perdana Menteri, ramai yang mengatakan era Mahathirisme akan kembali. Apakah penglibatan Mahathir dalam pentadbiran Najib ini akan memberi kesan terhadap Pakatan Rakyat?
Paling ketara bila kita lihat perlantikan Mukhriz dalam kabinet. Mukhriz sudah kalah dalam pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno tapi dilantik dalam kabinet sebaliknya menantu Abdullah, Khairy yang menang itu tidak dilantik. Apa juga alasan yang diberikan perlantikan Mukhriz itu dilihat campurtangan Mahathir dalam pentadbiran Najib. Amat malang bagi Najib kerana diperingkat awal lagi beliau sudah dilihat tidak mampu berdikari dan memerlukan campurtangan Mahathir dalam membuat keputusan.
Dari segi kesan terhadap Pakatan Rakyat saya lihat ia tidak sangat memberi kesan tetapi kita tidak boleh pandang ringan. Setakat ini kalau diukur dengan keputusan pilihanraya Bukit Gantang dan Bukit Selambau, penglibatan Mahathir telah memberikan kemenangan yang lebih selesa kepada Pakatan Rakyat. Tetapi kita tidak boleh pandang mudah dengan Mahathir ini.
Najib juga telah menghapuskan 30 peratus ekuiti tempatan dalam usaha beliau untuk melakukan liberalisasi. Pada penelitian saudara sejauh mana dasar liberalisasi ini dapat membantu rakyat tempatan?
Persoalannya kalau nak buat liberalisasi apa tujuannnya? Persoalannya sejauh mana mereka yang sudah ketinggalan ini akan dapat bersaing. Pada saya Dasar Ekonomi Baru (DEB) itu bukan untuk membantu orang Melayu atau bumiputera sebaliknya hanya untuk Umno Putera sahaja.
Liberalisasikan secara umumnya memang baik untuk kepentingan ekonomi tetapi sejauhmana ia dapat membantu orang Melayu atau bumiputera. Kalau kita lihat DEB itu mereka hanya tolong kroni sahaja. Bila adanya liberalisasi ini, mereka yang selama ini tak mendapat pertolongan akan terus tidak dapat ditolong dan mereka yang ditolong tapi tak ada merit untuk melaksanakannya pun akan menghadapi masalah.
Untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang, apakah yang PAS perlu lakukan untuk memperolehi kemenangan yang lebih besar?
Bagi saya kalau boleh kita terus mengekalkan momentum bagaimana orang bukan Islam boleh percaya kepada PAS dan dasar PAS. Kenyataan-kenyataan pemimpin PAS dan tindakan-tindakan pemimpin PAS itu sendiri perlu dilihat atau diyakini oleh rakyat untuk melihat PAS layak untuk mengantikan Umno dan juga BN.
Pada saya momentum yang ada sekarang ini bukan sahaja perlu dikekalkan tetapi kita juga perlu pertingkatkan usaha untuk menarik lebih banyak sokongan masyarakat bukan Islam disamping tidak meminggirkan sokongan masyarakat Islam atau pun orang Melayu terhadap PAS.
Kita lihat sekarang ini pemimpin Umno masih lagi menggunakan su perkauman dimana kalau kita lihat isu terbaru iaitu isu menukar status agama anak-anak itu kalau kita tidak menangani dengan baik ada kemungkinan kita akan hilang sokongan bukan Islam. Jadi PAS perlu bijak menangani masalah yang cuba ditimbulkan oleh Umno atau isu yang sengaja direka oleh Umno dan BN ini supaya kita tidak terperangkap dan hilang sokongan tak kira pengundi bukan Melayu dan juga Melayu. - azm _ -->

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI