26 September 2011

Chandran: Penentang Hukum Hudud Adalah Golongan Jahil



Hudud dianggap ‘produk’ mulia

KUALA TERENGGANU – Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong Pas Terengganu, Dr B Chandran menganggap DAP, MCA dan Gerakan yang menentang pelaksanaan hukum hudud sebagai jahil.

Menurutnya, mereka berbuat demikian bukan kerana sengaja, sebaliknya tidak mendapat penjelasan sewajarnya dan ditakut-takutkan dengan kenyataan pihak tertentu yang berkepentingan, sehingga hudud digambarkan sebagai hukum yang zalim.

Beliau berkata, perkara sedemikian pernah berlaku kepada beliau sendiri apabila gambaran-gambaran negatif diceritakan pihak tertentu sehingga pendapatnya serupa dengan orang bukan Islam lain yang menentang hukum itu.

“Mereka bukan mahu menentang kerana sengaja tetapi kerana jahil, apabila mereka tahu, tiada masalah. Itu yang saya nampak dan tidak boleh sesekali marahkan mereka. Orang bukan Islam langsung tidak belajar mengenai hudud.

“Dahulu pun saya begitu, dengar macam-macam seperti hukuman potong tangan dan potong kaki tetapi apabila mula belajar, saya melihat hudud tiada kecacatan,”
katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, di sini.

Mengulas lanjut, penolakan orang bukan Islam terutama parti politik adalah kerana mereka sangsi jika pelaksanaan hudud kelak akan memaksa mereka untuk menutup operasi premis penjualan arak.

Beliau berkata, mereka yang mengaitkan perkara itu akan berasa tidak selesa sedangkan bagi sesetengah pihak terutama orang bukan Islam, arak adalah salah satu keperluan dalam budaya mereka.

“Bagi saya, orang bukan Islam nampak apabila hukum hudud ini dilaksanakan, mereka dipaksa tutup premis arak. Itu adalah hukum jenayah Islam dan mereka tidak faham. Kalau kita katakan DAP, secara keseluruhannya parti itu mewakili orang Cina dan ada yang menjalankan perniagaan arak, sebab itu mereka membantah,” katanya.

Sehubungan itu, beliau meminta orang Islam memberi penjelasan sebenarnya mengenai hudud dan tidak sesekali memberi gambaran salah, selain mengetepikan fahaman politik.

Menurutnya, orang Islam terutama tokoh-tokoh Islam adalah ‘jurujual’ terbaik untuk menjelaskan mengenai perkara itu sambil menyifatkan hudud sebagai ‘produk mulia’ yang diturunkan Tuhan.

Bagaimanapun, B Chandran berkata, realiti yang dilihatnya ketika ini, ‘produk’ itu tidak akan mendapat sambutan sekiranya ‘jurujual’ tidak mampu mempromosikannya dengan kaedah terbaik kepada pengguna.

“Hudud adalah daripada Tuhan dan ia adalah produk yang mulia. Anda ada produk yang baik tetapi tidak guna juga jika ada jurujual yang tidak baik. Kalau kita tengok orang putih (Inggeris), sekalipun produk mereka tidak baik tetapi jurujualnya baik, mereka berjaya menarik pelanggan,” katanya.

Kota Bahru – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melihat negara ini lebih baik menerima hudud daripada melaksanakan hukuman mati mandatori yang menyebabkan kehilangan nyawa.

Menurutnya, hukuman gantung sampai mati menyebabkan keluarga merana, hilang tempat berlindung sedangkan hukum hudud, qisas dan takzir tidak sedemikian.

“Lebih baik terima hudud daripada hukuman mati mandatori, kenapa kita nak takut dengan hudud?

“Kita orang politik hanya nak masukkan enakmen hudud dalam senarai hukum mahkamah syariah Negeri Kelantan untuk diguna pakai hakim,” katanya.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan di Dataran Wawasan, di sini semalam.

Katanya, bila berlaku kes, hakim menentukan ada prima facie atau sebaliknya dan kalau ada, ia boleh dijalankan dengan masing-masing boleh menggunakan khidmat peguam.

Mengenai perbezaan pendapat dengan Pengerusi DAP, Karpal Singh mengenai hasrat Pas melaksanakan hudud, Nik Abdul Aziz berkata, sepatutnya tidak timbul lagi masalah mengenainya.

“Saya hormati dia sebagai orang lama berkecimpung dalam bidang perundangan, tidak timbul masalah balah (berselisih pendapat) saya dengan dia.

“Apa yang penting sekarang ini ialah memahami hasrat sebenar Pas untuk melaksanakannya di Kelantan dan orang Islam sendiri kena faham bahawa hudud ini bukan kerja Pas, ia ‘sama jadi’ dengan al-Quran,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang turut menyokong hudud, beliau berkata, itu yang sebaiknya kerana umat Islam perlu lebih rapat.

“Alhamdulillah, kita nak makin rapat macam tu, mana boleh kita orang Islam nak tolak hukum Islam,” katanya. -SH

Imej mewah Rosmah guris hati rakyat - SAMM


| Print |
Harakahdaily   
KUALA LUMPUR, 26 Sept: Imej isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor bermewahan amat mengguris hati rakyat yang sedang bergelut dalam kehidupan seharian.
“Ia umpama mencurah garam ke luka rakyat,” demikian antara resolusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) yang telah mengadakan Rapat (Pengurusan) Kebangsaan yang menghimpunkan penyelaras kebangsaan dan negeri dari seluruh negara selama dua hari di Shah Alam yang berakhir semalam.
SAMM dalam satu kenyataan menyatakan rapat kali kedua ini berjaya mengumpulkan orang sumber dari pelbagai latar belakang dan penuh dengan sesi diskusi sehingga menghasilkan idea pelaksanaan praktikal.
Sempena rapat itu, SAMM telah mencapai 10 resolusi penting yang perlu diangkat.
SAMM ialah sebuah gerakan radikal muda bebas bukan 'front' mana mana parti politik tetapi sedia bekerjasama dengan mana-mana parti politik mahupun apa jua organisasi untuk menyelamatkan negara dari kerakusan pemerintah korup yang kedudukan indeks rasuahnya yang parah mengikut beberapa statistik badan dunia.
Demokrasi negara ini sedang 'tenat' apabila kadar kepercayaan rakyat terhadap proses pilihan raya amat rendah, SAMM menyokong usaha telus penambah-baikkan sistem pilihan raya dan mendesak PRU WAJIB hanya boleh diadakan selepas proses penambahbaikan selesai.
Apa jua DASAR dan PERUBAHAN NEGARA perlu mengambil-kira pandangan rakyat khususnya orang muda. Justeru itu SAMM melancarkan kaji selidik (skala besar) dalam masa 10 minggu untuk mendapatkan pendapat anak muda khususnya dari 11 juta golongan pekerja muda yang sedang bergelut dalam  menyara kehidupan seharian yang semakin menggila kosnya.
SAMM meyakini pemansuhan ISA adalah kejayaan desakan rakyat dan perlu diteruskan terhadap undang-undang 'draconian' lain seperti AUKU. SAMM gesa rakyat jangan termakan gula-gula pengumuman. Undang-undang tidak boleh mansuh dengan pengumuman tetapi pemansuhan harus dilakukan di Parlimen. Selagi tidak dibawa ke parlimen pengumuman pemansuhan tidak bermakna dan tidak boleh dipercayai lagi.
Isu-isu yang menyentap sensitiviti agama dan perkauman serta permainan politik lucah yang tidak langsung menguntungkan rakyat harus segera dihentikan. Tumpuan sumber dan tenaga harus ditumpukan kepada bagaimana membantu rakyat yang semakin susah.
Tanah Melayu merdeka pada tahun 1957 manakala bagi Sabah, Sarawak pula 1963. Maka SAMM dengan tegas mengatakan semua organisasi dan individu yang berjuang melawan penjajah sebelum tarikh merdeka wajar diiktiraf sebagai pejuang kemerdekaan.
SAMM menegaskan semua keperluan asas rakyat seperti pembekalan eletrik,air,lebuhraya perlu dimiliknegarakan. Pendidikan serta perkhidmatan kesihatan percuma tidak boleh dikompromi. SAMM menggesa rakyat agar menjadikan ini sebagai agenda utama penilaian ketika PRU nanti.
Menyedari betapa pentingnya kesedaran dan kepedulian di kalangan anak muda, Rapat SAMM kali ini membuat keputusan SAMM harus punya sekolah politik dan jabatan penyelidikan bagi memantapkan pemahaman politik dan kesedaran hak warga dikalangan anak muda.
SAMM menentang keras pengkhianatan pemerintah terhadap kedaulatan negara yang mengagihkan taraf kerakyatan kepada warga asing dengan sewenang-wenangnya.
SAMM juga menyeru supaya rakyat menolak SEMUA ahli politik atau kaum keluarganya yang menyalahgunakan kuasa untuk kepentingan diri dan mengumpul kekayaan. Imej Rosmah Mansor bermewahan amat mengguris hati rakyat yang sedang bergelut dalam kehidupan seharian. Ia umpama mencurah garam ke luka rakyat.
Kenaikan harga barang semakin menghimpit, ini diparahkan lagi dengan kewujudan cukai terus kepada pengguna seperti GST/VAT. Adalah satu pembohongan sistem cukai terus kepada pelanggan belum dilaksanakan. SAMM menuntut pemerintah segera bertindak membatalkan sistem cukai yang menjerut leher rakyat. Sistem cukai ini memberi ruang selesa kepada korporat dengan mengalihkan cukai kepada peniaga besar kepada rakyat.
Negara semakin berada di bawah kawalan korporat besar. Indeks jenayah kononnya dikatakan turun, tetapi amat berbeza dengan realiti kerana setiap hari jenayah terus kepada rakyat seperti ragut, rompakan (rumah seumpamanya), bunuh, ugut semakin meningkat. Yang dikatakan turun hanyalah kerana diberi tumpuan kepada jenayah skala tinggi seperti rompakan bank dan seumpamanya. Ini memberi persepsi negara dikawal pemodal dan korporat besar. Indeks jenayah yang mempengaruhi turun indeks jenayah negara ialah jenayah besar yang jejas korporat besar, tetapi bagaimana dengan jenayah yang semakin menggila yang berlaku terus kepada rakyat.
SAMM mendapati negara ini bukan sekadar di ambang krisis tetapi sudah memasuki pintu krisis dan perlu diselamatkan segera.
SAMM melihat anak muda harus menjadi pelopor politik nilai. Dalam isu membela hak rakyat dan memberdaya anak muda, SAMM mengajak anak muda agar tidak kompromi, tidak ada istilah kedurjanaan yang harus dihalalkan untuk mencapai matlamat baik.
Untuk maksud resolusi, serentak dengan itu juga dirancang pelbagai aktiviti dengan pendekatan radikalisme muda.
Selamatkan negara.