08 September 2010

SYAWAL SEMARAKKAN JIHAD KEMENANGAN







الحَمْدُ للهِ الَّذِيْ أَرْسَلَ رَسُوْلَهُ بِالهُدَى وَدِيْنِ الحَقِّ لِيُظْهِرَهُ عَلَى الدِّيْنِ كُلِّهِ وَلَوْ كَرِهَ المُشْرِكُوْنَ  أَشْهَدُ أَنْ لاإِلهَ إِلا اللهُ وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ   اللّهُمَّ صَلِّ وَسَلِّمْ وَبَارِكْ عَلىَ سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ وَمَنْ تَبِعَهُمْ بِإِحْسَانٍ إِلَى يَوْمِ الدِّيْنِ  …أَمَّا بَعْدُفَيَا عِبَادَ اللهِ ! اتَّقُوْا اللهَ  حَقَّ تُقَاتِهِ وَلاتمَوُْتُنَّ إِلا وَأَنْتُمْ مُسْلِمُوْنَ

Wahai hamba-hamba Allah ! Bertaqwalah sekalian kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan Janganlah kamu mati melainkan dalam keadaan Islam.
Saya  menyeru diri saya sendiri dan juga sidang Jumaat sekalian  agar  kita  sama-sama  meningkatkan  ketaqwaan  kita  kepada  Allah  dengan  melakukan  segala  suruhanNya  dan  menjauhi  segala  yang  ditegahNya. 

Sidang Jumaat yang dihormati sekalian
Firman Allah dalam ayat 140 surah Ali ‘Imran :

إن يمسسكم قرح فقد مس القوم قرح مثله وتلك الأيام نداولها بين الناس وليعلم الله الذين ءامنوا ويتخذ منكم شهداء والله لايحب الظــلمين

Maksudnya : Jika kamu (dalam peperangan Uhud) mendapat luka maka sesungguhnya kaum kafir itu pun (dalam perang Badar) mendapat luka yang sama. Dan masa kejayaan dan kekalahan itu, Kami gilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat pengajaran). Dan agar Allah membezakan orang-orang beriman (dengan orang-orang kafir) dan supaya sebahagian kamu dijadikanNya gugur sebagai syuhada’. Dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim
            Kehangatan eidil fitri terus terasa oleh seluruh umat Islam kerana ia merupakan anugerah Allah kepada hambaNya yang dapat menunaikan ibadat puasa sebulan Ramadhan yang baru lalu dengan penuh keimanan dan keikhlasan kepada Allah sebelum memperolehi suatu lagi nikmat yang paling didamkan iaitu apabila bertemu Allah di akhirat nanti. Jadikanlah diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa yang  sentiasa hidupkan suasana Syawal dengan perkara yang dikira ibadat disisi Allah bukannya menjadi ahli maksiat yang mencemari kesucian Syawal dengan amalan yang bercanggah dengan syarak. Bersesuaian dengan hari raya sebagai hari kemenangan dalam mengekang nafsu sepanjang Ramadhan maka janganlah kotorkan kembali diri kita dengan maksiat sehingga kita kembali menjadi umat yang kalah kepada hasutan nafsu dan syaitan. Kemenangan yang mesti dicapai ialah kejayaan dalam melahirkan diri kita sebagai hamba Allah yang bertaqwa bukannya sebagai makhluk Allah yang derhaka. Oleh itu kita mesti teruskan segala proses tarbiah yang dilalui dan diterima sepanjang Ramadhan lalu pada bulan-bulan lain dalam melahirkan diri sebagai hamba Allah yang bertaqwa. Kegembiraan dan kemeriahan menyambut hari raya janganlah melupakan kita untuk merebut tawaran Allah untuk sama-sama menunaikan ibadat puasa 6 hari di bulan Syawal yang dinyatakan oleh nabi di mana kelebihannya seperti orang berpuasa sepanjang tahun.

Sidang Jumaat yang berkati Allah,
            Kedatangan Syawal mengingatkan kita kepada beberapa peristiwa besar yang pernah berlaku dalam bulan ini seperti Peperangan Uhud, Peperangan Ahzab atau Khandak dan Peperangan Hunain. Ketiga-tiga peperangan yang disertai oleh Rasulullah s.a.w bersama para sahabat ini  telah mencatatkan suasana, keputusan dan pengajaran yang berbeza untuk sama-sama kita renungi. Semoga dengan menyebut peristiwa bersejarah ini dapat menyemarakkan lagi semangat jihad ketika melawan nafsu dalam diri dan musuh nyata dari kalangan kuffar dan munafik. Terutama kita baru sahaja selesai menjalani tarbiah dalam menyuburkan jihad jiwa dan tubuh melalui ibadat puasa dan jihad harta melalui zakat fitrah sepanjang Ramadhan yang baru lalu.
            Di sini suka dikupaskan tentang beberapa pengajaran yang mesti diambil daripada ketiga-tiga peperangan tersebut. Yang pertama mengenai Peperangan Uhud yang berlaku pada pertengahan bulan Syawal tahun ke-3 Hijrah telah menyaksikan bagaimana tentera kafir Quraisy yang ingin membalas dendam di atas kekalahan dalam peperangan Badar setahun sebelum itu di mana mereka keluar dengan jumlah 3000 orang. Pada peringkat pertama, tentera Islam telah mencapai kemenangan tetapi akibat kumpulan pemanah yang telah melanggar perintah nabi agar jangan meninggalkan tempat mereka walau apa pun yang berlaku. Tentera pemanah ini menganggap tentera Islam telah menang yang menyebabkan mereka turut serta memungut harta rampasan perang yang ditinggal musuh sehingga tentera berkuda musuh  yang diketuai oleh Khalid Ibnu Walid mengambil peluang itu untuk melakukan serangan mengejut sehingga berlakunya kekalutan. Ini ditambah lagi dengan serangan saraf  bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Akhirnya ada sahabat yang terpandang diri Rasulullah s.a.w yang masih hidup lalu melaungkannya sehingga membangkitkan semula semangat juang tentera Islam di mana selepas itu baginda bersama 30 orang yang lain menuju ke suatu teluk di Bukit Uhud untuk mengatur perancangan perang yang baru. Pada peringkat kedua ini tentera Islam menerima ujian kekalahan di mana 70 orang telah gugur Syahid termasuk Sayyidina Hamzah bin Abdul Muttalib yang digelar Asadullah atau Singa Allah. Namun pada peringkat ketiga tentera Islam dapat bertahan apabila tentera kafir Quraisy yang tidak berpuas hati kerana tidak dapat membunuh Rasulullah s.a.w telah mengatur langkah untuk menyerang Madinah tetapi tidak meneruskan perancangan mereka itu apabila mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w telah bersiap untuk menyerang balas. Kekalahan pada peringkat kedua dalam peperangan Uhud ini akibat melanggar perintah nabi s.a.w selaku pemimpin serta rasa terlalu seronok dengan harta rampasan perang sehingga kurangnya pertautan hati dengan Allah.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Firman Allah dalam ayat 22 surah Ahzab :
ولما رءا المؤمنون الأحزاب قالوا هذا ما وعدنا الله ورسوله وصدق الله ورسوله ومازادهم إلا إيمــنا وتسليما

Maksudnya : Manakala ketika orang-orang yang beriman melihat pasukan Ahzab maka mereka berkata : “ Inilah ia yang telah dijanjikan oleh Allah dan rasulNya kepada kita. Dan benarlah Allah dan rasulNya”. Dan demikian itu tidaklah menambahkan kepada mereka melainkan keimanan dan ketundukan.
            Yang kedua pula mengenai  Peperangan Ahzab yang berlaku pada bulan Syawal yang berlarutan sehingga awal bulan Zulkaedah tahun 5 Hijrah di mana setiap kali tibanya hari raya kita sentiasa laungkan kalimah  وأعز جنده وهزم الأحزاب وحده ) ) yang bermaksud : Dan Dialah (Allah) yang telah memenangkan tenteraNya serta mengalahkan tentera Ahzab. Peperangan Ahzab yang bererti tentera bersekutu kuffar juga dikenali dengan nama peperangan Khandak yang bererti parit yang dibina oleh para tentera Islam sebagai kubu dalam menahan kemaraan musuh. Peperangan ini berlaku selepas penghalauan Yahudi Bani Nadhir oleh Rasulullah s.a.w dari Madinah setelah mereka cuba membunuh nabi. Tentera bersekutu kuffar seramai 10 ribu orang yang tiba ke tempat peperangan merasa terkejut apabila tiba berdekatan dengan kubu parit yang digali oleh tentera Islam memandangkan bangsa arab sebelum ini tidak pernah berhadapan dengan cara itu dalam peperangan. Tentera Islam yang hanya berjumlah 3 ribu orang pula terus bertahan di sebelah yang lain di mana pertempuran besar tidak berlaku dalam peperangan ini. Dalam peperangan ini hanya 6 orang tentera Islam gugur syahid manakala 10 orang musyrikin dibunuh. Akhirnya Allah datangkan kemenangan kepada tentera Islam dengan ribut pasir yang menyebabkan tentera musuh berundur disamping berlakunya kacau-bilau di antara mereka apabila pengintip yang dihantar oleh Rasulullah s.a.w  berjaya memecah belahkan kepercayaan antara tentera Ahzab. Kemenangan yang dicapai kerana kesatuan antara tentera Islam bermula daripada menggali parit lagi ketika sedang menunaikan ibadat puasa Ramadhan. Ini ditambah dengan ikatan hati mereka kepada Allah disamping perancangan yang lain sehingga Allah datangkan pertolongan dan kemenangan.
Sidang Jumaat yang dihormati sekalian,
            Seterusnya peperangan yang ketiga berkenaan peperangan Hunain yang berlaku pada bulan Syawal tahun ke-8 hijrah iaitu selepas Pembukaan Kota Mekah. Bilangan tentera musuh antara 20 hingga 30 ribu orang manakala tentera Islam pimpinan Rasulullah s.a.w  berjumlah 12 ribu orang iaitu 10 ribu dari Madinah dan 2 ribu dari Mekah telah keluar menuju ke lembah Hunain. Peperangan ini menyaksikan bagaimana pada peringkat pertama tentera Islam hampir kalah akibat diserang dari pelbagai penjuru oleh musuh ditambah dengan serangan saraf  bahawa Rasulullah s.a.w telah wafat. Ketika suasana yang kacau bilau ini lalu Rasulullah s.a.w melaungkan suara bagi membangkitkan kembali semangat jihad tentera Islam sehingga baginda bersama 200 tentera yang terus berjuang bukan sahaja berjaya mengalahkan tentera musuh yang ramai malah berjaya mengepung musuh di Taif. Akhirnya Rasulullah s.a.w tidak melakukan sesuatu kepada musuh yang dikepung itu sebaliknya berdoa kepada Allah agar mereka memeluk Islam. Peperangan ini menyaksikan bagaimana tentera Islam hampir kalah pada peringkat pertama kerana mereka begitu yakin akan menang dengan jumlah tentera yang ramai berbanding peperangan sebelum ini, pertautan hati dengan Allah begitu kurang kerana terlalu memikirkan harta rampasan perang yang bakal diperolehi disamping ramai di kalangan tentera ialah daripada golongan yang baru memeluk Islam di mana keimanan dan semangat jihad mereka masih lemah. Namun Allah tetap datangkan kemenangan kerana masih ada tentera Islam yang tinggi semangat jihad serta pertautan hati mereka dengan Allah.
Firman Allah dalam ayat 25  dan 26 surah al-Taubah :
لقد نصركم الله فى مواطن كثيرة ويوم حنين إذ أعجبتكم كثرتكم فلم تغن عنكم شيئا وضاقت عليكم الأرض بما رحبت ثم وليتم مدبرين ثم أنزل الله سكينته على رسوله وعلى المؤمنين وأنزل جنودا لم تروها وعذب الذين كفروا وذلك جزاء الكفرين
Maksudnya : Sesungguhnya Allah telah menolong kamu (wahai orang mukmin) di medan peperangan yang banyak. Dan ingatlah peperangan Hunain iaitu di waktu kamu merasa bangga kerana ramainya jumlahmu. Maka jumlah yang ramai itu tidak memberi manfaat kepadamu sedikit pun. Dan bumi yang luas itu telah terasa sempit olehmu kemudian kamu lari ke belakang dengan bercerai-berai. Kemudian Allah menurunkan ketenangan kepada rasulNya dan kepada orang-orang yang beriman. Dan Allah menurunkan bala tentera yang kamu tidak melihatnya dan Allah menimpakan bencana kepada orang-orang kafir. Dan demikianlah pembalasan kepada orang-orang kafir.
            Melalui ketiga-tiga peperangan tersebut maka kita patut sedar bahawa antara perkara besar yang menjadi syarat kepada datangnya anugerah kemenangan atau ujian kekalahan ialah pertautan hati kita dengan Allah ketika berhadapan dengan musuh dari kalangan kuffar dan munafik, ketaatan kepada pemimpin pada perkara yang tidak bercanggah dengan Islam serta tidak terpesona dengan godaan kemewahan dunia hasil perjuangan menegakkan Islam. Contohilah semangat jihad Rasulullah s.a.w dan para sahabat serta para pejuang Islam ketika kita berhadapan dengan kekejaman tentera bersekutu Kuffar yang diketuai zionis yahudi yang memperkudakan Amerika dan Britain serta sekutu jahat mereka pada hari ini. Kita juga berdoa kepada Allah agar kebanyakan pemimpin negara umat Islam yang turut bersekongkol dengan kuffar dalam memerangi kebangkitan Islam supaya kembali bertaubat dan bersatu untuk menghadapi musuh bukannya terus bersatu dengan musuh untuk memerangi saudara seagama. Jadikanlah diri kita sebagai pendokong perjuangan Islam yang sanggup berkorban apa sahaja untuk agama samada kita menjadi pemimpin atau orang bawahan, kaya atau miskin, senang atau susah, tua atau muda. Yakinlah bahawa Islam pasti menang walau pun ia ditentang. Islam semakin subur ketika kekufuran semakin kabur, Islam semakin dijulang ketika kekufuran semakin hilang, Islam semakin hampir kepada kemenangan ketika kekufuran mula hampir kepada kehancuran.
بَارَكَ اللهُ لِيْ وَلَكُمْ فِي القُرْآنِ العَظِيْمِ وَنَفَعَنِي وَإِيَّاكُمْ بِمَا فِيْهِ مِنَ الآيَاتِ وَالذِّكْرِ الحَكِيْمِ وَتَقَبَّلَ مِنِّي وَمِنْكُمْ تِلاوَتَهُ إِنَّهُ هُوَ السَّمِيْعُ العَلِيْمُ وَاسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيْمَ لِيْ وَلَكُمْ وَلِسَائِرِ الُمْسِلِمْينَ وَالمُسْلِمَاتِ وَالمُؤْمِنِيْنَ وَالمُؤْمِنَاتِ فَاسْتَغْفِرُوْهُ فَيَا فَوْزَ المُسْتَغْفِرِيْنَ وَيَا نَجَاةَ التَّائِبِيْنَ