25 Mei 2008

TUKAR BAJU ELAK GANGGUAN SEKS


“ Tukar Baju untuk Elak Gangguan Seks “

Cadangan dan gesaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ) terhadap Kementerian Pelajaran agar menukar baju putih yang menjadi uniform pelajar sekolah sebelum ini kepada pakaian berwarna agar tidak menarik perhatian mata lelaki yang mengundang jenayah seksual adalah suatu yang sangat baik dan wajar .
Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan sokongan yang tinggi terhadap cadangan tersebut dan turut mendesak agar pihak Kementerian Pelajaran segera mengambil tindakan sesuai dengan tuntutan agama yang mendidik agar kita senantiasa menutup apa jua ruang dan peluang yang menghela ke arah jenayah dan mungkar . ( Sadduz Zarai’ )
Peningkatan jenayah dan gangguan seksual dikalangan pelajar sekolah semakin parah dan membarah. Pihak Kementerian tidak sewajarnya memandang sebelah mata dan hanya mengeluh setiap kali kes baru membabitkan jenayah seksual pelajar sekolah dilaporkan. Islam telah menggariskan etika berpakaian dan imej penampilan bagi mengurang dan mengelakkan jenayah seksual ini berlaku secara berleluasa.
Menutup aurat dan berpakaian sopan serta sesuai agar tidak menampakkan bentuk tubuh dan bayang pakaian dalam , adalah suatu yang asas dalam Islam bagi menjamin ketenangan dan keselamatan kaum wanita itu sendiri .
Dewan Pemuda PAS Pusat sangat yakin bahawa apa yang telah dicadangkan oleh PKPIM itu bukan sahaja telah didahului oleh kajian dan penelitian terhadap kes yang berlaku tetapi juga mewakili keresahan dan kegelisahan ibubapa berkait dengan peningkatan kes cabul , zina ,salah laku dan rogol yang melibatkan pelajar sekolah .
Uniform Baju putih sememangnya perlu dinilai semula kerana kini menjadi trend oleh sebahagian pelajar perempuan mengenakan pakaian dalam berwarna dan menyerlahkan bayang pakaian dalam mereka dan ia menarik perhatian lelaki yang rosak akhlak, bahkan terdedah kepada risiko berlakunya jenayah seksual ke atas diri mereka. Perkara seperti tidak boleh dianggap remeh dan dipandang kecil kerana ia boleh mengundang musibah .
Pihak Kementerian Pelajaran digesa membuat kajian semula terhadap uniform pelajar sekolah dengan mengambil kira cadangan dan pandangan dari pelbagai pihak . Malah Dewan Pemuda PAS Pusat mencadangkan agar Kementerian merujuk kepada para mufti atau ulama’ untuk mendapatkan nasihat dalam perkara ini.
Bukan sahaja melibatkan soal pakaian tetapi sebaliknya Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa agar satu langkah berkesan diambil oleh pihak Kementerian secara menyeluruh bagi menangani peningkatan kes gangguan dan jenayah seksual dikalangan pelajar sekolah.
Ianya pasti sahaja melibatkan soal pendidikan agama dan penghayatan serius terhadap amal Islami mesti diterapkan kepada pelajar sekolah disamping menyediakan persekitaran yang selamat dan aman dari anasir maksiat dan mungkar dikalangan pelajar .


Hj. Nasrudin bin Hj. HassanTimbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat .