25 November 2008

DR HASSAN " PANAS " , GUGUR 2 PEMIMPIN


Jimadie Shah Othman | Nov 24, 08 4:49pm
kemaskini 7:25pm Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Mohd Ali didakwa menggugurkan dua pemimpin kanan parti itu kerana "kepanasan" dengan kritikan yang diterimanya berhubung isu agama dan kaum dalam pentadbiran negeri.

Ahli parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dilucutkan jawatan sebagai timbalah pesuruhjaya II PAS negeri itu digantikan ahli parlimen Hulu Langat Dr Che Rosli Che Mat, Jumaat lepas.

Sementara ketua penerangan diserahkan kepada setiausaha akhbar presiden PAS, Roslan Shahir Mohd Sharir bagi menggantikan wakil rakyat Hulu Kelang, Saari Sungib.

Keputusan mendadak itu diputuskan dalam mesyuarat Dewan Harian parti itu yang diumumkan dan diluluskan dalam mesyuarat badan perhubungan PAS negeri itu pada hari yang sama.

hasan ali umno pas selangor talk quality hotel 300708 05Sumber-sumber dalaman PAS Selangor memberitahu Malaysiakini, pengguguran itu dicadangkan sendiri oleh Dr Hassan menggunakan kuasanya sebagai pemimpin nombor satu dengan mendominasi kedua-dua mesyuarat itu.

Menurut sumber lagi, keputusan pengguguran Khalid dan Saari itu tidak dipersetujui di kalangan ahli mesyuarat yang terdiri daripada yang dipertua PAS kawasan.

Ramai di antara mereka dikatakan berdiam diri kerana tidak berpeluang mengeluarkan pandangan.

"Tidak ada kebebasan bersuara dalam mesyuarat. (Agenda) tidak bincang isu betul-betul dan selalu disapu di bawah permaidani," kata sumber.

Kedua-dua tokoh gerakan Islam itu dikatakan sering bersuara lantang menyebabkan Dr Hassan jadi sensitif, terutamanya dalam isu pelantikan Low Siew Moi sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan peruntukan RM10 juta kepada rumah ibadat bukan Islam di negeri itu.

Malaysiakini difahamkan kedua-dua tokoh yang digugurkan itu berpandangan, isu-isu berunsur perkauman melibatkan penyertaan golongan bukan Melayu dalam kerajaan Selangor tidak harus menjadi keutamaan PAS di negeri itu.

"Isu-isu Melayu ini kita sudah tidak mahu layan," kata sumber.

Bagaimanapun, pandangan Khalid dan Saari ini dikatakan bertentangan dengan pendekatan Dr Hassan yang didakwa tidak mengendahkan teguran-teguran yang dibuat terhadapnya.

Dr Hassan sebelum ini dilaporkan menolak pelantikan Low atas alasan beliau bukan Melayu dan beliau mahu segera menggantikan pemimpin korporat itu dengan seorang calon Melayu.

Tindakan Dr Hassan itu mengundang kontroversi dan reaksi pelbagai pihak.

dap abolish isa forum 230908 khalid samad 02Isu-isu sebegitu, kata sumber, tidak selari dengan slogan "PAS Untuk Semua" yang dilaungkan parti itu.

Penyingkiran kedua-dua tokoh itu juga dikatakan kesan daripada tindakan mereka yang mahukan PAS "kembali kepada asal" dengan memfokuskan kepada usaha mengukuhkan Pakatan.

Dihubungi selepas sidang parlimen hari ini, Khalid (foto atas, kiri) mengakui rombakan PAS negeri terpaksa dibuat kerana perbezaan pendapat, kaedah dan cara beliau menyebabkan Dr Hassan tidak dapat melaksanakan tugas dengan berkesan.

Beliau bagaimanapun enggan memperincikan perbezaan-perbezaan itu seperti disebut oleh sumber-sumber.

Perbezaan itu, katanya, bermula sejak pilihanraya umum Mac lagi apabila PAS bersama PKR dan DAP kali pertama berjaya menawan Selangor.

Khalid menambah, pelantikan Roslan dan Dr Che Rosli yang "lebih serasi" dengan Dr Hassan bertujuan membolehkan pesuruhjaya itu menjalankan tugasnya dengan lebih berkesan.

Tambahnya, atas kapasitinya sebagai yang dipertua PAS Shah Alam, beliau akan terus menegur kepemimpinan negeri jika wujud kesalahan walaupun tidak lagi memegang jawatan sebagai timbalan pesuruhjaya II.

Menurutnya lagi, Saari sebagai wakil rakyat PAS masih boleh menghadiri mesyuarat badan perhubungan negeri, cuma tidak boleh terlibat membuat keputusan atau mengundi.

Badan itu mempunyai 63 ahli (termasuk enam anggota dilantik), melibatkan pemimpin tertinggi di peringkat negeri, wakil Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, dan ketua serta setiausaha PAS kawasan-kawasan.

Khalid yang hadir pada mesyuarat Dewan Harian dan badan perhubungan minggu lalu tidak menentang keputusan Dr Hassan yang, menurut ahli parlimen itu, mendapat sokongan majoriti badan perhubungan PAS negeri.

amnesty international 2007 report launch 230507 saari sungibSaari (foto kiri) ketika dihubungi enggan mengulas pengguguran beliau daripada badan perhubungan negeri.

Sementara itu, Roslan yang juga yang dipertua PAS Kelana Jaya mengakui idea merombak organisasi parti itu disarankan oleh Dr Hassan sendiri bertujuan untuk menguatkan organisasi parti.

Beliau berkata, hanya jawatan dalam organisasi PAS negeri sahaja digugurkan bertujuan meringankan beban kedua-dua wakil rakyat itu.

Jawatan-jawatan lain yang dipegang, diteruskan seperti biasa.

Menurut Rolsan lagi, rombakan minggu lepas itu merupakan "perkara biasa" dan diamalkan di pelbagai negeri.

"Pahang dan Melaka juga membuat rombakan tetapi tidak tidak dibicarakan," katanya kepada Malaysiakini.

Rombakan itu, tambahnya, hanya mencetuskan spekulasi kerana Selangor merupakan negeri bawah pemerintahan Pakatan yang melibatkan PAS sebagai rakan gabungan.

Mengulas pelantikan beliau dan Dr Che Rosli, Roslan berkata, kedua-dua mereka bukanlah orang baru.

Beliau sebaliknya pernah memegang jawatan ketua penerangan PAS Selangir sebelum ini, berpengalaman dan mempunyai hubungan baik mempromosikan menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di negeri itu sewaktu pilihanraya umum Mac lalu.

"Dr Che Rosli pula merupakan bekas (seorang) timbalan pesuruhjaya PAS Perlis," katanya.

Dr Hassan gagal dihubungi untuk mengulas dakwaan ini, beliau kini dilaporkan berada di luar negara.

Beliau semalam dilaporkan berkata, PAS Selangor memerlukan rombakan kecil selepas melihat perlunya ada usaha memberi peluang kepada barisan kepimpinan baru.

Rombakan itu, tambahnya lagi, mengambil kira komitmen dan penglibatan sepenuh masa dalam organisasi itu.

Beliau mendakwa Khalid dan Saari berperanan besar sebagai wakil rakyat di tempat masing-masing.

Selain pemimpin kawasan Shah Alam, Khalid juga ahli lajnah politik PAS pusat.