06 April 2009

60% undi untuk PAS !!!!!

PAS ramal bolot 60% undi menewaskan calon BN di Bukit Gantang


PAS dan BN masing-masing merasa calon mereka menang di Parlimen Bukit Gantang berdasarkan perkembangan terakhir menjelang hari mengundi esok, lapor Muda Mohd Noor dari Malaysiakini.

PAS meramalkan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin menang dengan mendapat 60 peratus sokongan pengundi, termasuk sokongan padu pengundi kaum Cina yang berjumlah kira-kira 15,000 orang.

Umno pula mendakwa kehadiran mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad membantu berkempen calon BN, Ismail Saffian pagi tadi akan menarik sokongan pengundi Melayu serta pengundi atas pagar.

Ketua Pemuda PAS Perak, Norazli Musa ketika dihubungi hari ini berkata, Mohamed Nizar yang juga menteri besar Pakatan di Perak, boleh menang dengan majoriti sekurang-kurangnya 1,000 undi.

"Kedudukan terkini ialah Datuk Seri Mohd Nizar mendapat sokongan padu dari pengundi kaum Cina. Majoriti pengundi Cina bersama kita... trend sekarang sama dengan pilihanraya umum 8 Mac lalu.

“Pengundi Cina kata Mohamed Nizar akan menang sehingga 5,000 undi tetapi saya berpendapat tidak sampai sebanyak itu,” katanya kepada Malaysiakini. Norazli juga menegaskan, pengundi Melayu yang menyokong bekas ahli Parlimen Roslan Saharum dalam pilihanraya umum lalu, akan terus mengundi Mohd Nizar esok.

“Tiada tanda-tanda mereka akan mengundi calon BN. Kita akan dapat apa yang diperolehi sebelum ini,” katanya. Menurutnya, kehadiran Dr Mahathir tidak memberi kesan besar kepada sokongan untuk PAS di kalangan pengundi Melayu. Bagaimanapun, ahli jawatankuasa (AJK) Umno bahagian Bukit Gantang, Mohd Saadin Yusof pula berkata, ramai pengundi Cina yang akan mengundi Ismail, esok.

“PAS tidak akan dapat apa yang mereka perolehi dalam pilihanraya umum lalu kerana mereka akan mengundi BN. Maklumat ini berdasarkan risikan yang kita lakukan di kalangan pengundi Cina di sini (Bukit Gantang),” katanya.

Mohd Saadin juga berkata, pengundi atas pagar menyebelahi calon BN kali ini. Katanya, dalam pilihanraya umum lalu, BN tidak mendapat sokongan dari pengundi atas pagar. Bagaimanapun, beliau tidak tahu jumlah pengundi atas pagar itu tetapi mengatakan ia ramai.

“Orang Melayu akan lebih ramai mengundi Ismail kerana mereka marah dengan hubungan Mohd Nizar dan pemimpin DAP terutama sekali Nga Kor Ming. Satu lagi, penyokong Adun Changkat Jering, Osman Jailu yang sebelum ini mengundi PAS akan menyokong Ismail.

“Osman sendiri turut membantu calon BN. Ini bermakna undi untuk Mohd Nizar akan berkurangan berbanding yang diperolehi oleh Roslan Saharum,” katanya.

SEJARAH PENDERHAKAAN UMNO PERAK DAN SELANGOR !!!!



Sejarah penderhakaan Umno Perak dan Selangor


Mohd Fadli Ghani Mon Apr 06, 09 2:23:15 pm MYT
NAMPAKNYA Umno/BN benar-benar tersepit di Bukit Gantang dan terpaksa menjaja isu derhaka untuk menarik sokongan orang Melayu. Kononnya calon PAS, Datuk Seri Nizar Jamaluddin penderhaka besar!

Umno memberitahu rakyat bahawa pemimpin PAS adalah penderhaka kepada sultan dan tidak patut dipilih dalam pilihan raya. "Umno tidak pernah derhaka," kata bekas Pengerusi BN Perak, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali.
Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Mohd Taib juga mewar-warkan bahawa Nizar adalah seorang penderhaka. Inilah wayang yang dimainkan oleh pemimpin Umno di Bukit Gantang untuk mengabui mata rakyat.
Seolah-olah rakyat Perak buta sejarah, Tajol Rosli berkata, "Umno tidak pernah derhaka". Lupakah rakyat Perak kepada cerita Sultan Idris dengan jambang tidak bercukurnya.
Selepas pilihan raya 1959 dahulu, kerana mengenangkan jasa (Tan Sri) Mohd Ghazali Jawi (bapa Tajol Rosli) yang lantang mengkritik Datuk Panglima Bukit Gantang bagi pihak Umno, lalu dilantik beliau menjadi Menteri Besar Perak. Ketika itu Sultan Yusof Izzuddin Shah (ayahanda Sultan Azlan Shah) sedang memerintah. Tiba-tiba Mohd Ghazali ditangkap oleh Biro Pencegah Rasuah (BPR) kerana salah lakunya. Tunku Abdul Rahman menghantar beliau menjadi duta di Mesir pada 1962 untuk menutup kes ini.
Semasa Sultan Idris Shah sudah menaiki takhta, pada 1974 Tun Razak menamakan Mohd Ghazali sebagai Menteri Besar Perak sekali lagi. Sultan Idris tidak mahu menerima seorang perasuah menjadi ketua kerajaan. Umno menghantar (Tan Sri) Ishak Tadin untuk memujuk Sultan Idris dengan janji Mohd Ghazali Menteri Besar untuk dua tahun sahaja.
Pada 1976, Mohd Ghazali menderhaka kepada Sultan Idris apabila enggan meletakkan jawatan dengan alasan Perlembagaan Perak tidak menetapkan seorang menteri besar untuk dua tahun. Sultan Idris telah murka lalu memulau semua program kerajaan. Baginda bernazar tidak akan mencukur janggut dan misainya selagi si penderhaka menjadi menteri besar.
Kemuncak kemurkaan Sultan Idris terhadap si penderhaka ini ialah baginda tidak meluluskan bajet kerajaan Perak untuk tahun 1977. Kerajaan Perak tidak boleh bergerak tanpa sumber kewangan, sedangkan wang tidak boleh dibelanjakan tanpa kelulusan sultan.
Akhirnya Umno terpaksa menyuruh Mohd Ghazali meletakkan jawatan dan dilantik sebagai menteri pusat. Wan Mohamad Wan Teh (abang Datuk Wan Hashim) menggantikan Mohd Ghazali. Inilah penderhaka sebenar dalam sejarah Perak. Orangnya tidak lain dan tidak bukan, bapa Tajol Rosli sendiri. Maka, mengapa Tajol Rosli cuba membohongi rakyat Perak (Sultan Perak juga) bahawa Umno tidak pernah menderhaka.
perderhakaan di Terengganu, Pahang dan Johor
Kita jangan lupa kisah Datuk Nik Hassan dengan Sultan Terengganu, Datuk Rahim Bakar dengan Sultan Pahang, Tan Sri Othman Saat dengan Sultan Johor dan krisis Perlembagaan 1983.
Di Selangor juga ada cerita derhaka yang lebih dahsyat. Tan Sri Muhammad Mohd Taib jangan lupa isu ini. Beliau menuduh Nizar seorang penderhaka, tetapi beliau sendiri berkali-kali menderhaka. Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz telah dihina oleh Umno Selangor pada 1991 ketika Mat Taib menjadi ketuanya. Dalam Perhimpunan Agung Umno 9 November 1991 (selepas pilihan raya yang Umno kehilangan Kelantan), wakil Umno Selangor yang juga Setiausaha Politik Muhammad Mohd Taib, Dato' Zainal Abidin Sakom telah menyerang peribadi Tuanku.
Sultan Selangor dituduh merampas RM11 juta wang untuk sekolah agama bagi membaiki Istana Alam Shah. Sultan Selangor juga dituduh menyerahkan 400 ekar tanah untuk dibina padang golf kepada kapitan-kapitan Cina, selain 1500 ekar lagi diberikan oleh sultan kepada seorang tauke Cina yang lain.
Kerana ucapan wakil Umno Selangor ini, Perhimpunan Agung Umno mencerca semua Raja-raja Melayu ketika itu. Umno Selangor telah menyenaraikan kononnya salah laku Sultan Selangor untuk didedahkan kepada rakyat dalam Perhimpunan Agung Umno itu, dan akhirnya satu Resolusi 4 Perkara telah dikemukakan untuk Umno mengurangkan kuasa Raja-raja Melayu.
Selepas itu pada 30 November 1991, Mat Taib mengetuai Umno Selangor mengadakan Perhimpunan Perpaduan Melayu di Dewan Jubli Perak, Shah Alam untuk menunjukkan sokongan rakyat dalam usaha Umno menderhakai Sultan Selangor. Mat Taib menafikan perhimpunan ini untuk menunjukkan pengaruh Umno kepada Sultan Selangor, tetapi semua penganalisis politik melihat begitu.
Mat Taib memang berdendam dengan Sultan Selangor selepas isu kahwin lari dengan Tengku Puteri Zahariah (Ku Yah) di selatan Thai, isu perlantikan Exco Selangor pada 1990 dan isu Zoo Negara. Perhimpunan ini adalah peluang terbaik untuk beliau menyembahkan derhakanya kepada Sultan Selangor!
Berang dengan penderhakaan Umno ini, semasa hari keputeraan Sultan Selangor ke-66 pada 8 Mac 1992, baginda tidak mahu menganugerahkan pingat kepada pemimpin Umno Selangor. Mat Taib telah mengumumkan bahawa Umno Selangor pada 13 Februari 1992 memutuskan akan memulau pencalonan penerima pingat tersebut sebagai satu sembah derhaka mereka. Sultan Selangor murka dan berduka cita kerana kebiadapan Mat Taib yang membocorkan rahsia baginda.
Apabila pernderhakaan Mat Taib terhadap Sultan Selangor sudah ke kemuncak, akhirnya pada 24 Februari 1992, Majlis Tertinggi Umno telah menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Shah.
Pada 4 Julai 1992, satu Perisytiharan Prinsip-prinsip Perlembagaan telah dibuat oleh Majlis Raja-raja untuk menolak Kod Etika Perilaku Raja-raja yang dikemukakan oleh Umno. Sultan Perak tentu masih ingat peristiwa penderhakaan besar-besaran Umno sejak 1991 ini sehinggalah membawa kepada pindaan Perlembagaan Persekutuan pada 1993 dan ?pertabalan? Tengku Ibrahim di Ketereh, Kelantan oleh Umno Kelantan pada 29 April 1993.
Nah! Jika kita melihat latar belakang dua tokoh yang bercakap soal derhaka di Bukit Gantang ini, maka tahulah rakyat siapa penderhaka sebenar. Mat Taib dan Tajol Rosli langsung tidak mempunyai kredibiliti untuk bercakap soal penderhakaan kepada sultan. Kerana mereka berdua adalah di kalangan penderhaka yang terkenal sejak sekian lama.
Mat Taib mungkin lega kerana Sultan Salahuddin Abdul Aziz sudah mangkat, tetapi masih ramai rakyat yang mengingatinya. Tajol Rosli juga tidak perlu berselindung dalam hal ini kerana semua orang tahu siapa Tan Sri Ghazali Jawi, si penderhaka itu.
Jika kes ini berlaku pada zaman Sultan Mahmud Melaka (nenek moyang kesultanan Perak), nescaya Mohd Ghazali dan semua keturunannya (termasuk Tajol Rosli) dihukum bunuh!
Rakyat Bukit Gantang perlu bijak dalam melayan isu derhaka yang dibesar-besarkan oleh Umno ini. Jangan terjerat oleh pukat yang dipasang oleh sang penderhaka Umno ini.- tajdid _

