BENARKAH INSURAN HARAM MENURUT ISLAM


Ust. Zaharuddin B. Abd Rahman
Jabatan Fiqh & Usul Fiqh,
Universiti al-Yarmouk, Jordan
zaharuddin@yahoo.com


1. MUQADDIMAH
Segala puji bagi Allah, pencipta sekalian alam, selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW. Serta ahli keluarganya dan para sahabatnya. Penulisan ini akan menyentuh aspek berikut :-
1. Pembahagian insuran.
2. Perbezaan Fatwa Ulama’ mengenai hukum insuran
3. Mengapa insuran perniagaan difatwakan haram?
4. Apakah dalil para Ulama yang mengharuskannya dan syarat untuk menyertainya?
5. Alternatif Islam dalam hal Insuran.


Secara ringkasnya, perbincangan hukum insuran telah dibincangkan begitu panjang oleh para ulama’ terutamanya di kalangan ulama’ Timur Tengah. Oleh kerana sistem Insuran ini suatu ciptaan yang dikira baru menurut zaman iaitu di sekitar tahun 1666 M di London, sistem ini hanya menembusi dunia Islam Arab hanya sekitar 1830 M1. Ini dapat dilihat daripada fatwa pertama yang dikeluarkan oleh Al-Allamah Al-Syeikh Muhd Amin (Ibn ‘Abidin, wafat tahun 1836 M (1252 H). Beliau merupakan fuqaha’ ulung bermazhab Hanafi di Syam dan dianggap cendikiawan Islam pertama yang mengeluarkan fatwa berkenaan Insuran. 2
Bagi memudahkan perbincangan ringkas ini, elok kiranya dijelaskan dua bentuk asas Insuran, ia adalah :-

1. Insuran Bersifat Perniagaan atau Komersial (Takmin Tijari)
2. Insuran Kerjasama atau Masyarakat (Takmin Ta’awuni atau ijtima’ie)

Insuran Bersifat Perniagaan (Takmin Tijari) :
Ia adalah suatu kontrak perniagaan (business) daripada jenis Kontrak Pertukaran Kewangan (‘Uqud Mu’awadat Maliah). Ia mewajibkan syarikat Insuran membayar jumlah tertentu kepada pencarum insuran apabila berlaku beberapa jenis kemalangan atau musibah yang telah ditentukan di dalam kontrak (aqad) bersesuaian dengan kadar-kadar tertentu. Ia juga bergantung kepada jumlah caruman pencarum.

Kontrak Insuran ini mengandungi item berikut :
1. Redha di kedua-dua pihak ( iaitu syarikat Insuran dan Pencarum). Ia ibarat kontrak yang mengandungi aspek ijab dan qabul.
2. Pihak yang memberi insuran, iaitu pihak syarikat Insuran.
3. Pencarum, individu yang membayar jumlah tertentu dan yang membuat penjanjian dengan syarikat Insuran.
4. Yang menerima manfaat, iaitu seperti anak kepada individu atau isteri dan lain-lain.
5. Kebahayaan atau musibah. Iaitu jenis-jenis musibah atau kemalangan yang diandaikan yang ditentukan di dalam kontrak, seperti kecurian, kebakaran, kecederaan, kematian dan lain-lain


Bentuk Insuran ini seperti :-
Insuran Terhadap Musibah Menimpa Tubuh, Insuran Nyawa, Insuran Harta dan pecahannya (kereta, motor, rumah dan lain-lain) , Insuran Kemalangan Jalanraya, Insuran Kerja dan lain-lain.
Saya menganggap, pembaca tentu telah memahami perkara ini secara praktikal di Malaysia, ia adalah sesuatu yang telah diketahui umum dalam dunia kehidupan di Malaysia.

Insuran Bersifat Kerjasama atau Kemasyarakatan (Ta’awuni):
Ia adalah suatu kontrak berbentuk derma atau sumbangan daripada sesuatu Badan Pengurusan Insuran Kerjasama kepada para pencarumnya atas dasar saling bantu membantu mengurangkan bebanan musibah yang ditanggung pencarum (ahli masyarakat). Ia tidak bertujuan mengumpul dan mencari keuntungan daripada simpanan wang pencarum. Ia juga bukan suatu jenis perniagaan.

Demikian dua bentuk insuran yang asas. Bentuk yang pertama tidak disepakati sepenuhnya tentang hukumnya bagaimanapun majoriti ulama’ mengharamkannya, manakala jenis yang kedua disepakati sebulat suara tentang keharusannya di dalam Islam.

2. ULAMA’ DAN HUKUM INSURAN JENIS PERTAMA
Sebagai pembuka tirai perbincangan, terlebih dahulu penulis ingin menyebut bahawa Kesatuan Ulama’ Fiqh Sedunia (Majma’ Fiqh ‘Alami) telah pun bersidang memperbincangkan hukum Insuran Bersifat Perniagaan ini. Keputusannya, jumhur atau majoriti dari mereka sepakat terhadap PENGHARAMAN insuran ini.
Secara perincian, masih terdapat sebilangan ulama’ besar yang berpandangan sebaliknya. Ringkasan pecahan kumpulan ulama’ ini adalah seperti berikut :-

1. Kumpulan Yang Mengharamkan Insuran Bersifat Perniagaan dan Jenis-jenisnya.
Mereka terdiri daripada ulama’ berikut :-
a. As-Syeikh Al-Allamah Muhd Amin Ibn Abidin (1836 M)
b. As-Syeikh Al-Imam Muhd Abu Zuhrah (Meninggal tahun 1972 M, Prof Syari’ah di Univ. Kaherah, dianggap ulama’ terulung dlm Ilmu Fiqh)
c. As-Syeikh Al-Imam Muhd ‘Abduh (menurut qawl yang lebih shohih)
d. As-Syeikh Muhd Bukhait al-Mut’ie (Bekas Mufti Mesir, meninggal 1935M
e. As-Syeikh Al-Allamah Ahmad Ibrahim al-Husayni (Fuqaha’ terulung Mesir & dianggap mujaddid Fiqh Mesir)
f. As-Syeikh Najm al-Din al-Wa’iz (Bekas Mufti Iraq)
g. As-Syeikh Muhd al-Ahmadi al-Zawahiri (Bekas Syeikh al-Azhar)
h. As-Syeikh Salim Matar al-Bisyri (Bekas Syeikh al-Azhar)
i. As-Syeikh Hasunah an-Nawawi (Bekas Syeikh al-Azhar)
j. As-Syeikh Abd Rahman Mahmud Qara’ah (Bekas Mufti Mesir)
k. As-Syeikh Prof. Dr Yusoff al-Qaradhawi (Ulama’ dan Da’ie terkemuka di dunia Islam hari ini, Prof. Syarih di Univ. Qatar)
l. Prof. Dr. Muhd Ali Salus (Prof. Fiqh di Univ. Qatar)
m. Prof. Dr. Muhd Othman Syabir (Prof. Fiqh di Univ. Jordan dan Qatar)
n. As-Syeikh Prof. Dr Muhd Baltaji (Prof di Univ Kaherah kini, di anggap Fuhaqa’ teralim di ketika ini)
o. As-Syeikh Dr. Abdullah al-Qalqili (Bekas Mufti Jordan)
p. Prof. Dr Muhd Sulaiman Asyqar (Prof. Fiqh di Univ. Jordan dan Ulama’ terkenal di Jordan kini)
q. Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli (Prof. Di Univ. Damshiq Syria, Ulama’ terkenal di dunia)

2. Kumpulan Yang Mengharuskan Insuran Dengan Meletakkan Syarat-syarat Tertentu.
Mereka adalah :

a. As-Syeikh Abdullah Siyam (Ulama Takhassus Fiqh dalam tahun 1932 M)
b. As-Syeikh Prof. Abd Wahab Al-Khallaf (Prof. Syariah di Univ. Kaherah, wafat tahun 50 an)
c. As-Syeikh Prof. Dr. Yusoff Musa (Prof. Syariah di Univ. Kaherah)
d. As-Syeikh Prof. Dr. Mustafa az-Zarqa’ (Prof. Syariah di Univ. Jordan dan Ulama’ terulung sezaman dengan Abu Zuhrah)
e. As-Syeikh Prof. Dr. Muhd ‘Uqlah al-Ibrahim (Prof. Syariah Univ. Al-Yarmouk dan ulama’ terkenal di Jordan kini)

3. Kumpulan Yang Mengharuskan Insuran Kecuali Insuran Nyawa.
Mereka adalah :-
a. As-Syeikh Prof. Muhd Ahmad as-Sanhuri (ulama’ terkemuka di tahun 50 an)
b. As-Syeikh Prof. Dr Ali Khafif (ulama’ Mesir yang terkemuka di bidang fiqh mu’amalat)
Demikianlah pecahan kumpulan ulama’ terkemuka di dunia Islam yang terzahir pandangan mereka melalui kitab-kitab mereka dan nadwah-nadwah Islam di seluruh dunia. Mengikut jumlah, kumpulan ulama yang mengharamkan insuran jenis perniagaan adalah majoriti.
Kajian dan perbincangan mereka adalah panjang dan boleh mencecah ratusan halaman. Justeru penulis tidaklah berhasrat untuk memperbicarakan dalil-dalil kedua-dua kumpulan tersebut. Cukup sekadar mengemukakan asas hujjah mengapa ia dianggap haram oleh majoriti ulama’ dan apakah dalil asas ulama’ yang mengharuskannya.


3. SEBAB INSURAN BERSIFAT PERNIAGAAN MENJADI HARAM ?
Ia adalah satu perbincangan ‘ilmiah dan sebenarnya memerlukan ‘basic knowledge’ tertentu yang agak luas untuk memahaminya dengan sempurna, bagaimnapun penulis akan cuba memudahkan dalil-dalil ini demi memberikan kefahaman semaksimum mungkin di kalangan orang awam. Selebihnya perlulah pembaca melakukan kajian dan rujukan kepada Ulama Takhassus Fiqh di Universiti bagi penjelasan dengan lebih terperinci.

Demi mendapat kefahaman sepenuhnya dalam bab ini, pembaca mestilah mempunyai ilmu asas berikut :-
- Pembahagian kepada Aqad Mu’awadat (Pertukaran) & Tabarru’ah (Derma atau Sumbangan)
- Riba dan pembahagiannya
- Syarat jual beli dalam Islam.
- Jual beli Gharar dan pecahannya.
- Serba sedikit tentang Qias (Perbandingan Hukum).
Begitulah serba sedikit ilmu asas yang diperlukan bagi melahirkan kefahaman jitu dalam masalah ini.

Menurut kumpulan pertama, Insuran bersifat perniagaan adalah haram kerana :-

1. Terdapat Unsur Riba.
• Riba jelas wujud, apabila syarikat insuran membayar jumlah tertentu kepada si pencarum yang terkena musibah. Ia dianggap riba kerana wang (dari pencarum) berbalas wang (dari syarikat) dengan jumlah yang berbeza, padahal wang merupakan perkara ribawi (usurious items) sebagaimana enam perkara yg disebutkan Nabi di dalam hadithnya. Nabi SAW telah mensyaratkan dengan jelas dan terang, apabila bermu’amalah di antara dua perkara ribawi yang sama jenis (contoh di sini wang RM dengan wang RM), mestilah dengan syarat:

a. Sama timbangan (mathalan bi mathalin – jika melibatkan timbangan seperti beras, gandum, garam dan lain-lain)
b. Sama Nilai (mathalan bi mathalin)
c. Diserahkan di ketika mu’amalah di lakukan. (yadan diyadin)
Syarat ini bersumber dari hadith :
Mafhum : Jangan kamu jual emas dengan emas kecuali bersamaan nilaian dan timbangannya, jangan kamu melebihkan salah satu darinya di atas yang lain.."
( Al-Bukhari & Muslim)
Mafhum : Jangan kamu jual emas dengan pulangan emas, perak dengan pulangan perak kecuali (mestilah ia) dalam timbangan yang sama, nilaian yang sama..

Maka setiap perbezaan timbangan atau nilai (dalam item ribawi) di anggap Riba al-Fadl yang diharamkan (Tahrim wasail). Apabila pencarum mendapat pulangan wang dengan jumlah berbeza maka berlakulah Riba al-Fadl ini. Iaitu TIDAK ADA KESAMAAN NILAI DALAM URUSNIAGA DUA ITEM RIBAWI.
Manakala pembayaran bertangguh dalam dua barangan ribawi adalah Riba An-Nasi’ah yang diharamkan secara jelas oleh Allah SWT di dalam al-Quran.
Dalam hal insuran sudah tentulah berlaku penangguhan, iaitu apabila pencarum terkena musibah barulah akan dibayar jumlah tertentu. Inilah dinamakan Riba An-Nasiah. Prof. Dr Muhd Baltaji, menjelaskan bahawa kontrak insuran ini sama sekali tidak boleh lari dari Riba An-Nasiah ini. Beliau juga menegaskan bahawa mana-mana hujah untuk lari dari anggapan riba ini adalah suatu helah yang tidak sah menurut pandangan syarak enam Justeru Insuran mempunyai kedua-dua jenis Riba lalu ia digelar Riba An-Nasa’
• Perlu disedari bahawa insuran biasa yang banyak terdapat di Malaysia hari ini adalah bersifat perniagaan (Takmin Tijari) yang mana, syarikat insuran mengganggap usaha mereka adalah sebagai satu perniagaan yang bertujuan mencari keuntungan. Justeru, secara jelas kontrak yang dipersetujui oleh pencarum dan syarikat adalah termasuk kategori Aqud Mu’awadah Maliah (Kontrak Pertukaran Harta) dengan cara Perniagaan. Semua kontrak yang terlibat dengan item ribawi mestilah menjaga 3 syarat yang disebutkan dia atas tadi. Jika tidak ia akan jatuh ke hukum Riba yang diharamkan.
• Walapun adakalanya pencarum tidak berniat mencari keuntungan dari carumannya bahkan hanya untuk merasa lebih selamat terhadap keretanya, rumahnya, ahli keluarganya dan sebagainya, tetapi ia tetap dianggap riba. Zahir urusniaga insuran tadi cukup untuk mengkategorikan ia sebagai riba, walaupun maksudnya tidak selari dengan riba yang sebenarnya (iaitu mencari untung). Berapa banyak kes yangg telah ditemui, terdapat individu yang sengaja menghilangkan kereta untuk meraih wang insuran, pembunuhan ahli keluarga untuk mendapat wang insuran bernilai jutaan Ringgit Malaysia dan lain-lain.
• Riba juga boleh berlaku dengan sangat jelas apabila wang caruman tersebut diperniagakan oleh syarikat insuran di dalam syarikat lain dengan kadar faedah tetap yang diharamkan (biasanya di bank konvensional, bukan secara mudharabah), atau mana-mana syarikat yang bermu’amalah secara riba. Berlakulah pertambahan wang caruman tadi hasil simpanan wang tadi. Malah lebih teruk kiranya, syarikat insuran meletakkan wang itu di dalam syarikat yg melakukan urusniaga haram seperti arak, judi dan lain-lain.

2. Terdapat unsur ketidaktentuan (gharar).
Nabi SAW bersabda dalam hadith yang shohih bahawa Baginda
"Melarang daripada urusniaga yang mengandugi gharar"
(Riwayat Muslim)


Ia berlaku apabila, kedua-dua pihak (pencarum dan syarikat) saling tidak mengetahui apa yang akan berlaku, bilakah musibah akan menimpa?, minggu depan, tahun depan? dan sebagainya. Ia adalah satu kontrak yang dibuat berlandaskan andaian (ihtimal) semata-mata.
Sekiranya A mencarum RM 1000 hari ini, tiba-tiba berlaku kehilangan keretanya esok, maka mungkin jumlah insuran yang akan diperolehinya berlipat kali ganda berdasarkan pakej insuran syarikat tertentu. Bukankah ini membebankan syarikat, dengan itu ketidakadilan berlaku terhadap syarikat. Begitu juga, kiranya pencarum mencarum sehingga suatu jumlah RM 100,000 sedangkan kereta tidak pernah ditimpa musibah selama 30 tahun. Sudah tentu pencarum akan tertanya-tanya bagaimana wangnya? Adakah akan hangus begitu sahaja ? Malah kiranya ditimpa musibah, kemungkinan jumlah yang diperolehi ¼ dari carumannya. Bukankah pencarum pula yang tertindas?.
Inilah yang disebut ketidak tentuan (gharar) yang dilarang di dalam Islam, Kehebatan sistem Islam dalam urusniaga amat mengambil berat hal ini, agar kedua-dua pihak tidak dizalimi atau terzalim. Kerana itu Islam mensyaratkan beberapa syarat sah urusniaga Jual Beli, tanpanya jual beli dan kontrak menjadi rosak, antara syaratnya 9 :-
a. Timbangan yang maklum (diketahui jelas–kiranya jenis yang ditimbang)
b. Barang dan harga yang jelas dan dimaklumi (tidak boleh harga yang dijahili ketika beli)
c. Penjualan barangan tidak dihadkan kepada tempoh tertentu masa yang jelas.
d. Mempunyai tempoh tangguh yang dimaklumi (samada tempoh serah barang mahupun harga), iaitu kiranya melibatkan urusniaga jualan tangguh.
e. Redha kedua-dua pihak dengan urusniaga yang dijalankan.
f. Sama Nilai dan timbangan serta penyerahan di dalam majlis yang sama tanpa tangguh dalam urusniaga item ribawi.

Menurut Islam, gharar ini merosakkan Aqad10. Demikian Islam menjaga kepentingan manusia dalam aspek ini. Al-Imam An-Nawawi menyatakan, larangan gharar dalam urusniaga Islam mempunyai peranan yang begitu hebat dalam menjamin keadilan. Contoh Jual beli gharar ini adalah membeli atau menjual anak lembu yang masih dalam keadaan janin dalam perut ibunya, menjual burung yang terbang di udara. 11 Ia menjadi gharar kerana tidak dapat dipastikan sempurnakah janin yang akan dilahirkan, dapatkah ditangkap burung itu. Maka kiranya dibayar harga, tiba-tiba baragan tidak sempurna, lalu pembeli tidak puas hati, hingga terjadi permusuhan dan pergaduhan. Islam melarang gharar demi mengelak kejadian seperti ini. Bagaimanapun, Islam memaafkan gharar yang sedikit yang tidak dapat dielakkan serta yang diyakini tidak menjejaskan urusniaga.12 Banyak lagi dalam aspek lain menunjukkan toleransi urusniaga Islam yang sukar utk diperkatakan di dalam penulisan yang ringkas terfokus ini.
Jika kedua-dua pihak saling meredhai dan menjamin tiada pertelingkahan akan berlaku, kontrak tadi secara zatnya tetap termasuk dalam rangkuman bay’ al-gharar yang diharamkan. Walaupun nisbah peratusan atau kadar bayaran telah ditentukan agar pencarum maklum, ia tetap juga tidak tahu, bilakah musibah akan berlaku. Justeru tetap ada gharar di situ.

3. Terdapat unsur Perjudian.
Judi jelas diharamkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran tanpa syak lagi. Insuran mengandungi unsur ini kerana ia berkait dengan nasib samada berlaku musibah atau tidak berlaku. Adakala apabila musibah berlaku, pencarum mendapat pulangan lumayan dan dikira untung, mungkin juga sebaliknya. Inilah unsur judi yang dimaksudkan. Demikian menurut As-Syeikh Bakhit al-Mut’ie dalam risalahnya hlm. 14, juga ulama’ lain. Pencarum pula ketika mencarum mengharapkan dengan carumannya yang sedikit, ia boleh mendapat sejumlah wang yang lumayan kiranya berlaku musibah. Ini juga suatu perjudian. 14

Bagaimanapun Prof. Mustafa Zarqa’ menolak insuran ini terdapat di dalam Insuran dengan katanya : "Sesungguhnya judi adalah suatu permainan yang bergantung kepada nasib dan ia bertentangan dengan akhlak kemanusiaan..Di mana letaknya anggapan insuran bersifat judi sedangkan ia adalah suatu sistem yang tegak di atas dasar bantu mengurangkan bebanan manusia lain ketika ditimpa musibah.." 15
Syeikh Muhd Abu Zuhrah menolak hujjah ini kerana terdapat pada insuran unsur ‘mukhatarah’ (nasib dan musibah dan bahaya). Dr Muhd Baltaji menambah, bahawa inilah sebab utama ia dianggap judi yang diharamkan, aspek samada ia boleh membawa permusuhan atau tidak bukanlah sebab utama16. Malah jelas bahawa insuran adalah suatu kontrak yang dibuat terhadap satu perkara yang tidak pasti dari kedua-dua pihak. (kedua pihak tidak tahu jumlah yang diperolehi dan apa pula yang akan dibayar)
Apa yang disebut oleh Syeikh Zarqa’ hanyalah suatu pandangan yang tidak dapat lari dari hakikat bahawa unsur judi wujud dalam insuran dan Dasar Bantu yang disebutkan adalah tidak tepat kerana syarikat insuran ditubuhkan atas dasar perniagaan yang ingin untung bukan dasar bantu membantu. Ia berbeza dengan insuran ‘ta’awuni’ yang dihalalkan Islam (akan disebutkan selepas ini).
Demikianlah hujjah utama kumpulan ulama’ yang mengharamkan Insuran Jenis Perniagaan.

4. RINGKASAN DALIL KUMPULAN YG MENGHARUSKAN
Kumpulan yang mengharuskan Insuran ini berhujjah dengan dalil-dalil Qias (Perbandingan Hukum)
Secara umum, mereka menggunakan dalil qias dalam hujah mereka, iaitu dengan mengqiaskan kepada beberapa sistem yang zahirnya kelihatan seperti sistem insuran, yang mana sistem-sistem ini diterima di dalam Islam. Mereka meng’qias’kan insuran dengan sistem berikut :
a. ‘Aqd al-Hirasah (Kontrak Pengawal Keselamatan)
b. Jaminan Keamanan Laluan (Dhoman Khatar at-Toriq) – suatu aqad yang diterima pakai oleh ulama’ Mazhab Hanafi.
c. Maslahat (kepentingan tertentu)
d. Al-Wadi’ah bi ajr (Penerimaan bayaran balik bila barangan amanah rosak)
e. Sistem Pencen atau Persaraan ( Nizom at-Taqa’ud)
f. Dharurat atau kerana hajat yang bersangkutan ( Hajiat)

Dan beberapa yang lain.
Penulis tidaklah ingin mengulas lanjut dalil-dalil ini kerana ia memerlukan ilmu asas untuk memahaminya dan agak rumit untuk diulas dalam ruangan yang terhad. Cuma penulis hanya ingin mengulas hujah dharurat sahaja.
Kumpulan yang mengharuskan mengatakan bahawa penggunaan insuran adalah suatu dharurat kini, tidak dapat lari darinya dalam konteks ekonomi dunia Moden hari ini. Kaedah Dharurat telah diterima di dalam Islam sehingga terdapat kaedah-kaedah di dalam Fiqh seperti :

Mafhum : Dharurat mampu mengharuskan perkara yang diharamkan.

Mafhum : Kesukaran yang bersangatan membawa kepada kemudahan (rukhsoh)
Mafhum : Apabila disempitkan sesuatu perkara maka yang menyalahi bertambah luas.


Kumpulan ini berhujah bahawa, Insuran jenis perniagaan ini telah begitu tersebar meluas di dalam masyarakat hari ini, sehingga hampir-hampir menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat. Melarikan diri dari sistem ini adalah sesuatu yang amat menyukarkan, dengan demikian jadilah Insuran sebagai satu keperluan yang mencecah tahap dharurat17 atau paling kurang jatuh ke tahap ‘hajiat’ 18. Dengan itu Dr. Ibrahim At-Tohawi menyatakan ia sebagai keperluan yang mesti dalam kehidupan hari ini.19

Kumpulan pertama menolak hujjah Dharurat dan Hajiat ini. Ini adalah kerana sesuatu hanya boleh dianggap Dharurat apabila :-
a. Tanpanya, benar-benar masyarakat akan menuju kehancuran dan kerosakan dan kelam kabut. Manakala Insuran tidaklah sampai ke tahap ini, berapa ramai masyarakat yang masih boleh hidup tanpa sebarang insuran, tegasnya kehidupan masih normal cuma beberapa masalah dan kesukaran mungkin berlaku. Justeru, pihak pertama berpandangan keperluan Insuran tidak sampai ke tahap dharurat malah hanya hajiat sahaja.
b. Insuran bersifat perniagaan hanya boleh diiktiraf sebagai Dharurat dan Hajiat, hanya jika tiada langsung alternatif sistem Insuran berbentuk Islam yang diiktiraf Islam. Maka dalam hal ini, terdapat di dalam Islam sistem Insuran Islam yang dinamakan Takmin Ta’awuni atau Ijtima’ie (akan disebut selepas ini). Ia adalah harus dan sepatutnya mengambil tempat insuran jenis perniagaan yang hari ini. Lalu, Hujah Dharurat mahupun Hajiat tidak terpakai di sini.

Kesimpulannya di sini, hujjah kumpulan kedua yang terakhir ini juga tertolak, malah Qias tidak mampu bertentang dengan nas yang jelas. Nas jelas menyatakan unsur riba, judi yang menjadi asas pengharaman terdapat di dalam sistem Insuran yang bersifat perniagaan. Malah hukum pada asal yang ingin dijadikan qias pun tidak sebegitu kuat. Justeru, kumpulan kedua menganggap semua qias yang cuba digunakan oleh kumpulan kedua ini adalah Qias ma’al Fariq (Perbandingan hukum yang tidak sah kerana terdapat perbezaan antara Hukum Asal dan Furu’).

5. PENDAPAT YANG TERPILIH MENURUT PENGAMATAN PENULIS.
Perlu diingat bahawa beberapa Nadwah, Muktamar dan mesyuarat yang menggabungkan para ulama’ terulung di seluruh dunia di beberapa kali diadakan, Kontrak Insuran juga telah diperbincangkan oleh mereka. Antara muktamar yang telah dilaksana :
1. Muktamar Agung Berkenaan Ekonomi Islam bersidang kali Pertama tahun 1976 M di Mekah. Peserta hampir 200 para ulama, Prof Syariah dan tokoh-tokoh ekonomi. Insuran adalah salah satu topik perbincangan mereka. Keputusan mereka adalah INSURAN JENIS PERNIAGAAN ADALAH HARAM. Sebab utamanya adalah Riba dan Gharar.
2. Majlis Kesatuan Ulama’ Besar bermesyuarat pada tahun 1977 M, di Arab Saudi. Keputusan : Insuran jenis Perniagaan adalah Haram.
3. Majma’ al-Fiqh al-Islami al-‘Alami (Kesatuan Ulama Fiqh Dunia) bersidang pada tahun 1979 M di Mekah al-Mukarramah, Keputusan Majoriti: Insuran Jenis Perniagaan HARAM samada ke atas Barangan Perniagaan , Nyawa dan lain-lain daripada jenis harta.
4. Majma’ al-Fiqh al-Islami sekali lagi bersidang pada 28 Disember 1985 di Jeddah, juga memutuskan sekali lagi pengharaman Insuran Jenis Perniagaan.
Majma’ Fiqh juga secara ijma’ mengharuskan insuran jenis kerjasama (ta’awuni) dan mencadangkan ia sebagai alternatif insuran perniagaan dan diseru seluruh umat Islam menggiatkannya di negara masing-masing.20
Justeru, pendapat jumhur kelihatan terlebih kuat daripada pandangan kumpulan kecil fuqaha’. Amat sukar untuk mendapat kewajaran bagi individu biasa bg menfatwakan sebaliknya setelah diulas sebegitu terperinci oleh Para Ulama’ terkemuka di dunia, Para ahli ekonomi biasa dan Profesor-profesor Syariah di Universiti terkemuka Islam.

Penulis tidaklah mampu untuk menentukan mana-mama syarikat Insuran yang terdapat di Malaysia yang dikelaskan Insuran Bersifat Perniagaan yang difatwakan haram dan mana pula insuran jenis ta’awuni atau ijtima’ie yang difatwakan secara ijma’ tentang keharusannya. Ini adalah kerana penulis tidak mempunyai gambaran lengkap mengenai proses perlaksanaan syarikat-syarikat insuran di Malaysia serta keberadaan di Jordan menghalang pengkajian praktikal di Malaysia. Apapun menurut hemat penulis, Insuran Ta’awuni telah pun banyak wujud di Malaysia dan boleh menjadi tumpuan para pembaca sekalian.
Bagi mereka yag masih ingin mengambil pendapat yang mengharuskan, perlulah mengetahui beberapa syarat yang diletakkan, kerana ia tidaklah diharuskan secara mutlaq. Antara syarat :-

1. Memastikan niat sebagai pencarum adalah untuk mendapat bantuan, tanggungan dan sedikit ketenangan kiranya berlaku sebarang musibah terhadap harta dan lain-lain agar dapat menghindarinya sebagai alat perniagaan. Juga dengan harapan, pencarum tidak terlibat dalam unsur judi.
2. Memastikan semampu mungkin, bahawa Syarikat Insuran yang dipilih bermu’amalah secara Islamik, tiada pelaburan dalam industri yg diharamkan, serta mempunyai asas utama takaful (skim Bantu membantu) secara zahirnya. Manakala, target perniagaan dan untung yang disasarkan oleh syarikat tidaklah kelihatan secara zahir. Dalam hal ini mungkin Syarikat Takaful Malaysia atau Insuran yg dianjurkan oleh Bank-bank berasaskan sistem Islam kelihatan lebih Islamik dan zahirnya menjurus ke arah bantu membantu. Wallahu ‘a’lam
3. Memastikan bahawa wang insuran yang diperolehi daripada Badan atau Syarikat Insuran itu sebagai satu bentuk Hadiah, Derma atau Sumbangan bukannya hasil jual beli wang dengan wang. Dengan harapan ia terlepas daripada Riba. Jika tidak ia tetap Riba. Semoga Allah mengampunnya.
4. Kiranya syarikat Insuran menawarkan pulangan dari musibah yang menimpa bukan dari wang, seperti kereta yang hilang diganti kereta atau apa jua yang bukannya berupa wang, maka ketika itu mungkin unsur Riba lenyap. Kerana ia bukan lagi 2 item Ribawi. Wallahu a’lam.

Demikianlah beberapa perkara penting yang perlu diambil perhatian, bagaimanapun penulis lebih suka mengingatkan pembaca sekalian, AGAR MENJAUHI INSURAN INI KERANA IA TERSANGAT JELAS SAMADA HARAM ATAU PALING KURANG DI TAHAP SYUBHAT. Sebagaimana sabda Baginda SAW :



Mafhum : Barangsiapa yang menghindar diri dari perkara syubhat, maka telah terselamat agamanya dan maruahnya
( Riwayat Al-Bukhari bab Kitab al-Iman ; Muslim, bab Buyu’ ; At-Tirmizi dan an-Nasaie)


Mafhum : Tinggalkan apa yg kamu ragu kepada yang tidak kamu ragui
( Hadith Hasan Shohih menurut At-Tirmizi ; An-Nasaie ; Abu Daud dan Ahmad)

Imam An-Nawawi as-Syafie (Imam Mujtahid : w 676 H) menghurai satu hadith, menyatakan berkenaan kaedah mengenal dosa menurut rasa hati dalam melakukan amalan syubhat.


Mafhum : (Cukup membuat seseorang terjebak ke dosa) apabila gundah hatinya dan ragu, hatinya tidak lapang dalam membuatnya, timbul dalam hati perasaan syak serta bimbang terjebak ke dosa (Al-Minhaj Syarh Shohih Muslim 5/419)
Saidina Umar al-Khattab ra berkata 21:

Mafhum : Wahai Manusia, tinggalkan dan jauhi amalan Riba dan perkara yang diragui (halalnya)

6. INSURAN YG DIHARUSKAN DI DALAM ISLAM
1. Insuran Kerjasama Kemasyarakatan ( Ta’awuni @ Ijtima’ie)
Iaitu suatu jenis insuran termasuk dalam jenis kontrak sumbangan ikhlas (‘uqud tabbaru’at) yang diikat untuk mencapai matlamat bantu membantu di antara individu masyarakat yang menghadapi musibah dan demi mengurangkan bebanan yang ditanggung.
Dalil Keharusannya :
Bersumber dari beberapa buah Hadith Nabi SAW. Antaranya :
Mafhum Hadith : " Sesungguhnya al-‘Asy’ariyyun apabila bertolak ke medan peperangan, berkuranglah bekalan makanan keluarga mereka di Madinah, maka dikumpulkan apa yang terdapat dari kalangan mereka dalam satu tempat, kemudian di bahagikan antara mereka, mereka daripada kami, dan kami daripada mereka" (Riwayat al-Bukhari & Muslim, Rujuk Fath al-Bari 6/55)
Inilah bentuk kerjasama, tolong menolong mengurangkan bebanan musibah yang menjadi asas Insuran ta’awuni.

Mengapa ia Harus dan apakah bezanya dgn Insuran Jenis Perniagaan?
a. Adalah ia tidak bertujuan mengaut keuntungan.
b. Ia tidak berbentuk perniagaan, malah hanya berbentuk sumbangan derma kepada individu malang melalui proses dan seliaan organiasasi dan pengurusan yang tertentu.
c. Ia tidak dikira ‘uqud mu’awadah maliah (kontrak jual beli atau perniagaan) tetapi hanyalah ‘uqud Tabarru’aat ( kontrak derma dan sumbangan) Justeru, dgn berbezanya pengkelasan kontrak ini, semua jenis riba, gharar, perjudian yang wujud pada Insuran jenis pertama tadi terhapus. Kerana ia bukan lagi jual beli yang terikat dengan syarat-syaratnya. Kontrak tabaru’aat tiada syarat seperti syarat jual beli walaupun di antara dua barangan (komoditi) ribawi.
Bentuknya :
Individu mendermakan sejumlah wang kepada sesuatu Yayasan atau Badan Kebajikan atau mana-mana Kesatuan dikhaskan untuk membantu anggota Badan tersebut yang ditimpa musibah.
Beberapa perkara yang perlu dijaga dalam pengasasan Badan Pengurus Insuran ta’awuni: 22
1. Mempunyai Pengasas/ Pengurus serta modal awal selain wang daripada pencarum, samada didapati daripada kerajaan, Derma daripada Yayasan, Syarikat Islam dan lain-lain. Modal ini berbeza daripada modal Syarikat Insuran Asas Perniagaan.
2. Badan ini mempunyai cawangannya di setiap Bandar.
3. Badan ini mempunyai pembahagian insuran yang ditawarkan, seperti bahagian insuran ta’awun kesihatan, bahagian bantuan ketidakmampuan tertentu samada anggota tubuh, kenderaan, harta perniagaan dan lain-lain.
4. Mempunyai pembahagian kumpulan sasaran seperti Pelajar, Profesional, Peniaga dan lain-lain.
5. Mestilah badan ini mempunyai fleksibiliti dalam pengurusan dan menjauhi rigid dalam kaedah pengurusan.
6. Terdapat anggota majis tertinggi berkelayakan tinggi yang bertanggung jawab dalam menyelia Pengurusan Badan ini samad daripada lantikan Kerajaan atau dari kalangan penderma dan pencarum. Ini penting demi memastikan kejayaan pengurusan dan matlamat.
7. Kiranya musibah yang menimpa ahli melebihi jumlah tabungan, tambahan perlulah ditanggung oleh kerajaan atau peserta / pencarum.
8. Matlamat Badan ini hanyalah membantu atas dasar kebaikan di antara pencarum / peserta / ahli tanpa bertujuan mendapat keuntungan.
9. Terdapat had jumlah awal yang perlu dibayar oleh pencarum.Asas ini sama seperti sistem yang terpakai dlm insuran perniaagaan. Dan kaedah pembayaran juga menggunakan asas nisbah dan kadar tertentu hasil kajian tersendiri dari mereka yang pakar.
Cuma kadar pulangan atau lebihan kepada individu yang ditimpa musibah adalah hak bersama para pencarum dan diberikan atas dasar derma, manakala dalam Insuran Jenis Perniagaan ia adalah hak Syarikat.
10. Setiap pencarum mempunyai hak dalam hal pengurusan Badan Amanah, serta hak dalam menjaganya.
11. Badan yang memegang amanah ini, diharuskan untuk melaburkan wang caruman terkumpul ke dalam institusi Kewangan yang jelas Halal dan berniaga cara Halal demi kebaikan pencarum, eloknya mendapat restu pencarum. Tiada halangan juga bagi pihak pengasas atau pengurus mengambil kadar tertentu dari keuntungan pelaburan atas dasar elaun mengurus.
12. Mestilah Badan ini mempunyai Unit Penasihat Syari’e demi meastikan sentiasa berjalan di atas landasan syara’.
Demikianlah beberapa aspek yang perlu dilihat demi menjayakan insuran ta’awuni ini. Banyak lagi aspek teori yang praktikal dan realistik yang perlu dilihat, sesiapa yang berminat untuk membacanya bolehlah merujuk kitab Al-Mu’amalah al-Maliah al-Mu’asirah karangan Prof. Dr Othman Syabir. Hlm 130 dan selanjutnya.

2. Insuran yang disediakan oleh Kerajaan untuk Rakyat.
Prof. Dr Wahbah Az-Zuhayli mencatatkan ia sebagai harus 23, Ia ibarat suatu insuran yang diwajibkan oleh pihak kerajaan kepada para rakyat, yang mana kerajaan bertindak sebagai sebuah Badan yang mengurus (bukannya syarikat Insuran Perniagaan tertentu),
Ini kerana ia hanyalah ibarat membayar cukai kepada kerajaan, dan kerana kerajaan adalah bertanggungjawab dalam memastikan rakyatnya dibantu di dalam keadaan kesusahan. Bagaimanapun, perlulah dipastikan sejauh mana perlaksanaannya selari dengan kehendak syarak. Kiranya bertentang dengan syarak tetapi semua kakitangan kerajaan dipaksa dan diwajibkan menyertainya, dosa adalah ditanggung oleh pemimpin yang bertanggung jawab.

KESIMPULAN
1. Isu ini adalah isu yang terdapat perbezaan fatwa di kalangan ulama’, ia masih dianggap perkara ijtihadi. Terpulang kepada penilaian, ilmu dan iman masing-masing untuk menentukan pendirian, bagi kumpulan orang awam, jalan selamat adalah menuruti pandangan MAJORITI ULAMA’ dan tidak bersendirian menentukan pendirian tanpa mengetahui hakikat isu ini pada pandangan Islam.
2. Semua jenis Insuran Bersifat Perniagaan adalah haram menurut pandangan Majoriti ulama’ semasa terutama Insuran Nyawa.
3. Alternatif kepada keperluan sistem insuran adalah Insuran Kerjasama Kemasyarakatan (ta’awuni) yang tidak didasari oleh sifat mencari keuntungan maddi.
Artikel ini terbuka kepada sebarang pertanyaan dan komentar membina. Segala yang benar dari Allah SWT, dan yang tersilap dari kelemahan diri dan gangguan Syaitan yang mengganggu. Wallahu ‘a’lam.

Sekian,

Irbid, Jordan
29 Jamadil Akhir 1423 H (7 Ogos 2002)


Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI