Kerajaan campuran: Nik Aziz tempelak Mufti Perak



Kerajaan campuran: Nik Aziz tempelak Mufti Perak
Posted on Sunday, March 07 @ 21:05:30 PST
Dilulus untuk paparan oleh KetamBatu

Artikel

KOTA BHARU 7 Mac - Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menggelarkan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria sebagai ejen UMNO apabila ulama itu didakwanya masuk campur dalam usaha membentuk kerajaan campuran di Perak.

Mursyidul Am Pas itu mendakwa peranan Harrussani selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU12) merendahkan martabatnya sebagai mufti malah tidak lagi layak memakai gelaran itu.



"Beliau telah menjadi ejen UMNO. Kemuliaan seorang mufti hilang kalau merelakan diri menjadi ejen. Apatah lagi menjadi ejen sebuah parti politik sekular.

"Saya kira, seorang mufti yang menjadi ejen parti politik sekular, itu bukanlah lagi al-mufti (yang memberikan fatwa) tetapi al-mufta (yang diberikan fatwa)," kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Nik Abdul Aziz berkata demikian sebagai reaksi terhadap pendedahan terbuka Harussani dalam Program Dialog Za'ba - Perpaduan Melayu, Cabaran dan Realiti di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Harussani mendakwa, Pas Perak bersikap angkuh apabila menolak mentah-mentah cadangan penubuhan kerajaan perpaduan selepas PRU12 walaupun secara dasarnya ia diperkenan oleh Sultan Perak dan juga dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Nik Abdul Aziz terkilan kerana Harussani menyebut namanya tanpa kehadiran beliau untuk mengesah atau menafikan perkara itu.

''Mufti bukan orang politik yang terdedah dengan kaedah menyerang atau diserang. Mengaitkan nama saya dalam kenyataan politik seorang yang bukan tokoh politik merupakan satu tingkah laku yang tidak beretika.

''Justeru, apabila mufti mengambil tindakan melagukan nama saya dengan irama politik, saya harus memberikan jawapannya," ujar beliau.

Dalam kenyataannya, Nik Abdul Aziz tidak mengesahkan dakwaan Harussani bertemunya, sebaliknya hanya bertanya: "Tidakkah tindakan Harussani itu membuktikan keterlibatannya dengan politik?"

Tegasnya, jika mufti sendiri sanggup melaksanakan urusan berkaitan politik, ertinya beliau beranggapan tugasnya sebagai mufti meliputi tugas politik.

"Adakah bagi beliau, politik dan agama mesti selari, tidak boleh berpisah? Jika demikian, beliau telah mengiktiraf perjuangan Pas adalah benar.

"Jika tidak, kenapa libatkan diri dengan politik? Bukankah itu salah mengikut akidah UMNO.

"Jika Mufti Perak beranggapan politik dan Islam perlu selari, selangkah kaki beliau sepatutnya sudah berada di dalam Pas," katanya.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI