30 Mei 2008

BENARKAH INSURAN HARAM MENURUT ISLAM


Ust. Zaharuddin B. Abd Rahman
Jabatan Fiqh & Usul Fiqh,
Universiti al-Yarmouk, Jordan
zaharuddin@yahoo.com


1. MUQADDIMAH
Segala puji bagi Allah, pencipta sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW. Serta ahli keluarganya dan para sahabatnya. Penulisan ini akan menyentuh aspek berikut :-
1. Pembahagian insuran.
2. Perbezaan Fatwa Ulama’ mengenai hukum insuran
3. Mengapa insuran perniagaan difatwakan haram?
4. Apakah dalil para Ulama yang mengharuskannya dan syarat untuk menyertainya?
5. Alternatif Islam dalam hal Insuran.


Secara ringkasnya, perbincangan hukum insuran telah dibincangkan begitu panjang oleh para ulama’ terutamanya di kalangan ulama’ Timur Tengah. Oleh kerana sistem Insuran ini suatu ciptaan yang dikira baru menurut zaman iaitu di sekitar tahun 1666 M di London, sistem ini hanya menembusi dunia Islam Arab hanya sekitar 1830 M1. Ini dapat dilihat daripada fatwa pertama yang dikeluarkan oleh Al-Allamah Al-Syeikh Muhd Amin (Ibn ‘Abidin, wafat tahun 1836 M (1252 H). Beliau merupakan fuqaha’ ulung bermazhab Hanafi di Syam dan dianggap cendikiawan Islam pertama yang mengeluarkan fatwa berkenaan Insuran. 2
Bagi memudahkan perbincangan ringkas ini, elok kiranya dijelaskan dua bentuk asas Insuran, ia adalah :-

1. Insuran Bersifat Perniagaan atau Komersial (Takmin Tijari)
2. Insuran Kerjasama atau Masyarakat (Takmin Ta’awuni atau ijtima’ie)

Insuran Bersifat Perniagaan (Takmin Tijari) :
Ia adalah suatu kontrak perniagaan (business) daripada jenis Kontrak Pertukaran Kewangan (‘Uqud Mu’awadat Maliah). Ia mewajibkan syarikat Insuran membayar jumlah tertentu kepada pencarum insuran apabila berlaku beberapa jenis kemalangan atau musibah yang telah ditentukan di dalam kontrak (aqad) bersesuaian dengan kadar-kadar tertentu. Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum.

Kontrak Insuran ini mengandungi item berikut :
1. Redha di kedua-dua pihak ( iaitu syarikat Insuran dan Pencarum). Ia ibarat kontrak yang mengandungi aspek ijab dan qabul.
2. Pihak yang memberi insuran, iaitu pihak syarikat Insuran.
3. Pencarum, individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat penjanjian dengan syarikat Insuran.
4. Yang menerima manfaat, iaitu seperti anak kepada individu atau isteri dan lain-lain.
5. Kebahayaan atau musibah. Iaitu jenis-jenis musibah atau kemalangan yang diandaikan yang ditentukan di dalam kontrak, seperti kecurian, kebakaran, kecederaan, kematian dan lain-lain


Bentuk Insuran ini seperti :-
Insuran Terhadap Musibah Menimpa Tubuh, Insuran Nyawa, Insuran Harta dan pecahannya (kereta, motor, rumah dan lain-lain) , Insuran Kemalangan Jalanraya, Insuran Kerja dan lain-lain.
Saya menganggap, pembaca tentu telah memahami perkara ini secara praktikal di Malaysia, ia adalah sesuatu yang telah diketahui umum dalam dunia kehidupan di Malaysia.

Insuran Bersifat Kerjasama atau Kemasyarakatan (Ta’awuni):
Ia adalah suatu kontrak berbentuk derma atau sumbangan daripada sesuatu Badan Pengurusan Insuran Kerjasama kepada para pencarumnya atas dasar saling bantu membantu mengurangkan bebanan musibah yang ditanggung pencarum (ahli masyarakat). Ia tidak bertujuan mengumpul dan mencari keuntungan daripada simpanan wang pencarum. Ia juga bukan suatu jenis perniagaan.

Demikian dua bentuk insuran yang asas. Bentuk yang pertama tidak disepakati sepenuhnya tentang hukumnya bagaimanapun majoriti ulama’ mengharamkannya, manakala jenis yang kedua disepakati sebulat suara tentang keharusannya di dalam Islam.

2. ULAMA’ DAN HUKUM INSURAN JENIS PERTAMA
Sebagai pembuka tirai perbincangan, terlebih dahulu penulis ingin menyebut bahawa Kesatuan Ulama’ Fiqh Sedunia (Majma’ Fiqh ‘Alami) telah pun bersidang memperbincangkan hukum Insuran Bersifat Perniagaan ini. Keputusannya, jumhur atau majoriti dari mereka sepakat terhadap PENGHARAMAN insuran ini.
Secara perincian, masih terdapat sebilangan ulama’ besar yang berpandangan sebaliknya. Ringkasan pecahan kumpulan ulama’ ini adalah seperti berikut :-

1. Kumpulan Yang Mengharamkan Insuran Bersifat Perniagaan dan Jenis-jenisnya.
Mereka terdiri daripada ulama’ berikut :-
a. As-Syeikh Al-Allamah Muhd Amin Ibn Abidin (1836 M)
b. As-Syeikh Al-Imam Muhd Abu Zuhrah (Meninggal tahun 1972 M, Prof Syari’ah di Univ. Kaherah, dianggap ulama’ terulung dlm Ilmu Fiqh)
c. As-Syeikh Al-Imam Muhd ‘Abduh (menurut qawl yang lebih shohih)
d. As-Syeikh Muhd Bukhait al-Mut’ie (Bekas Mufti Mesir, meninggal 1935M
e. As-Syeikh Al-Allamah Ahmad Ibrahim al-Husayni (Fuqaha’ terulung Mesir & dianggap mujaddid Fiqh Mesir)
f. As-Syeikh Najm al-Din al-Wa’iz (Bekas Mufti Iraq)
g. As-Syeikh Muhd al-Ahmadi al-Zawahiri (Bekas Syeikh al-Azhar)
h. As-Syeikh Salim Matar al-Bisyri (Bekas Syeikh al-Azhar)
i. As-Syeikh Hasunah an-Nawawi (Bekas Syeikh al-Azhar)
j. As-Syeikh Abd Rahman Mahmud Qara’ah (Bekas Mufti Mesir)
k. As-Syeikh Prof. Dr Yusoff al-Qaradhawi (Ulama’ dan Da’ie terkemuka di dunia Islam hari ini, Prof. Syarih di Univ. Qatar)
l. Prof. Dr. Muhd Ali Salus (Prof. Fiqh di Univ. Qatar)
m. Prof. Dr. Muhd Othman Syabir (Prof. Fiqh di Univ. Jordan dan Qatar)
n. As-Syeikh Prof. Dr Muhd Baltaji (Prof di Univ Kaherah kini, di anggap Fuhaqa’ teralim di ketika ini)
o. As-Syeikh Dr. Abdullah al-Qalqili (Bekas Mufti Jordan)
p. Prof. Dr Muhd Sulaiman Asyqar (Prof. Fiqh di Univ. Jordan dan Ulama’ terkenal di Jordan kini)
q. Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli (Prof. Di Univ. Damshiq Syria, Ulama’ terkenal di dunia)

2. Kumpulan Yang Mengharuskan Insuran Dengan Meletakkan Syarat-syarat Tertentu.
Mereka adalah :

a. As-Syeikh Abdullah Siyam (Ulama Takhassus Fiqh dalam tahun 1932 M)
b. As-Syeikh Prof. Abd Wahab Al-Khallaf (Prof. Syariah di Univ. Kaherah, wafat tahun 50 an)
c. As-Syeikh Prof. Dr. Yusoff Musa (Prof. Syariah di Univ. Kaherah)
d. As-Syeikh Prof. Dr. Mustafa az-Zarqa’ (Prof. Syariah di Univ. Jordan dan Ulama’ terulung sezaman dengan Abu Zuhrah)
e. As-Syeikh Prof. Dr. Muhd ‘Uqlah al-Ibrahim (Prof. Syariah Univ. Al-Yarmouk dan ulama’ terkenal di Jordan kini)

3. Kumpulan Yang Mengharuskan Insuran Kecuali Insuran Nyawa.
Mereka adalah :-
a. As-Syeikh Prof. Muhd Ahmad as-Sanhuri (ulama’ terkemuka di tahun 50 an)
b. As-Syeikh Prof. Dr Ali Khafif (ulama’ Mesir yang terkemuka di bidang fiqh mu’amalat)
Demikianlah pecahan kumpulan ulama’ terkemuka di dunia Islam yang terzahir pandangan mereka melalui kitab-kitab mereka dan nadwah-nadwah Islam di seluruh dunia. Mengikut jumlah, kumpulan ulama yang mengharamkan insuran jenis perniagaan adalah majoriti.
Kajian dan perbincangan mereka adalah panjang dan boleh mencecah ratusan halaman. Justeru penulis tidaklah berhasrat untuk memperbicarakan dalil-dalil kedua-dua kumpulan tersebut. Cukup sekadar mengemukakan asas hujjah mengapa ia dianggap haram oleh majoriti ulama’ dan apakah dalil asas ulama’ yang mengharuskannya.


3. SEBAB INSURAN BERSIFAT PERNIAGAAN MENJADI HARAM ?
Ia adalah satu perbincangan ‘ilmiah dan sebenarnya memerlukan ‘basic knowledge’ tertentu yang agak luas untuk memahaminya dengan sempurna, bagaimnapun penulis akan cuba memudahkan dalil-dalil ini demi memberikan kefahaman semaksimum mungkin di kalangan orang awam. Selebihnya perlulah pembaca melakukan kajian dan rujukan kepada Ulama Takhassus Fiqh di Universiti bagi penjelasan dengan lebih terperinci.

Demi mendapat kefahaman sepenuhnya dalam bab ini, pembaca mestilah mempunyai ilmu asas berikut :-
- Pembahagian kepada Aqad Mu’awadat (Pertukaran) & Tabarru’ah (Derma atau Sumbangan)
- Riba dan pembahagiannya
- Syarat jual beli dalam Islam.
- Jual beli Gharar dan pecahannya.
- Serba sedikit tentang Qias (Perbandingan Hukum).
Begitulah serba sedikit ilmu asas yang diperlukan bagi melahirkan kefahaman jitu dalam masalah ini.

Menurut kumpulan pertama, Insuran bersifat perniagaan adalah haram kerana :-

1. Terdapat Unsur Riba.
• Riba jelas wujud, apabila syarikat insuran membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah. Ia dianggap riba kerana wang (dari pencarum) berbalas wang (dari syarikat) dengan jumlah yang berbeza, padahal wang merupakan perkara ribawi (usurious items) sebagaimana enam perkara yg disebutkan Nabi di dalam hadithnya. Nabi SAW telah mensyaratkan dengan jelas dan terang, apabila bermu’amalah di antara dua perkara ribawi yang sama jenis (contoh di sini wang RM dengan wang RM), mestilah dengan syarat:

a. Sama timbangan (mathalan bi mathalin – jika melibatkan timbangan seperti beras, gandum, garam dan lain-lain)
b. Sama Nilai (mathalan bi mathalin)
c. Diserahkan di ketika mu’amalah di lakukan. (yadan diyadin)
Syarat ini bersumber dari hadith :
Mafhum : Jangan kamu jual emas dengan emas kecuali bersamaan nilaian dan timbangannya, jangan kamu melebihkan salah satu darinya di atas yang lain.."
( Al-Bukhari & Muslim)
Mafhum : Jangan kamu jual emas dengan pulangan emas, perak dengan pulangan perak kecuali (mestilah ia) dalam timbangan yang sama, nilaian yang sama..

Maka setiap perbezaan timbangan atau nilai (dalam item ribawi) di anggap Riba al-Fadl yang diharamkan (Tahrim wasail). Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza maka berlakulah Riba al-Fadl ini. Iaitu TIDAK ADA KESAMAAN NILAI DALAM URUSNIAGA DUA ITEM RIBAWI.
Manakala pembayaran bertangguh dalam dua barangan ribawi adalah Riba An-Nasi’ah yang diharamkan secara jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.
Dalam hal insuran sudah tentulah berlaku penangguhan, iaitu apabila pencarum terkena musibah barulah akan dibayar jumlah tertentu. Inilah dinamakan Riba An-Nasiah. Prof. Dr Muhd Baltaji, menjelaskan bahawa kontrak insuran ini sama sekali tidak boleh lari dari Riba An-Nasiah ini. Beliau juga menegaskan bahawa mana-mana hujah untuk lari dari anggapan riba ini adalah suatu helah yang tidak sah menurut pandangan syarak enam Justeru Insuran mempunyai kedua-dua jenis Riba lalu ia digelar Riba An-Nasa’
• Perlu disedari bahawa insuran biasa yang banyak terdapat di Malaysia hari ini adalah bersifat perniagaan (Takmin Tijari) yang mana, syarikat insuran mengganggap usaha mereka adalah sebagai satu perniagaan yang bertujuan mencari keuntungan. Justeru, secara jelas kontrak yang dipersetujui oleh pencarum dan syarikat adalah termasuk kategori Aqud Mu’awadah Maliah (Kontrak Pertukaran Harta) dengan cara Perniagaan. Semua kontrak yang terlibat dengan item ribawi mestilah menjaga 3 syarat yang disebutkan dia atas tadi. Jika tidak ia akan jatuh ke hukum Riba yang diharamkan.
• Walapun adakalanya pencarum tidak berniat mencari keuntungan dari carumannya bahkan hanya untuk merasa lebih selamat terhadap keretanya, rumahnya, ahli keluarganya dan sebagainya, tetapi ia tetap dianggap riba. Zahir urusniaga insuran tadi cukup untuk mengkategorikan ia sebagai riba, walaupun maksudnya tidak selari dengan riba yang sebenarnya (iaitu mencari untung). Berapa banyak kes yangg telah ditemui, terdapat individu yang sengaja menghilangkan kereta untuk meraih wang insuran, pembunuhan ahli keluarga untuk mendapat wang insuran bernilai jutaan Ringgit Malaysia dan lain-lain.
• Riba juga boleh berlaku dengan sangat jelas apabila wang caruman tersebut diperniagakan oleh syarikat insuran di dalam syarikat lain dengan kadar faedah tetap yang diharamkan (biasanya di bank konvensional, bukan secara mudharabah), atau mana-mana syarikat yang bermu’amalah secara riba. Berlakulah pertambahan wang caruman tadi hasil simpanan wang tadi. Malah lebih teruk kiranya, syarikat insuran meletakkan wang itu di dalam syarikat yg melakukan urusniaga haram seperti arak, judi dan lain-lain.

2. Terdapat unsur ketidaktentuan (gharar).
Nabi SAW bersabda dalam hadith yang shohih bahawa Baginda
"Melarang daripada urusniaga yang mengandugi gharar"
(Riwayat Muslim)


Ia berlaku apabila, kedua-dua pihak (pencarum dan syarikat) saling tidak mengetahui apa yang akan berlaku, bilakah musibah akan menimpa?, minggu depan, tahun depan? dan sebagainya. Ia adalah satu kontrak yang dibuat berlandaskan andaian (ihtimal) semata-mata.
Sekiranya A mencarum RM 1000 hari ini, tiba-tiba berlaku kehilangan keretanya esok, maka mungkin jumlah insuran yang akan diperolehinya berlipat kali ganda berdasarkan pakej insuran syarikat tertentu. Bukankah ini membebankan syarikat, dengan itu ketidakadilan berlaku terhadap syarikat. Begitu juga, kiranya pencarum mencarum sehingga suatu jumlah RM 100,000 sedangkan kereta tidak pernah ditimpa musibah selama 30 tahun. Sudah tentu pencarum akan tertanya-tanya bagaimana wangnya? Adakah akan hangus begitu sahaja ? Malah kiranya ditimpa musibah, kemungkinan jumlah yang diperolehi ¼ dari carumannya. Bukankah pencarum pula yang tertindas?.
Inilah yang disebut ketidak tentuan (gharar) yang dilarang di dalam Islam, Kehebatan sistem Islam dalam urusniaga amat mengambil berat hal ini, agar kedua-dua pihak tidak dizalimi atau terzalim. Kerana itu Islam mensyaratkan beberapa syarat sah urusniaga Jual Beli, tanpanya jual beli dan kontrak menjadi rosak, antara syaratnya 9 :-
a. Timbangan yang maklum (diketahui jelas–kiranya jenis yang ditimbang)
b. Barang dan harga yang jelas dan dimaklumi (tidak boleh harga yang dijahili ketika beli)
c. Penjualan barangan tidak dihadkan kepada tempoh tertentu masa yang jelas.
d. Mempunyai tempoh tangguh yang dimaklumi (samada tempoh serah barang mahupun harga), iaitu kiranya melibatkan urusniaga jualan tangguh.
e. Redha kedua-dua pihak dengan urusniaga yang dijalankan.
f. Sama Nilai dan timbangan serta penyerahan di dalam majlis yang sama tanpa tangguh dalam urusniaga item ribawi.

Menurut Islam, gharar ini merosakkan Aqad10. Demikian Islam menjaga kepentingan manusia dalam aspek ini. Al-Imam An-Nawawi menyatakan, larangan gharar dalam urusniaga Islam mempunyai peranan yang begitu hebat dalam menjamin keadilan. Contoh Jual beli gharar ini adalah membeli atau menjual anak lembu yang masih dalam keadaan janin dalam perut ibunya, menjual burung yang terbang di udara. 11 Ia menjadi gharar kerana tidak dapat dipastikan sempurnakah janin yang akan dilahirkan, dapatkah ditangkap burung itu. Maka kiranya dibayar harga, tiba-tiba baragan tidak sempurna, lalu pembeli tidak puas hati, hingga terjadi permusuhan dan pergaduhan. Islam melarang gharar demi mengelak kejadian seperti ini. Bagaimanapun, Islam memaafkan gharar yang sedikit yang tidak dapat dielakkan serta yang diyakini tidak menjejaskan urusniaga.12 Banyak lagi dalam aspek lain menunjukkan toleransi urusniaga Islam yang sukar utk diperkatakan di dalam penulisan yang ringkas terfokus ini.
Jika kedua-dua pihak saling meredhai dan menjamin tiada pertelingkahan akan berlaku, kontrak tadi secara zatnya tetap termasuk dalam rangkuman bay’ al-gharar yang diharamkan. Walaupun nisbah peratusan atau kadar bayaran telah ditentukan agar pencarum maklum, ia tetap juga tidak tahu, bilakah musibah akan berlaku. Justeru tetap ada gharar di situ.

3. Terdapat unsur Perjudian.
Judi jelas diharamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran tanpa syak lagi. Insuran mengandungi unsur ini kerana ia berkait dengan nasib samada berlaku musibah atau tidak berlaku. Adakala apabila musibah berlaku, pencarum mendapat pulangan lumayan dan dikira untung, mungkin juga sebaliknya. Inilah unsur judi yang dimaksudkan. Demikian menurut As-Syeikh Bakhit al-Mut’ie dalam risalahnya hlm. 14, juga ulama’ lain. Pencarum pula ketika mencarum mengharapkan dengan carumannya yang sedikit, ia boleh mendapat sejumlah wang yang lumayan kiranya berlaku musibah. Ini juga suatu perjudian. 14

Bagaimanapun Prof. Mustafa Zarqa’ menolak insuran ini terdapat di dalam Insuran dengan katanya : "Sesungguhnya judi adalah suatu permainan yang bergantung kepada nasib dan ia bertentangan dengan akhlak kemanusiaan..Di mana letaknya anggapan insuran bersifat judi sedangkan ia adalah suatu sistem yang tegak di atas dasar bantu mengurangkan bebanan manusia lain ketika ditimpa musibah.." 15
Syeikh Muhd Abu Zuhrah menolak hujjah ini kerana terdapat pada insuran unsur ‘mukhatarah’ (nasib dan musibah dan bahaya). Dr Muhd Baltaji menambah, bahawa inilah sebab utama ia dianggap judi yang diharamkan, aspek samada ia boleh membawa permusuhan atau tidak bukanlah sebab utama16. Malah jelas bahawa insuran adalah suatu kontrak yang dibuat terhadap satu perkara yang tidak pasti dari kedua-dua pihak. (kedua pihak tidak tahu jumlah yang diperolehi dan apa pula yang akan dibayar)
Apa yang disebut oleh Syeikh Zarqa’ hanyalah suatu pandangan yang tidak dapat lari dari hakikat bahawa unsur judi wujud dalam insuran dan Dasar Bantu yang disebutkan adalah tidak tepat kerana syarikat insuran ditubuhkan atas dasar perniagaan yang ingin untung bukan dasar bantu membantu. Ia berbeza dengan insuran ‘ta’awuni’ yang dihalalkan Islam (akan disebutkan selepas ini).
Demikianlah hujjah utama kumpulan ulama’ yang mengharamkan Insuran Jenis Perniagaan.

4. RINGKASAN DALIL KUMPULAN YG MENGHARUSKAN
Kumpulan yang mengharuskan Insuran ini berhujjah dengan dalil-dalil Qias (Perbandingan Hukum)
Secara umum, mereka menggunakan dalil qias dalam hujah mereka, iaitu dengan mengqiaskan kepada beberapa sistem yang zahirnya kelihatan seperti sistem insuran, yang mana sistem-sistem ini diterima di dalam Islam. Mereka meng’qias’kan insuran dengan sistem berikut :
a. ‘Aqd al-Hirasah (Kontrak Pengawal Keselamatan)
b. Jaminan Keamanan Laluan (Dhoman Khatar at-Toriq) – suatu aqad yang diterima pakai oleh ulama’ Mazhab Hanafi.
c. Maslahat (kepentingan tertentu)
d. Al-Wadi’ah bi ajr (Penerimaan bayaran balik bila barangan amanah rosak)
e. Sistem Pencen atau Persaraan ( Nizom at-Taqa’ud)
f. Dharurat atau kerana hajat yang bersangkutan ( Hajiat)

Dan beberapa yang lain.
Penulis tidaklah ingin mengulas lanjut dalil-dalil ini kerana ia memerlukan ilmu asas untuk memahaminya dan agak rumit untuk diulas dalam ruangan yang terhad. Cuma penulis hanya ingin mengulas hujah dharurat sahaja.
Kumpulan yang mengharuskan mengatakan bahawa penggunaan insuran adalah suatu dharurat kini, tidak dapat lari darinya dalam konteks ekonomi dunia Moden hari ini. Kaedah Dharurat telah diterima di dalam Islam sehingga terdapat kaedah-kaedah di dalam Fiqh seperti :

Mafhum : Dharurat mampu mengharuskan perkara yang diharamkan.

Mafhum : Kesukaran yang bersangatan membawa kepada kemudahan (rukhsoh)
Mafhum : Apabila disempitkan sesuatu perkara maka yang menyalahi bertambah luas.


Kumpulan ini berhujah bahawa, Insuran jenis perniagaan ini telah begitu tersebar meluas di dalam masyarakat hari ini, sehingga hampir-hampir menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat. Melarikan diri dari sistem ini adalah sesuatu yang amat menyukarkan, dengan demikian jadilah Insuran sebagai satu keperluan yang mencecah tahap dharurat17 atau paling kurang jatuh ke tahap ‘hajiat’ 18. Dengan itu Dr. Ibrahim At-Tohawi menyatakan ia sebagai keperluan yang mesti dalam kehidupan hari ini.19

Kumpulan pertama menolak hujjah Dharurat dan Hajiat ini. Ini adalah kerana sesuatu hanya boleh dianggap Dharurat apabila :-
a. Tanpanya, benar-benar masyarakat akan menuju kehancuran dan kerosakan dan kelam kabut. Manakala Insuran tidaklah sampai ke tahap ini, berapa ramai masyarakat yang masih boleh hidup tanpa sebarang insuran, tegasnya kehidupan masih normal cuma beberapa masalah dan kesukaran mungkin berlaku. Justeru, pihak pertama berpandangan keperluan Insuran tidak sampai ke tahap dharurat malah hanya hajiat sahaja.
b. Insuran bersifat perniagaan hanya boleh diiktiraf sebagai Dharurat dan Hajiat, hanya jika tiada langsung alternatif sistem Insuran berbentuk Islam yang diiktiraf Islam. Maka dalam hal ini, terdapat di dalam Islam sistem Insuran Islam yang dinamakan Takmin Ta’awuni atau Ijtima’ie (akan disebut selepas ini). Ia adalah harus dan sepatutnya mengambil tempat insuran jenis perniagaan yang hari ini. Lalu, Hujah Dharurat mahupun Hajiat tidak terpakai di sini.

Kesimpulannya di sini, hujjah kumpulan kedua yang terakhir ini juga tertolak, malah Qias tidak mampu bertentang dengan nas yang jelas. Nas jelas menyatakan unsur riba, judi yang menjadi asas pengharaman terdapat di dalam sistem Insuran yang bersifat perniagaan. Malah hukum pada asal yang ingin dijadikan qias pun tidak sebegitu kuat. Justeru, kumpulan kedua menganggap semua qias yang cuba digunakan oleh kumpulan kedua ini adalah Qias ma’al Fariq (Perbandingan hukum yang tidak sah kerana terdapat perbezaan antara Hukum Asal dan Furu’).

5. PENDAPAT YANG TERPILIH MENURUT PENGAMATAN PENULIS.
Perlu diingat bahawa beberapa Nadwah, Muktamar dan mesyuarat yang menggabungkan para ulama’ terulung di seluruh dunia di beberapa kali diadakan, Kontrak Insuran juga telah diperbincangkan oleh mereka. Antara muktamar yang telah dilaksana :
1. Muktamar Agung Berkenaan Ekonomi Islam bersidang kali Pertama tahun 1976 M di Mekah. Peserta hampir 200 para ulama, Prof Syariah dan tokoh-tokoh ekonomi. Insuran adalah salah satu topik perbincangan mereka. Keputusan mereka adalah INSURAN JENIS PERNIAGAAN ADALAH HARAM. Sebab utamanya adalah Riba dan Gharar.
2. Majlis Kesatuan Ulama’ Besar bermesyuarat pada tahun 1977 M, di Arab Saudi. Keputusan : Insuran jenis Perniagaan adalah Haram.
3. Majma’ al-Fiqh al-Islami al-‘Alami (Kesatuan Ulama Fiqh Dunia) bersidang pada tahun 1979 M di Mekah al-Mukarramah, Keputusan Majoriti: Insuran Jenis Perniagaan HARAM samada ke atas Barangan Perniagaan , Nyawa dan lain-lain daripada jenis harta.
4. Majma’ al-Fiqh al-Islami sekali lagi bersidang pada 28 Disember 1985 di Jeddah, juga memutuskan sekali lagi pengharaman Insuran Jenis Perniagaan.
Majma’ Fiqh juga secara ijma’ mengharuskan insuran jenis kerjasama (ta’awuni) dan mencadangkan ia sebagai alternatif insuran perniagaan dan diseru seluruh umat Islam menggiatkannya di negara masing-masing.20
Justeru, pendapat jumhur kelihatan terlebih kuat daripada pandangan kumpulan kecil fuqaha’. Amat sukar untuk mendapat kewajaran bagi individu biasa bg menfatwakan sebaliknya setelah diulas sebegitu terperinci oleh Para Ulama’ terkemuka di dunia, Para ahli ekonomi biasa dan Profesor-profesor Syariah di Universiti terkemuka Islam.

Penulis tidaklah mampu untuk menentukan mana-mama syarikat Insuran yang terdapat di Malaysia yang dikelaskan Insuran Bersifat Perniagaan yang difatwakan haram dan mana pula insuran jenis ta’awuni atau ijtima’ie yang difatwakan secara ijma’ tentang keharusannya. Ini adalah kerana penulis tidak mempunyai gambaran lengkap mengenai proses perlaksanaan syarikat-syarikat insuran di Malaysia serta keberadaan di Jordan menghalang pengkajian praktikal di Malaysia. Apapun menurut hemat penulis, Insuran Ta’awuni telah pun banyak wujud di Malaysia dan boleh menjadi tumpuan para pembaca sekalian.
Bagi mereka yag masih ingin mengambil pendapat yang mengharuskan, perlulah mengetahui beberapa syarat yang diletakkan, kerana ia tidaklah diharuskan secara mutlaq. Antara syarat :-

1. Memastikan niat sebagai pencarum adalah untuk mendapat bantuan, tanggungan dan sedikit ketenangan kiranya berlaku sebarang musibah terhadap harta dan lain-lain agar dapat menghindarinya sebagai alat perniagaan. Juga dengan harapan, pencarum tidak terlibat dalam unsur judi.
2. Memastikan semampu mungkin, bahawa Syarikat Insuran yang dipilih bermu’amalah secara Islamik, tiada pelaburan dalam industri yg diharamkan, serta mempunyai asas utama takaful (skim Bantu membantu) secara zahirnya. Manakala, target perniagaan dan untung yang disasarkan oleh syarikat tidaklah kelihatan secara zahir. Dalam hal ini mungkin Syarikat Takaful Malaysia atau Insuran yg dianjurkan oleh Bank-bank berasaskan sistem Islam kelihatan lebih Islamik dan zahirnya menjurus ke arah bantu membantu. Wallahu ‘a’lam
3. Memastikan bahawa wang insuran yang diperolehi daripada Badan atau Syarikat Insuran itu sebagai satu bentuk Hadiah, Derma atau Sumbangan bukannya hasil jual beli wang dengan wang. Dengan harapan ia terlepas daripada Riba. Jika tidak ia tetap Riba. Semoga Allah mengampunnya.
4. Kiranya syarikat Insuran menawarkan pulangan dari musibah yang menimpa bukan dari wang, seperti kereta yang hilang diganti kereta atau apa jua yang bukannya berupa wang, maka ketika itu mungkin unsur Riba lenyap. Kerana ia bukan lagi 2 item Ribawi. Wallahu a’lam.

Demikianlah beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian, bagaimanapun penulis lebih suka mengingatkan pembaca sekalian, AGAR MENJAUHI INSURAN INI KERANA IA TERSANGAT JELAS SAMADA HARAM ATAU PALING KURANG DI TAHAP SYUBHAT. Sebagaimana sabda Baginda SAW :



Mafhum : Barangsiapa yang menghindar diri dari perkara syubhat, maka telah terselamat agamanya dan maruahnya
( Riwayat Al-Bukhari bab Kitab al-Iman ; Muslim, bab Buyu’ ; At-Tirmizi dan an-Nasaie)


Mafhum : Tinggalkan apa yg kamu ragu kepada yang tidak kamu ragui
( Hadith Hasan Shohih menurut At-Tirmizi ; An-Nasaie ; Abu Daud dan Ahmad)

Imam An-Nawawi as-Syafie (Imam Mujtahid : w 676 H) menghurai satu hadith, menyatakan berkenaan kaedah mengenal dosa menurut rasa hati dalam melakukan amalan syubhat.


Mafhum : (Cukup membuat seseorang terjebak ke dosa) apabila gundah hatinya dan ragu, hatinya tidak lapang dalam membuatnya, timbul dalam hati perasaan syak serta bimbang terjebak ke dosa (Al-Minhaj Syarh Shohih Muslim 5/419)
Saidina Umar al-Khattab ra berkata 21:

Mafhum : Wahai Manusia, tinggalkan dan jauhi amalan Riba dan perkara yang diragui (halalnya)

6. INSURAN YG DIHARUSKAN DI DALAM ISLAM
1. Insuran Kerjasama Kemasyarakatan ( Ta’awuni @ Ijtima’ie)
Iaitu suatu jenis insuran termasuk dalam jenis kontrak sumbangan ikhlas (‘uqud tabbaru’at) yang diikat untuk mencapai matlamat bantu membantu di antara individu masyarakat yang menghadapi musibah dan demi mengurangkan bebanan yang ditanggung.
Dalil Keharusannya :
Bersumber dari beberapa buah Hadith Nabi SAW. Antaranya :
Mafhum Hadith : " Sesungguhnya al-‘Asy’ariyyun apabila bertolak ke medan peperangan, berkuranglah bekalan makanan keluarga mereka di Madinah, maka dikumpulkan apa yang terdapat dari kalangan mereka dalam satu tempat, kemudian di bahagikan antara mereka, mereka daripada kami, dan kami daripada mereka" (Riwayat al-Bukhari & Muslim, Rujuk Fath al-Bari 6/55)
Inilah bentuk kerjasama, tolong menolong mengurangkan bebanan musibah yang menjadi asas Insuran ta’awuni.

Mengapa ia Harus dan apakah bezanya dgn Insuran Jenis Perniagaan?
a. Adalah ia tidak bertujuan mengaut keuntungan.
b. Ia tidak berbentuk perniagaan, malah hanya berbentuk sumbangan derma kepada individu malang melalui proses dan seliaan organiasasi dan pengurusan yang tertentu.
c. Ia tidak dikira ‘uqud mu’awadah maliah (kontrak jual beli atau perniagaan) tetapi hanyalah ‘uqud Tabarru’aat ( kontrak derma dan sumbangan) Justeru, dgn berbezanya pengkelasan kontrak ini, semua jenis riba, gharar, perjudian yang wujud pada Insuran jenis pertama tadi terhapus. Kerana ia bukan lagi jual beli yang terikat dengan syarat-syaratnya. Kontrak tabaru’aat tiada syarat seperti syarat jual beli walaupun di antara dua barangan (komoditi) ribawi.
Bentuknya :
Individu mendermakan sejumlah wang kepada sesuatu Yayasan atau Badan Kebajikan atau mana-mana Kesatuan dikhaskan untuk membantu anggota Badan tersebut yang ditimpa musibah.
Beberapa perkara yang perlu dijaga dalam pengasasan Badan Pengurus Insuran ta’awuni: 22
1. Mempunyai Pengasas/ Pengurus serta modal awal selain wang daripada pencarum, samada didapati daripada kerajaan, Derma daripada Yayasan, Syarikat Islam dan lain-lain. Modal ini berbeza daripada modal Syarikat Insuran Asas Perniagaan.
2. Badan ini mempunyai cawangannya di setiap Bandar.
3. Badan ini mempunyai pembahagian insuran yang ditawarkan, seperti bahagian insuran ta’awun kesihatan, bahagian bantuan ketidakmampuan tertentu samada anggota tubuh, kenderaan, harta perniagaan dan lain-lain.
4. Mempunyai pembahagian kumpulan sasaran seperti Pelajar, Profesional, Peniaga dan lain-lain.
5. Mestilah badan ini mempunyai fleksibiliti dalam pengurusan dan menjauhi rigid dalam kaedah pengurusan.
6. Terdapat anggota majis tertinggi berkelayakan tinggi yang bertanggung jawab dalam menyelia Pengurusan Badan ini samad daripada lantikan Kerajaan atau dari kalangan penderma dan pencarum. Ini penting demi memastikan kejayaan pengurusan dan matlamat.
7. Kiranya musibah yang menimpa ahli melebihi jumlah tabungan, tambahan perlulah ditanggung oleh kerajaan atau peserta / pencarum.
8. Matlamat Badan ini hanyalah membantu atas dasar kebaikan di antara pencarum / peserta / ahli tanpa bertujuan mendapat keuntungan.
9. Terdapat had jumlah awal yang perlu dibayar oleh pencarum.Asas ini sama seperti sistem yang terpakai dlm insuran perniaagaan. Dan kaedah pembayaran juga menggunakan asas nisbah dan kadar tertentu hasil kajian tersendiri dari mereka yang pakar.
Cuma kadar pulangan atau lebihan kepada individu yang ditimpa musibah adalah hak bersama para pencarum dan diberikan atas dasar derma, manakala dalam Insuran Jenis Perniagaan ia adalah hak Syarikat.
10. Setiap pencarum mempunyai hak dalam hal pengurusan Badan Amanah, serta hak dalam menjaganya.
11. Badan yang memegang amanah ini, diharuskan untuk melaburkan wang caruman terkumpul ke dalam institusi Kewangan yang jelas Halal dan berniaga cara Halal demi kebaikan pencarum, eloknya mendapat restu pencarum. Tiada halangan juga bagi pihak pengasas atau pengurus mengambil kadar tertentu dari keuntungan pelaburan atas dasar elaun mengurus.
12. Mestilah Badan ini mempunyai Unit Penasihat Syari’e demi meastikan sentiasa berjalan di atas landasan syara’.
Demikianlah beberapa aspek yang perlu dilihat demi menjayakan insuran ta’awuni ini. Banyak lagi aspek teori yang praktikal dan realistik yang perlu dilihat, sesiapa yang berminat untuk membacanya bolehlah merujuk kitab Al-Mu’amalah al-Maliah al-Mu’asirah karangan Prof. Dr Othman Syabir. Hlm 130 dan selanjutnya.

2. Insuran yang disediakan oleh Kerajaan untuk Rakyat.
Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli mencatatkan ia sebagai harus 23, Ia ibarat suatu insuran yang diwajibkan oleh pihak kerajaan kepada para rakyat, yang mana kerajaan bertindak sebagai sebuah Badan yang mengurus (bukannya syarikat Insuran Perniagaan tertentu),
Ini kerana ia hanyalah ibarat membayar cukai kepada kerajaan, dan kerana kerajaan adalah bertanggungjawab dalam memastikan rakyatnya dibantu di dalam keadaan kesusahan. Bagaimanapun, perlulah dipastikan sejauh mana perlaksanaannya selari dengan kehendak syarak. Kiranya bertentang dengan syarak tetapi semua kakitangan kerajaan dipaksa dan diwajibkan menyertainya, dosa adalah ditanggung oleh pemimpin yang bertanggung jawab.

KESIMPULAN
1. Isu ini adalah isu yang terdapat perbezaan fatwa di kalangan ulama’, ia masih dianggap perkara ijtihadi. Terpulang kepada penilaian, ilmu dan iman masing-masing untuk menentukan pendirian, bagi kumpulan orang awam, jalan selamat adalah menuruti pandangan MAJORITI ULAMA’ dan tidak bersendirian menentukan pendirian tanpa mengetahui hakikat isu ini pada pandangan Islam.
2. Semua jenis Insuran Bersifat Perniagaan adalah haram menurut pandangan Majoriti ulama’ semasa terutama Insuran Nyawa.
3. Alternatif kepada keperluan sistem insuran adalah Insuran Kerjasama Kemasyarakatan (ta’awuni) yang tidak didasari oleh sifat mencari keuntungan maddi.
Artikel ini terbuka kepada sebarang pertanyaan dan komentar membina. Segala yang benar dari Allah SWT, dan yang tersilap dari kelemahan diri dan gangguan Syaitan yang mengganggu. Wallahu ‘a’lam.

Sekian,

Irbid, Jordan
29 Jamadil Akhir 1423 H (7 Ogos 2002)


29 Mei 2008

RIBA


DefinasiKata “riba” bererti bertambah, subur atau lebih.
Di antara pengertian atau definasinya menurut hukum syarak ialah :


1. Akad bagi membuat pertukaran barang yang tertentu tidak diketahui persamaannya mengikut kiraan syarak ketika akad atau diketahui persamaannya tetapi dengan menangguhkan kedua-dua tukaran itu atau salah satunya.

2. Pertambahan pada pertukaran emas dan perak juga pada jenis-jenis benda makanan.
Hukum Perbuatan Riba
Perbuatan riba hukumnya haram dan berdosa besar.
Di antara ayat-ayat Al-Quran dan hadis-hadis yang menunjukkan haram dan kotornya perbuatan riba ini adalah seperti berikut :
Ertinya : Dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.
Ertinya : Wahai orang-orang yang beriman ! Takutlah kepadaAllah dan tinggalkan sisa-sisa riba itu, jika kamu orang beriman
Daripada Ibni Masud.Ertinya : Bahawa Nabi s.a.w. melaknanti pemakan riba, pemberinya, saksinya dan juru tulisnya.
Daripada Jabir r.a. Ertinya : Melaknati Rasulullah s.a.w. memakan riba, pemberinya, juru tulisnya, saksinya dan ia berkata : “Mereka itu sama sahaja.”
Hikmat Pengharaman Riba
Islam mengharamkan riba kerana akibatnya terlalu buruk terhadap anggota masyarakat. Riba merupakan penindasan dan pemerasan setengah orang-orang kaya terhadap orang-orang miskin. Setengah-setengah orang menganggap riba sama saja dengan jualbeli kerana kedua-duanya sama-sama mendatangkan keuntungan. Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya. Anggapan ini jauh terpesong dari hakikat yang sebenarnya. Kedua-dauanya jauh berbeza. Jualbeli diharuskan kerana mendatangkan faedah yang besar kepada masyarakat.Walaupun ia mendatangkan keuntungan yang berlipat-ganda, namun ia juga terdedah kepada kerugian, kadang-kadang mendatangkan keuntungan dan kadang-kadang mendatangkan kerugian. Hal ini berlainan sekali dengan riba kerana ianya sekali-sekali tidak terdedah kepada kerugian, malah sentiasa mendatangkan keuntungan.
Dalam masyarakat kita bukan sedikit orang-orang yang berhutang kepada ceti-ceti, bergadai kepada pajak-pajak gadai secara riba telah kehilangan kebun getah, tanah padi dan sebagainya kerana tidak sanggup membayar hutang, membayar bunga, membayar faedah (interest) yang dikenakan berlipat-ganda ke atas mereka. Sebaliknya pihak pemakan riba bertambah kaya-raya dan senang-linang. Pendeknya perbuatan riba merupakan suatu penindasan dan cengkaman yang amat buruk terhadap anggota masyarakat. Di akhirat kelak mereka akan mendapat hukuman daripada Allah. Firman Tuhan :
Ertinya : Orang-orang yang memakan riba, tidak berdiri, melainkan seperti berdirinya orang yang dirasuk syaitan, yang demikian kerana mereka berkata : jualbeli itu seperti riba, dan Allah menghalalkan jualbeli dan mengharamkan riba.
Dari huraian di atas, dapat ditarik beberapa kesimpulan seperti berikut :
1. Riba merupakan pemerasan dan penindasan yang terkutuk.
2. Riba menghilangkan rasa tolong menolong di antara satu sama lain.
3. Riba menambahkan kemelaratan dan kesusahan ke atas orang-orang susah dan miskin.
4. Riba menanamkan semangat tamak haluba kepada orang-orang yang berada dan kaum-kaum pemodal, sebaliknya menimbulkan semangat kebencian dan hasad dengki di dalam hati orang-orang miskin.
5. Orang-orang yang menjalankan perbuatan riba, di akhirat kelak akan menerima hukuman berat daripada Allah.Kerana keburukan-keburukan itulah, Islam mengharamkan perbuatan riba dan mengutuk keras ka atas orang-orang yang terlibat dalam urusan riba.

Benda-benda Riba

Benda-benda yang terdapat padanya riba adalah sebagaimana tersebut dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ubadah bin Al-Samit daripada Nabi s.a.w. berkata ia :
Ertinya : Emas dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, syair dengan syair, tamar dengan tamar, garam dengan garam, sama-sama banyak dengan tunai, maka jika berlainan jenis-jenis ini, maka juallah kamu sebagaimana yang kamu kehendaki jika dengan tunai.
Ilat Pengharaman Dari sabda Rasulullah s.a.w. yang tersebut pada
itu, secara garis kasarnya, benda-benda riba tercantum dalam dua perkara, iaitu :
1. Benda-benda makanan2. Emas dan perak
Jadi benda-benda riba itu bukanlah hanya terkhas kepada enam perkara benda-benda yang tersebut pada 5.3 itu sahaja. Benda-benda yang tersebut itu hanyalah sebagai dasar illat pengharaman sahaja. Syafii menetapkan illat pengharaman benda-benda makanan ialah ‘makanan’ ; illat pengharaman emas dan perak ialah kerana kedua-duanya itu merupakan “nilai bagi sesuatu”. Tetapi Hanafi menetapkan illat pengharamannya ialah “sukatan dan timbangan”.
Jenis-jenis Riba
Riba terbahagi kepada tiga jenis, iaitu :
1. Riba An-Nasiah : Riba yang dibayar lebih kerana bertangguh pembayarannya. Riba jenis inilah yang banyak terjadi di kalangan masyarakat kita.
2. Riba-Fadzl : Iaitu riba yang dibayar lebih pada satu pihak penukaran seperti ditukar segantang beras malinja dengan dua gantang beras yang lain.
3. Riba-Yad : Iaiti riba yang dibayar lebih kerana tidak berterimaan di dalam majlis akad.

Syarat-syarat Penjualan Barang-barang Riba
Tidak harus menjual barang-barang jenis riba sesama jenisnya dan yang bukan sesama jenisnya kecuali dengan syarat-syarat seperti berikut :

1. Sesama jenisnya :
Jika dijual barang-barang makanan dengan makanan sesama jenisnya seperti gandum dengan gandum, beras dengan beras, dan juga jika dijual emas dengan emas, perak dengan perak, disyaratkan tiga perkara, iaitu :
(a) Hendaklah bersamaan kedua-duanya pada sukatan / timbangan
(b) Hendaklah dengan tunai
(c) Hendaklah berterimaan di dalam majlis akad.

2. Tidak sesama jenisnya :
Jika dijual benda-benda tidak sesama jenisnya seperti gandum dengan beras, gandum dengan syair, emas dengan perak, disyaratkan dua perkara, iaitu :
(a) Hendaklah dengan tunai
(b) Hendaklah berterimaan di dalam majlis akadErtinya jika dijual barang-barang bukan sesama jenisnya, boleh berlebih kurang di antara satu sama lain.

Benda-benda Yang Berlainan Bangsa
Bagi benda-benda yang berlainan bangsa dan jenisnya seperti padi dengan wang, beras dengan kain atau sebagainya, tidak dikenakan apa-apa syarat padanya.


Sekianlah sahaja beberapa perkara mengenai riba. Termasuk juga dalam golongan riba jika diberi hutang dan disyaratkan membayar lebih kepada tuan hutang. Oleh kerana perbuatan riba ini amat merbahaya dan terkutuk, wajiblah setiap orang berhati-hati dalam menjalankan segala jenis urusan muamalat.

25 Mei 2008

TUKAR BAJU ELAK GANGGUAN SEKS


“ Tukar Baju untuk Elak Gangguan Seks “

Cadangan dan gesaan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia ( PKPIM ) terhadap Kementerian Pelajaran agar menukar baju putih yang menjadi uniform pelajar sekolah sebelum ini kepada pakaian berwarna agar tidak menarik perhatian mata lelaki yang mengundang jenayah seksual adalah suatu yang sangat baik dan wajar .
Dewan Pemuda PAS Pusat menyatakan sokongan yang tinggi terhadap cadangan tersebut dan turut mendesak agar pihak Kementerian Pelajaran segera mengambil tindakan sesuai dengan tuntutan agama yang mendidik agar kita senantiasa menutup apa jua ruang dan peluang yang menghela ke arah jenayah dan mungkar . ( Sadduz Zarai’ )
Peningkatan jenayah dan gangguan seksual dikalangan pelajar sekolah semakin parah dan membarah. Pihak Kementerian tidak sewajarnya memandang sebelah mata dan hanya mengeluh setiap kali kes baru membabitkan jenayah seksual pelajar sekolah dilaporkan. Islam telah menggariskan etika berpakaian dan imej penampilan bagi mengurang dan mengelakkan jenayah seksual ini berlaku secara berleluasa.
Menutup aurat dan berpakaian sopan serta sesuai agar tidak menampakkan bentuk tubuh dan bayang pakaian dalam , adalah suatu yang asas dalam Islam bagi menjamin ketenangan dan keselamatan kaum wanita itu sendiri .
Dewan Pemuda PAS Pusat sangat yakin bahawa apa yang telah dicadangkan oleh PKPIM itu bukan sahaja telah didahului oleh kajian dan penelitian terhadap kes yang berlaku tetapi juga mewakili keresahan dan kegelisahan ibubapa berkait dengan peningkatan kes cabul , zina ,salah laku dan rogol yang melibatkan pelajar sekolah .
Uniform Baju putih sememangnya perlu dinilai semula kerana kini menjadi trend oleh sebahagian pelajar perempuan mengenakan pakaian dalam berwarna dan menyerlahkan bayang pakaian dalam mereka dan ia menarik perhatian lelaki yang rosak akhlak, bahkan terdedah kepada risiko berlakunya jenayah seksual ke atas diri mereka. Perkara seperti tidak boleh dianggap remeh dan dipandang kecil kerana ia boleh mengundang musibah .
Pihak Kementerian Pelajaran digesa membuat kajian semula terhadap uniform pelajar sekolah dengan mengambil kira cadangan dan pandangan dari pelbagai pihak . Malah Dewan Pemuda PAS Pusat mencadangkan agar Kementerian merujuk kepada para mufti atau ulama’ untuk mendapatkan nasihat dalam perkara ini.
Bukan sahaja melibatkan soal pakaian tetapi sebaliknya Dewan Pemuda PAS Pusat menggesa agar satu langkah berkesan diambil oleh pihak Kementerian secara menyeluruh bagi menangani peningkatan kes gangguan dan jenayah seksual dikalangan pelajar sekolah.
Ianya pasti sahaja melibatkan soal pendidikan agama dan penghayatan serius terhadap amal Islami mesti diterapkan kepada pelajar sekolah disamping menyediakan persekitaran yang selamat dan aman dari anasir maksiat dan mungkar dikalangan pelajar .


Hj. Nasrudin bin Hj. HassanTimbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat .

14 Mei 2008

MAKANAN DI HOTEL YANG SYUBHAT DAN HARAM


Berikut adalah petikan berita dari web PPIM ( HASIL TULISAN DR AZWAN http://drazwan.blogspot.com/. )

Pada hari Ahad yang lepas, sekiranya anda mendengar siaran Radio 24 bersama Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) pada jam 2 pm, terdapat satu wawancara yang sangat menarik di antara Pengulas Radio 24, wakil PPIM dan 2 orang Chef.Isu ini begitu menarik sehinggakan saya terasa rugi jika tidak mendengar celoteh mereka walaupun hanya hendak bangun ke tandas. Isu kepenggunaan kali ini ialah tentang Halal atau Tidak Halal Makanan yang Dihidangkan di Hotel 5 bintang.Seperti yang kita maklum, waktu orang Islam berpusu-pusu untuk makan di Hotel 5 bintang ialah ketika bulan Ramadhan. Bukan sahaja individu, malah syarikat-syarikat juga menjamu pekerja-pekerja dan pelanggan masing-masing di Jamuan Berbuka Puasa di Hotel 5 bintang. Maklumlah, Setelah penat dan lapar berpuasa pada siangnya, tentulah waktu untuk berbuka itu sewajarnya diiringi dengan juadah-juadah yang lazat dan sedap.
Tetapi jangan terkejut kerana hidangan anda di Restoran 5 Bintang itu belum tentu HALAL. Apa hukumnya puasa anda sekiranya berbuka dengan makanan yang Haram?Yang menariknya di dalam program ini, 2 orang Chef telah bersama-sama menceriakan rancangan ini. Apa kata mereka?Salah seorang Chef memberitahu, dari pengalamannya dahulu, di dalam retoran hotel 5 bintang yang menghidangkan buffet, terdapat 5 bahagian dapur masakan (Masakan Melayu, Masakan Barat, Masakan Cina.... tak ingat lagi dua). Setiap satu dapur diketuai seorang Chef yang dipanggil Eksekutif Chef. Di dalam buffet, setiap dapur akan memasak makanan tertentu untuk buffet tersebut. Resepi-resepi untuk makanan yang dimasak daripada setiap dapur adalah hak mutlak Eksekutif Chef. Ini bermakna tiada orang lain berhak memberi komen tentang resipi yang telah ditetapkan oleh Eksekutif Chef.Eksekutif Chef ini terdiri daripada orang yang pakar dan ahli di dalam masakannya untuk menjaga kualiti makanan yang dihasilkan (5 bintang lah katakan...). Sekiranya Dapur Masakan Melayu tentulah eksekutif Chefnya adalah seorang Melayu. Sekiranya western maka pakarnya tentulah orang dari luar negara, begitu juga masakan cina dan lain lain.Kejap yang pork dimasukkan ke mesin yang ini, sekejap yang di sana ... sehinggakan, beliau terpaksa mengangkat tanah dan air untuk mencuci mesin tersebut setiap kali habis bertugas. Yang memakan masakan itu pula ialah kita...Sesetengah Chef yang mungkin berasal dari luar negara mempunyai cara memasak mereka yang tersendiri. Jika mereka sudah biasa meletakkan arak di dalam makanan di luar negara, mereka pasti akan meletakkan Arak ketika memasak di dapur sini.Salah seorang chef berkata, ketika beliau baru memulakan kerjayanya, beliau melihat bagaimana arak dituang di dalam sup bawang (onion soup) yang dimasak di Hotel 5 bintang ini. Chef itu juga berkata, di atas ruang rak tempat memasak sup-sup, berbaris berjenis-jenis botol arak bersama-sama dengan rencah-rencah lain untuk dibuat sup. Jika tidak silap saya, bukan sup sahaja makanan yang mengandungi arak.Selain daripada Arak , ada yang lebih menarik lagi tentang pendedahan ini. Menurut chef tersebut, terdapat dua mesin pengisar daging di dapur tempat beliau bekerja. Satu bertulis "PORK" pada papan tanda berdekatan dan satu lagi bertulis "NON-PORK". Tapi dia amat kecut perut.. bila semua orang seperti tak nampak (atau buat-buat tak nampak) sahaja papan tanda itu... Kejap yang pork dimasukkan ke mesin yang ini, sekejap yang di sana ... sehinggakan, beliau terpaksa mengangkat tanah dan air untuk mencuci mesin tersebut setiap kali habis bertugas. Yang memakan masakan itu pula ialah kita.Pada kebiasaannya, sesetengah hotel mengasingkan pinggan yang digunakanuntuk menghidangkan khinzir di satu tempat yang berasingan untuk dicuci. Ini adalah kerana, pencuci pinggan dahulunya adalah di kalangan orang Islam. Tetapi menurut chef itu sekarang, pencuci pinggan adalah di kalangan orang Myanmar dan Bangladesh . Mereka bukannya tahu pinggan mana yang ada khinzir ataupun tidak. Untuk memudahkan kerja, semuanya dicampurkan sekali. Habis semuanya....Chef itu juga ada bercerita tentang kek-kek yang dihidangkan yang mempunyai arak, contohnya tiramisu. Banyak juga dessert dan kek yang tidak halal dihidangkan.Adakalanya, daging yang di grill, ayam-ayam atau makanan yang dibakar adalah halal. Begitu juga dengan makanan laut. Namun, Chef menasihatkan agar lebih berhati-hati dengan pelbagai sos atau pencicah yang disediakan bersama kerana ia dikhuatiri tidak halal.Ada juga pada waktu waktu tertentu chef ini akan keluar dan melihat-lihat para pelanggan. Sekiranya beliau melihat orang Islam mendekati makanan-makanan yang tidak halal, maka dia akan mendekati mereka dan berbisik "Encik, makanan ni tidak halal...". Tapi tentulah banyak daripada masa mereka berada di dalam dapur. Jadi nasiblah kepada para pelanggan Islam yang lain sekiranya tidak sengaja menikmati makanan yang haram.JAKIM telah memberi sijil Halal kepada 3 buah hotel sahaja tetapi sampai tamat program wawancara Radio 24 itu, saya tidak dapat menangkap nama Hotel 5 Bintang yang mana satu. D'Saji Felda telah diiktiraf Halal oleh JAKIM menurut Tokki (PPIM) cuma ia bukan nama Hotel 5 Bintang yang ingin saya dengar.Saya berasa sangat terkesan di dalam hati apabila mendengar program ini dan pendedahan pengalaman-pengalam an daripada 2 orang Chef jemputan. Salah seorangnya kini telah menjadi Ketua Chef untuk Tabung Haji dan salah seorang lagi bertugas sebagai pengurus di sebuah syarikat makanan. Ia menjadi pengajaran kepada kita bahawa makanan yang nampak mahal dan sedap itu tidak semestinya memberi manfaat kepada kita.Sekiranya anda tahu Hotel 5 Bintang yang diiktiraf Halal oleh JAKIM sila kongsikan kepada semua pembaca

TANDA SUJUD DI DAHI


Soalan

Melaksanakan solat yang menjadi tiang agama hakikatnya, mendatangkan ketenteraman jiwa dan kebahagian hidup, sekali gus terpancar di wajah. Bagaimana boleh dibuktikan menerusi ayat al-Quran dan sunah Rasulullah SAW?

Jawapan UZAR

Benar solat adalah tiang dan asas kepada agama berdasarkan hadith:


رأس الأمر الاسلام وعموده الصلاة


Ertinya : "Kepala urusan (kehidupan) ini adalah Islam dan tiangnya adalah solat" (Riwayat Ibn Majah dan An-Nasa'ie dalam As-Sunan Al-Kubra; Al-Albani dan Al-Arnauot : Hadis sohih )

Ia juga jika ditunaikan dengan ilmu dan khsuyu'nya adalah menghasilkan rasa kemanisan iman dan ketenangan sebagaiamana yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w


حبب إلي من دنياكم الطيب والنساء وجعلت قرة عيني في الصلاة


Ertinya : "Aku suka terhadap beberapa item dalam dunia kamu, iaitu wangian, wanita (iaitu dalam meningkatkan martabatnya berbanding menjadi barang mainan dan dagangan di zaman Jahiliyah) dan dijadikan ketenangan dan kenikmatanku di dalam solat"( Riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Adapun berkenaan ketenangan yang terpancar di wajah pula adalah petikan dari Al-Quran ketika menerangkan sifat mereka yang bersama perjuangan Nabi s.a.w :-


تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ


Ertinya "..kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari karunia Allah dan keridaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. (Al-Fath : 29)


Imam Fakhruddin Al-Razi menyatakan terdapat dua pendapat dalam mentafsirkan tanda ini ( At-Tafsir Al-Kabir, 28/93 ) :-

Pertama : Tanda itu akan ternampak di akhirat kelak sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 106 " Di hari yang Allah memutih dan menggelapkan wajah" dan juga dari surah At-Tahrim ayat 8.

Kedua : Tanda ini akan terzahir di dunia lagi. Terdapat dua kemungkinan yang disebut,
a) Bekas sujud ini adalah tanda hitam di dahi. Namun perlu diingat ada sebahagiannya memang hitam kerana banyaknya sujud, namun banyak sujud belum tentu diterima solatnya. Manakala ada yang hitam sebab-sebab lain.
Justeru secara umumnya, tanda hitam di dahi, boleh membawa erti tanda sujud yang banyak dan lainnya. Jika tanda sujud itu diiringi dengan sifat-sifat mahmudah dirinya dan wajahnya yang menepati ciri kedua di bawah, lalu ia kemungkinan besar tanda yang benar.

b) Satu tanda yang Allah zahirkan di wajah orang yang sujud dari raut yang bercahaya, kelihatan tenang dan menyenangkan. Tanda inilah yang disebut terdapat pada wajah baginda Nabi, para sahabat dan lain-lain ulama.

Sahabat besar nabi seperti Ibn Abbas pula menjelaskan maksud tanda itu dengan katanya ( Tafsir Ibn Kathir, 4/205 ; Ad-Durr Al-Manthur, As-Suyuti, 7/453 ) :-

a- Raut yang baik dan menyenangkan, taqwa dalam urusan agamanya dan pemalu. ( Riwayat Al-Baihaqi dan Ibn Mardawaih)

b- Wajah putih bercahaya di hari kiamat ( Riwayat Al-Bukhari dalam At-Tarikh)

Sudah tentu wajah ini cukup berbeza dengan wajah penzina, orang yang meninggalkan solat, pelaku dosa yang kelihatan gelap walaupun wajahnya berkulit cerah. Inilah beberapa nas dari begitu banyak himpunan nas yang menerangkan berkenaan kesan hebat dari solat kepada umat Islam seluruhnya.

sumber

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

MASJID CINA : PEMBONGKARAN KECINAAN SEORANG HANG TUAH



Ibnu Hasyim:CATATAN SANTAI:



Masjid Cina: Pembongkaran Kecinaan Seorang Hang Tuah



‘MANUSIA Mati Meninggalkan Nama’, ‘Nama Menunjukkan Bangsa’ dan ‘Bahasa Jiwa Bangsa’. Pepatah petitih Melayu menunjukkan, di mana bangsa itu, jiwanya ialah bahasa dan pertanda kepada sesuatu bangsa ialah nama. Nama atau jasa, itulah yang menjadi sebutan dan bahan sejarah. Mari kita lihat asal-usul Hang Tuah.
Mula-mula kita lihat namanya…
Satu kajian dibuat dalam perbendaharaan Melayu, terutamanya dalam Kesultanan Melayu Melaka, tidak ada nama yang di awalnya sebutan ‘Hang’ pada nama-nama Melayu, seperti Hang Tuah dan 4 sahabatnya, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. Tetapi ‘Hang’ pada nama-nama bangsa Cina, memang ada. Contohnya, yang bermula dari Hang, Tan dan Lee. Itupun bergantung kepada suku kaum asal mereka dari wilayah-wilayah tertentu dari negeri China. Kalau nak dikatakan, ianya adalah gelaran anugerah dari Raja-raja Melayu, itupun tidak benar juga. (Nama Hang Samrin sekarang ada, tapi bukan di Malaysia).
Kenapa?
Menurut Mohd Yunus Ibrahim dari Jabatan Sejarah UKM (dalam kertaskerja bertajuk ‘Melaka 1400-1511 Dari Aspek Kemasyarakatan), gelaran-gelaran yang diberi hanyalah Bendahara, Paduka Raja, Temenggung, Laksamana, Syahbandar dan Mandulika. Tiadapun gelaran ‘Hang’!
Menurut buku ‘Sejarah Melayu’ (edisi W.G.Shellabear MPH Ltd S’pore), pemergian Tun Perpatih Putih utusan Sultan Mansur Shah ke negeri China, telah membawa balik Puteri Hang Li Po bersama 500 dayang-dayang. Sultan Mansur Shah telah berkahwin dengan puteri tersebut (kahwin campur) dapat putera, diberi nama Paduka Mamat. Tidak pula diberi nama Paduka ‘Hang’ Mamat.
Biasanya nama-nama dalam loghat Cina mempunyai 3 sukukata. Hang Tuah dikaitkan dengan Hang Too Ah. Hang Jebat dari Hang Jee Fatt. Hang Lekir dari Hang Lee Ker dan Hang Lekiu dari Hang Lee Kiew. Bagaimana pula dengan Hang Kasturi yang mempunyai 4 sukukata?
Terdapat 2 andaian. Pertama, Hang Kasturi memang berbangsa Melayu, tetapi bergaul rapat dengan anakcucu dari rombongan Puteri Hang Li Po. Kedua, memang nama sebenarnya Kasturi, tetapi ditambah ‘Hang’ oleh 4 rakankaribnya yang Cina itu, hingga menjadi sebutan kekal.
Ada lagi pendapat yang menarik, di mana dalam kertaskerja Ong Hak Ching dari Jabatan Sejarah UKM menyebutkan, Sultan Mansur Shah telah memberi tempat kediaman di Bukit Cina kepada Puteri Hang Li Po dan 500 dayang-dayangnya. Termasuk mereka yang belum Islam atau sudah Islam. Anak cucu mereka digelar ‘biduanda Cina’ yang bermakna ‘golongan yang dilindungi’.
Pada saya, mungkin dari sinilah lahirnya golongan ‘baba & nyonya Melaka’ yakni golongan Cina yang masih belum beragama Islam tetapi sudah berbudaya (berpakaian, bercakap, makan atau lain-lainnya) seperti orang Melayu, terdapat hingga ke hari ini di Melaka. Kerajaan waktu itu tidak memaksa mereka menganut agama pemerintah, menekan atau menghalau keluar dari negaranya sendiri seperti yang berlaku dalam kebanyakan negara-negara minoriti orang Islam hari ini.
Golongan seperti ini (yang belum Islam) dalam Negara Islam disebut ‘zimmi’, bermakna ‘yang dijamin’ (yakni dijamin keselamatannya oleh kerajaan Islam). Bagi golongan yang telah menganut agama Islam dan berbudaya Melayu waktu itu, mereka sudah tiada beza dengan orang Melayu dan larut dalam bangsa Melayu. Bukan itu sahaja, bahkan dalam budaya Melayu pun sudah diresapi pengaruh Cina. Umpamanya istiadat payung kuning di kalangan raja Melayu, gelaran ‘biduanda Cina’, hang, silat kuntau, ukiran pagoda di masjid-masjid Melaka dan sebagainya.
Di situlah perlunya Masjid Cina atau Pusat Kebudayaan Cina, untuk kembalikan balik budaya Cina di kalangan orang Cina yang beragama Islam, atau kepada orang Cina yang baru hendak masuk Islam. Mengikut Mohd Ridhuan Tee Abdullah yang mempertahankan pembinaan Masjid Cina,



“… senibina pun adalah anugerah Allah hasil kreativiti manusia ciptaan-Nya. Justeru, ia perlu saling diraikan antara satu sama lain selagi mana ia tidak bercanggah dengan syariat. Inilah keindahan Islam. Lagipun, ia adalah alat dakwah yang membawa makna yang cukup besar.”



Begitupun, Masjid Cina bukan untuk orang Cina sahaja, seperti juga Masjid Melayu di Pulau Pinang dan Masjid India yang ada hampir di seluruh negara bukan digunakan oleh sesuatu bangsa sahaja. Jadi, ciri-ciri Masjid Cina perlu diluaskan perbincangannya. Konsep pembinaan dan peranaannya perlu diperjelaskan.
Seperti firman Allah SWT; ‘Wahai manusia, sesungguhnya Kami ciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, supaya kamu saling kenal-mengenal.’ (Hujurat: 13)
Tidak timbul soal perkauman seperti yang dicanang oleh golongan yang tidak mahu pembinaan Masjid Cina. Contohnya, di bandaraya Pulau Pinang sendiri pun sudah ada Masjid Melayu, Masjid Capitan Keling, Masjid Benggali dan Masjid Pakistan, takde gaduh-gaduh pun?!
Berbalik kepada kertaskerja Ong Hak Ching lagi, terdapat 3 andaian hipotesis mengenai hal yang disebutkan tadi. Pertama, tidak semua dari rombongan Puteri Hang Li Po itu memeluk agama Islam. Kedua, Hang Too Ah, Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew adalah keturunan Puteri Hang Li Po. (Semua nama-nama itu bermula dengan ‘Hang’.) Ketiga, keempat-empat sahabat karib ini kemudiannya memeluk agama Islam, tetapi mengekalkan nama Cina mereka mengikut loghat Melayu.
Jadilah nama mereka seperti yang disebut dalam buku-buku sejarah Melayu sekarang, iaitu Hang Tuah, Hang Jebat, Hang Kasturi, Hang Lekir dan Hang Lekiu. (Kalau perkataan tuah, jebat dan kasturi ada maknanya dalam bahasa Melayu, bagaimana dengan makna lekir dan lekiu? Tandanya nama-nama ini bukan asal dari Melayu..)
Mengenai Hang Kasturi menurutnya terdapat percanggahan pendapat sejak dulu lagi. Siapa pula sebenarnya yang derhaka kepada Sultan Melaka? Pengarang ‘Sejarah Melayu’ mengatakan Hang Kasturi, sedangkan pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ menyebutkan Hang Jebat. Terdapat 3 andaian mengenainya. Pertama, terdapat sesuatu yang unik dan tersembunyi tentang kedua-dua tokoh ini, sehingga tiada kata sepakat dari kedua-dua pengarang tersebut atau pakar sejarah lampau.
Kedua, pengarang ‘Sejarah Melayu’ menggunakan bahan dalam penulisannya, hanya secara mengambil pendapat lisan, dan tiada suatu penulisan terperinci, yang luas dan menyeluruh. Ketiga, pengarang ‘Hikayat Hang Tuah’ nampaknya lebih formal, kerana menggunakan semacam bentuk kajian hingga dapat menggariskan hal-hal peribadi Hang Tuah secara detail.
Kesimpulannya, Hang Tuah adalah lagenda pahlawan Melayu. Ianya dijadikan simbol dan kemegahan Bangsa Melayu, walaupun sebenarnya beliau adalah orang Cina yang di ‘Melayu’kan. Begini asal usulnya menurut hipotesis itu…
Hang Tuah, adalah anakcucu kepada keturunan rombongan Puteri Hang Li Po berbangsa Cina, yang datang dari negeri China ketika pemerintahan Sultan Mansur Shah. Pendapat ini tidak sama dengan apa yang saya pernah sebutkan dalam tulisan pertama (Masjid Cina: Orang Cina Tolong Melayu. iaitu “…Mereka adalah pendekar-pendekar Cina yang dihantar oleh kerajaan Cina untuk mengawal puteri Hang Li Po”).
Nama asalnya ialah Hang Too Ah. Tetapi setelah memeluk Islam dan berkhidmat dengan Sultan Melaka, sebutan namanya ini telah bertukar menjadi Hang Tuah. Pengislaman Hang Tuah telah mempengaruhi rakan karibnya yang 3 lagi, iaitu Hang Jee Fatt, Hang Lee Ker dan Hang Lee Kiew, yang juga akhirnya masuk Islam. Mereka pula bergaul rapat dengan Kasturi, rakan sebaya yang berbangsa Melayu. Sebagai tanda persahabatan yang abadi, Kasturi pun diberi gelaran ‘Hang’, menjadi Hang Kasturi.
Mereka berlima mulai terkenal di kalangan istana apabila mereka berjaya menyelamatkan Bendahara Negeri Melaka dari serangan orang mengamuk. Mereka terkenal dengan nama-nama Melayu, walaupun mereka berempat berasal dari anakcucu Hang Li Po berbangsa Cina. Disebabkan tiada bantahan apa-apa jika dilihat dalam sejarah, maka orang Melayu waktu itu dikatakan boleh menerima orang Cina seperti saudara sebangsa mereka.
Pernah Saudara Kamal Koh, seorang pemimpin PAS Wilayah Persekutuan berbangsa Cina bercerita kepada saya, di mana beliau dan kawan-kawannya (semuanya berbangsa Cina yang sertai PAS) pernah berjumpa seorang tokoh pembangkang Cina yang terkenal di Malaysia. Mereka bertanya pendapat mengenai kemasukan mereka dalam PAS. Jawab pemimpin Cina tersebut…
“Maaf saudara! Saya sudah terlambat. Kalau saya masih berumur seperti saudara-saudara, saya juga akan memeluk agama Islam seperti saudara. Saya berseru kepada genarasi muda Cina supaya memeluk agama Islam. Berusahalah saudara-saudara menarik mereka kepada Islam. Kerana amat sukar bagi orang Cina untuk menjadi pemimpin negara yang majoritinya orang Melayu, kecuali kalau ia beragama Islam.”
Seorang Cina Muslim akan mendapat sokongan bukan sahaja dari kalangan orang Cina, bahkan juga dari kalangan orang Melayu. Buktinya, tokoh-tokoh Cina dalam PAS yang masih muda juga boleh diterima sebagai pemimpin di kalangan orang Melayu dalam PAS. Begitu juga dalam parti yang perjuangkan kebangsaan Melayu seperti UMNO, mereka juga boleh menerima orang yang bukan Melayu tulen menjadi pemimpin utama mereka, kerana ia beragama Islam, masakan bagi orang Cina Muslim tidak boleh? Nak tukar agama memang boleh, tetapi nak tukar bangsa mana boleh?!
Pernah akhbar ‘Tras Pembangunan’ bil 1 Nov 1991 (mungkin sekarang dah takde) menyebutkan, dua tokoh sejarah dan pendidik keturunan Cina, Prof Dato’ Khoo Kay Kim dan Dr Tan Ooi Chin sepakat menyatakan di mana perkara ini adalah terlalu unik dan perlu kajian yang mendalam. Menurut mereka, kita sepatutnya menunggu hasil kajian pengkaji-pengkaji di Hong Kong mengenai sejarah kerajaan Melaka berdasarkan sumber-sumber Cina.
Saya nak tanya, nak tunggu sampai bila? Dah 16 tahun dari tarikh kenyataan tu? Apakah ada golongan yang cuba menghalang?
Kini ada pula pandangan dan kajian terbaru menyebutkan nama sebenar Hang Tuah adalah Tun Saaban, iaitu Sultan Iskandar Muda Thani, Sultan Acheh. Gelarannya di Siam (Ayuthia) disebut Narai. Lihat blog, ‘sejarahnagarakedah.blogspot.com.’Apakah langkah-langkah yang patut diambil untuk mewujudkan sebuah Masjid Cina di Malaysia?
Kalau mereka adalah orang dalam kerajaan, mereka mesti main peranan dari dalam. Pertubuhan-pertubuhan bebas, NGO-NGO, atau pertubuhan-pertubuhan Cina Muslim, pertubuhan-pertubuhan Islam hatta pertubuhan politik pun perlu turut campur. PAS juga patut memain peranan seperti dalam tulisan saya, ‘Pilihanraya Kecil Ijok: Mampukah PAS Perintaah Malaysia? (TranungKite Online April 2007)”
Jadi, tidak semestinya Masjid Cina itu dibina dan diusahakan oleh orang Cina (seperti pertanyaan dalam tulisan ‘Masjid Cina: Hang Too Ah & Misteri Masjid Tak Siap’ yang lepas)… Kalau betul Hang Tuah orang Cina itu boleh di ‘Melayukan’, takkanlah masjid-masjid unsur kecinaan di Melaka itu tidak boleh di ‘Masjid Cina’kan???

Catatan santai: ibnuhasyim. blogspot.com (e-mail: ibnuhasyim@ gmail.com)
16-05-2007

06 Mei 2008

TEGAKKAN KETUANAN MELAYU


Ironisnya situasi pasca PRU 12 ini apabila pelbagai pihak cuba menjadi juara dalam menangani isu Perpaduan Melayu . Kononnya melayu dilihat terhimpit dan kian terhakis . Keputusan pilihanraya umum baru - baru ini dianggap sebagai indeks yang menunjuk aras kedudukan melayu masa kini .
Kekalahan UMNO dan BN dalam pilihanraya umum yang lalu khasnya di 5 buah negeri yang kini dikuasai oleh PAKATAN dianggap sebagai kejatuhan dan kemusnahan bangsa melayu .
Saya nyata sangat tidak bersetuju dengan tanggapan sedemikian , sebaliknya melihat bahawa ini adalah usaha UMNO dan BN untuk menutup atau melindungi aib mereka lantaran kalah teruk dalam PRU 12 tempoh lalu . Menyembunyikan kegagalan mereka ( sehingga kini antara mereka masih bertelagah dalam menuding antara satu sama lain agar mengambil tanggungjawab atas kekalahan mereka ) lalu menganggap melayu dan ketuanannya kini lemah dan tercabar .
Bertolak dari isu yang mereka cipta , gelombang kebangkitan dan pemulihan ketuanan melayu mula digerakkan . Pada mereka apabila UMNO kalah maka melayu kalah . Walhal UMNO tidak lagi dilihat mewakili orang melayu sebaliknya perjuangan UMNO lebih tertumpu kepada golongan elit dan kroni para pemimpin mereka sebagaimana ianya diakui oleh Tengku Razaliegh Hamzah .
Mereka mula menjual muka untuk mencari simpati rakyat dalam usaha memulihkan keyakinan mereka terhadap prestasi yang buruk dalam PRU 12 lalu dengan menjadikan isu Ketuanan Melayu sebagai perangkap .
Sebagai rakyat berbangsa melayu , saya bangga dengan bangsa saya dan saya bangga menjadi melayu . Saya juga mahukan bangsa saya hebat di mata dunia dengan memiliki maruah dan harga diri yang tinggi .
Tetapi UMNO tidak layak untuk bercakap soal melayu apalagi untuk bercakap soal ketuanan melayu . Selain daripada UMNO adalah sebuah parti perkauman dan hanya bercakap soal melayu dengan bahang api perkauman dikala mereka tersepit dan kalah seperti ini , UMNO lebih dilihat sebagai pengkhianat bangsa dan perosak anak bangsa sendiri .
Sejarah tidak mungkin dapat melupakan tindakan "jahat" UMNO menghapuskan tulisan jawi sehingga melahirkan generasi yang buta jawi dan al Quran . Implikasinya , generasi ini membesar dalam keadaan jauh dari petunjuk Ilahi dan mereka mula terpesong dengan menjebakkan diri secara mudah dalam kancah maksiat dan mungkar .
UMNO mungkin tidak dapat memaafkan diri mereka sendiri apabila bertindak "bodoh" demi mengekalkan kuasa mereka , dalam kesempatan membentuk persempadanan semula kawasan pilihanraya bagi sessi penggal 2003/2004 tidak menambah langsung kerusi parlimen di kawasan majoriti melayu seperti Kedah , Perlis , Terengganu dan Kelantan berasaskan kebimbangan pihak PAS akan menang besar dalam pilihanraya .
Samalah sebagaimana UMNO "mendera" rakyat yang rata - ratanya berbangsa melayu di negeri Terengganu dangan merampas Royalti minyak petroleum Terengganu sedang mereka membayarnya untuk Sabah dan Serawak .
Menutup dua buah MRSM di negeri Terengganu berasaskan "dendam" politik di zaman PAS menguasai negeri tersebut turut dilihat sebagai jenayah UMNO terhadap bangsa melayu .
Bertambah parah apabila UMNO kelihatan nekad membantai dan membelasah orang melayu yang rata - rata beragama Islam apabila mereka meruntuhkan institusi ibadah orang melayu yang beragama Islam seperti masjid dan surau dan ini berlaku di Kg. Bujal Terengganu , Kampung Berembang di Ampang , Surau Jubli Perak Bandar Baru Bangi dan demikian mereka mengunci surau dan masjid seperti apa yang berlaku kepada surau seksyen 18 di Shah Alam dan lainnya.
UMNO juga bertanggungjawab memberi tekanan ke atas sekolah agama rakyat (SAR) dengan tidak lagi memberi bantuan perkapita kepada sekolah - sekolah agama milik rakyat yang umumnya pelajar SAR ini adalah orang - orang melayu yang beragama Islam sehingga akhirnya sebahagian SAR rebah menyembah bumi dan tidak lagi mampu beroperasi dengan baik untuk mebekalkan ilmu agama kepada rakyat.
Tiada siapa yang dapat memaafkan UMNO apabila mereka menangkap dan memenjara malah menyeksa pemimpin - pemimpin melayu terutama daripada PAS hanya kerana mereka menentang UMNO dalam sebuah negara demokrasi . Pula tidak pernah mereka membicarakan para pemimpin melayu yang mereka tahan secara adil di mahkamah sebaliknya menggunakan akta draconian ISA untuk kepentingan atau survival kuasa politik mereka .
Pemimpin UMNO mengambil kesempatan di atas mandat undi rakyat untuk mengautkan keuntungan membina empayar dan kemewahan keluarga dan kroni mereka bertaraf million ringgit , sementara rakyat khasnya yang berbangsa melayu terus melarat sehingga masih ada kampung melayu dalam negeri maju di negara ini di sampai elektrik dan air.
Bila UMNO menjaga melayu ? lihat aksi mereka menjelang pilihanraya . Sasaran mereka ialah Kelantan yang Menteri Besar dan Exco serta rakyatnya majoriti melayu . Mereka dera Kelantan lebih 17 tahun hanya kerana semata - mata Kelantan menolak kepimpinan UMNO . Sedang mereka tidak peduli nasib orang melayu di Pulau Pinang yang pernah disebut oleh Tun Dr. Mahathir bagai berada di zaman perang dunia kedua. Mereka juga tidak ambil endah kesan ke atas orang melayu di Johor dengan projek Pembangunan Wilayah Iskandar apabila mereka membuka kawasan itu kepada Singapura .
Melayu mana yang UMNO jaga ? Melayu mana yang UMNO peduli ?

Apalagi melayu yang tinggal pada UMNO melainkan hanya tahu menghunus keris di saban mesyuarat agong mereka tetapi penakut dan bacul terhadap tekanan kuasa luar terutama yang membabitkan isu ummat Islam biarpun UMNO melalui presidennya pernah diberi penghormatan menjadi pengerusi OIC .
Paling ringan "azab" yang bakal UMNO terima ialah melalui dosanya memaksa pengajian Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris . Hari ni barulah mereka bertelagah dan saling mempersoalkan sesama sendiri atas kewajaran mengekalkan pengajian sains dan matematik dalam bahasa Inggeris . Bila UMNO pertahankan bahasa melayu bahasa ibunda ?
Entahlah , saya naik jelak apabila UMNO cuba bercakap soal melayu . Melayu yang mereka tindas dan khianati . UMNO menikam melayu dari belakang kemudian berlagak nak bercakap soal melayu .
Kalau dulu mungkin masyarakat mudah terpedaya dengan lakonan hebat para pemimpin opurtunis UMNO ini tetapi tidak pada kali ini . Ini adalah zaman bloggers dan websiters bukan zaman pengampu dan pengipas.
Pada saya UMNO hilang kelayakkan dan langsung tidak punya authority untuk bercakap soal melayu yang telah dikhianatinya.
Kalaulah ada sedikit peluang untuk UMNO bermuhasabah dan bertaubat dengan taubat nasuha , UMNO terlebih dahulu mengikis buang segala daki perkauman dan sikap opurtunis mereka sebelum mereka nak bercakap soal melayu .

KETUANAN ISLAM.
Soal bangsa boleh diperjuangkan tetapi tidak dengan semangat perkauman tetapi atas semangat agama yang penuh toleransi dan saling menghormati antara agama dan bangsa .
Agama Islam mengizinkan kita kasihkan bangsa tetapi tidak menghela kepada semangat perkauman sehingga bersikap prejudis terhadap kaum bangsa lain . Justeru itu , Ketuanan Islam wajar diperjuangkan . Islam selamat maka bangsa akan selamat .
Islam adalah agama yang tidak meletakkan warna kulit dan bahasa lidah sebagai kualiti dalam sistem nilainya , tetapi merujuk kepada taqwa dan ketundukkannya kepada Allah Tuhan yang mencipta alam ini.
Dalam khutbah al wada' ( dari Jabir bin Abdullah rha. ) Nabi saw. pernah bersabda :

يأيها الناس ألا إن ربكم واحد ألا إن أباكم واحد ألا لا فضل لعربي على أعجمي و لا لعجمي على عربي و لا لأسود على أحمر و لا أحمر على أسود إلا بالتقوى إن أكرمكم عند الله أتقاكم

Maksudnya : Wahai manusia ! Ketahuilah sesungguhnya Tuhan kamu adalah satu . Sesungguhnya bapa kamu adalah satu . Ketahuilah ! Tiada kelebihan bagi Arab mengatasi bukan Arab dan tiada ( kelebihan ) bukan Arab mengatasi Arab dan demikian tiada ( kelebihan ) sikulit hitam mengatasi sikulit merah dan tiada ( kelebihan ) sikulit merah mengatasi sikulit hitam kecuali dengan TAQWA . Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa dikalangan kamu .
Al Bukhari Jilid 1 . M/s 131 : Hadis no : 1652

Demikian membawa maksud yang sama , Allah berfirman di dalam surah al Hujurat ayat 13 bahawa Ia mencipta manusia yang terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan malah berpuak - puak dengan pelbagai suku kaum untuk mereka saling kenal mengenal ( berinteraksi dan bekerjasama ) antara satu sama lain dan kemuliaan melalui sistem nilai Ilahi ialah kepada mereka yang paling bertaqwa kepadanya .
Islam membatasi isu perkauman dan sangat menghormatinya malah Islam telah menetapkan dasar tidak sekali - kali boleh kita memaksa orang lain memeluk ajaran Islam termasuklah menghina tuhan - tuhan mereka .
Ini sebahagian adab dan prinsip Islam yang berjaya meletakkan Islam sebagai sebuah agama yang sesuai untuk semua dan sangat toleransi dengan semua kecuali terhadap mereka yang menghina dan memeranginya.
Alhamdulillah , perkembangan semasa hari ini memperlihatkan sedikit demi sedikit tembok perkauman ini runtuh dan ia membuka ruang yang lebar untuk semua pihak menilai Islam dari dekat tanpa sebarang halangan besar .
Sekurang - kurangnya mereka akan memahami bahawa apa yang dilontar oleh barat selama ini adalah tidak lebih sekadar satu tohmahan jahat dan liar terhadap Islam .
Islam sebenarnya tidak asing kepada semua bangsa dalam negara kita . Islam terlebih dahulu sampai ke negera China berbanding Malaysia demikian juga India yang lebih awal menerima kemasukan Islam ke negara mereka . Melayu ternyata jauh lebih lewat menerima Islam berbanding China dan India .
Islam mengajar elemen yang suci dan baik serta menghormati perbezaan agama dan budaya . Lantaran itu , Islam andai diberi peluang , mampu meletakkan negara yang pelbagai kaum ini berada dalam satu hubungan raya antara kaum dan bangsa yang harmonis dan selamat . Tiada siapa yang akan dinafikan haq apalagi disakiti oleh pemimpinnya tanpa haq.
Lihat sajalah kepada 2 prinsip dan dasar kepimpinan Islam dalam isu hubungan antara kaum dan hak persamaan mereka dalam sebuah negara Islam , sebagai contoh saya perlihatkan :
Pertama kenyataan Saidina Abu Bakar as - Siddiq pada hari baginda dibaiah atau dilantik menjadi Ketua Pemerintah :

إني وليت عليكم و لست بخيركم فإن أحسنت فأعينوني و إن أسأت فقوموني الصدق الأمانة و الكذب الخيانة القوي فيكم ضعيف عندي حتى آخذ حق منه و الضعيف فيكم قوي عندي حتى آخذ حق له

Sesungguhnya akhu dilantik menjadi pemimpin kamu sedang aku bukanlah yang terbaik dikalanmgan kamu . Justeru itu , jika berlaku adil maka bantulah aku dan jika aku menyeleweng maka perbetulkan aku . Benar adalah amanah dan bohong adalah khianat . Orang kuat pada kamu adalah lemah padaku sehingga aku boleh mengambil suatu yang hak daripadanya sementara orang lemah pada kamu adalah kuat padaku sehingga aku mengembalikan haknya.
Kedua dapat dilihat melalui sikap Nabi saw. terhadap non muslim yang sedia berada dibawah pemerintahan Islam yang disebut sebagai kafir zimmi . :

من آذى ذميا فقد آذاني

Barang siapa yang menyakiti non muslim yang berada di bawah pemerintahan Islam ( zimmi ) maka ia telah menyakiti diriku .

posted by Us.Hj. Nasrudin Hj. Hassan At Tantawi

02 Mei 2008

Maulid Nabi suatu nikmat anugerah Allah kepada kita



Syeikh Prof Dr Yusuf al Qaradhawi dalam laman khas beliau - baru-baru - ini mengatakan:


"Ada beberapa kalangan orang Islam yang menganggap apa sahaja keraian dan peringatan yang berkaitan dengan apa-apa program hari kebesaran Islam seperti hijrah Nabi, maulid , Isra' mi'raj dan lain-lain sebagai bid'ah."


Ini tidaklah benar secara mutlak. Apa yang kita tolak ialah sambutan keraian yang disertakan dengan acara-acara yang batil, haram dan maksiat. Tapi kalau ia tidak mengandungi acara acara lagha seperti itu tetapi sebaliknya mengandungi acara yang berfaedah maka tentulah ia suatu yang harus . Apabila kita bercakap mengenai maulid - umpamanya - kita mengingatkan orang ramai tentang nikmat Allah kerana menganugerahkan seorang Rasul kepada kita. Manakala mengingati nikmat ini suatu yang disuruh, Allah berrfirman dalam surah al Ahzab ayat 9-10 yang bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, kenangilah nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu. semasa kamu diserang oleh tentera (Al-Ahzaab), lalu Kami hantarkan kepada mereka angin ribut (yang kencang untuk memporak-perandakan mereka) serta angkatan tentera (dari malaikat) yang kamu tidak dapat melihatnya. Dan (ingatlah) Allah sentiasa melihat apa yang kamu lakukan.

Iaitu ketika tentera musuh datang melanggar kamu dari sebelah hulu dan dari sebelah hilir (tempat pertahanan) kamu; dan dalam masa yang sama pemandangan mata kamu tidak keruan (kerana gempar dan bingung) manakala hatikamu pula di puncak kegelisahan , dan kamu ketika itu menyangka terhadap Allah dengan berbagai sangkaan (yang bukan-bukan)." (Lihat huraian lanjut beliau dalam pautan berikut.

Sebenarnya agama Islam bukan hanya mengandungi acara kera'ian tapi lebih jauh mengandungi berbagai kegiatan dan lapangan hidup. Kalau kita merujuk al Quran sahaja pun kita dapati ayat ayat Makki yang kebanyakkannya pendek-pendek – menurut Dr Wahbah al Zuhaili - mengandungi matlamat untuk :

• Membetulkan akidah dan akhlak

• Mengencam syirik dan penyembahan berrhala

• Menegaskan akidah tauhid• Menghapuskan saki-baki kesan jahiliah seperti membunuh , bezina dan menanam anak perempuan hidup-hidup.

• Membentuk masyarakat dengan adab dan akhlak Islam seperti adil, menepati janji, ihsan, tolong menolong dalam kebaikan, tidak membantu melakukan kemungkaran, melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan.

• Menggunakan akal dan fikiran

• Menolak syak-wasangka dan taqlid buta

• Membebaskan manusia

• Mengambil iktibar atau pengajaran daripada sejarah para nabi bersama kaum mereka.


Menakala ayat ayat Madani pula kebanyakkannya panjang-panjang ; diturunkan untuk:

• Menjelaskan perundangan, hukum hakam, ibadat, mu’amalat hukuman jenayah dan tuntutan hidup Baru dalam pembentukan sebuah masyarakat Islam di Madinah.

• Mengatur hal ehwal politik dan pemerintahan

• Memantapkan prinsip syura dan keadilan ketika menentukan hukum.

• Menyusun perhubungan antara umat Islam dan bukan Islam, di dalam negara ataupun di luar negara, ketika damai mahupun dalam waktu perang.

• Mensyariatkan hukum jihad untuk menyelamatkan diri daripada penganiayaan, permusuhan, pengusiran dan sebagainya.

• Meletakkan garis panduan dan kaedah mengikat perjanjian untuk mengukuhkan perdamaian, keamanan dan kesejahteraan.

Kalaulah demikian luasnya ajaran Islam maka umat Islam perlu berusaha menghayatinya sedaya yang mampu .

Mereka tidak boleh tersesat dengan fatwa songsang yang mengatakan bahawa menghubungkan politik dengan agama adalah bertentangan dengan pandangan ahli sunnah wal jamaah. Jelas kejahilan dan kebatilan fatwa ini yang akan diuar-uar dan hebohkan oleh media apabila rakyat menghampiri pilihan raya umum kelak.

Mengenai apakah orang yang menerima Islam hanya sebagai keraian boleh menjawab soalan Munkar Nakir di di alam kubur dan pertanyaan di padang mahsyar maka jawabannya jelas bahawa mereka tentu tidak akan dapat menjawab sebagaimana mestinya. Mereka pasti akan disiksa dan dihukum kerana mengabaikan aspek-aspek yang tidak mereka laksanakan ketika mereka hidup di dunia. - mks.


* Ustaz Abdul Ghani Shamsuddin - Penulis adalah Presiden Sekretariat Himpunan Ulama Rantau Asia (Shura)
Posted by AM HARI INI at 7:01 PM 0 comments