14 Mei 2009

Mahkamah dengar rayuan Nizar 18 Mei!!!

Mahkamah dengar rayuan Nizar 18 Mei

Harakahdaily Wed May 13, 09 9:47:27 pm MYT

KUALA LUMPUR,13 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini menetapkan 18 Mei ini untuk mendengar rayuan Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang membenarkan penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi.

Tarikh itu ditetapkan selepas Nizar memfailkan notis usul itu di pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan hari ini melalui firma guaman Tetuan Leong & Tan.
Kelmarin Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa Nizar ialah Menteri Besar Perak yang sah.
Turut disertakan bersama notis usul itu ialah sijil supaya kes itu disegerakan.
Bagaimanapun Hakim Mahkamah Rayuan, Dato' Ramly Ali membenarkan Dato' Seri Dr. Zamry Abdul Kadir kekal sebagai Menteri Besar Perak sehingga Mahkamah Rayuan menyelesaikan kes rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi semalam yang mengisytiharkan Nizar sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Dalam afidavit sokongannya, Nizar berkata keputusan Mahkamah Rayuan semalam untuk memberikan perintah penggantungan itu kepada Zambry adalah salah dan beliau (Nizar) mengemukakan permohonan untuk membetulkan perkara itu.
Nizar berkata Mahkamah Tinggi telah membuat takrif yang betul terhadap Perkara 16 (6) Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Beliau berkata sekiranya perintah pelaksanaan itu diberikan ia akan merampas haknya serta membuat keputusan Mahkamah Tinggi mengisytiharkannya menteri besar Perak sebagai sia-sia.
Menurutnya perintah yang diperoleh Zambry itu akan mengganggu pelaksanaan secara lancar dan baik pentadbiran kerajaan negeri Perak selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Negeri Perak.
Nizar juga berkata perintah berkenaan akan mengelirukan rakyat negeri itu mengenai siapakah menteri besar yang sah serta menjadikan keadaan politik lebih tegang dan krisis perlembagaan lebih mendalam. - mks. _