FIQH AWLAWIYAT

Tertarik dengan bicara hikmah serta perbahasan yang di bawa oleh Dr. Yusuf Al-Qaradawi di dalam kitabnya fiqh aulawiyyat memberi satu ilham untuk dikongsi bersama sahabat-sahabat di dalam ruangan ini. Beliau yang merupakan seorang ulama dan cendiakawan Islam masa kini, juga merupakan seorang doktor masyarakat. Pelbagai resepi dan ramuan yang dititipkan di dalam karangan beliau sebagai ubat dan penawar kepada setiap jenis penyakit yang dideritai oleh masyarakat kini.
Namun bukanlah disini untuk membentangkan segala perkara atau perbahasan yang terkandung didalam kitab beliau. Tetapi hanya sekadar menitip sedikit daripada kalam dan pengalaman beliau yang bersangkutan dengan fiqh aulawiyyat. Justeru ikutilah siri-siri perbahasan beliau di dalam ruangan ini dan perhatikanlah kerana sebahagiannya pernah berlaku di lingkungan kita selaku Azhari/ah.
Mudah-mudahan risalah ringkas ini dapat membantu kita dalam memahami fiqh keutamaaan serta membantu kita selaku pendakwah untuk menyebarkan ajaran Islam di tengah-tengah kebobrokan masyarakat. Disamping membuka minda kita untuk lebih bersikap positif ke arah pembangunan dan kemajuan umat islam. Justeru, mari kita ikuti titipan kalam Dr Yusuf Al-Qaradawi berkenaan Fiqh Aulawiyat.
Dalam perspektif Islam, suatu perbuatan itu boleh menjadi utama pada suatu masa, dan boleh juga menjadi yang kedua pada suatu masa yang lain. Mesti dikedepan serta didahulukan pada suatu masa, tetapi di suatu masa yang lain mesti ditakhirkan mengikut keadaan dan suasana yang berlaku. Namun dek kerana kurangnya kefahaman dan pengertian tentang fiqh aulawiyat ini, menyebabkan masyarakat kita (mungkin kita juga tergolong didalamnya) tidak dapat membezakan kedua perkara tersebut.
Dari pengalaman yang pernah saya (Dr. Yusuf Al-Qaradawi) alami, banyak saya dapati kaum muslimin yang ikhlas dan baik menghulurkan derma dan sumbangan untuk membangun sebuah masjid baru, walhal di daerah tempat tinggalnya sudah banyak sekali masjid-masjid yang berdiri dan sedia ada. Ada dikalangan yang sanggup untuk memberikan derma sebanyak setengah pound Mesir atau beribu-ribu Dolar Amerika. Namun apabila kamu memohon kepada mereka agar memberikan derma tersebut untuk kegiatan dakwah Islamiah, menyekat usaha-usaha pemurtadan dan penyebaran agama lain di tengah-tengah masyarakat Islam, ataupun untuk menyokong gerak kerja Islam mungkin kamu boleh mendapati sokongan segelintir rakyat. Namun jarang sekali kamu akan mendapati sokongan kewangan dari masyarakat. Mengapa? Kerana mereka lebih mengutamakan pembangunan batu daripada usaha-usaha pembangunan manusia. Mereka hanya mengutamakan perkara yang natijahnya akan terzahir didepan mata mereka sahaja.
Pada musim haji setiap tahun saya saksikan banyak sekali kaum muslimin yang tergolong kaya dan mampu pergi menunaikan ibadah haji buat kali yang kedua ataupun ketiga dan selanjutnya. Banyak juga dikalangan mereka yang menambahkan ibadah haji sunnah itu dengan menunaikan ibadah umrah di bulan Ramadhan terlebih dahulu. Mereka tidak segan-segan untuk mengeluarkan wang ringgit demi tujuan tersebut, malah terkadang banyak antara mereka yang mengajak beberapa orang miskin untuk pergi bersama mereka menunaikan haji dan umrah. Walhal Allah S.W.T tidak membebankan mereka (orang miskin) untuk menunaikan haji atau umrah kerana mereka tidak memiliki kemampuan dan kesanggupan.
Tetapi apabila kamu cuba untuk meminta kepada mereka menyalurkan semua dana untuk peruntukan yang mereka belanjakan pada setiap tahun itu untuk didermakan kepada tabung mujahidin yang sedang memerangi penceroboh dan penjenayah Israel di Palestin atau untuk menghadapi uasah-usaha kristianisasi di wilayah-wilayah Indonesia ataupun Bangladesh atau kamu minta peruntukan tersebut bagi membangun pusat tarbiah dan pendidikan dakwah islamiah bagi melahirkan pendakwah-pendakwah yang mantap dan berpengetahuan luas, atau didermakan kepada fi sabil lillah ataupun untuk usaha-usaha penyusunan buku-buku Islam atau penterjemahannya, pasti kebanyakkan mereka akan memalingkan wajah kearah lain kerana enggan dan tidak setuju dengan cadangan yang kamu berikan. Bahkan mungkin ada dikalangan mereka yang akan mengherdik serta mencemuh kamu.
Begitulah umumnya kefahaman masyarakat kita mengenai ajaran Islam, walhal secara terang dan jelas Al-Quran telah menggariskan bahawa amalan jihad itu adalah lebih utama daripada ibadah Haji. Firman Allah yang berbunyi:
أجعلتم سقاية الحاج وعمارة المسجد الحرام كمن ءامن با الله واليوم الأخر وجهد في سبيل الله
لا يستوون عند الله والله لا يهدى القوم الظلمين
الذين ءامنوا وهاجروا وجهدوا في سبيل الله بأموالهم وأنفسهم أعظم درجة عند الله وأولئك هم الفا ئزون
Maksudnya: Apakah (orang-orang yang) memberi minum kepada orang-orang yang menunaikan Haji dan mengurus Masjidil Haram, kamu samakan dengan orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari kemudian serta berjihad di jalan Allah? Mereka tidak sama disisi Allah; dan Allah tidak memberikan petunjuk kepada kaum yang zalim. Orang-orang yang beriman dan berhijrah serta berjihad dijalan Allah dengan harta benda dan diri mereka adalah lebih tinggi darjatnya disisi Alalh; itulah orang-orang yang mendapat kemenangan. (At-taubah; 19-20)
Apatah lagi ibadah haji dan umrah yang mereka kerjakan adalah buat yang kedua dan ketiga kalinya yang tergolong kepada sunnah sahaja bukan wajib. Tetapi tugas memerangi orang-orang kafir yang menceroboh dan mencabul hak-hak serta kehormatan kaum muslimin lebih utama dan merupakan tugas yang difardukan oleh syariat lebih dari menunaikan haji atau umrah tersebut.
Dua tahun sebelum datangnya musim haji, salah seorang penulis dan pemikir Islam, Professor Fahmi Huwaidi telah mengeluarkan kenyataan bahawa usaha-usaha membela serta menolong kaum muslimin di Bosnia-Herzegovina adalah lebih utama dan mesti didahulukan daripada menunaikan haji..!
Pada ketika itu, banyaklah orang yang bertanya kepada saya mengenai kebenaran pendapat Professor Huwaidi tersebut. Jawapan yang saya berikan adalah seperti berikut: Dari perspektif Fiqh, pendapat yang dikeluarkan Proffessor tersebut adalah berasas serta mempunyai hujjah yang kuat. Hal itu kerana mengikut kaedah hukum syara’ :
“Sesungguhnya semua kewajiban yang menuntut untuk disegerakan mestilah diberikan keutamaan daripada kewajiban yang boleh ditakhirkan”. Sedangkan kewajiban untuk melindungi dan menyelamatkan kaum muslimin yang ditindas dari bahaya, kelaparan dan kematian adalah tugas yang tidak boleh ditanguh-tanguhkan. Inilah satu kewajiban yang telah ditetapkam ke atas umat Islam diseluruh dunia.
Memang kewajiban untuk menegakkan syiar Islam seperti menunaikan haji adalah merupakan tugas fardu yang telah ditetapkan serta tidak boleh diabaikan. Namun begitu ianya boleh dilakukan oleh kaum muslimin yang tinggal di kedua kota Haram (Makkah dan Madinah) dan daerah-daerah yang berdekatan sekitarnya, kerana mereka tidak perlu membelanjakan harta dan wang ringgit yang banyak.
Apa yang dimaksudkan oleh Professor Huwaidi adalah bahawa perlaksanaan fardu haji tersebut memadai dengan datangnya sebahagian kaum muslimin. Oleh kerana kebanyakkan mereka datang ketanah suci pada musim-musim haji adalah mereka yang pernah melaksanakan pada tahun-tahun sebelumnya.
Alangkah baiknya, apabila mereka yang pergi ketanah suci bukan yang pertama kali (mereka adalah jumlah terbanyak) bertolak ansur lalu menyalurkan peruntukan perbelajaan yang besar tersebut kepada kaum muslimin yang sedang menghadapi bahaya kehancuran kerohanian dan kebendaan yang sedang dilakukan oleh pihak musuh.
Mereka (kuffar) hendak menghapuskan umat Islam dari peta dunia ini, sementara negara-negara maju hanya bertopang dagu (berdian diri) dan menonton sahaja siri-siri kekejaman dan kezaliman yang dilakukan terhadap kaum muslimin. Justeru dimana sumbangan umat Islam terhadap saudara-saudara mereka?

ikuti siri berikutnya

# Untuk kefahaman yang lebih tepat dan selanjutnya yang sila rujuk fiqh aulawiyyat dr. Yusuf Al-Qaradawi (في فقه الأوليات ودراسة جديدة في ضوء القران والسنة

dipetik dari laman web pelajar Mesir Perak

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI