25 November 2010

Kerja Dok Taboq Fitnah Nie Tak lain Tak Bukan Puak Tuuu Laa....

25 November 2010

DAP Ancaman Ummat Islam - Misbahul Munir

Setiausaha PAS Perak, Ust Misbahul Munir mendedahkan tentang adanya usaha-usaha terancang pihak tertentu (Umnolah ! siapa lagi - alhusseyn) untuk memburuk-burukan Pakatan Rakyat Negeri Perak dengan menyibarkan beberapa risalah yang berbentuk fitnah bagi tujuan meracuni pemikitan rakyat.

Antaranya ialah satu risalah berbentuk buku kecil bertajuk ‘DAP Ancaman Ummat Islam’ yang di edarkan ke masjid-masjid di seluruh negeri Perak , yang mengandungi fakta yang tidak betul dan tidak tepat.

“Risalah tersebut bertujuan meracuni pemikiran orang ramai dan amat jelas mahu mengapi-apikan sentimen keugamaan dan perkauman,” kata Misbah.

Beliau turut menjelaskan bahawa dibuku tersebut mencatatkan kononnya ia dikeluarkan oleh Gabungan Professional Islam dan Gabungan Lulusan Pengajian Islam Timur Tengah bagi tujuan untuk mempengaruhi ummat Islam.

“ Ini perbuatan yang sangat memalukan dan sangat keji lagi tidak bertanggung jawap , hingga sanggup mempergunakan nama persatuan orang lain," Kata Misbah.

Ustaz Bakar ( Ust Abu Bakar Hussain – PJ Perak) sendiri menafikan penglibatan Gabungan Lulusan Pengajian Islam Timur Tengah dengan kerja-kerja hina sebegitu,” tambahnya lagi.

Orang ramai diminta supaya tidak mudah percaya dengan penyibaran fitnah melalui risalah tersebut yang semata-mata bertujuan bagi mengekalkan kuasa Umno di negeri Perak.

http://alhusseyn51.blogspot.com

BALAK UNTUK ORANG MISKIN , BUKAN ORANG POLITIK

PENDAHULUAN

Balak merupakan pemberian Allah kepada sesuatu kerajaan atau negara yang mempunyai hutan. Pada zaman dahulu, ia tidak dikira sebagai sesuatu yang menghasilkan kewangan yang banyak. Mungkin faktor kayu tidak menjadi bahan terpenting, menyebabkan ia tidak menjadi satu perkara yang penting.

Keadaan kini berbeda. Ini kerana, kayu sudah menjadi satu industri yang menguntungkan, malahan memberi kekayaan. Apabila kayu sudah menjadi sesuatu keperluan yang agak tinggi, menyebabkan balak menjadi satu industri perniagaan yang cukup menguntungkan.

Di Malaysia, balak berada dalam kawasan hutan yang berada dibawah kekuasaan kerajaan negeri. Sesebuah kerajaan yang mempunyai hutan, selalunya mendapat sumber kewangan yang cukup lumayan melalui sumber hutan ini. Namun begitu, tidak ramai yang berfikir, bahawa sumber hutan ini merupakan hak rakyat atau kerajaan, bukan hak milik individu atau parti, atau ahli politik tertentu.

KHALIFAH FIL ARD

Dalam Islam, sesebuah negeri yang diperintah bukan menjadi hak milik pemerintah. Negeri kelantan sebagai contoh, ia bukan hak milik menteri besar yang bernama Tok Guru Nik Abdul Aziz, Negeri Kedah bukan menjadi hak milik Menteri besar bernama Ustaz Azizan Razak, negeri selangor bukan menjadi hak milik Tan Sri Khalid Ibrahim, Melaka bukan hak milik ali rustam dan sebagainya. Begitujuga, negeri-negeri ini tidak menjadi hak milik mana-mana parti; sama ada parti itu adalah PAS, PKR, DAP, UMNO, MIC, MCA atau apa nama parti sekalipun.

Yang pastinya, sesuatu negeri itu adalah kepunyaan Allah yang telah mencipta langit dan bumi. Tugas pemerintah adalah menjadi khalifah; iaitu menjadi pentadbir bumi berdasarkan agama yang diredhai oleh Allah SWT.

Firman Allah;

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً

Maksudnya;
“Dan Ketika berkata tuhan kamu kepada Malaikat, Sesungguhnya Aku jadikan pada bumi khalifah”

[Al-Baqarah : 30]

Menurut kitab Al-Ahkam As-Sultaniyyah, karangan Imam Al-Mawardi [nama penuh : Ali bin Muhammad Al-Mawardi], khalifah [atau : Imamah] didefinisikan sebagai;

لِخِلَافَةِ النُّبُوَّةِ فِي حِرَاسَةِ الدِّينِ وَسِيَاسَةِ الدُّنْيَا

Maksudnya;
“Bagi menggantikan nabi dalam menjaga agama dan mentabdir bumi”

[Al-Ahkam As-Sultaniyyah : 1/3]

Dalam Kitab Al-Muqaddimah, karangan Ibnu Khaldun pula, didefinisikan sebagai;

الخلافة هي حمل الكافة على مقتضى النظر الشرعي في مصالحهم الأخروية و الدنيوية الراجعة إليها إذ أحوال الدنيا ترجع كلها عند الشارع إلى اعتبارها بمصالح الآخرة فهي في الحقيقة نيابة عن صاحب الشرع في حراسة الدين و سياسة الدنيا به

Maksudnya;
“Khilafah adalah menanggung oleh seluruh terhadap tuntutan syarak dalam menentukan kemaslahatan akhirat dan dunia; iaitu semua urusan dunia hendaklah dikembalikan semuanya disisi pensyariat [Allah dan Rasul] kepada mengiktibarkannya dengan maslahah akhirat. Ia pada hakikatnya adalah menggalang ganti dari tuan syarak [Allah dan Rasul] dalam menjaga agama dan mentadbir dunia berdasarkan agama”

[Al-Muqaddimah : 190]

Menurut kitab Al-Imamah Al-Uzma, karangan Abdullah bin Umar Ad-Damiji, beliau mensyarakahkan definisi ini dengan katanya yang bermaksud, “wajib bagi seseorang pemerintah bahawa kekuasaannya tertakluk dengan kesamaaan dengan syariat Islam. Ia juga, hendaklah mengandungi kewajipan mentadbir dunia dengan agama, bukan dengan syahwat dan keperluan peribadi”

[Al-Imamah Al-Uzma : 30]

Dari segala definisi ini, nyata bahawa seseorang pemerintah itu, bukanlah seorang yang menguasai kerajaan seterusnya kerajaan itu menjadi miliknya. Tetapi, pemerintah mengikut ajaran islam adalah, mereka sekadar pengurus sesebuah kerajaan dengan mentadbir berdasarkan tuntutan ilahi.

BALAK

Dilema kini adalah, sesebuah kerajaan yang diperintah oleh sesebuah parti [fokus malaysia], kelihatan seperti kerajaan itu menjadi milik parti yang berkuasa. Seakan-akan dilihat Kelantan adalah milik PAS, Kedah Milik PAS, Selangor milik PKR, Pulau Pinang milik DAP, Johor milik UMNO, Melaka milik UMNO dan sebagainya.

Lantaran, apabila sesebuah parti menguasai sesebuah kerajaan, boleh dikatakan sesuatu kawasan balak itu menjadi kepunyaan sesuatu parti politik, ataupun menjadi milik ahli-ahli politik tertentu. Jika inilah tanggapan oleh sesetengah pihak, ternyata tanggapan itu adalah salah. Juga, jika tanggapan ini dianggap benar, maka lahirlah berbagai-bagai kecelaruan dalam pengurusan balak ini.

Ekoran itu, tidak hairan didapati setelah sesebuah parti memerintah di sesebuah negeri, kelihatan individu ahli politik tertentu mula menjadi mewah; pakai kereta mewah, syarikat kayu yang berada dalam kerajaan negeri tertentu bangkrap, berlaku perebutan kawasan balak di kalangan ahli-ahli politik tertentu dan banyak lagi. Semua ini kerana, asas pengurusan balak di negeri terbabit, bukan berdasarkan kepada sistem islam, tetapi merujuk kepada pemikiran kapitalis.

Melihat kepada kecelaruan ini, tidak dapat tidak, satu sistem pengurusan balak wajib dikemukakan. Ini kerana, Islam adalah sebuah agama yang hadir untuk mengemukakan sistem, lalu manusia wajib mengikut sistem tersebut, bukannya sistem yang dibentuk bersifat mengikut kehendak manusia.

PENGURUSAN BALAK

Tanah dan hutan berada dibawah kekuasaan kerajaan negeri. Bagi tanah yang menjadi hak milik individu rakyat, wajib kerajaan memberi hak pemilikan itu secara sah, seperti memberi geran dan sebagainya. Adapun bagi tanah yang tidak menjadi milik seseorang individu pun, maka tanah tersebut menjadi pemilikan rakyat atau kerajaan.

Dalam islam, tanah pemilikan kerajaan adalah pemilikan umum; dengan maksud, tanah itu adalah kepunyaan rakyat secara melata. Di atas tanah tersebut, terdapat hutan dan balak, maka hutan dan balak tersebut adalah hak milik rakyat.

Tugas kerajaan adalah, menguruskan balak tersebut, agar ia dapat dimanfaatkan kepada rakyat secara adil. Ia tidak boleh dimilikkan oleh kerajaan kepada individu tertentu. Tindakan memilikkan sesuatu kawasan balak kepada invidu tertentu adalah haram, kerana ia bercanggah dengan maksud firman Allah SWT yang berbunyi;

كَيْ لَا يَكُونَ دُولَةً بَيْنَ الْأَغْنِيَاءِ مِنْكُمْ

Maksudnya;
“Supaya perbendaharaan negara itu tidak berlegar di antara orang-orang kaya di kalangan kamu”

[Al-hasyr : 7]

Jika pihak kerajaan hendak mengurus, lalu tidak ada cara lain bagi menjadi pengurusan itu berjaya dan berkesan kecuali perlu menubuhkan syarikat, maka itu dibenarkan. Dibenar untuk menubuhkan syarikat pengurusan itu, hendaklah sekadar menguruskan sahaja. Dengan maksud, haram kerajaan memberikan hak milik terus kawasan balak kepada mana-mana syarikat tadi. Perkara ini merujuk kepada firman Allah SWT, ayat ke-7 dari surah Al-Hasyr di atas.

PEMBAHAGIAN KEUNTUNGAN BALAK

Apabila balak menjadi hak milik kerajaan, maka segala keuntungan dari hasil balak itu perlu dibahagikan kepada 1/5. Ini disandarkan kepada firman Allah SWT;

مَا أَفَاءَ اللَّهُ عَلَى رَسُولِهِ مِنْ أَهْلِ الْقُرَى فَلِلَّهِ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي الْقُرْبَى وَالْيَتَامَى وَالْمَسَاكِينِ وَابْنِ السَّبِيلِ

Maksudnya;
“Apa saja harta rampasan (fai-i) yang diberikan Allah kepada RasulNya (dari harta benda) yang berasal dari penduduk kota-kota maka adalah untuk Allah, untuk Rasul, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan orang-orang yang dalam perjalanan”

[Al-Hasyr : 7]

Dengan maksud, setelah ditolak segala modal-modal pengurusan balak, seperti pembayaran gaji kepada pengarah syarikat, gaji-gaji pekerja dan sebagainya, maka keuntungan itu hendaklah dibahagikan kepada mereka yang seperti berikut;

[1] Allah dan Rasul [masuk dalam dana kerajaan, perbendaharaan negara atau baitul Mal],
[2] kaum kerabat [Banu Hasyim dan Muthalib. Mereka boleh terima, kerana mereka tidak berhak mendapat zakat],
[3] anak-anak yatim,
[4] orang-orang miskin,
[5] Ibnu Sabil.

Ia dikukuhkan lagi, dengan firman Allah dari surah Al-Anfal;

واعلموا أَنَّمَا غَنِمْتُمْ مِّن شَيْءٍ فَأَنَّ للَّهِ خُمُسَهُ وَلِلرَّسُولِ وَلِذِي القربى واليتامى والمساكين وابن السبيل إِن كُنتُمْ آمَنْتُمْ بالله

Maksudnya;
“Ketahuilah, sesungguhnya apa saja yang dapat kamu peroleh sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah”

[Al-Anfal : 41]

Dalam menafsirkan ayat ini, Imam Al-Qurtubi menyatakan bahawa dalam maksud “kepunyaan Allah dan Rasul” [dengan maksud, duit yang diletakkan dalam baitul mal], ia terpulang kepada pihak kerajaan untuk menggunakannya atas kebijaksanaan pihak kerajaan [Al-Qurtubi : 5/312] dengan maksud, ia boleh digunakan oleh kerajaan untuk kemajuan negara, pembangunan, memberi bantuan kepada mangsa bencana dan sebagainya.

ISYKAL

Timbul beberapa persoalan tentang pengurusan balak, iaitu seperti berikut;

Pertama:

Syarikat pengurusan balak, ia tidak mempunyai kuasa mutlak terhadap balak dan hasilnya. Segala tindakan yang dilakukan oleh syarikat itu, hendaklah tertakluk keputusan kerajaan [mesyuarat exco].

Adapun dari wang kemasukan syarikat, ia tidak lebih sekadar gaji yang diberikan oleh Kerajaan kepada syarikat. Malahan, kerajaan mempunyai kuasa untuk menarik balik keizinan sesuatu syarikat mengurus balak berdasarkan perjanjian dan perutukan yang ditetapkan.

Kedua:

Duit balak digunakan untuk kepentingan parti. Boleh atau tidak?

Jawapan:

Perlu diingat, parti adalah merupakan wadah dalam usaha melayakkan memerintah pada sesebuah negeri atau negara. Parti tidak mempunyai hak sedikit pun terhadap harta rakyat.

Menggunakan duit hasil balak untuk kegunaan parti, adalah sama seperti menggunakan duit kepunyaan orang miskin untuk kegunaan peribadi. Sudah pasti, tindakan ini zalim dan ia dibawah maksud mengambil harta manusia secara batil.

Firman Allah;

وَلَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ

Maksudnya;
“Jangan kamu makan harta-harta kamu di antara kamu secara batil”

[Al-Baqarah : 188]

PENUTUP

Tidak dapat dibayangkan jika pengurusan balak ini berjaya dilaksanakan mengikut syariah islam. Sekiranya ia berjaya dilaksanakan, tidak mustahil sejarah pemerintahan Umar bin Abdul Aziz akan berulang kembali.

Sedihnya, syariah islam ini hanya dilihat dari sudut yang tidak luas, seperti syariat itu dilihat hanya dalam perkara hudud, perundangan, ibadat dan sebagainya sahaja. Walhal, Islam telah mencadangkan satu sistem pengurusan yang mampu memberi hak keadilan kepada manusia secara melata.

Di negeri-negeri pimpinan pakatan rakyat [khususnya kelantan pimpinan PAS], kelihatan hasil balak ini diurus oleh ahli-ahli politik, yang melahirkan kekayaan invidu-individu tertentu sahaja. Disebabkan itulah, akan terlihat individu yang memakai kereta mewah, mempunyai rumah mewah dan berbagai-bagai kemewahan, dalam keadaan mereka hanya rapat dengan ahli politik-ahli politik tertentu. Dalam keadaan yang sama, masalah kemiskinan di sebelah pendalaman tetap masih lagi berlaku.

Pembudayaan ini adalah salah dari sudut Islam, malahan ia wajar di hapus dan ditentang. Ia tidak lebih, sama seperti yang telah dilakukan oleh UMNO, yang mengamalkan pemerintahan yang menindas terhadap rakyat, walhal tindakan itu diharamkan oleh Allah SWT.

Sekian

Wallahu ‘Alam

Al-Bakistani


- Sri Indah [b] Sg Buloh
25 November 2010 * 5:27 pagi.

Dr Rafick Cadang PAS Ambil Alih Teraju Pakatan Rakyat

 http://greenboc.blogspot.com/2010/11/dr-rafick-cadang-pas-ambil-alih-teraju.html


PR bukan PKR

Seorang aktivis masyarakat Dr Mohamed Rafick Khan bin Abdul Rahman mencadangkan agar PAS mengambil alih kepimpinan Pakatan Rakyat (PR). Ini berdasarkan kepada fakta bahawa PKR gagal untuk menunjukkan kewibawaannya sebagai sebuah parti yang berkemampuan dan berintegriti memimpin PR.

Menulis di dalam blognya di http://rights2write.wordpress.com, beliau berkata PKR telah mengecewakan harapan rakyat apabila PKR telah gagal untuk melakukan perkara yang paling penting di dalam menjalankan sesuatu pemilihan. Ini telah menjejaskan maruah mereka sendiri. Beliau menyatakan jika JPP atau parti telah mengakui wujudnya kekurangan dan mahu melakukan semula Pemilihan atau mengekalkan status quo sehingga semua isu-isu kepincangan diselesaikan, mereka akan lebih dihormati. Sebaliknya, pemimpin PKR terus melakukan pembohongan untuk menutup kepincangan tersebut.

Sambil mengakui bahawa jasa Anwar diingati kerana telah membawa PAS dan DAP duduk bersama untuk bergerak ke hadapan dengan ikatan yang lebih stabil dan mantap untuk PR, namun katanya ia adalah sesuatu yang telah menjadi sejarah. Kita perlu berada di dalam keadaan hari ini untuk bersedia di hari esok.

Untuk PAS menarajui PR, beliau menambah, PAS perlu bekerjasama dengan DAP dan memberi kefahaman kepada bukan Islam bahawa tiada apa yang perlu ditakutkan mengenai PAS. Ramai ahli PAS adalah professional di dalam bidang mereka. Ramai dari kalangan doktor, jurutera dan peguam. Mereka ini adalah golongan yang terbuka namun kental dengan nilai-nilai Islam yang membawa nilai hak asasi manusia sejagat.

PKR telah terjebak dengan pelbagai masalah seperti mereka yang melompat keluar parti, skandal seks dan juga ADUN serta MP PKR yang tidak berfungsi. Masanya telah tiba, menurutnya, penyokong dan pengundi PR mendesak lebih banyak kerusi diberikan kepada PAS dan DAP. Daripada nisbah moral dan nilai yang lebih diterima, beliau yakin DAP dan PAS adalah lebih ke depan. PKR tidak boleh dijadikan pemimpin PR selagi mereka tidak menunjukkan nilai kepimpinan yang terhormat. Untuk ketika ini wakil rakyat PAS tidak terjangkit dengan "penyakit" yang melanda PKR.

Dr rafick adalah seorang penyokong kerajaan Pakatan Rakyat di Perak. Di blognya tertera sebuah "banner" yang menyatakan header di blognya akan terus berwarna hitam selagi demokrasi tidak dipulihkan di Perak.



Dr Mohamed Rafick Khan Abdul Rahman yang juga Pengerusi Persatuan Pemilik Hartanah UKB (PHUKB) pernah menyatakan kepada sebuah portal online bahawa:

“Kami boleh memberi jaminan kepada mereka bahawa (kami ada) minimum 4,000 undi dalam pilihan raya umum akan datang.”

Menurut akhbar berkenaan, bilangan itu sudah cukup untuk menjatuhkan wakil PR di kerusi Parlimen Gombak dan Ampang serta kerusi DUN Bukit Antarabangsa.

Katadua mereka sekali gus memberi gambaran bahawa rakyat tidak peduli mengenai politicking yang wujud sekarang, sebaliknya mahu masalah-masalah setempat yang dihadapi diselesaikan, tambahnya.

Ia juga memberi amaran kepada PR bahawa penguasaan mana-mana negeri termasuk Selangor bukan sesuatu yang kekal jika masalah seumpama itu tidak diselesaikan.

Dr Rafick mendakwa jika kerajaan PR mengetepikan permintaan mereka, kemungkinan wakil rakyat semasa akan dibuang undi keluar dan digantikan oleh BN.


“Berdasarkan paten undi dan keputusan pilihan raya umum lalu, bilangan undi yang kami tawarkan sudah cukup untuk mengubah kedudukan Ahli Parlimen Gombak dan Ampang serta ADUN Bukit Antarabangsa,” tegas beliau.

“Kerajaan negeri Selangor telah campur tangan dan menjadikan keadaan lebih buruk bagi kami.

“Kami juga mengadakan perbincangan menerusi kerajaan persekutuan, melalui Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, tetapi sehingga kini tiada masa yang diselesaikan,” katanya.

“Saya sangat kecewa. Dalam kapasiti peribadi, saya mengundi Azmin dalam pilihan raya tetapi nampaknya beliau telah mengecewakan saya,” katanya.

Sementara itu, sebelum ini pemimpin DAP, Lim Kit Siang telah menyatakan kebimbangannya di mana PR berhadapan dengan risiko jika pakatan itu terlalu yakin dengan menganggap bahawa perjalanan mereka untuk menawan Putrajaya daripada penguasaan BN sudah tidak boleh “dihalang lagi.”

“Pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat mesti dengan segera memulihkan kehilangan keyakinan rakyat ke atas Pakatan Rakyat, bukan sahaja ekoran kekalahan di Galas dan Batu Sapi, tetapi juga daripada masalah-masalah dan pergolakan dalaman parti-parti Pakatan Rakyat,” tegas Lim.

Lim berkata pemimpin-pemimpin PR sewajarnya dengan segera mengatasi kesemua masalah yang wujud sekarang dan mengembalikan keyakinan awam yang terhakis.

Presiden PAS TG Haji Abdul Hadi Awang pula, semasa perasmian Ijtima Tarbawi di Rusila telah melahirkan isi hatinya secara ikhlas yang beliau dan PAS dipinggirkan di dalam Pakatan Rakyat. Walhal PAS dengan petugasnya paling banyak membantu kemenangan calon-calon Pakatan Rakyat, tak kira apa parti dan bangsa sekalipun.

"Presiden PAS menegaskan bahawa PAS adalah parti yang memimpin, bukannya dipinggirkan apabila mencapai kemenangan, harakahdaily dipetik.

Beliau tidak mahu kesilapan yang lepas berulang di mana kumpulan Islam dipinggirkan apabila negara mencapai kemerdekaan.

Katanya, sewaktu negara dijajah, kumpulan Islam di depan menentang penjajah tetapi setelah merdeka, mereka dipinggirkan.

“Kita parti yang memimpin, menjadi teras, bukan dipinggirkan mudah-mudah oleh orang,” tegasnya," yang ramai pemerhati politik melihat ia sebagai satu sindiran tajam ke atas Anwar Ibrahim.

Pakatan Rakyat bahagi kerusi selepas Konvensyen

Pakatan Rakyat bahagi kerusi selepas konvensyen
Hazayani Zakaria   
KUALA LUMPUR, 24 Nov: Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, proses persiapan pilihan raya Pakatan Rakyat bermula dengan perhimpunan penyokong parti di Pulau Pinang, 18 Disember depan dan disambung dengan Konvensyen Pakatan Rakyat pada keesokan harinya.
"Pada peringkat ini, kita mahu memperkukuhkan Pakatan Rakyat dan selepas itu membawa kepada pembahagian kerusi di kalangan komponen Pakatan," katanya pada sidang media selepas mesyuarat majlis pimpinan Pakatan Rakyat di pejabat Ketua Pembangkang parlimen, petang ini.
Ia juga, katanya sebagai menunjukkan kekuatan Pakatan Rakyat walaupun diasak dengan pelbagai dakwaan melalui media massa.
"Kami juga telah memutuskan untuk membuat persiapan pilihan raya di Sarawak, contohnya telah ada jawatankuasa yang telah ditubuh yang akan melangsungkan keputusan yang telah dibuat sebelum ini.
"Segala program yang sedang kami rancang adalah satu manifestasi kepada pengukuhan Pakatan Rakyat itu sendiri sebagai alternatif kepada rakyat," katanya yang juga ahli Parlimen Bachok.
Selain itu, mesyuarat itu turut memutuskan untuk mengadakan pertemuan dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung dakwaan pengundi awam menjadi pengundi pos.
"Ada maklumat tambahan mengenai pemindahan nama orang awam menjadi pengundi pos dan cara pendaftaran yang masih belum diperbaiki.
 "Kita akan selaraskan mesyuarat di antara jawatankuasa pilihan raya Pakatan Rakyat dengan pihak Bersih supaya maklumat ini dapat mereka teliti.
Sementara itu, Pakatan Rakyat akan mengadakan konvensyen kali kedua Disember depan bagi membincangkan beberapa isu penting termasuk soal tanah, Felcra dan Felda.
Menurut Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ianya akan diakan pada 19 Disember di Dewan Milennium Seberang Perai, setelah mendapat persetujuan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
"Antara isu pokok yang akan dibahaskan ialah isu tanah termasuk Felda, Felcra dan tanah adat, soal air, tol, pelaburan,masalah pekerja, wanita Sabah dan Sarawak.
"Kita juga putuskan pimpinan Pakatan Rakyat mulai Disember ini akan melancarkan majlis penerangan di beberapa buah negeri sebagai permulaan," kata beliau selepas mempengerusikan Majlis Pakatan Rakyat.
Anwar juga memberitahu, menteri-menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat akan bersidang di Shah Alam Isnin ini juga bagi membincangkan beberapa perkara khususnya mengenai ekonomi negeri.
"Persidangan menteri besar dan ketua menteri negeri Pakatan Rakyat akan diadakan pada 29 November di Shah Alam dan di antara isu yang akan dibangkitkan termasuk soal menjana koridor dan kekuatan ekonomi, infranstruktur pelaburan, megimbangi kepentingan antara kaum dan dasar pertanian, federalisme dan perhubungan kerajaan pusat dengan negeri, pembangunan masyarakat dan komunikasi massa," katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat itu Penasihat DAP, Lim Kit Siang, Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali, Setiausaha Agung PAS dan PKR, Datuk Mustafa Ali dan Saifuddin Nasution Ismail serta beberapa pimpinan Pakatan Rakyat yang lain.