12 September 2011

Isu dijajah: Siapa pemerintah sebenar sebelum 1957, PAS tanya Dr M

KUALA LUMPUR, 12 Sept ─ “Siapakah pemerintah sebenar pada zaman sebelum 31 Ogos 1957? Sultan atau British,” demikian salah satu persoalan dikemukakan oleh pemimpin Pemuda PAS hari ini. Pagi tadi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi penjelasan kepada pandangan kontervesi yang telah dikeluarkan oleh Majlis Profesor Negara (MPN) melalui jurucakapnya Prof Dr Zainal Kling di mana menegaskan Tanah Melayu tidak pernah dijajah.
Tun Dr Mahathir telah menyatakan bahawa secara teknikalnya memang Tanah Melayu tidak pernah dijajah kerana Sultan telah memutuskan untuk menjemput British manasihat baginda berkenaan pentadbiran negara ini.
Ketua Pemuda PAS Johor Suhaizan Kaizat juga bertanya kepada siapa rakyat Tanah Melayu sebelum merdeka wajib patuh.
Malah soal beliau, apakah status penderhaka atau pengkhianat yang kita boleh berikan kepada pahlawan Tok Janggut yang telah membunuh mata-mata terdiri daripada orang Melayu beragama Islam semasa kumpulan tersebut menyerang kepentingan pemerintah di Kota Baharu pada 1915.
“Apakah status yang boleh kita berikan kepada pegawai-pegawai Melayu beragama Islam yang bermati-matian mempertahankan pemerintah pada masa tersebut?
“(Dan), apakah ada propaganda pemerintah pada sebelum 31 Ogos 1957 yang menyatakan bahawa sesiapa yang berlawan dengan pemerintah bererti menderhaka kepada baginda Sultan?” kata beliau dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.
Suhaizan menambah, apakah salah “kita menganggap Umno sebagai anak emas perintah setelah tidak diharamkan oleh pemerintah pada masa darurat 1948 sedangkan semua pertubuhan lain diharamkan?”
Oleh itu kata beliau, Pemuda PAS Johor mewakili anak-anak muda Malaysia mahu penjelasan daripada Dr Mahathir dan para sarjana sejarah mengenai persoalan-persoalan-persoalan itu.
Suhaizan berkata, bagimanapun hakikatnya British bukan menasihat baginda tetapi British telah mengarahkan baginda mengikut telunjuk mereka.
“Bermakna British lebih berkuasa daripada baginda Sultan pada waktu tersebut,” katanya. - Malaysian Insider