12 Jun 2009

Perak dapat Pesuruhjaya Baru !!!

Presiden PAS telah melantik Ust Abu Bakar Husein sebagai Pesuruhjaya PAS yang baru bagi sessi 2009-2011. Perlantikan ini dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang pertama hari ini jam 10.00 pagi di Pejabat Agung PAS Pusat.

Sebelum ini, Ust Abu Bakar Husein adalah Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, beliau juga pernah menjawat jawatan sebagai YDP PAS Kawasan gopeng untuk beberapa penggal yang lalu. Dalam Pilihanraya umum yang lepas, beliau bertanding di DUN Pengkalan Baru dan hanya kalah dengan majoriti yang begitu kecil iaitu 14 undi. Beliau juga adalah pesara guru agama yang pernah berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Izuddin Shah, Ipoh.

Perlantikan beliau sebagai Pesuruhjaya PAS Perak disambut baik oleh kawasan-kawasan dan dewan-dewan. Dengan pengalaman sebagai pendidik agama, seluruh PAS Kawasan di Perak mengharapkan agar pengalaman mentarbiyyah di gunakan untuk mentarbiyyah ahli-ahli PAS. Beliau sememangnya sangat meminati bidang tarbiyyah haraki.

Markaz Tarbiyyah Air Kuning sentiasa aktif dengan program-program Tarbiyyah yang dikendalikan oleh Lajnah yang dipengerusikan oleh beliau. Pengisian tarbiyyah begitu hidup sepanjang beliau menerajui lajnah tersebut. Pembentangan kertas-kertas tarbiyyah tidak hanya terikat dengan teks tertentu, malahan persoalan ekonomi, politik, ISA dan berbagai-bagai isu semasa di peringkat nasional dan antarabangsa turut diketengahkan. Pimpinan PAS silih berganti menyampaikan pengisian dengan tajuk-tajuk yang mencakupi semua aspek.

Tahniah Ustaz Abu Bakar Husein, ustaz tidak akan bersendirian memimpin negeri Perak, seluruh PAS Kawasan dan dewan-dewan akan membantu ustaz bagi melaksanakan amanat dan mandat ini.