16 Jun 2009

SPR ada kuasa pulakk !!

SPR ada kuasa tentukan kekosongan kerusi dewan
Oleh V Anbalaganbhnews@bharian.com.my

Perlembagaan 8 negeri di bawah tanggungjawab suruhanjaya PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan memutuskan hanya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai kuasa untuk menentukan kekosongan kerusi Dewan Rakyat dan Dewan Undangan Negeri di lapan negeri. Hakim Tan Sri Nik Hashim Nik Abdul Rahman berkata, lapan negeri itu ialah Perak, Kelantan, Melaka, Pahang, Pulau Pinang, Perlis, Sarawak dan Kedah. Beliau berkata, Perlembagaan Persekutuan dan Perlembagaan lapan negeri itu selaras iaitu: "Kekosongan biasa mesti diisi dalam masa 60 hari daripada tarikh suruhanjaya itu memutuskan berlaku sesuatu kekosongan."
Nik Hashim bagaimanapun berkata, Perlembagaan Negeri Johor, Negeri Sembilan, Selangor dan Terengganu hanya menyebut: "Kekosongan biasa mesti diisi dalam masa 60 hari daripada tarikh berlaku kekosongan itu. "Perlembagaan empat negeri itu tidak memasukkan tanggungjawab SPR bagi menentukan kekosongan kerusi DUN di negeri terbabit," katanya dalam penghakiman setebal 20 muka surat keputusan deklarasi dipohon tiga Adun Perak berhubung kedudukan mereka selepas kerusi mereka diisytiharkan kosong oleh bekas Speaker DUN Perak, V Sivakumar selepas mereka keluar parti masing-masing dan menjadi wakil rakyat Bebas. Salinan penghakiman bertulis itu diedar kepada media semalam.
Pada 9 April lalu, panel lima Hakim Persekutuan diketuai Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara mengisytiharkan hanya SPR mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kekosongan sesuatu kerusi DUN Perak dan bukannya Speaker. Dalam keputusan itu, mahkamah membenarkan permohonan tiga wakil rakyat, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang), Kapten (B) Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dan Hee Yit Foong (Jelapang) mengisytiharkan mereka wakil rakyat ketiga-tiga kawasan itu. "Mengikut Perkara 36(5) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak, dibaca bersama Seksyen 12(3) Akta Pilihan Raya, SPR yang mempunyai bidang kuasa untuk memutuskan berlaku kekosongan biasa. "Oleh itu, kami memutuskan keputusan Speaker mengisytiharkan kekosongan tiga kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak kosong adalah tidak mengikut undang-undang dan dengan itu tidak sah dan batal kerana bercanggah dengan Perkara 36(5) Undang-undang Tubuh Negeri Perak," katanya.