27 Oktober 2009

Nik Aziz sahkan sertai mesyuarat khas

Nik Aziz sahkan sertai mesyuarat khas

Harakahdaily Tue Oct 27, 09 6:13:48 pm MYT

KUALA LUMPUR, 27 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan menyertai mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam esok.

Keputusan itu dibuat Nik Aziz hari ini walaupun sebelum ini beliau keberatan untuk menyertainya dan telah memberikan amanah kepada Salahudin Ayub, Naib Presiden PAS yang menemui beliau baru-baru ini untuk menyampaikan pandangannya.
Perkara ini disahkan oleh Setiausaha Politik beliau, Anual Bakhri Haron kepada Harakahdaily.
Sebelum ini, Nik Aziz dikatakan keberatan untuk ke Kuala Lumpur kerana sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan sedang berlangsung.
"Saya telah sampaikan apa yang saya nak kata kepada Salahudin," kata Nik Aziz sebelum ini.
Namun, hari ini beliau membuat keputusan akan menyertai mesyuarat yang dianggap penting itu.
Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali ditanya bertalu-talu dalam sidang medianya semalam samada Nik Aziz akan datang atau tidak dalam mesyuarat khas esok.
Mustafa berkata, beliau tidak tahu samada Nik Aziz akan datang atau pun tidak tetapi sekurang-kurangnya dia telah memaklumkan pandangannya melalui Salahudin Ayub.
PAS memanggil mesyuarat khas Jawatankuasa PAS Pusat malam esok mulai jam 8.30 malam di Pajabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.
Mesyuarat ini dipanggil ekoran cadangan Nik Aziz agar PAS adakan satu mesyuarat agung luar biasa untuk memilih semula pucuk pimpinannya.
Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengarahkan agar diadakan mesyuarat khas untuk membincangkan perkara ini.
Mesyuarat ini akan mengambil keputusan samada perlu atau tidak diadakan mesyuarat agung luar biasa itu.
Selain AJK PAS Pusat, anggota mesyuarat ini adalah para pesuruhjaya PAS bagi setiap negeri.
Menurut perlembagaan PAS, mesyuarat agung luar biasa boleh diadakan dengan arahan presiden, permintaan satu pertiga ahli Jawatankuasa PAS Pusat atau permintaan satu pertiga dari kawasan-kawasan PAS di seluruh negara iaitu sekurang-kurangnya 57 kawasan. _

HINDARI POLITIKING DALAM JEMAAH - NASARUDDIN TANTAWI

PAS adalah Gerakan Islam
Bukan semata - mata Parti Politik

1. Parti Islam se Malaysia [ PAS ] adalah sebuah Gerakan Islam yang melaksanakan aktiviti Amal Islami ke arah mencapai cita - cita perjuangan Islam iaitu meninggikan kalimah Allah swt sehingga ia mengatasi ideologi ciptaan manusia .

2. Penyertaan PAS dalam medan siasah [ politik ] adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangannya untuk mendaulatkan syariat Allah swt di atas muka bumi ini .

3. Siasah [ politik ] PAS adalah siasah Islamiyyah yang kaya dengan adab , akhlak dan prinsip Islami yang dipandu oleh wahyu dan sunnah . Semua pemimpin dan anggotanya terikat dengan tatacara yang telah dimaktubkan . Pelanggarannya dianggap satu kesalahan yang tidak wajar dilakukan oleh pemimpin dan anggota PAS .

4. Tugas dan tanggungjawab PAS jauh lebih besar dari hanya sekadar berpolitik . Tanpa mengabaikan tanggungjawab politik yang dilunas mengikut prinsip amal Islami , PAS juga mempunyai tanggungjawab besar untuk turun berdakwah dan memimpin fikrah [ pemikiran ] , syakhsiyyah [ peribadi ] dan ruuhiyyah [ spiritual ] masyarakat .

5. Justeru itu , kurangkanlah politiking sesama sendiri yang hanya mengheret kita bersengketa dan membuang masa dalam perkara yang tidak mendatangkan keuntungan kepada perjuangan sebaliknya menjadikan kita retak dan pecah .

6. Berikan tumpuan kepada usaha pengukuhan gerakkerja dan mempelbagaikan aktiviti ke arah memahamkan masyarakat terhadap Islam yang kita perjuangkan . Tidak hanya menumpukan isu - isu politik sehingga memperlahankan tempo dalam gerakkerja dan aktiviti Amal Islami yang lain seperti pemantapan Aqidah dan Fikrah .

7. Jangan biarkan sebarang kemelut melintasi ruang jamaah kita sehingga ia merosakkan penumpuan dan keikhlasan kita terhadap amanah perjuangan . Keasyikan berpolitik dan keghairahan bersaing di dunia politik kini kelihatan banyak melahirkan pemimpin dan anggota parti yang tidak lagi menumpukan tanggungjawab asas sebagai seorang pejuang Islam .

8. Telah ramai pemimpin dan anggota jamaah yang telah mengabaikan solat berjamaah , menjauhkan diri dari majlis - majlis ilmu , tidak lagi melazimi usrah . Ucapannya pula tiada lagi hikmah sebaliknya kasar dan keras . Tindakannya gelojoh , egonya tinggi dan hanya merasa diri sahaja yang bijak dan pandai . Gemar bertelingkah dan suka memfitnah . Melakukan dosa tanpa sedar ianya berdepan murka dan kutukan Allah swt . Sebagai contoh mudah , apabila jamaah dan anggotanya dilanda badai dan kemelut , tiada lagi usaha untuk bermunajat dan solat hajat agar keadaan tenang dan terkawal . Sebaliknya berlumba - lumba nak menyalakan lagi isu yang sedia membara .

9. Saban ketika dan waktu hanya merancang bagaimana nak jatuhkan si anu dan si anu [ saingan politiknya ] kerana ia tidak sependapat dengan aku [ atau mereka memurnikan sedikit alasannya yang berbunyi " demi kebaikan jamaah ...." @ " demi masa depan jamaah ..." dan lainnya sebagai melindungi perkataan sebenar " demi kebaikan aku ..." @ " demi masa depan politik aku ......." ]

10. Segalanya kerana pengaruh politik tanpa agama dan akhlak . Hitungan seharian dalam dunia politik ialah bagaimana nak menang ! bagaimana nak dapatkan undi melayu dan non malay ! tetapi malang , sebahagiannya tidak memasukkan dalam hitungan mereka , bagaimana nak pertahankan Islam dan memenangkan Islam ! Malah ada yang berani mengatakan jangan bercakap Islam kerana nanti kita kurang popular dan non muslim akan menjauhi kita .

11. Sebagai anggota Gerakan Islam , kita tidak seharusnya prejudis terhadap Islam . Perjuangkan Islam nescaya Islam akan menambat hati nurani semua ummat , justeru Islam adalah agama wahyu untuk seluruh manusia . Keadilan Islam dan akhlaknya akan meruntun hati manusia walau pada mulanya mereka membenci Islam . Pentingnya kita mesti tegas bersama Islam .

12. Jangan hanya kita berbangga dengan ilmu dan akhlak pemimpin kita seperti Tuan Guru Hj. Abdul Hadi dan Tuan Guru Hj. Nik Abdul Aziz sedang kita tidak berusaha untuk jadi seperti mereka atau lebih baik dari mereka . Bangga meriwayatkan kesederhanaan 2 tokoh pemimpin kita tetapi kita hidup tenggelam dalam kemewahan yang keterlaluan . Bangga dengan tawadhu' dan wara'nya mereka tetapi kita gopoh , liar dan tidak cermat . Bangga dengan karisma dan wibawa mereka sementara kita sering culas dan nakal .

13. Binalah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita membinanya . Pagarilah jamaah ini sebagaimana kedua Tok Guru kita memagarinya . Kalau kita tidak mampu menjadi seperti mereka berdua , ambillah contoh dan ikutlah qudwah mereka bukan menjatuh dan melemahkan mereka serta melaga - lagakan mereka . Kerana itu perbuatan insan yang nakal lagi liar .

14. Berjuang biarlah dapat pahala , jangan berjuang untuk menambah dosa . Berjuang biarlah ramai sahabat , jangan berjuang meramaikan musuh . Berjuang biarlah tenang , jangan berjuang menambah serabut . Berjuang biarlah damai , jangan berjuang untuk bergaduh . Berjuang lah jangan tidak berjuang ....

15. Kita berjamaah untuk Islam bahkan kita menyertai PAS adalah untuk mendaulatkan Islam . Bukan membina empayar individu jauh sekali memburu kekayaan material . Lantaran itu , tidak sukar untuk kita memahami apa yang saya bangkitkan di sini . jangan tukar PAS sebagai Gerakan Islam kepada PAS hanya sebuah Parti Politik .

Peserta Perkhemahan 1Malaysia lemas







Okt 27, 09 11:20am
Seorang pelajar perempuan mati lemas manakala dua lagi masih hilang sehingga pagi ini apabila jambatan gantung yang mereka lalui secara beramai-ramai untuk menyeberangi Sungai Kampar putus.

Kejadian itu mengakibatkan 22 murid dihanyutkan air deras. Menurut The Star, 19 lagi murid ditemui selamat.

Jambatan tersebut terletak di Pusat Kokurikulum Daerah Kampar dalam kawasan SK Kuala Dipang. Kejadian itu berlaku kira-kira pukul 10.30 malam tadi.

Mereka adalah antara 298 murid dari 60 sekolah rendah dari Kampar, Tronoh dan Batu Gajah yang menyertai aktiviti kokurikulum Perkhemahan 1Malaysia anjuran Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kinta Selatan.

Operasi mencari dan menyelamat melibatkan 222 anggota yang terdiri daripada polis, Tentera Laut Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Rela, Jabatan Pertahanan Awam dan agensi lain serta penduduk kampung dijalankan sebaik kejadian berlaku.

Agensi berita Bernama pula melaporkan, pelajar perempuan yang lemas itu dikenali sebagai Dina Deve a/p Nathan.Mayatnya ditemui berhampiran loji sungai terbabit pada kira-kira pukul 8.30 pagi.

"Mayat telah dibawa ke Hospital Kampar di sini untuk dibedah siasat," kata Timbalan Ketua Polis Perak Datuk Zakaria Yusof kepada pemberita di kawasan kejadian hari in