15 Disember 2008

MB Ir Nizar : JKKKP tidak boleh saman Kerajaan Negeri Perak

MB Ir Nizar: JKKKP tidak boleh saman Kerajaan Negeri Perak

Selepas memenangi pilihanraya Mac lalu, Kerajaan Negeri Perak telah melantik Ketua-ketua Kampung dan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) yang baru sebagai wakil sah di kampung-kampung. Mereka berperanan dalam pengurusan tadbir pembangunan dan hal ehwal keselamatan di setiap kampung.

Namun Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional cuba memainkan peranan dalam hal ehwal pengurusan tadbir pembangunan di Negeri-negeri Pakatan Rakyat. Di Negeri Perak umpamanya pada peringkat Negeri, Barisan Nasional mengujudkan Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP) dan diperingkat kampung diujudkan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP).

Tindakan JKKKP yang cuba menguasai kepentingan umum bagaikan pertindihan kerja dan jika tidak dibendung dikuatiri akan berlaku sikap berpuak dalam masyarakat. JKKKP adalah pertubuhan yang tidak termaktub dalam Undang-undang Tubuh Negeri Perak bagaimana mahu mencabar Kerajaan Negeri Perak ke mahkamah.

Demikianlah pandangan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP), Dato’ Zainal Abidin Omar yang mahu Ketua-ketua JKKKP mencabar Kerajaan Negeri Perak ke mahkamah kerana mempertikaikan hak jagaan Dewan Orang Ramai dan Balai Raya di kampung-kampung seperti dilaporkan.


The Star: 15 Dis 2008 Tindakan Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) di Negeri Perak yang mahu mengambil tindakan undang-undang di mahkamah tidak mungkin oleh kerana Jawatankuasa itu adalah pertubuhan tidak bertempat. Mengulas kenyataan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan, Dato’ Zainal Abidin Omar yang mahu Ketua-ketua JKKKP mencabar Kerajaan Negeri Perak ke mahkamah berkaitan penggunaan Dewan Orang Ramai (Balai Raya), Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Nizar berkata:
“Perundangan hanya mengiktiraf Jawantankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) jadi JKKKP tiada bertempat.” Beliau berucap kepada pemberita selepas mempengerusi Mesyuarat Exco Negeri di Ipoh, Jumaat lalu menambah, “sedangkan JKKK adalah entiti yang diiktiraf oleh Sidang Dewan.”

Kepada pendapat Dato’ Zainal Abidin, Dewan-dewan itu kepunyaan Kerajaan Persekutuan disebabkan bangunan tersebut dibina dengan peruntukan pusat, Ir Nizar berkata Kerajaan adalah pemilik setiap struktur yang dibina diatasnya dan ini dipersetujui dibawah ordinan Tanah Negara.

Ir Nizar tegaskan jika perwakilan Barisan Nasional ingin menggunakan dewan berkenaan, mereka hanya perlu mengajukan permohonan.“Kita tidak akan tegah mereka dari menggunakan kemudahan ini.”

Dari laporan awal diberitakan penggunaan Balai Raya dalam negeri ini menimbulkan perselisihan diantara Ketua Kampung yang baru lantik dengan JKKKP semenjak Pakatan Rakyat mengambil alih Kerajaan. - The Star

SEKOLAH PONDOK ALA CHALET AKAN DIBANGUNKAN DI JURU

Mohd Sabri Said
Mon | Dec 15, 08 | 1:13:16 pm MYT

BUKIT MERTAJAM, 15 Dis (Hrkh) - Kampung Sekolah, Juru di Seberang Perai Tengah (SPT) bakal dibangunkan sebuah institusi pondok tradisonal bercirikan chalet di kawasan berbukit mulai tahun depan oleh sebuah pertubuhan yang dikenali dengan Pertubuhan Pondok Turath Islam Pulau Pinang.

Menurut Pengerusi pertubuhan tersebut, Ustaz Ahmad Tajudin Abu Bakar, tujuan utama penubuhan pondok berkenaan ialah mahu memastikan institusi pondok lama tidak hilang ditelan zaman.

"Pemilihan Kampung Sekolah, Juru sebagai sebuah pusat pengajian pondok tradisional berkonsep chalet kerana tanah seluas dua ekar telah diwakafkan oleh aktivis masyarakat, Haji Abdul Razak Saad yang turut mahukan institusi ini tumbuh subur selari dengan kebangkitan Islam sekarang," ujarnya pada Harakahdaily baru-baru ini.

Kata beliau lagi, walaupun terdapat ketinggian namun tidak merbahaya kerana ia tidak terletak di kawasan cerun yang boleh mengundang keruntuhan bukit seperti yang berlaku di Bukit Antarabangsa yang mengorbankan empat nyawa dan memusnahkan 14 buah rumah mewah.

Ia agak tinggi dari paras jalan raya dan mempunyai pemandangan yang cantik, tambahan lagi bukit dulunya tinggi kini telah diratakan bagi pembinaan 60 buah pondok untuk pelajar seramai 120 orang, katanya.

Katanya, pondok yang bakal dibina nanti mempunyai keluasan 10 x 12 kaki persegi boleh menempatkan dua orang dalam satu rumah.

Di situ juga sebuah surau akan dibina melibatkan RM950 ribu termasuk infrastruktur asal, tenaga pengajar dan sebagainya, jelasnya.

"Buat pertama kali kita akan menerima pelajar seramai 120 orang tidak termasuk golongan veteran yang berminat kerana pengajian bercorak umum akan dibangunkan selepas fasa pertama siap," terangnya yang juga pengerusi pondok yang akan dikenali dengan Al-Majma' Attutath Al-Islami Al-Malizi.

Menurut Ustaz Tajudin lagi, pemilihan lokasi itu juga kebetulan Kampung Sekolah telah berjaya menubuhkan Pusat Pendidikan Islam (Pasti) dan menjadi pusat gerakan aktiviti masyarakat tanpa melibatkan percaturan politik mana-mana pihak.

Faktor itu sambungnya, membuatkan pertubuhan yang bakal diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan penghujung bulan ini menumpukan sepenuh kerja-kerja pembinaan yang akan dirasmikan oleh Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat yang dijangkakan pada bulan Februari 2009.

"Ibu bapa yang berminat menghantar anak-anak mereka bagi meneruskan pengajian pondok bercorak tradisional boleh mendaftarkan diri pada tarikh yang ditetapkan kelak. Buat masa ini kami lebih menumpukan pencarian dana dan pembangunan untuk institusi yang mendapat pengiftirafan Pejabat Agama Islam Pulau Pinang," jelasnya.

Pengajian di sini katanya, lebih tertumpu pada pengajian bukan setakat penghafalan al-Quran malahan memahami kaedah Bahasa Arab secara mendalam berbanding Pusat Tahfiz yang ada.

Selain itu ia juga ia dapat menjamin pengajian secara nahu Bahasa Arab, Mantik, Balahaq, Bayan dan sebagainya bagi memudahkan pelajar yang ingin melanjutkan pengajian mereka ke Timur Tengah, katanya.

"Selepas itu baru ilmu Tafsir dan Hadith akan menyusul. Untuk menjayakan hasrat tersebut, mana-mana individu boleh menyumbangkan segala bentuk keperluan barangan dan wang ringgit kepada akaun Bank Islam 07052010004134 atau menghubunginya di talian 019-4978551 bagi mendapatkan keterangan lanjut," katanya. - mns_