31 Januari 2010

Pemuda PAS ikrar kembalikan Perak kepada Pakatan Rakyat

Nazri Abdullah

LARUT, 31 Jan: 10 ribu pemuda PAS Perak yang berhimpun di sini hari ini membuat ikrar janji akan memastikan Pakatan Rakyat mendapat kembali kerajaan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan.

"Bahawasanya kami pemuda PAS Perak dengan ini berikrar setia dan berjanji akan mempertahankan hak demokrasi tulen pengundi-pengundi Perak.

"Bahawasanya kami akan memastikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya negeri Perak.

"Bahawasanya kami akan memulangkan tampuk pemerintahan negeri Perak kepada Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin".

Bacaan ikrar tersebut diketuai pemangku ketua pemuda PAS, Nuru Al-Amin diikuti seluruh pemuda PAS Perak di hadapan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.

Ianya sekaligus membuktikan kesiapsediaan jentera pemuda menggalas tugas parti dalam misi mengembalikan hak dan maruah rakyat negeri ini.

Nasruddin dalam ucapannya sebelum itu memberikan kata-kata semangat kepada seluruh jentera pemuda PAS Perak agar melakukan persedian mental, fizikal dan rohani berdepan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.

"Soal tarikh Pilihan Raya soal kedua, yang penting pemuda PAS sedia bila-bila masa.

"Kita kena yakin, kemenangan adalah kurnian Allah SWT, oleh itu hubungan kita dengan Allah jangan sesekali retak, jangan sesekali putus," katanya.

Namun jelasnya apa yang lebih penting adalah tugas pemuda berdamping setiap anak muda di semua peringkat termasuk Dun, kawasan mahupun cawangan.

Tugas pemuda bukan sekadar memenangkan Pakatan Rakyat, malah lebih besar dari tu adalah menyampai dan menerangkan dasar Islam yang diperjuangkan PAS.

"Gerakkan komitmen semaksima mungkin, hidupkan jentera kita di semua peringkat sama ada cawangan, Dun, kawasan mahupun negeri.

"Kita kena cipta pelbagai aktiviti untuk bersama dengan anak muda," katanya lagi.

Tugas tersebut jelasnya adalah tanggungjawab semua ahli pemuda tanpa mengira pangkat dan jawatan yang dipegang.

"Saya harap tiada siapa yang mengecualikan diri dari amal Islami ini.

"Ayuh kita memberikan sumbangan, pengorbanan kepada perjuangan agama Allah ini untuk kebaikan umat Islam dan rakyat di negeri Perak ini," katanya.

HEMPAP ! buktikan orang muda geng kita





Pagi tadi sempat juga hadir di Program HEMPAP yang di adakan di Darul Taalim, Sungai Limau, Ijok, Perak. Sambutan memang menggalakkan. Pemuda Pas Perak berjaya membawa anak-anak muda pelbagai golongan menyertai program ini.
Kita mengharapkan mereka akan terus istiqamah dan akan bekerja untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional Pada Pilihanraya akan datang.Tahniah kepada Pemuda Pas Perak yang telah berjaya mengakhlakkan program-program hiburan yang satu ketika dahulu adalah diluar ruang lingkup aktiviti Pas.

Tengku Razaleigh cipta sejarah lagi

Posted on Saturday, January 30 @ 15:39:39 PST
Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih

Analisis Isu Oleh: wanibrah

"Peristiwa Solat Hajat dan Pidato Perdana Royalti Minyak di Stadium Sultan Muhammad IV anjuran GEGAR pada 28 Januari 2010 lepas sekali lagi menyaksikan rentak politik Kelantan melonjak dan panas. Ia berlaku ekoran penampilan Tengku Razaleigh (Ku Li) dikhalayak hadirin yang menjangkau puluhan ribu (lebih 40 ribu) orang yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur, kaum dan partisan.

Sekaligus mengesahkan martabat isu tuntutan hak wang royalti minyak daripada Petronas oleh Kerajaan Negeri Kelantan adalah isu penting untuk seluruh rakyat Kelantan yang sudah mengerunkan pemimpin BN.

Dua malam sebelum itu (26 Januari), Datuk Mustapa Mohamad, selaku Pengerusi Perhubungan UMNO Kelantan mengatur langkah pre-ampt dengan mengadakan taklimat wang ehsan di Hotel Renaissance Kota Bharu. dalam taklimatnya, dirumuskan bahawa penyaluran wang ehsan adalah betul dan berteraskan prinsip Kerajaan Pusat sedia membantu rakyat Kelantan. Namun, kehadiran yang terhad sekadar memenuhi ballroom tidak cukup bertenaga untuk spinning prinsip yang tidak tepat dengan selera rakyat Kelantan.

Meskipun media pengampu sedia memasukkan siaran taklimat itu dalam berita waktu perdana, tetapi kehadiran Datuk Ibrahim Ali yang menyerang habis-habisan peribadi Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz, Menteri Besar Kelantan telah memberi impak songsang kepada rasionaliti majlis taklimat itu. Hakikatnya, batang tubuh Ibrahim Ali telah memperbodohkan kesarjanaan Mustapa dan kedoktorat Datuk Awang Adek. Maka, wajar sekali sindiran Datuk Husam Musa kepada soalan wartawan semasa sidang media selepas mesyuarat EXCO (27 Januari). Menurut Husam, "ingatkan Mustapa dan Awang Adek itu pandai, kononnya Ibrahim Ali lebih pandai, kerana dok pakai 'buah' Ibrahim."

Nyata sekali, pre-ampt Umno Kelantan boleh diketepikan begitu sahaja oleh khalayak Kelantan. Lantaran kehadiran Ku Li adalah jawapan objektif yang bernilai positivisme, tak perlu dipertikaikan kebenarannya. Ia diperkukuhkan lagi oleh latar belakang penganjurnya bukan PAS mahupun Kerajaan Negeri, tetapi GEGAR sebuah NGO yang menghimpunkan pimpinan masyarakat yang bersetuju secara kohesif memperjuangkan tuntutan hak royalti minyak rakyat Kelantan.

Sebenarnya, kehadiran Ku Li pada malam itu telah mencipta lembaran sejarah baru kepada rakyat Kelantan. Ia suatu sejarah kerana buat julung kali menjelang 20 tahun pentadbiran PAS di Kelantan telah menyaksikan pentas aspirasi rakyat Kelantan digumandangkan dengan suara lunak pemimpin Umno bersikap songsang dengan pendirian partinya sendiri. Pendirian itu adalah berkenaan dengan isu hak tuntutan wang royalti minyak yang menyebelahi rakyat dan misi Kerajaan Negeri dipimpin PAS.

Turut tercipta sejarah, kehadiran Ku Li pada malam itu juga memberitahu kepada khalayak rakyat Kelantan, bahawa beliau bukan keseorangan di dalam menyatakan objektiviti perjuangan rakyat, malah bersama NGO serta di belakangnya sedia berdiri penyokong Umno dan pemimpin Umno. Kerana pada malam itu, kelihatan Tamrin Ghafar (Umno Melaka) turut mengiringi Ku Li berada di pentas utama.

Segala-galanya cukup membuktikan sikap simpati kepada rakyat Kelantan turut dizahirkan oleh pemimpin Umno yang lain, maka Ku Li tidak keseorangan. Sewajarnya, penyokong Umno sendiri turut merakamkan terima kasih kepada Ku Li kerana menceritakan kebenaran atas isu dan fakta sejarah penubuhan Petronas. Ia telah memberi kefahaman betapa perjanjian Petronas yang memberikan hak untuk Kerajaan Negeri menikmati wang tunai royalti minyak sebanyak lima peratus. Malah, paling penting Ku Li telah menerangkan dengan jelas nilai "political will" yang dikongsi sama kalangan negeri-negeri Terengganu, Sabah dan Sarawak bersama-sama Kelantan yang merupakan negeri pengeluar minyak.

Ternyata pidato Ku Li yang mengambil masa kira-kira 40 minit itu telah menjawab pembohongan Umno kepada rakyat Kelantan, termasuk penyokong Umno sendiri. Selama ini, mereka telah terpaku dengan pembohongan demi pembohongan dalam semua isu yang melibatkan hubungan antara Pusat dengan Negeri.

Tepat sekali dengan madah Dr. Abu Hassan Hasbullah, pensyarah Universii Malaya selaku pengerusi majlis pada malam itu yang menobatkan Ku Li sebagai pejuang rakyat sebenar sedia mengambil langkah harmoni demi bumi pertiwi Kelantan. Langkah Ku Li itu juga adalah sebenarnya berbeza dengan Mustapa. Lalu memaksa Datuk Seri Mohd Najib sendiri yang terpaksa respon atas penglibatan Ku Li iyang dikatakan bernilai discredit kepada Umno dan Kerajaan BN. Umno dikatakan akan meneliti pidato Ku Li pada malam itu dan mungkin mengambil tindakan disiplin ke atas Ku Li.

Jika demikian keputusan Mohd Najib, maka tunggulah Ku Li pasti akan terus segar di pentas rakyat Kelantan. Suatu catatan sejarah politik baru sekali lagi bakal berulang mengalun rentak dan political mood rakyat Kelantan menjelang pilihan raya umum ke-13 nanti. Tindakan politik Ku Li itu secara sah, makin menebalkan lagi persepsi terkini, betapa Umno sebuah parti yang gagal membela kepentingan rakyat. Dan ayat-ayat doa tok guru sedang dimakbulkan Allah.

Boleh dilawati di htpp://greencresent-wanibrah.blogspot.com