MEMBINA KEKUATAN UMAT MENANGKIS SEKULARISME


Dipetik daripada tulisan : Y.Bhg Tuan Haji Abd. Ghani Samsudin

Mukaddimah
Pandangan hidup yang mempersetankan (mengkesampingkan) agama dan menganggap agama sebagai suatu halangan ke arah mencapai tahap kemodenan dan kemajuan madani memang wujud dalam masyarakat moden sekarang. Walhal menurut para pengkaji sejarah, bangsa primitif sekalipun yang telah membina berpuluh-puluh tamadun purba rata-rata menjadikan agama sebagai asas tamadun mereka. Malangnya dewasa ini masih terdapat ‘spesis’ manusia zaman moden yang melihat agama sebagai beban dan tidak relevan dengan kehidupan manusia. Mereka melihat agama sebagai sumber perpecahan dan pertentangan. Kehidupan ini menurut mereka tidak ada kaitannya dengan Tuhan dan Tuhan tidak boleh dibabitkan dalam kehidupan manusia samada untuk mengatur negara, kepimpinan politik dan pengagihan kekayaan atau pelaksanaan undang-undang. Pembabitan Tuhan hanya akan menyusahkan manusia. Dalam politik, Tuhan tidak ada. Kalau adapun Tuhan harus dihalang dari terlibat atau masuk campur dalam urusan kenegaraan manusia. Nilai-nilai halal haram, baik buruk Tuhan hanya membawa musibah dan pergaduhan kaum. Nilai-nilai itu adalah nilai kuno dan kolot. Manusia mesti mengharamkan Tuhan dari terlibat atau dilibatkan. Tuhan bukan soal pokok, yang penting ialah perpaduan, kesejahteraan ekonomi, kesenangan hidup dan lain-lain. Tuhan perlu dihalang dari menguasai mana-mana bidang hidup kecuali dalam hubungan ibadat khusus yang terhad.

Spesis sekularis lain berpendapat agama Islam perlu dalam hidup tapi sekadar yang berkaitan dengan soal ‘personal statute’, adat resam, simbol budaya dan ibadat dalam ertikata yang sempit. Mereka tidak percaya hukum Islam boleh memberi keadilan politik, keadilan sosial dan ekonomi. Mereka menentang setiap usaha untuk menegakkan entiti atau dasar pemerintahan negara dan keadilan atas landasan Islam. Mereka bersedia untuk mengharamkan nama atau simbol serta dasar atau wawasan Islam dari diperjuangkan sebagai dasar politik atau negara, lebih-lebih lagi kalau keadaan akan menyebabkan mereka kehilangan pengaruh dan undi mereka merosot di kalangan rakyat.

Oleh kerana Allah dan hukum-hukumnya – menurut pandangan mereka -hanya menjanjikan ketidakadilan dan kesusahan serta huru-hara dalam negara maka ketentuan mengenai baik buruk, adil, zalim dan syurga neraka-Nya tidak lagi relevan dalam hidup. Bahkan Tuhan dan para penyokong wawasannya perlu dihalang dari mengubah status quo dan kepentingan penguasa yang sedia ada. Justeru itu para penyokong aliran Islam mesti dicap sebagai pengacau dan ekstrimis, malah terroris. Agenda untuk membendung aliran yang ingin mendaulatkan ajaran fanatik agama Islam ini menurut mereka mesti digubal. Mereka menyusun berbagai rancangan untuk merenggut semangat perjuangan agama yang ingin merealisasikan Islam secara syumul dan menyeluruh. Mereka meruntuhkan imej, nama baik dan reputasi ulama’ dan pendakwah untuk menghalang kebangkitan semangat Islam yang semakin tersebar luas.

Malah sesetengah pemerintah umat Islam hari ini menangkap dan menyeksa para tahanan dari kalangan aktivis Islam. Mereka juga turut campurtangan dalam penafsiran semula prinsip-prinsip asas dalam Islam itu sendiri yang sepatutnya tidak perlu lagi kepada sebarang penafsiran lain. Mereka memberi tafsiran yang berbeda dengan pandangan ulama’ muktabar meskipun dalam perkara-perkara qathi dan asas yang sepatutnya tidak boleh berubah.

Ada segolongan pemerintah umat Islam dalam menegakkan sistem pentadbiran, mereka bertapak di atas asas sekularisme. Mereka melarang penubuhan parti-parti politik yang berbau agama. Mereka mengharamkan Islam menjadi dasar dan nama perjuangan bagi parti politik. Ada pula yang tidak pernah menjadikan Islam sebagai asas pertimbangan ketika mana mereka berdepan dengan rakyat yang bukan Islam menghadapi rakyat yang beragama Islam. Pada hal dalam masyarakat komunis pun, kita dapati para pemimpin mereka mempropagandakan sistem komunis sebagai sistem pemerintahan yang terbaik. Malangnya para pemimpin berkenaan menganggap seruan ke arah menjadikan Islam sebagai dasar politik dan negara sebagai ketinggalan zaman. Pada hal Allah sendiri telah memerintahkan supaya dasar Islam ini diperjuangkan dalam segenap lapangan hidup. Allah berfirman dalam Surah Syura ayat:13

“Allah telah menggubalkan dasar hidup “ad-din” bagi kamu seperti yang telah diwasiatkannya kepada Nuh, dan seperti yang telah dipesankan kepadamu (wahai Muhammad). Agama yang telah dipesankan kepada Ibrahim, Musa, Isa dengan perintah agar kalian semua menegakkan (mendaulatkan) agama ini dan jangan kalian berpecah dari mengikutinya…”
FirmanNya lagi dalam surah al-Rum: 30.

“Maka tegakkan wajahmu (berjuanglah) untuk agama Islam yang hanif ini. Inilah agama fitrah yang Allah telah cipta manusia selaras dengannya. Tidak ada perubahan dalam penciptaan Allah. Itulah agama (pegangan hidup) yang mat bernilai. Tetapi kebanyakan manusia tidak (mahu) mengerti”

Dalam hubungan ini, pandangan Al-Jabri elok direnungkan untuk perhatian kita, katanya : “Peranan yang paling serius yang dijalankan oleh Orientalis dalam memerangi Islam secara amalinya ialah dengan membina rentetan pusat pengajian dari tadika hingga ke peringkat universiti yang mendidik generasi baru umat Islam dari pelbagai lapisan khasnya peringkat yang mempunyai kelayakan kepimpinan yang tinggi dan sederhana Mereka juga mengeksploit profesion kedoktoran, kejururawatan serta rumah sakit dan hospital missionary. Untuk tujuan tersebut mereka hidup bergaul dengan orang Islam dan Arab di negara jajahan tersebut. Mereka cuba meyakinkan kepada orang Islam akan kebaikan tamadun Eropah yang palsu itu. Mereka mengajak ke arah pergaulan bebas, pendedahan aurat, dekadensi moral atas dakwaan kebebasan diri atau personal, mereka mendakyahkan fahaman keliru seperti sekularisme, existensialism dan lain-lain. Orang yang menyahut seruan mereka akan dididik dengan agar menafikan kerasulan Muhammad SAW.”

Ternyata bentuk sekularisme menjengol (berwajah) dalam beberapa pola, cara-gaya dan manifestasi budaya hidup. Antaranya ada yang bersifat falsafah, konsep kenegaraan, faham ekonomi, budaya, politik, pendidikan, undang-undang, seni, bahasa dan lain-lain. Bentuk-bentuk sekularisme yang pelbagai ragam ini perlu ditentang secara menyeluruh.
Dalam kertas ini penulis akan menfokuskan kepada agenda bertindak untuk menangani gejala ini. Tetapi sebelum kita menghuraikan agenda tersebut ada baiknya kita menelusuri perancangan dan agenda golongan sekularis itu sendiri dalam memalapkan pengaruh ajaran Islam.

Agenda-Agenda Sekuralis Menentang Kebangkitan Islam

Sebenarnya fahaman sekularisme menganjurkan agar umat Islam berpegang kepada suatu prinsip dan nilai baru yang berasaskan skeptisisme terhadap semua bentuk pengetahuan objektif. Skeptisisme atau keraguan terhadap kebenaran juga merupakan asas yang mencorakkan budaya dan pemikiran golongan sekularis. Akibat langsung dari minda skeptik ini, sekularis melihat agama bersama kitabnya tidak lebih dari suatu bentuk naratif besar (grand-narrative) yang tandus sifat kekudusannya dan dapat dipersendakan dalam permainan bahasa dan imaginasi kreatif yang mencampur-adukkan realiti dan fantasi. Persoalan kebenaran dan kebolehan untuk bersikap objektif akan diketepikan sebagai suatu yang mustahil untuk dicapai. Golongan sekularis telah menggantikan prinsip-prinsip kebenaran dengan beberapa prinsip baru, di antaranya prinsip ketiadaan suatu yang benar (no truth), kehampaan, realiti (no reality), kegersangan makna (no meaning), kepelbagaian (multiplicities), kesamarataan (equal representation) dan keraguan yang menyeluruh (total doubt). Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah apabila prinsip ini meminggirkan nilai ketuhanan dan menggantikannya dengan sesuatu bentuk pergantungan mutlak kepada rasional. Tegasnya ta’akul rasional dijadikan sebagai pusat gravitinya.

Akibat prinsip-prinsip di atas mula bertapak kukuh dalam pemikir-pemikir sekularisme dan pendokongnya, mereka terus melangkah untuk memastikan prinsip-prinsip ini tidak akan mendapat saingan atau ancaman. Justeru menyedari Islam sebagai satu-satunya agama yang mampu mengancam mereka, maka tindakan untuk membunuh prinsip-prinsip, sistem-sistem dan manifestasi-manifestasi Islam dilakukan dengan aktifnya oleh golongan ini. Mana-mana ruang yang digunakan oleh pendokong-pendokong Islam untuk menampilkan wawasan Islam akan dihancurkan. Golongan pejuang kebenaran Islam akan dilabelkan dengan label-label yang jahat lagi hina. Lalu timbullah tuduhan-tuduhan bahawa golongan pejuang Islam dianggap ekstrimis dan ganas. Tidak cukup dengan itu, golongan sekularis akan sentiasa menakut-nakutkan rakyat dan sesiapa sahaja yang mahukan kebenaran Islam. Kononnya manusia dan dunia ini akan musnah jika golongan pejuang kebenaran Islam diberi peluang untuk mentadbir dan memerintah dunia. Suatu yang lebih menarik lagi golongan sekularis telah juga mewujudkan institusi-institusi dan aliran-aliran gerakan yang menentang perjuangan Islam. Institusi-institusi ini akan terus menerus berperanan untuk meliberalkan pemikiran umat Islam dan menggantikannya dengan suatu pandangan hidup (world view) yang berimejkan sekularisme.

Antara agenda sekularis yang berjaya dilaksanakan dalam masyarakat umat Islam ialah seperti berikut:

· Memburuk-burukkan wawasan Islam
· Menakut-nakutkan kerajaan dan rakyat terhadap Islam dan gerakan Islam
· Menggilap imej aliran dan gerakan yang menentang Islam
· Menilai gerakan Islam dengan pengalaman sejarah dan epistemologi Barat
· Mengajukan beberapa strategi penting kepada kerajaan sekular negara-negara Islam untuk membendung dan melemahkan kebangkitan Islam dari sudut politik
· Membantu kerajaan sekular dari sudut ekonomi agar ia memiliki keabsahan di mata rakyat untuk terus berkuasa.
· Memusnahkan secara langsung atau tidak langsung kekuatan Islam yang mungkin akan muncul sebagai negara Islam samada di rantau Balkan maupun di tempat-tempat lain di dunia.

Menyedari bahaya ‘octopus’ sekularisme yang begitu bercapah dan sulit maka usaha untuk menghadapinya juga haruslah berbagai bentuk dan menyeluruh. Gerakan yang menghalang proses sekularisme mestilah merangkumi aspek pendidikan, sosio budaya, politik, ekonomi, pentadbiran, undang-undang dan lain-lain .

Agenda Menghadapi Sekularisme

Islam pada hakikatnya adalah agama, negara, aqidah dan syariat. Ia telah meletakkan satu sistem yang sempurna dan mantap untuk setiap urusan kehidupan. Ini kerana:

i. Islam mengandungi sistem yang menjamin hak-hak pemerintahan dan rakyat jelata. Semuanya ini diatur dalam prinsip-prinsipnya yang padu sebagaimana Rasulullah dan para sahabatnya membangun negara Islam yang pertama.
ii. Islam muncul dengan sistem ekonomi bermoral yang bersih dari sebarang kekalutan sebagaimana yang terdapat dalam sistem-sistem ekonomi kapitalis dan komunis.
iii. Islam telah menetapkan sistem sosial yang mengandungi asas-asas dan undang-undang yang menjamin keseimbangan dan kesaksamaan sekaligus.

Suasana kesedaran kaum Muslimin masa kini mestilah dimatangkan dengan ilmu yang sejati. Kaum muslimin mestilah cukup memiliki persediaan akliah dan ilmiah yang tinggi untuk menahan dan menempuh dengan penuh bijaksana ribut wabak bencana sekularisasi ini yang matlamatnya mahu memisahkan alam dari tafsiran agama, serta menghapuskan kuasa dan autoriti politik yang berasaskan agama. Matlamat sekularisme mahu menjadikan semua sistem nilai dan hasil budaya sebagai bersifat relatif dan sementara sahaja. Sebab itulah keyakinan umat Islam sendiri mengenai Islam sebagai agama yang benar dan Islam sebagai kebudayaan dan peradaban serta tamadun yang luhur lagi agung yang pernah menghasilkan ilmu-ilmu Islamiyyah yang tiada taranya perlu diperkasa dan diperjuangkan.

Selain itu, umat Islam dewasa kini perlulah memahami akan rumusan penelitian, takrifan dan huraian konsep-konsep dasar dalam Islam seperti konsep Tuhan, Alam, Kenabian, Insan, Ilmu, Pendidikan (Ta’dib), Agama (Din), Akhlak, Adab, Keadilan, Kebebasan, Kebahagiaan dan lain-lain kerana semua konsep-konsep dasar tersebut amat rapat hubungannya dengan permasalahan kebudayaan, kemusykilan pendidikan, persoalan sains dan dilema epistemologi yang sedang dihadapi oleh kaum muslimin dewasa ini. Hanya setelah disempurnakan persiapan akliah inilah sahaja kaum muslimin mampu menawarkan jawapan Islam terhadap cabaran sekularisme.

Kita perlu terus menerus merencanakan gerak tindak dan agenda perjuangan kerana kaum muslimin tidak akan dapat mengatasi kaum sekularis kecuali setelah ada di kalangan mereka tokoh-tokoh agung dan pakar-pakar dalam semua bidang pengkhususan. Ini termasuklah dalam teori-teori akademik, sains industri dan teknologi, ekonomi, perdagangan dan syarikat korporat, teknik pertanian, ilmu kemanusiaan dan kemasyarakatan, kedoktoran, kejuruteraan, ketenteraan, kesusasteraan dan lain-lain.

Selain itu, Islam dengan sistem akidah dan dasar psikologinya yang mantap mampu menghadapi serangan sekularisme ini dalam apa bentuk sekalipun. Cuma bentuk penentangan tersebut haruslah dilaksanakan dengan rapi, berkesan dan bijaksana. Ia perlu dibuat dalam lingkungan strategi menyeluruh dan terkini, sepertimana yang dilakukan olah musuh-musuh Islam. (Lihat tulisan R. Hrair Dekmejian: Islam In Revolution: Fundamentalism in the Arab World).

Antara agenda tersebut mungkin boleh diperincikan secara ringkas seperti berikut.

1. Memperteguhkan pegangan umat terhadap keyakinan dan dasar Islam sebagai suatu cara hidup yang komprehensif.
2. Menyebarkan budaya mengutamakan wahyu lebih dari akal.
3. Memperbanyakkan program yang boleh meningkatkan keintiman hubungan umat dengan al-Quran.
4. Melipatgandakan rancangan mengukuhkan pengaruh sunnah Rasulullah s.a.w. dalam masyarakat, di samping meningkatkan pengetahuan umat mengenai sirah Rasulullah s.a.w.
5. Menyemarakkan rancangan untuk menyuburkan amalan ruhaniah yang positif dan proaktif untuk membangun masyarakat melalui khemah ibadah dan sebagainya.
6. Memperluaskan penyampaian fiqh Islam dalam aspek-aspek sosio politik, ekonomi, komunikasi, pendidikan dan lain-lain.
7. Menghidupkan semangat jihad di jalan Allah.
8. Mengimbaukan semula sejarah leluhur silam dan kepahlawanan mereka dalam menghadapi pertarungan dengan penjajah dan musuh-musuh Islam.
9. Menyebarluaskan agenda dan perancangan musuh-musuh Islam untuk melemahkan umat Islam di seluruh dunia.
10. Mendedahkan kelemahan asas kebendaan tamaddun Barat dan bahaya fahaman sekularisme, materialisme, kapitalisme dan sebagainya.
11. Mengkritik fahaman racialisme, nasionalisme dan assabiah jahiliyyah yang lain dengan menerangkan hujah-hujah Islam yang menelanjangkan keburukannya.
12. Menentang aliran kemurtadan golongan intelektual, pakar budaya, sasterawan dan wartawan yang merugikan Islam.
13. Meningkatkan program untuk memperkasa peranan kaum muslimat dalam membentuk sejarah gemilang umat Islam seperti yang dilakukan oleh tokoh-tokoh mereka di zaman silam. 14. Mendaulatkan sistem pendidikan Islam melawan aliran pendidikan ynag sekular.
15. Memperbanyakkan program mengasuh dan mendidik generasi baru dan remaja Islam agar tidak dapat dimusnahkan oleh fahaman sekularisme dan budaya porno.
16. Menggandakan usaha dan program untuk melahirkan golongan wartawan dan penulis Islam dalam berbagai lapangan media.
17. Menggandakan bilangan kehadiran ulama’ dan para pendakwah Rabbani melalui pembinaan pusat-pusat pengajian tinggi dan institut perkaderan Imamah dan Ulama’.
18. Meningkatkan keselarasan, kesatuan, kematangan dan keupayaan haraki gerakan-gerakan Islam untuk menjana kekuatan bersama yang boleh menghalang fahaman sekular dan sekularis dari menyesat dan merosakkan umat Islam.
19. Mengukuhkan pergerakan umat Islam dan lain-lain agama dalam memerangi semangat anti agama, anti keadilan, kemanusiaan dan demokrasi.
20. Meningkatkan amalan budaya syura dalam masyarakat, di samping menyeru pihak yang berkuasa agar menjadikan budaya syura teras pemerintahan mereka untuk mengelakkan ciri-ciri imperialisme masuk semula dalam masyarakat dalam era merdeka.
21. Meningkatkan kesedaran tentang hak asasi manusia hak-hak sivil dan politik yang fundamental untuk seluruh rakyat seperti hak untuk bebas berkumpul dan bercakap secara aman dan lain-lain agar pencabulannya dapat disedari dan dibanteras secepat mungkin.
22. Meningkatkan kesedaran dan tuntutan untuk mempunyai undang-undang suruhanjaya pilihanraya, dan amalan pembuangan dan pengiraan undi yang bersih, profesional dan adil demi memastikan suara dan amanah rakyat diurus dengan betul, nazahah dan saksama.
23. Memastikan kehadiran media massa yang bebas, sedar, amanah, beretika dan profesional agar umat tidak mudah dimangsakan oleh penjajah baru dari kalangan bangsa sendiri atau orang luar.
24. Memastikan pemimpin umat dan negara terdiri dari kalangan orang yang bertaqwa, berakhlak dan bersih dari penyalahgunaan jentera dan dana negara untuk kepentingan diri, keluarga dan partinya.
25. Menimbulkan kesedaran yang mendalam di kalangan rakyat tentang perlunya penghakiman yang adil dilakukan dalam sebarang kes yang diadili tanpa menganak-tirikan sesiapa pun. Kehakiman yang adil adalah tuntutan Islam.
26. Memperkasa tuntutan rakyat tentang perlunya diwujudkan jentera pendakwaan yang profesional, adil dan tidak berat sebelah demi kesaksamaan pengagihan keadilan itu sendiri.
27. Meningkatkan kesedaran dan peruntukkan agar jentera kepolisian tidak digunakan untuk mereka bukti pertuduhan, keganasan dan disalah gunakan untuk melindungi pihak berkuasa yang bersalah. Polis yang adil adalah tuntutan Islam.
28. Menegaskan tentang perlunya dilantik para pentadbir yang cekap, amanah dan profesional yang benar-benar berkhidmat untuk rakyat bukan untuk mana-mana YB yang bermuslihat.
29. Meningkatkan program untuk melahirkan masyarakat penyayang yang tidak menganiaya satu sama lain. Sebaliknya saling kasih mengasihi satu sama lain.

Penutup

Perlu disebutkan bahawa pusat-pusat kajian strategi golongan sekularis mempunyai ramai para petugas, pengkaji dan para penyelidik yang senantiasa peka dan konsisten menyelidiki sekurang-kurangnya 38 jurusan pengkajian. Mereka terus memantau dan mengawas perkembangan politik, ekonomi, budaya dan ketenteraan yang dilalui oleh setiap negara Islam di dunia ini, melalui agen-agen yang mereka lantik pula mereka sentiasa mendapat maklumat yang terkini dan terperinci . Maka umat Islam perlu memiliki pusat-pusat kajian seperti itu untuk meningkatkan keupayaan mereka dalam proses pengumpulan penganalisaan maklumat musuh-musuh mereka dan merencanakan tindak balas yang lebih bertenaga dan berkesan.

Gerakan-gerakan Islam yang ada di negara kita perlu berlatih dari sekarang untuk menggabung atau menyelaraskan diri ke arah merealisasi perpaduan. Mereka perlu menyedari betapa perlunya penggabungan tenaga dalam dunia yang sentiasa berkembang dan membentuk blok-blok kekuatan baik dalam bidang ekonomi, politik mahupun ketenteraan. Selaras dengan itu Majlis Syura Gerakan-gerakan Islam (MSGI) mungkin perlu dibentuk agar dapat menjadi pengembeling dan penyelaras antara gerakan-gerakan Islam yang ada.

Satu agenda politik bersama perlu disokong oleh seluruh gerakan Islam demi membulatkan tenaga umat dalam menangani bencana golongan sekularis dan aliran perjuangan mereka. Tanpa usaha yang gigih untuk menghadapi serangan sekularisme ini kekuatan umat akan terus layu, terhakis dan hanyut menjadi Pak Turut yang lebih malang dari “Lebai Malang” masa lampau.

Buku rujukan :
1) Dekmejian, R. Hrair. Al-Usuluyyah fi al-Alam al-Arabi (terj) Islam In Revolution Fundemantalism In The Arab World oleh Abdul Warith Said dan al-Wafa Li al-Tiba’ah Wa-al-Nasyr. Egypt 1989.
2) Don M.Mccurry (editor). The Gospel and Islam. cet, MARC, California, 1978.
3) Fathi Yakan Al-Mausu’ah al-Harakiah (Jilid 1). Muassasah al-Risalah Beirut 1980.
4) Al-Jabri, Abdul Muta’al Muhammad, al-Istisyraq Wajhun li Al-Isti’mar Al-Fikri, Maktabah Wahbah, Kaherah, 1955 / 1416, hlm. 225.
5) Al-Matani, Dr.Ab. Azim Ibrahim Mohd. Urubba Fi Muwajahati al-Islam : al-Wasail Wa al-Ahdaf. Maktabah Wahbah – Kaherah 1993.
6) Al-Qaradhawi, Dr.Yusof. Al-Islam Wa ‘Ilmaniah Wajhan Li Wajhin. Maktabah Wahbah – Kaherah.
7) Sa’aduddin, Al-Sayyid Salih, Dr. Strategi Musuh Menentang Islam. (terj) Darul Nu’man 1996. 8) Al – Sawi, al-Thawabit Wa al- Mutaghaiyirat fi Masirat Al-Amal Al-Islami Al-Mu’asir Dar al-I’lam al-Duali. Kaherah 1994. Sekadar Renungan dan makluman untuk yang ingin mengetahui. Wassalam

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI