PERANAN ULAMA, PILIHANRAYA DAN ISU SEMASA


Peranan ulama, pilihan raya dan isu semasa
Dr Haji Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif Tue Aug 05, 08 11:55:38 pm MYT
Makalah ringkas ini bertujuan untuk melihat bagaimana ulamak sebagai entiti terpenting dalam gerakan Islam seperti PAS menangani dan berdepan dengan isu-isu semasa yang mewarnai pilihan raya umum melalui satu manhaj atau pendekatan yang praktikal.

Ulama sebagai pewaris anbia' telah, masih dan akan terus memainkan peranan yang penting dalam menjaga kesucian ajaran Islam dan kesejahteraan masyarakat secara umumnya Sebagai kelompok terpenting masyarakat, ulama seharusnya mempunyai kefahaman dan kekuatan yang tersendiri dalam mengemukakan garis panduan dan sekaligus mentakrif rupa bentuk politik negara.
Bagi mencapai tujuan ini ulamak mesti melibatkan diri secara aktif dalam pilihan raya di samping mempunyai pendekatan yang praktikal bagi menangani isu-isu pilihan raya. Menangani isu secara berkesan adalah merupakan salah satu resepi terpenting bagi memenangi pilihan raya di mana-mana negara termasuklah di Malaysia.
Asas sistem politik negara yang berteraskan sistem demokrasi berparlimen, menghendaki ulama (yang bertanggungjawab mengasas penubuhan PAS pada tahun 1951) turut serta dalam proses pilihan raya yang diadakan bermula pada tahun 1955. Perjalanan pilihan raya dalam konteks Malaysia (terutamanya dilihat dari sudut BN) melibatkan penggunaan 3M iaitu Media, Money and Machinery).
Media merujuk kepada peranan media cetak,elektronik dan digital yang menampilkan isu-isu tertentu bagi mempengaruhi pengundi. Kajian setakat ini menunjukkna media yang paling berkuasa mempengaruhi sikap pengundi ialah televisyen khususnya televisyen awam arus perdana. Faktor Money merujuk kepada penggunaan wang atau lebih tepat politik wang (money politics) dalam pilihan raya.
Dengan lain-lain perkataan, ia lebih menjurus kepada proses pembelian undi (vote-buying) secara yang tidak sah. Faktor terakhir ialah faktor Machinery merujuk kepada jentera pilihan raya.
Kekuatan BN adalah disebabkan bukan sahaja jentera parti yang digunakan dalam pilihan raya tetapi juga jentera kerajaan yang sepatutnya tidak boleh digunakan kerana kerajaan yang memerintah (BN) telah dibubarkan apabila pilihan raya baru diisytiharkan.
Dalam melihat peranan ulamak dalam menangani isu-isu semasa dalam pilihan raya makalah ini lebih merujuk kepada faktor ?M? pertama iaitu Media. Atas perkiraan ini pendekatan makalah ini adalah seperti berikut:
Pertama, mengemukakan isu-isu semasa;
Kedua, respons atau penjelasan terhadap isu-isu yang dikemukakan dari pandangan ulama berdasarkan realiti masyarakat Malaysia. Respons ini boleh dikemukakan dalam bentuk ceramah umum, ceramah kelompok dsbnya;
dan ketiga, mengemukakan pelan tindakan bagi menangani isu-isu yang dimaksudkan, sekiranya perlu. Pelan tindakan yang dimaksudkan mungkin berbeza dari ceramah.
Ulamak Sebagai Penceramah
Dalam menangani isu-isu semasa yang perlu diperjelaskan kepada pengundi khususnya dari perspektif Islam, ulamak biasanya dikehendaki berperanan sebagai penceramah sama ada sebagai penceramah umum atau penceramah kelompok. Bagi mempastikan lahirnya ulamak sebagai penceramah yang berkesan, maka dicadangkan panduan berikut untuk diikuti:
1. Penceramah (ulamak) hendaklah menganggap dirinya sebagai seorang pendakwah (dai) dalam usaha untuk menyebarkan Risalah Islamiah. Sebelum menjalankan tugasnya, penceramah mesti melakukan perkara-perkara berikut:
a) senantiasa ada wudu';
b) sembahyang sunat hajat memohon kekuatan, kesabaran dan pertolongan dari Allah;
c) membaca doa-doa yang berkaitan, contohnya qunut nazilah;
d) membaca al-Quran. Tumpukan kepada surah-surah berikut: al-Ahzab, al-Hajj, al-Ruum, ar-Ra?d, asy-Syuura, al-Hadid, at-Taghabun, al-Fath dan sudah semestinya surah Yaasin.
2. Lancar bercakap dan bagus susunan bahasanya. Sedapat mungkin jangan menggunakan teks, apalagi teks yang bukan ditulis sendiri. Boleh catat maklumat-maklumat penting bagi tujuan rujukan sebelum dan semasa ceramah.
3. Ayat dan bahasa yang digunakan mudah difahami. Ceramah mesti menjurus kepada aspek-aspek berikut: penerangan, seruan dan kesimpulan.
4. Ada aspek perbandingan (contrast). Ini bertujuan untuk menarik minat pendengar.
5. Isi ceramah perlu mengandungi aspek-aspek bujukan/rayuan dan ancaman/peringatan, sejajar dengan pendekatan para Rasul yang disebut oleh al-Quran sebagai, bashiran wa nazira. Dalam hal ini gunakan nada suara yang berbeza-beza: beremosi, berhiba, bersemangat, menggembirakan dll.
6. Istilah dan konsep-konsep yang digunakan dalam ceramah hendaklah disesuaikan dengan tahap pendidikan masyarakat setempat.
7. Bersungguh-sungguh dalam penyampaian. Ini menunjukkan keikhlasan dan keyakinan kepada apa yang diceramahkan.
8. Sekali-sekali ceramah hendaklah diselang-seli dengan ?humour?, supaya pendengar tidak jemu. Jangan terlalu banyak ?humour?, nanti pendengar mempunyai tanggapan bahawa penceramah tidak serius, jadi satu komedi pula.
9. Gerak tangan dan mimik muka yang sesuai.
10. Perhatikan logika perbahasan, alasan dan susunan pembicaraan. Bayangkan yang penceramah sedang menulis sebuah esei yang memerlukan kepada pengenalan, pengembangan idea dan akhirnya kesimpulan.
11. Perhatikan tatasusila pembicaraan: tingkahlaku, cara berpakaian, bahasa yang digunakan dll.
12. Kemukakan kesimpulan-kesimpulan kecil sepanjang ceramah. Syarat ini dapat dipenuhi dengan menggunakan ungkapan-ungkapan seperti berikut: ? Ini perkara yang pertama yang kita perlu memberi perhatian. Perkara kedua yang saya nak sebut pada malam ini ialah????.
13. Sensitif kepada reaksi pendengar. Di sini ?humour? penting. Sebagai contoh, selepas ceramah dua tiga minit, penceramah di ?boo? oleh Pemuda UMNO, penceramah respons dengan mengatakan: ?Terima kasih kerana menyokong saya!!?.
14. Hafal ayat-ayat al-Quran dan Hadith serta maknanya yang relevan dengan tajuk ceramah. Kata-kata pujangga perlu juga dikemukakan (contoh, Iqbal, Hamka dll).
15. Jangan mencaci peribadi lawan ('nasihat' boleh, berdasarkan Hadith, 'agama itu nasihat').
16. Banyaklah membaca. Membaca boleh mempertingkatkan ilmu pengetahuan dan ilmu pengetahuan adalah 'modal' ceramah yang penting. Walaubagaimana pun, pastikan 'kesahihan' satu-satu makalah atau buku yang dibaca ? siapa penulisnya dan ideologi politik yang diwakilinya.
17. Kemukakan contoh-contoh praktikal, berdasarkan pengalaman dan peristiwa, seelok-eloknya yang dialami oleh penceramah sendiri, kalau ada dan relevan dengan tajuk ceramah.
18. Kalau belum mampu, jangan mengeluarkan fatwa atau hukum semasa ceramah; dalam hal ini boleh dirujuk kepada tokoh-tokoh autoritatif seperti Yusuf al-Qaradawi dll; dan akhirnya,
19. Sembahyang sunat dua rakaat sebelum dan selepas ceramah, sekiranya suasana mengizinkan, atau paling tidak berdoa ringkas memohon kepada Allah agar pendengar (maduu') menerima hujah-hujah kita dan kita dilindungi dari kejahatan (fitnah) oleh musuh hasil dari ceramah tersebut.
Ulama, Gagasan dan Pendekatan Umum
Apabila pihak ulamak telah menguasai teknik berpidato sebagaimana yang disarankan di atas, maka dalam mendekati masyarakat majmuk Malaysia umumnya dan masyarakat Islam khususnya, pihak ulamak juga perlu memiliki satu gagasan dan pendekatan umum. Gagasan dan pendekatan umum yang betul akan mempertingkatkan keberkesanan penyampaian pihak ulamak dan yang lebih penting mereka akan mendapat bimbingan dan keberkatan dari Allah (swt).
Gagasan Umum: Gagasan umum yang perlu dimiliki oleh setiap ulamak ialah gagasan ke arah mewujudkan sebuah keadilan yang merata berteraskan taqwa bagi seluruh masyarakat Malaysia tanpa mengira ras sejajar dengan saranan al-Quran, Surah al-Maaidah, ayat 8 yang mafhumnya: "Hai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu jadi orang-orang yang selalu menegakkan kebenaran kerana Allah, menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap sesuatu kaum, mendorong kamu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa".
Gagasan al-Quran ini amat relevan terutama dalam konteks masyarakat majmuk seperti yang terdapat di Malaysia.
Pendekatan Umum (terutamanya bagi ceramah): Para ulama' yang berperanan sebagai penceramah (dan sekaligus sebagai seorang dai) perlu menguasai premis asas dialog berdasarkan hujah yang berturutan seperti berikut:
a) Semua makhluk ciptaan Allah, selain dari manusia, adalah untuk dimanfaatkan oleh manusia itu sendiri (al- Quran,17:70)
b) Manusia itu sendiri dicipta untuk mengabdikan diri kepada Allah (al-Quran, 51: 56).
c) Tugas utama pengabdian diri manusia di muka bumi ialah untuk merealisasi syariat Allah sesuai dengan sifat manusia sebagai Khalifah Allah (al-Quran, 2:30).
d) Dalam usaha manusia ingin merealisasikan hukum Allah, manusia berdepan dengan masalah pilihan. Sekiranya manusia memilih jalan yang lurus bermakna manusia memilih jalan yang betul.
e) Untuk membuat pilihan yang betul, manusia mesti berpandukan senarai keutamaan. Dalam hal ini manusia mesti mengutamakan yang terpenting dan yang terbaik diukur dari perspektif syarak.
f) Dalam sistem demokrasi pilihan raya merupakan satu bentuk pilihan yang penting.
Sekiranya sebelum ini dibentangkan teknik berceramah, pendekatan yang berturutan di atas juga dilihat sebagai intipati ceramah.
ISU-ISU UTAMA
Dibawah ini dipeturunkan beberapa isu utama negara yang berlegar sekitar sebelum berlangsungnya pilihan raya umu ke 12 dan bagaimana pihak ulamak menanganinya. Dua bentuk pendekatan yang boleh dikemukakan oleh pihak ulamak. Pertama, respons atau bahasan kepada isu berkaitan. Ini merupakan satu jawapan segera kepada satu-satu isu yang timbul dan ia bersifat jangka pendek.
Kedua, pendekatan jangka panjang dalam bentuk pelan-pelan tindakan.
1. Isu Negara Islam
Isu "Negara Islam" adalah isu yang bersifat universal. Ia akan terus dibangkit selagi nama rupa bentuk sebenar "Negara Islam" tidak diwujudkan. Satu petanda penting tidak wujudnya "Negara Islam" ialah kenyataan pimpinan Umno bahawa perlu ada pemisahan antara "politik" dan "agama" dalam ertikata Islam tidak boleh dipolitikkan (political Islam). Tunku, Tun Razak dan Hussein Onn telah menafikan bahawa Malaysia adalah sebuah "Negara Islam".
Walaubagaimana pun, berdepan dengan situasi politik gawat ekoran pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan tertubuhnya GERAK yang dipimpin oleh Dato' Fadzil Noor pada 1998, Mahathir telah mengisytiharkan Malaysia sebagai "Negara Islam" di Perhimpunan Agung parti Gerakan. DAP menentang pengisytiharan ini. Terkini (2008) MCA menentang kenyataan Najib bahawa Malaysia adalah sebuah "Negara Islam".
Respons/Bahasan:
a) Tidak seriusnya Umno tentang negara Islam, apabila Mahathir mengisytihar di Perhimpunan Agung parti Gerakan. Sepatutnya diisytiharkan di Perhimpunan Nasional yang terdiri dari ustaz-ustaz yang pro-Umno atau paling tidak di Perhimpunan Agung Umno. Sekiranya gagal untuk berbuat demikian, ini bermakna secara realiti tidak ramai ustaz-ustaz yang menyokong Umno!!
b) Perlu kepada penjelasan , secara konsisten, apa yang dimaksudkan dengan "Negara Islam". Bagi tujuan ini sila lihat kertas kerja oleh Ustaz Haron Din berjudul Negara Islam: Suatu Penjelasan, di bentang di Munaqasyah Ucapan Dasar Presiden Ke 49.
c) Yang menjadi masalah dengan Umno ialah sikap mereka yang acuh tak acuh (ambivalent) terhadap Islam; tidak ada satu dasar resmi berhubung dengan Islam dan perkembangan masa depannya (sebagaimana sektor-sektor lain seperti ekonomi, sosial di bawah Rancangan-rancangan Malaysia selama lima tahun itu). Membela Islam secara 'berahsia' dan bukan secara terbuka sudah semestinya mengundang sikap acuh tak acuh atau ragu-ragu dari pihak lawan (DAP) dan kawan (MCA). Secara bandingannya, PAS mengemukakan pemahaman dan kerangka "Negara Islam" yang jelas dan tanpa berselindung. Pada peringkat awal pemerintahan PAS di Kelantan (1990), Lim Kit Siang mengkritik pemerintahan PAS Kelantan secara luaran; tetapi apabila Lim Kit Siang pergi ke Kelantan dan melihat kepentingan orang bukan Islam tidak terjejas, beliau tidak lagi mengkritik PAS. Begitu juga dengan MCA Kelantan. Yang terus mengkritik hanyalah Umno!!
Pelan Tindakan:
a) Sebuah booklet perlu dihasilkan dengan segera menyenarai secara mudah ciri-ciri negara Islam dan tindakan-tindakan Umno yang bercanggah secara terang-terangan dengan ciri-ciri tersebut seperti pengeluaran lesen-lesen judi dan arak untuk diedarkan secara meluas kepada anggota masyarakat Islam Malaysia khususnya. BukU kecil ini berbeza dengan Dokumen Negara Islam.
b) Mengundang secara resmi individu-individu (selain Umno) yang mengkritik idea "Negara Islam" ke Kelantan untuk lawatan dan dialog dengan pimpinan PAS Kelantan.
2. Isu Islam Hadhari
Post-mortem pilihan raya umum 2004 kendalian PAS Pusat menyenaraikan faktor Islam Hadhari sebagai salah satu faktor yang memberi kemenangan besar kepada Umno. Kajian terkini (2006/2007) yang dijalankan oleh PERANTAU-ILMUAN dua buah NGO mengenai prestasi PAS di Terengganu memperlihatkan satu penemuan penting : Orang awam berpandangan bahawa Islam yang difahami oleh PAS dan Islam Hadhari tajaan Pak Lah mempunyai nilai yang sama iaitu kedua-duanya betul dan boleh diterima. Ini menunjukkan orang ramai masih tidak memahami erti sebenar Islam Hadhari. Satu bentuk penerangan oleh para ulama kepada masyarakat Islam mengenai Islam Hadhari, secara besar-besaran dan secara yang mudah, perlu diusahakan.
Respons/Bahasan:
Antara perkara-perkara penting yang perlu diperjelaskan kepada masyarakat Islam berhubung dengan Islam Hadhari adalah seperti berikut:
a) Islam Hadhari merupakan satu bentuk pempolitikan Islam (politicization of Islam) , sebagai satu bentuk ?baju politik? (political cloak) yang dipakai oleh tiap-tiap Perdana Menteri Malaysia : Tunku (Musabaqah al-Quran); Tun Razak ( Mesjid Negara); Tun Hussein Onn (Bulan Dakwah); Tun Dr.Mahathir (DPNI) dan Pak Lah (Islam Hadhari). Sekiranya Najib ditakdirkan menjadi PM beliau akan mencipta satu baju politik Islam yang lain pula. Baju-baju politik Islam yang berbeza ini diharapkan akan memberi legitimasi politik kepada pemakainya.
b) Teras kepada Islam Hadhari masih merujuk kepada pembangunan ekonomi bukan kepada pelaksanaan syariat. Pembangunan modal insan juga dilihat dari perspektif pembangunan ekonomi.
c) Islam Hadhari lahir dari, secara langsung dan/atau tidak langsung , projek Amerika Syarikat memerangi keganasan di peringkat global hasil dari Peristiwa 11 September 2001. Ini terbukti apabila Islam Hadhari diterjemahkan sebagai ?Islam yang bertamaddun? (civilizational Islam). Ini bermakna ada satu lagi bentuk Islam iaitu 'Islam yang tidak bertamaddun' (uncivilizational Islam). Islam yang tidak bertamaddun ini adalah Islam yang keras, ekstrim, fundamentalis, teroris dan lain-lain label yang negatif. PAS digolongkan dalam kategori ini.
d) Islam Hadhari tidak mempunyai nilai operational. Ia hanya merupakan satu ?pendekatan? (an approach). Dari sudut teori ia tidak merupakan satu model yang boleh diterjemahkan kepada beberapa modul.
e) Islam Hadhari adalah versi Islam yang mendapat ?lampu hijau? dari musuh-musuh Islam seperti Amerika Syarikat. Secara logiknya dapat difahami bahawa sekiranya projek Islam yang dilaksanakan mendapat restu dari musuh-musuh Islam maka ada sesuatu yang tidak kena dengan projek berkenaan.
f) Islam Hadhari berhasrat untuk membina tamadun Islam; tetapi tamadun Islam yang dibina tanpa perlaksanaan syariat yang syumul akan menjadikan tamadun yang dibina itu tempang dan seterusnya gagal (runtuh).
Pelan Tindakan:
a) Satu booklet kecil perlu diterbitkan segera menyenaraikan 10 prinsip Islam Hadhari dan perkara-perkara yang bercanggah dengan prinsip-prinsip ini yang sedang berlaku dalam negara. Tumpuan perlu diberikan kepada prinsip pertama iaitu 'beriman dan bertaqwa kepada Allah'.
b) Satu dokumentari video diterbitkan menggunakan pendekatan (a) di atas.
3. Isu Murtad/Riddah.
Hasil daripada pengamalan syarait Islam yang tidak syumul dan tidak adanya keazaman politik (political will) yang tinggi di kalangan pimpinan Umno dalam melaksanakan peraturan yang mereka sendiri luluskan, maka orang-orang bukan Islam (dalam konteks ini yang juga musuh-musuh Islam) dengan secara sedar mengeksploitasi kelemahan-kelemahan ini dan dalam proses ini berlakulah fenomena murtad yang melibatkan orang Islam. Lebih memburukkan lagi keadaan, kes-kes murtad tidak diberi pendedahan yang meluas oleh media kononnya bagi menjaga keharmonian hubungan kaum dan sekaligus mengkesampingkan kesucian Islam.
Respons/Bahasan:
a) Untuk menghalang berlakunya murtad di kalangan masyarakat Islam, perlaksanaan syariat Islam secara syumul adalah sesuatu yang perlu.
b) Tidak adanya penyelarasan dalam Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam di dalam negeri. Ini bermakna tidak berfungsinya Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Agama Islam yang dipengerusikan oleh PM.
c) Media cetak dan elektronik milik Umno/BN turut menyumbang secara langsung dan/atau tidak langsung dalam menyediakan 'persekitaran' yang mendorong kepada berlakunya murtad.
d) Umno tidak bertegas terhadap perlaksanaan Perkara 121(1A) Perlembagaan Persekutuan, walhal ini diluluskan oleh Parlimen pada 10 Jun 1988 yang terdiri dari wakil-wakil rakyat BN yang bukan Islam. Ketidaktegasan Umno terbukti apabila terdapat beberapa Hakim melanggar peruntukan ini dalam memurtadkan beberapa orang Islam dengan menggunakan kuasa Mahkamah Sivil.
e) Menjadi satu budaya dalam Umno melanggar peruntukan-peruntukan yang mereka sendiri cipta. Satu contoh klasik lain ialah kes Dato' Ishak Baharom, bekas Mufti Selangor dan pertandingan ratu cantik.Ini terbukti jelas bahawa Umno mempersenda hukum-hukum Allah. Fakta ini perlu disebarluaskan kepada masyarakat Islam Malaysia.
Pelan Tindakan:
a) Mengumpul fakta yang sahih tentang kes-kes murtad di kalangan masyarakat Islam.
b) Berusaha menyatukan semua Mufti dalam menangani isu yang serius ini.
c) Menulis surat/mengadakan majlis dialog dengan Majlis Perundingan antara Agama Malaysia bagi memberi mesej bahawa agama-agama lain tidak boleh mencampuri urusan agama Islam.
4. Isu Kebejatan Sosial dan Persoalan Keselamatan
Kewujudan persekitaran yang tidak bermoral tajaan Umno/BN telah mendorong meningkatnya perlakuan sosial yang melanggar batas-batas moral. Ini membawa kepada masalah jenayah dan menggugat keselamatan warganegara. Sebagai contoh, dari tahun 2003 hingga tahun 2006, berlaku peningkatan sekitar 45.1% dalam kes jenayah, 65.8% rogol (6.7 orang wanita setiap hari) dan 85.8% jenayah kekerasan. Faktor pendatang tanpa izin dalam hal ini juga penting diberi perhatian.
Respons/Bahasan:
a) Gagalnya sistem pendidikan negara secara keseluruhan bagi melahirkan modal insan yang mempunyai kekuatan moral
b) Tidak berkesannya perlaksanaan Dasar Sosial Negara
c) Tidak berkesannya penguatkuasaan undang-undang terhadap PATI
Pelan Tindakan:
a) Ulama Muda perlu bergerak cergas dalam Persatuan-persatuan Belia dan yang seumpamanya.
b) Dalam kes dadah misalnya, ulamak perlu bekerjasama dengan ADK (Agensi Dadah Kebangsaan).
c) Adakan pameran dan ceramah bergerak dengan kerjasama PENGASIH dan pengamal perubatan Islam lainnya.
d) Menjadi sukarelawan dalam Rakan-Cop dan RELA dalam usaha membenteras jenayah dan PATI.
e) Relevannya semula hujah mengenai perlaksanaan hukum hudud. Kajian menunjukkan Arab Saudi yang mengamalkan hukum hudud adalah negara di mana kadar jenayah adalah paling rendah di dunia.
5. Isu Kebejatan Ekonomi
Dalam kategori ini termasuklah perkara-perkara yang berkaitan dengan pengurusan ekonomi yang tidak mantap yang membawa kepada pembaziran dan penyelewengan (rasuah); isu kronisme; isu tender secara rundingan langsung dan tidak secara terbuka. Fokus adalah kepada kenaikan kos sara hidup hasil dari kenaikan harga petrol yang menjejas kehidupan rakyat bawahan.
Respons/Bahasan:
a) Pertumbuhan ekonomi yang pesat tidak bermakna apabila inflasi dan kos sara hidup juga meningkat dengan pesat.
b) Kenaikan gaji kakitangan awam diserap oleh kos sara hidup yang turut meningkat. Kakitangan awam hanya melibatkan 1 juta rakyat. Rakyat bawahan yang lain (petani dan nelayan contohnya) bagaimana?
c) Gagalnya Pelan Integriti Nasional (PIN).
d) Pempolitikan DEB bagi melindungi realiti sebenar.
e) Selepas BN mengambil alih Terengganu (2004) kadar kemiskinan makin meningkat. Semasa PAS memerintah (1999-2004) kadar kemiskinan menurun.
Pelan Tindakan:
a) Memperkenalkan model al-Hisbah dalam pengurusan pembangunan negara.
b) Prinsip umum pentadbiran pembangunan ialah: Jangan terlalu kedekut dan jangan terlalu boros (model Kelantan).
c) Terlaksananya prinsip Ubudiyah, Itqan dan Masuliyah (model Kelantan). Lebih berkesan dari PIN.
d) Terlaksananya prinsip ta?wuun dan keselamatan sosial (kifalah) (Model Kelantan).
Kesimpulan
Ulamak sebagai pewaris nabi, kelompok manusia paling mulia dan tinggi pada pandangan Allah dan teras kepada pimpinan PAS sewajarnya memainkan peranan yang paling sentral dan aktif dalam masyarakat. Kita tidak mahu lagi aktiviti ulamak dilihat sebagai mempunyai lingkaran sosial yang terhad hanya kepada kuliah-kuliah Maghrib dan Subuh di surau dan mesjid. Ulamak perlu bangkit mengepalai perubahan politik dan sosial negara dalam pelbagai bidang selagi ianya tidak bercanggah dengan tuntutan syara'.
Ulamak mesti mempamerkan 'izzahnya secara praktikal; ulama mesti stand tall. Secara praktikalnya, Model Kelantan memperlihatkan dan menyakinkan kita betapa sebuah negeri yang diperintah oleh seorang ulamak mampu bertahan hampir 20 tahun tanpa adanya rasuah dalam konteks politik dan ekonomi yang membawa kepada ketidakstabilan.
Rumusan Pendekatan:
1. Respons/Bahasan: Untuk modal ceramah ?pentas rasmi/kedai kopi
2. Pelan Tindakan: Di luar aktiviti ceramah, berinteraksi secara aktif dengan masyarakat; kalau perlu berdemonstrasi secara aman.
3. Isu-isu "Negara Islam", "Murtad" dan "Islam Hadhari", kumpulan sasaran lebih kepada masyarakat Melayu/Islam. Sebaliknya isu "Kebejatan Sosial dan Ekonomi" sasarannya untuk semua anggota masyarakat.
4. Selepas tambat unta, tawakkal kepada Allah.
Semoga penulisan ringkas di atas dapat memberi panduan praktikal kepada para ulamak untuk bergerak cergas dalam masyarakat terutamanya semasa musim pilihan raya. Sebagai pewaris kepada para Nabi, ulamak tidak ada pilihan lain melainkan memikul tugas suci ini dan kesejahteraan masa depan kehidupan manusia di atas dunia yang fana ini amat bergantung kepada hakikat ini.
Nota: Haji Wan Abdul Rahman Wan Ab. Latif adalah Pengarah Centre for Electoral Reforms Initiatives (CERI) dan bekas pensyarah Jabatan Sains Politik, UKM. - tmj_ -->

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI