26 Ogos 2008

LAFAZ SUMPAH HANYA LEPAS PROSES PERUNDANGAN - MAJLIS FATWA

Harakahdaily
Tue Aug 26, 08 8:07:18 pm MYT

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos (Hrkh) - Majlis Fatwa Kebangsaan berpendapat proses perundangan perlu berjalan terlebih dahulu sebelum lafaz sumpah laknat (muhabalah) dilakukan oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan bahawa beliau diliwat oleh Penasihat Parti KeADILan Dato' Seri Anwar Ibrahim.





Bernama melaporkan bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato' Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam melakukan sumpah itu, ia perlu melibatkan kedua-dua pihak iaitu individu yang dituduh serta mereka yang menuduh dan ia tidak semestinya dilakukan hanya di masjid.

Bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat khas dengan Jawatankuasa Majlis Fatwa Kebangsaan di sini hari ini, beliau berkata pendapat beberapa tokoh agama terhadap sumpah yang dilakukan baru-baru ini oleh Mohd Saiful berhubung dakwaannya terhadap Anwar itu, telah mengelirukan masyarakat dan ia harus menjadi pengajaran kepada pihak-pihak berkaitan dalam menangani isu seumpama itu pada masa akan datang.

"Kita (Majlis Fatwa Kebangsaan) merasakan bahawa proses perundangan harus berjalan dan muhabalah boleh mengambil tempat apabila proses perundangan itu sudah diselesaikan.

"Apa yang berlaku sekarang harus dijadikan pengajaran agar kedua-dua pihak dapat dibawa ke pengadilan dan apabila satu pihak merasakan bahawa dirinya tidak terbela atau teraniaya, maka muhabalah boleh dilakukan dengan melibatkan kedua-dua pihak berkenaan," katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata rumusan yang dibuat oleh Majlis Fatwa Kebangsaan itu bukan berpihak kepada mana-mana individu sebaliknya ia adalah untuk menegakkan kebenaran mengikut syariat Islam.

"Undang-undang Islam adil dan jangan harus khuatir memikirkan perbicaraan melalui perundangan dan muhabalah boleh dilakukan di mahkamah ataupun di luar mahkamah bergantung kepada keputusan yang akan dibuat.

"Kedua-dua pihak berkenaan mesti berada dalam situasi yang mengizinkan muhabalah atau sumpah itu dilakukan.

Tidak semestinya kedua-dua pihak itu berada pada satu tempat tetapi kedua-duanya mesti terlibat (melafaz sumpah)," katanya.

Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak mempolitikkan atau memanipulasi isu berkenaan kerana sebarang persoalan mengenainya perlu dirujuk kepada ulama atau kitab-kitab agama.

Ditanya sama ada lafaz sumpah yang dilakukan oleh Mohd Saiful mengikut syariat, Ahmad Zahid menjelaskan apa yang dilakukan bekas pembantu peribadi Anwar itu adalah bagi membersihkan nama dan imejnya.

Beliau berkata tindakan Mohd Saiful bersumpah dengan memegang kitab suci al-Quran dan dilakukan dalam masjid adalah perkara-perkara teknikal yang tidak dipertikaikan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.

"(Bagaimanapun) kita berpendapat apa yang telah berlaku dijadikan pengajaran untuk kes-kes akan datang," katanya.

Ahmad Zahid menasihatkan umat Islam supaya tidak melakukan lafaz sumpah sewenang-wenang termasuk terhadap perkara remeh-temeh dan menjadikan perbuatan itu sebagai satu trend.

Beliau berkata sebarang lafaz sumpah itu perlu dilakukan selepas proses perundangan berjalan kerana jika seseorang itu kerap berbuat demikian, sumpah tersebut tiada nilai dan orang ramai tidak akan mempercayainya. - mks._

5 BAS "PENGUNDI HANTU" DITAHAN





Tiga buah bas - sebuah daripadanya membawa penumpang - telah dibawa ke balai polis di Permatang Pauh selepas penyokong PKR percaya mereka digunakan untuk membawa pengundi hantu.

Bas-bas dan penumpang berkenaan kini berada di balai polis Seberang jaya, manakala pemimpin PKR, N Gobalakrishnan, yang juga ahli Parlimen Padang Seri, telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

permatang pauh polling day fru 260808 02Dan pada kira-kira jam 5.30 petang, dua buah bas lagi yang disyaki membawa pengundi hantu, dibawa ke balai polis.

Gobalakrishman memberitahu Malaysiakini bahawa mereka telah dimaklumkan bahawa enam buah bas yang membawa pengundi hantu, akan tiba di Permatang Pauh pada kira-kira 3 petang.

Selepas diperiksa, penyokong PKR mendapati dua buah bas kosong diletakkan di sepanjang Lebuhraya Butterworth-Kulim, dan diperhatikan oleh anggota polis.

Penyokong PKR kemudiannya diberitahu anggota polis tersebut bahawa bas tersebut sedang menunggu pengundi pulang dari mengundi.

permatang pauh polling day fru 260808 01Gobalakishman kemudian berkeras supaya bas-bas tersebut dibawa ke balai polis sementara menunggu laporan polis dibuat.

Dan dalam perjalanan ke balai polis, kumpulan PKR itu menemui sebuah lagi bas masuk ke Permatang Pauh. Bas ketiga ini penuh dengan penumpang.

Gobalakrishnan juga berkata, bas tersebut juga turut dibawa ke balai polis, bersama dengan dengan penumpangnya.

Difahamkan daripada salah seorang pemandunya, bas-bas tersebut datang dari Melaka.

Bas-bas tersebut menggunakan plet pendaftaran Pahang, Melaka, dan Kuala Lumpur. Sebuah daripadanya didapati didaftar di alamat bangunan Umno di Melaka.

Sepasukan polis telah dikejarkan ke balai polis berkenaan bersama sebuah trak meriam air.

Gobalakrishnan dan Setiausaha Agung PKR, Sallehuddin Hashim masuk ke balai polis untuk membuat laporan polis, tetapi keluar 30 minit kemudian dengan tangan kosong.

Gobalakrishnan memberitahu kira-kira 50 penyokong PKR di luar bangunan balai bahawa pihak polis terlalu sibuk untuk menerima laporan mereka. katanya, beliau akan mencuba lagi kemudian.

Gobala dan anak ditahan

Dan dalam satu lagi perkembangan dramatik, ketika Gobalakrishnan pergi semula ke balai polis berkenaan, beliau telah ditangkap bersama dua orang anaknya kerana "memberhentikan bas-bas tersebut".

Anaknya - Arvind, 20, dan Pravin, 23 - juga didakwa dikasari anggota polis sebelum mereka ditangkap.

Polis juga bertindak menyuraikan orang ramai dari balai tersebut.


ANWAR MENANG BESAR !


PERMATANG PAUH, 26 Ogos (Hrkh) - Keputusan rasmi SPR yang diterima adalah Ketua Umum KeADILan, Dato' Seri Anwar Ibrahim menang sebanyak 31,195 undi manakala calon BN mendapat 15,524 undi manakala calon bebas hanya 92 undi. Majoriti undi yang dimenangi Anwar adalah 15,971 undi.