Rasuah Basikal dan Tabur wang RM400 seorang



Rasuah basikal dan tabur wang RM400 seorang
Saidah Hairan Mon Apr 06, 09 8:50:39 am MYT


BUKIT GANTANG, 6 April (Hrkh) - Umno memberi sebuah basikal dan wang berjumlah RM400 kepada semua penduduk di Changkat Jering untuk memastikan penduduk di kawasan itu memberi undi simpati kepada calon mereka.

Perkara tersebut diakui oleh seorang penduduk yang enggan dikenali bahawa semua penduduk telah menerima pemberian daripada Umno.
Dalam perkara yang sama seorang peniaga Cina turut mengakui Umno telah memberi wang sebanyak RM300 kepada orang Melayu manakala orang Cina hanya di beri RM100 setiap seorang.
Beliau yang berniaga di Simpang, Changkat Jering menyelar sikap Umnoyang tidak adil dalam pemberian wang tersebut.
"Masyarakat Cina marah sebab orang Melayu dibagi RM300 tetapi orang Cina hanya diberi RM100. Ini tidak adil kenapa mesti bezakan antara orang Melayu dengan Cina, kita sama-sama rakyat Malaysia," katanya.
Ketua Muslimat PAS, Ustazah Nuridah Mohd Salleh yang turut berkempen di Simpang, Changkat Jering berkata, pemberian wang dan sebagainya daripada Umno-BN itu sudah menjadi amalan biasa parti itu.
Beliau menegaskan, setiap kali pilihan raya sama ada kecil atau pilihan raya umum Umno-BN cuba kelabukan mata rakyat dengan memberi berbagai-bagai bantuan.
Menurut beliau, pengundi Bukit Gantang tidak perlu takut untuk turun mengundi pada hari Selasa, 7 April nanti.
"Pengundi perlu fikir panjang jangan kerana wang RM400 dan sebuah basikal kita sudah menggadaikan prinsip generasi masa hadapan," katanya.
Beliau mengingatkan seluruh pengundi supaya jangan takut untuk memberi kepercayaan kepada calon PAS dan Pakatan Rakyat untuk mentadbir kerajaan negeri Perak.
"Kita akan berkhidmat dengan lebih baik kerana BN yang telah memerintah selama 51 tahun rakyat di Perak masih lagi ketinggalan untuk menikmati pembangunan," jelas beliau.
Ini dibuktikan tambah beliau, penduduk di Pekan Terong masih ramai yang dhaif kerana selama ini Umno-BN hanya pandai membuat janji ketika kempen pilihan raya tetapi tidak pandai menepati janji.
Bagi petugas PAS beliau berharap supaya dapat terus istiqamah dan sabar menempuh segala provokasi daripada Umno-BN dalam tempoh akhir ini sebelum menjelang hari mengundi.
Beliau berkata melalui sumber mengatakan petugas Umno-BN akan menjatuhkan semua bendera PAS untuk menimbulkan kemarahan kepada penyokong-penyokong PAS.
Katanya, Umno-BN boleh melakukan apa sahaja dan akan menunding jari kepada PAS atau kesalahan tersebut.
Sehubungan itu beliau berharap petugas PAS dapat bersabar dan membanyakkan doa kepada Allah disamping menjauhkan diri daripada melakukan perkara-perkara maksiat. _