Faktor Kejayaan Abadi


بسم الله الرحمن الرحيم ، الحمد الله رب العالمين ، والعاقبة للمتقين
ولا عدوان الا على الظالمين ، أشهد أن لا اله الا الله وحده لا شريك له ،له الملك وله الحمد
وهو على كل شىْ قدير. وأشهد أن محمدا رسول الله، الرحمة المهداة،
والنعمة المسداة، والسراخ المنير ، اللهم صل وسلم وبارك على سيدنا محمد، وعلى آله وأصحابه
والتابعين إلى يوم الدين، أما بعد
:


Sidang jumaat yang dirahmati oleh Allah sekelian;
Saya berpesan kepada diri saya sendiri dan juga sidang jumaat sekelian; marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa sepertimana yang diperintahkan oleh Allah Ta'ala dalam firmanNya;


ياايهاالذين أمنوا اتقوا الله حق تقاته ولاتموتن الا وأنتم مسلمون

“Wahai sekelian orang-orang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dengan takwa yang sebenar-benarnya. Dan janganlah sekali-kali kamu mati melainkan kamu sebagai seorang muslim”.
Seorang sahabat Nabi s.a.w. iaitu Ibnu Mas'ud pernah berkata pada suatu hari kepada anak saudaranya; “Wahai anak saudaraku! Tidakkah kamu lihat alangkah ramainya manusia”. Jawab anak saudaranya; “Ya”. Lalu berkata Ibnu Mas'ud: لا خير فيهم الا تائب أو تقى (Tidak ada kebaikan bagi mereka melainkan bagi orang yang bertaubat/kembali kepada Allah dan orang-orang yang bertakwa (takut kepada Allah).
Kemudian ia bertanya lagi; “Wahai anak saudaraku! Tidakkah kamu lihat betapa ramainya manusia”. Jawab anak saudaranya; “Ya”. Lalu Ibnu Mas'ud berkata lagi; لا خير فيهم الا عالم أو متعلم (Tidak ada kebaikan bagi mereka melainkan bagi orang berilmu dan belajar).
Amirul Mukminin Umar Al-Khattab r,a. pernah bertanya kepada seorang sahabat yang lain bernama Ubai bin Ka'ab r.a. berkenaan dengan taqwa. Kata Umar; “Wahai Ubai! Apa itu takwa?”. Ubai bertanya kembali kepada Umar; “Wahai Umar, adakah engkau pernah melalui satu jalan yang berduri?”. Jawab Umar; “Ya”. Tanya Ubai lagi: “Apakah yang kamu lakukan semasa melalui jalan tersebut?”. Jawab Umar; تشمرت وحذرت (Saya melangkah dengan berjaga-jaga dan berhati-hati). Lalu Ubai menjelaskan kepada Umar; فذاك التقوى (Demikian itulah taqwa).
Apa yang hendak dijelaskan sahabat bernama Ubai r.a. itu ialah; Orang bertakwa dalam ia menghadapi kehidupan dunia ini, ia amat berhati-hati agar jangan terjerumus di dalam perkara yang dimurkai Allah. Ia amat memelihara dirinya dari termakan dengan godaan musuh-musuh yang terdiri dari;
(1) Hawa Nafsu.(2) Syaitan.(3) Golongan Kuffar dan Munafiqin.(4) Golongan Penzalim dan Pembid'ah dan golongan yang melakukan kemungkaran.
Saidina Umar r.a. pernah berpesan;


حاسبوا أنفسكم قبل أن تحاسبوا و زنواها قبل أن توزنو
ا
“Hisablah diri kamu sebelum kamu dihisab oleh Allah dan timbangilah ia sebelum kamu ditimbang oleh Allah”.
Muslimin sidang jumaat yang dirahmati Allah sekelian;
Setiap dari kita menginginkan kejayaan dalam hidup. Kita amat bimbang jika kita ditakdirkan gagal oleh Allah. Namun harus kita sedari bahawa kejayaan mempunyai faktor-faktor yang menjurus kearahnya. Apakah factor kejayaan yang paling utama dalam kehidupan kita sebagai manusia?
Sebagai seorang hamba Allah, kita harus meyakini bahawa factor asas kejayaan ialah berpegang teguh dengan agama Allah iaitu Islam. Apabila seseorang itu menganut Islam dan berpegang-teguh dengannya, maka ia memiliki asas paling utama untuk berjaya. Kejayaan yang kita impikan bukanlah kejayaan setakat di dunia ini sahaja, tetapi juga kejayaan di alam akhirat yang kekal abadi. Lantaran pentingnya Islam inilah maka Allah mengutuskan para Rasul di mana mereka tidak datang melainkan dengan membawa agama yang satu iaitu Islam.
Islam adalah satu-satunya agama yang diredhai Allah untuk menjadi pegangan dan tatacara kehidupan manusia. Agama yang lain dari Islam jika dianuti manusia, nescaya ia tidak akan mencapai keredhaan Allah dan kehidupannya di dunia dan di akhirat akan berada di dalam kancah kerugian dan kemusnahan. Firman Allah;


إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ

“Sesungguhnya ad-Deen (yakni agama yang benar dan diredhai) di sisi Allah ialah Islam“.
(Al-Imran: 19)


وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ

“Sesiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali-kali tidaklah akan
diterima (agama itu) daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi”.
(Ali Imran: 85)
Dalam satu hadis Rasulullah s.a.w. meletakkan factor kejayaan manusia kepada tiga perkara, iaitulah;
Islam
Rezki yang mencukupi (yang boleh difahami sebagai kemajuan material/kebendaan)
Sifat qana’ah (redha dengan pemberian Allah kepadanya)
Hadis yang kita maksudkan itu berbunyi;


قد أفلح من أسلم و رزق كفافا و قنعه الله بما آتاه

“Sesungguhnya berjayalah orang yang Islam dan dikurniakan rezki yang cukup serta diberikan sifat qana’ah oleh Allah dengan apa yang dikurniakan kepadanya”.
(Hadis riwayat Imam Muslim dari Abdullah bin Umar r.a.)
Dalam hadis di atas Rasulullah s.a.w. tidak menafikan peranan material atau harta-benda (yang diungkapkan dengan kalimah rezki) sebagai salah satu factor kejayaan dan kebahagiaan manusia. Namun baginda meletakkan Islam adalah syarat kejayaan paling atas atau paling utama. Kemajuan material atau kebendaan jika tidak bertunjangkan Islam, nescaya kemajuan tersebut akan mendatangkan lebih banyak mudarat kepada manusia dari mendatangkan manfaat.
Sidang jumaat yang dirahmati Allah sekelian,
Mungkin di kalangan kita ada yang akan berkata; bagaimana dikatakan Islam merupakan syarat kejayaan paling utama, sedangkan negara-negara maju hari ini (sepwerti Amerika, Jepun, Britain dan sebagainya) tidak pun menganut agama Islam dan mereka telah mencapai kejayaan?.
Memang benar negara-negara yang dikatakan maju itu telah berjaya dari sudut ekonomi dan material, namun adakah mereka benar-benar mengecapi kejayaan hidup yang sebenarnya? Kejayaan dalam erti-kata yang sebenarnya bukanlah hanya kejayaan dari satu sudut (iaitu ekonomi atau material), tetapi kejayaan dari pelbagai sudut kehidupan manusia merangkumi rohani, kejiwaan (saikologi), akhlak/etika, hubungan social, kekeluargaan dan sebagainya.
Tidak guna harta kita banyak dan ekonomi kita kukuh tetapi masyarakat kita porak-peranda lantaran dari berlakunya keruntuhan rohani dan akhlak, musnahnya institusi keluarga dan berleluasanya gejala jenayah dalam negara. Namun inilah yang telah terjadi dalam masyarakat dunia hari ini terutamanya di negara-negara maju.
Menurut seorang ulama’ dan ahli fakir Islam terkenal, Dr. Yusof al-Qardawi dalam satu bukunya “Islam dan Tamadun hari esok”; “Tamadun moden hari ini telah melahirkan beberapa akibat negative –hasil sikapnya yang meminggirkan agama- di mana kecelakaan dan kepahitan darinya tidak putus-putus dirasai oleh manusia zaman ini. Kesan-kesan negative tersebut ialah berlakunya;
Keruntuhan akhlakKrisis rumah-tangga (keluarga)Keresahan jiwa (saikologi)Kecelaruan akal fikiranJenayah yang berleluasa.
Kesan-kesan buruk di atas tidak perlu kita buktikan lagi kerana ia juga sedang berlaku dalam masyarakat kita hari ini. Jika kita renung dan kita tilik sedalam-dalamnya, semua kesan negative itu berpunca dari sikap manusia hari ini yang meminggirkan agama dan memandang mudah kewajipan-kewajipan dalam agama. Mereka merasakan cukuplah dengan duit yang banyak dan ekonomi yang kukuh untuk mencapai kebahagiaan. Namun jangkaan mereka itu meleset sama sekali. Kebahagiaan yang sebenar adalah mustahil untuk dicapai tanpa agama/Islam.
Inilah yang diperingatkan Allah kepada kita;
“Dan barangsiapa berpaling dari peringatan-Ku, maka sesungguhnya baginya penghidupan yang sempit, dan Kami akan menghimpunkannya pada hari kiamat dalam keadaan buta”.
(Thaha:124).
“Peringatan Allah” yang dimaksudkan dalam ayat ini ialah perintah Allah iaitu apa yang terkandung di dalam ajaran Islam itu sendiri kerana Islam adalah satu-satunya agama dari Allah yang diutuskan para Rasul membawanya.
Menurut Imam Ibnu Kathir dalam tafsirnya “Tafsir al-Quran al-‘Aziem” ketika mentafsirkan ayat di atas; “Ma’isyatan Dhanka (Penghidupan yang sempit)” itu ialah merasai kesempitan di dunia di mana orang yang berpaling dari peringatan Allah itu ia tidak akan mencapai ketenangan jiwa dan tidak akan merasai kelapangan dada.
Bahkan dadanya akan sentiasa merasa sempit dan resah walaupun zahir hidupnya mewah; walaupun ia dapat memakai pakaian yang disukainya, memakan makanan yang disukainya dan tinggal di rumah-rumah yang disukainya. Akan tetapi oleh kerana di dalam hatinya tidak ada keyakinan kepada Allah dan tidak ada hidayah/petunjuk maka ia akan terus berada di dalam jiwa yang resah, fikiran yang bercelaru dan sentiasa terumbang-ambing. Inilah yang dimaksudkan kehidupan yang sempit oleh ayat tadi”.


إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَ إِنَّ اللَّهَ يَأْمُرُ بِالْعَدْلِ وَالْإِحْسَانِ وَإِيتَاءِ ذِي الْقُرْبَى وَيَنْهَى عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنْكَرِ وَالْبَغْيِ يَعِظُكُمْ لَعَلَّكُمْ تَذَكَّرُونَأقول قولي هذا و أستغفر الله لي و لكم و لسائر المسلمين و المسلمات ، فاستغفرواه هو الغفور الرحيم ، و ادعواه يستجب لكم

Khutbah kedua

الحمد لله رب العالمين و العاقبة للمتقين و لا عدوان إلا على الظالمين ،أشهد أن لا إله إلا الله و أشهد أن محمدا عبده و رسوله ،اللهم صل و سلم على محمد و على آله و صحبه أجمعين ،أما بعد :
يا أيها الذين آمنوا اتقوا الله حق تقاته و لا تموتن إلا و أنتم مسلمون


Sidang jumaat sekelian;
Marilah kita kembali kepada Islam dalam erti-kata yang sebenarnya.Ramai di kalangan kita hari ini mengakui dirinya seorang muslim. Mereka menyatakan bahawa agama mereka adalah Islam. Namun adakah mereka benar-benar mengerti apa sebenarnya Islam? Dan apa makna sebenarnya mereka sebagai seorang muslim?
Islam bukanlah semata-mata suatu penamaan atau suatu slogan. Tetapi ia adalah pemahaman, penghayatan dan amalan. Seorang muslim yang sejati bukanlah orang yang hanya pandai mengaku dirinya menganut Islam atau menamakan dirinya dengan nama Islam, tetapi juga ia hendaklah memahami apa itu Islam, menghayati segala ajaran dan tutuntannya serta beramal dengannya.
Seorang muslim yang sebenar ialah orang yang menumpukan seluruh kehidupannya kepada Islam. Hati, aqal dan perasaannya ditumpukan kepada Islam iaitu untuk mempelajari Islam, memahami Islam, menghayati Islam dan seterusnya mengamalkan ajaran Islam bersungguh-sungguh. Ini kerana ia yakin bahawa Islamlah satu-satunya peraturan hidup dari Allah yang dapat mengekalkan fitrah (kejadian) manusia dan menjadi syarat kejayaan hidup manusia di dunia mahupun di akhirat.


فَأَقِمْ وَجْهَكَ لِلدِّيْنِ حَنِيْفًا ، فِطْرَتَ اللهِ الَّتِيْ فَطَرَ النَّاسَ عَلَيْهَاْ لَاْ تَبْدِيْلَ لِخَلْقِ اللهِ ذَلِكَ الدِّيْنُ الْقَيِّمُ وَ لَكِنْ أَكْثَرَ النَّاْسِ لَاْ يَعْلَمُوْنَ

“Maka hadapkanlah wajahmu dengan lurus kepada agama (Allah); (tetaplah atas) fitrah Allah yang telah menciptakan manusia menurut fitrah itu. Tidak ada perubahan pada fitrah Allah. (Itulah) agama yang lurus; tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”.
(ar-Rum: 30)
Marilah kita berdoa kepada Allah memohon dariNya agar kita senantiasa dikurniakan hidayah dan petunjuk, diberikan kesedaran untuk beramal dengan Islam dan dikurniakan kekuatan yang berpanjangan untuk memperjuangkan hokum-hakamNya
di atas muka-bumi ini.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI