24 September 2010

Nizar kata Mahathir perkauman, Izzah cabar berdebat



Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 24 Sept: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muihamad Nizar Jamaludin mendakwa Tun Dr Mahathir dikuasai otak perkauman manakala Nuzul Izzah Anwar pula mencabarnya berdebat ekoran dakwaan beliau Melayu akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat memerintah.

"Oleh itu, dengan matlamat untuk bertukar pendapat, demi mewujudkan 'Malaysia Yang Lebih Baik Untuk Semua Rakyat', saya dengan rendah hati membuat tawaran untuk berdebat dengan Tun Dr Mahathir supaya 'kebimbangan' Melayu - yang pastinya tidak melibatkan keseluruhan masyarakat - yang disebut itu dapat dijelaskan, sama ada kerana Takut Melayu Hilang Kuasa atau Hilang Harta?" kata Nurul Izzah dalam satu kenyataannya.

Bagi bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Muhamad Nizar Jamaludin (gambar), kenyataan Mahathir itu satu kenyataan bersifat perkauman.

Beliau memberi jaminan, yang akan hilang kuasa jika Pakatan Rakyat menang adalah Umno bukannya Melayu.

"Umno pasti hilang kuasa dan suara jika PR memerintah negeri-negeri dan pusat. Tun Mahathir kata Melayu hilang kuasa dan suara. Ini kenyataan rasis dan hasutan," kata beliau dalam twitternya.

Media hari ini menyiarkan kenyataan Mahathir yang mendakwa kuasa politik Melayu akan hilang sekiranya Pakatan Rakyat yang digelarnya parti pembangkang mendapat kuasa sebagai di Perak sebelum dirampas oleh Barisan Nasional.

Beliau mendakwa, walaupun menteri besarnya Melayu dari PAS iaitu Muhamad Nizar tetapi kerajaan itu dikuasai oleh DAP.

Nizar berkata, kenyataan sebegini adalah jelas dari otak perkauman Mahathir.

"PAS bertindak secara Islam untuk mendapatkan dari Umno yang perkauman untuk menyelematkan Malaysia," kata Nizar.

Bagi Nurul Izzah pula,  kenyataan Mahathir itu tidak bertanggungjawab dan merupakan sebahagian usaha terdesak untuk menjejaskan kestabilan negara.

Selain penggunaan isu perkauman, Umno juga memakai satu-satunya pendekatan yang mereka mahir, iaitu 'Politik Ketakutan'. 'Politik ketakutan' menggunakan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan sebagai alat untuk penipuan yang penuh terdesak, katanya.

Menurut Nurul Izzah (gambar), masyarakat Melayu diindoktrinasi melalui pelbagai cara termasuk penggunaan NGO untuk berlakon sebagai mangsa dengan tujuan untuk mengeliru dan membantutkan seluruh anggota masyarakat supaya kekal terpasung fikirannya dan emosinya baik oleh kerajaan penjajah dan kini melalui penggantinya, Umno.

Beliau dipercayai merujuk kepada Pergerakan Pribumi Perkasa (Perkasa) yang dipimpin oleh Datuk Ibrahim Ali yang mana Mahathir adalah penasihatnya.

"Matlamat ini tidak lain dan tidak bukan untuk mengekalkan dominasi politik oleh sekelompok kecil elit Melayu yang rapat dengan pusat kuasa, melalui rasuah, salah guna kuasa dan secara berterusan mengabaikan perlembagaan.

"Malang sekali kerana tindakan mereka ini dibantu oleh MCA, MIC, Gerakan dan parti komponen BN lain yang terus membisu dan membuang tanggungjawab yang sepatutnya digalas.

"Kita perlu melawan usaha-usaha ini dengan menekankan 'Politik Berlandaskan Harapan dan Kebebasan' yang akan mengubah Minda Melayu daripada kebimbangan palsu tentang kehilangan identiti dan pembangunan ekonomi kepada daya positif yang akhirnya mencipta masyarakat yang penuh keyakinan dan tidak lagi terkongkong," kata beliau dalam kenyataannya.

First Ladies: Rosmah `Tidak Sopan’ Pada Permaisuri Agong

Dari Harakah
Tindakan isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor menganjurkan sidang kemuncak First Ladies pada 11 hingga 13 Oktober ini disifatkan sebagai ‘tidak sopan’ dan membelakangkan kedudukan Seri Paduka Baginda Raja
Permaisuri Agong.
Ahli Jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Pusat, Aiman Athirah Al-Jundi berkata, Rosmah masih tidak mahu mengambil iktibar daripada teguran yang diterima selepas iklan berwarna dua halaman penuh memaparkan Rosmah
disiarkan di New York Times pada April lalu.

Ia adalah iklan ucapan tahniah kepada ‘Rosmah Mansor, Wanita Pertama Malaysia’ kerana menerima anugerah Keamanan dan Harmoni Antarabangsa 2010.
“Tindakan Rosmah ini satu tindakan yang sangat tidak bersopan. Setelah mendapat kritikan daripada banyak pihak selepas iklan itu, kita ingatkan dia belajar daripada kesilapan dan tahu meletakkan diri dia di mana,” kata Athirah ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Athirah yang merupakan Pengerusi Lajnah Penerangan dan Dakwah Dewan Muslimat PAS Pusat berkata, penggunaan istilah ‘wanita pertama’ itu juga ternyata bertentangan dengan Artikel 32, Perlembagaan Malaysia.
“Dalam artikel itu jelas menyebut bahawa ketua pertama negara ialah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong jadi secara automatik, wanita pertama mestilah Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong,” katanya lagi.
Tambahnya, penggunaan ‘wanita pertama’ setelah Najib memerintah negara menunjukkan ceteknya kesedaran beliau mengenai kepentingan menghormati Perlembagaan Negara.
“Negara kita mengamalkan konsep Raja Berpelembagaan, bukan negara republik yang mempunyai presiden. Memang tidak pernah wujud istilah wanita pertama di negara kita.
“Apabila Najib dan Rosmah muncul, mereka guna istilah ini dalam negara yang berkonsepkan Raja Berpelembagaan, ini menunjukkan kesedaran mereka yang sangat cetek dari sudut sejarah dan berpelembagaan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau berkata, satu gerakan perlu diwujudkan bagi memberikan kesedaran kepada rakyat dan juga para pemimpin agar menghormati Perlembagaan Negara.
“Saya sebagai wanita muda Malaysia sangat terpanggil untuk menggerakkan kesedaran massa untuk menolak kebiadapan dan ketidaksopanan Rosmah yang membelakangi Raja Permaisuri Agong.
“Ini satu tindakan yang sangat derhaka dan rakyat mesti sedar dan menolak kepimpinan yang tidak menghormati keluhuran perlembagaan,” tegasnya.
Beliau turut mempersoal tindakan Rosmah yang seolah-olah cuba mencampuri peranan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
“Dari satu sudut dia mempergunakan Sharizat. Isteri perdana menteri telah mempergunakan Menteri Pembangunan Wanita (Keluarga dan Masyarakat) untuk mengadakan satu program besar di negara kita dan akan menggunakan segala duit daripada hasil negara dan cukai yang dibayar oleh rakyat,” katanya.
Rosmah seperti yang dilaporkan berkata, sidang kemuncak itu akan membincangkan perancangan secara bersama dengan wanita-wanita pertama dunia mengenai agenda penting dalam memperkasakan kanak-kanak yang akan menjadi pemimpin masa hadapan.
Ianya Sidang Kemuncak ini akan diadakan selama tiga hari di Hotel Palace Of Golden Horses, di sini, dan bakal dihadiri lebih 20 Wanita Pertama dari seluruh duni