Aidil Fitri sambutan kemenangan menentang musuh Allah


Aidil Fitri mengingatkan kaum muslimin dan muslimat kemenangan umat dan tentera Islam melawan musuh-musuh Allah dan Islam di dalam medan-medan Jihad, dahulu dan sekarang. “Sadaqa Wakdah wa Nasara Abdah wa Aazza Jundah wa Hazamal Ahzaba Wahdah” bererti Allah menunaikan janjiNya, memenangkan HambaNya, menjadikan hebat tenteraNya, mengalahkan Tentera Bersekutu sekaligus. Ini bermakna tema Aidil Fitri sepanjang zaman ialah kemenangan umat Islam dan terus bergerak menuju kepimpinan dan membimbing dunia seluruhnya. Oleh itu isu Dakwah, Amal Jamaiyy, Khalifah dan Ustaziatul Alam sentiasa dikenang dan dikuatkan sepanjang kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri bersama keluarga dan sanak saudara. Jadikanlah sambutan dan kunjungan kita sebagai permulaan dan penguat hubungan ke arah mengajak mereka bersama di dalam perjuangan Islam yang mulia ini.

Perang Badar adalah peperangan pertama dalam sejarah Islam berlaku pada 17 Ramadan, dua tahun selepas hijrah Baginda ke Madinah. Walaupun kurang dari sudut bilangan tentera dan alat persenjataan, tentera Islam mencapai kemenangan yang kemudian menguatkan lagi kedudukan orang Islam dan penyebaran agama Islam.

Peperangan yang dianggap sebagai penentu jatuh bangun Islam dirakamkan Allah dalam al-Quran yang bermaksud: "Sungguh Allah menolong kamu dalam peperangan Badar padahal kamu pada ketika itu orang yang lemah." (Surah Ali-Imran, ayat 123)

Peristiwa pembukaan Kota Makkah berlaku pada 20 Ramadan tahun ke-8 Hijrah. Ia berlaku disebabkan perbuatan Musyrikin Quraisy yang melanggar isi Perjanjian Hudaibiah.

Melihat kepada kedua-dua kemenangan dicatatkan berlaku pada bulan Ramadan, ia manifestasi pengabdian diri kepada Allah bahawa puasa bukanlah halangan bagi terhasilnya suatu kemenangan. Sahabat Nabi diibarat sebagai rahib yang kuat beribadat pada waktu malam sedang pada siang harinya seumpama kuda yang ligat dan tangkas pergerakannya.

Kemenangan dan kejayaan pasti tidak akan terhasil jika masyarakat Islam berpecah-belah dan bercerai- berai. Mana mungkin kesatuan dapat dicapai kecuali melalui persaudaraan yang utuh dan persahabatan kental. Ia bertitik tolak daripada penghayatan Ramadan yang tersemat di hati dan jiwa sanubari kaum muslimin.

Sesungguhnya perpaduan umat Islam pada Ramadan boleh dijadikan model bahawa inilah sebenarnya wajah masyarakat Islam.

Untuk konteks lebih luas, kesatuan itu boleh menimbulkan perasaan gerun kuasa-kuasa besar dunia, jika masyarakat Islam sedunia berpadu tenaga dan bersatu hati, pasti Islam akan menjadi sebuah agama yang kuat dan tidak dipersendakan oleh golongan kuffar dengan sesuka hati. Jika Yahudi dan Nasrani boleh bersatu untuk melemahkan Islam, maka lebih utama masyarakat Islam itu bersatu padu berdasarkan petunjuk disediakan menerusi wahyu.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI