04 Disember 2008

SEGERAKAN WARTA FATWA HARAM ROKOK -TERAS

Harakahdaily
Thu | Dec 04, 08 | 9:23:29 am MYT

KUALA LUMPUR, 4 Dis (Hrkh)-Teras pengupayaan Melayu (Teras) mengesa agar fatwa rokok yang telah diisytiharkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan sejak 1995 perlu segera diwartakan oleh setiap kerajaan negeri jika pihak kerajaan benar-benar serius untuk menjaga kesejahteraan rakyat negara ini


Presiden Teras Mohd Azmi Abdul Hamid berkata gejala merokok adalah musibah yang sangat jelas dari pelbagai segi sehingga setiap tahun kira-kira 100,000 orang mati yang dikaitkan dengan penyakit akibat merokok.

Katanya setiap tahun rakyat Malaysia berbelanja RM2 bilion untuk merokok manakala kerajaan pula terpaksa mengeluarkan perbelajaan berbilion ringgit lagi untuk merawat mereka yang menjadi mangsa dari penyakit yang dikait dengan merokok.

"Kesan sosial kepada anak muda juga sangat jelas. Kini generasi muda yang terjebak dengan tabiat merokok terdedah kepada jerat dadah yang semakin meningkatkan kes penagihan dadah dari sehari ke sehari di kalangan generasi tunas ini.

"Kita juga tidak dapat menafikan kos penyelanggaran untuk memungkinkan perokok disediakan tempat merokok dan membersih sampah dari rokok yang juga menelan belanja yang sepatutnya disalurkan kepada urusan masyarakat yang lebih bermanfaat," katanya dalam satu kenyataannya kepada Harakah.

Bahaya rokok yang menyebabkan kebakaran juga tidak kurang memperkukuhkan mudharat kenapa fatwa ini bukan sahaja mempunyai nas naqli malah juga nas akli, kata Azmi

Lantaran itu katanya penyemakan semula terhadap fatwa ini tidak wajar diadakan sebaliknya apa yang perlu dilakukan ialah mempastikan perwataan fatwa menjadi undang-undang yang rasmi dan menentukan mekanisme penguatkuasaan ke atas mereka yang melanggar undang-undang tersebut.

Negara seperti Thailand, Singapura dan Kanada sudah jauh kehadapan dalam memperketatkan undang-undang mengenai rokok dan merokok berbanding kita malah Malaysia sendiri telah menjadi salah sebuah Negara yang menandatangani sebuah Konvensyen antarabangsa mengenai kawalan rokok, kata Azmi

"Kita tidak dapat menerima alasan mereka yang bertanggungjawab yang masih melengah-lengahkan tindakan untuk mewartakan fatwa ini di peringkat kerajaan negeri.

"Fatwa ini akan memberi kesan yang sangat mendalam kepada seluruh umat Islam memandangkan hukum agama, walaupun ada yang melanggarnya, namun boleh memberi impak yang kuat untuk membasmi tabiat yang memudaratkan ini dari terus dibudayakan," katanya.-Hrkh _

PINJAMAN TANPA FAEDAH UNTUK PELAJAR ANAK PERAK

Ipoh, 3 Dis : Majlis Penyampaian Cek Pinjaman Pelajaran Pengajian Tinggi kepada pelajar-pelajar anak negeri Perak Darul Ridzuan bagi sessi 2008/2009 telah berlangsung pagi ini di Dewan Banquet, Bangunan Perak Darul Ridzuan.

Cek pinjaman tersebut telah disampaikan oleh YAB Menteri Besar Perak, Dato Seri Mohammad Nizar Jamaludin.

Pinjaman tersebut sangat bermakna kepada para pelajar dan mereka sangat gembira dan berterima kasih kepada kerajaan Pakatan Rakyat , Perak Darul Ridzuan diatas pinjaman yang tidak dikenakan apa-apa faedah.

Ahmad Lutfi, pelajar jurusan Engineering di UIA dan berasal dari Kemunting Taiping menyatakan rasa gembiranya kerana tidak dikenakan sebarang faedah apabila membayar balik pinjaman tersebut.

Bagi pelajar bidang Bio Perubatan di Management & Science University (MSU) , Norhawani Binti Haji Ahmad , pinjaman tersebut amat melegakan keluarganya dan berkata bahawa kerajaan yang ada ini amat perihatin terhadap keperluan rakyat dan terbukti ianya sebuah kerajaan yang melaksanakan kebajikan untuk rakyat kerana sanggup memberikan pinjaman tanpa mengenakan sebarang bayaran faedah.

“Saya harap rakyat Perak akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan Pakatan Rakyat ini,” katanya.

YB Su Keong Siong, Pengerusi Jawatankuasa Pengajian Tinggi, Sain, Teknologi dan Komunikasi menjelaskan bahawa 200 pelajar Melayu dan 31 pelajar bukan-Melayu telah mendapat pinjaman tanpa faedah itu dan kerajaan Pakatan Rakyat negeri Perak berhasrat untuk menambah lagi bilangan penerima pinjaman tersebut dimasa akan datang sekiranya ada cukup dana untuk berbuat demikian.

“Semua permohonan diproses melalui satu jawatan kuasa penapis sebelum keputusan dibuat oleh pihak Lembaga Amanah,” jelasnya lagi.

Beliau berharap agar para pelajar akan membayar kembali pinjaman tersebut apabila mereka bekerja nanti supaya pelajar-pelajar lain akan dapat menikmatinya sama kelak.
Al-Husseyn