TANDA SUJUD DI DAHI


Soalan

Melaksanakan solat yang menjadi tiang agama hakikatnya, mendatangkan ketenteraman jiwa dan kebahagian hidup, sekali gus terpancar di wajah. Bagaimana boleh dibuktikan menerusi ayat al-Quran dan sunah Rasulullah SAW?

Jawapan UZAR

Benar solat adalah tiang dan asas kepada agama berdasarkan hadith:


رأس الأمر الاسلام وعموده الصلاة


Ertinya : "Kepala urusan (kehidupan) ini adalah Islam dan tiangnya adalah solat" (Riwayat Ibn Majah dan An-Nasa'ie dalam As-Sunan Al-Kubra; Al-Albani dan Al-Arnauot : Hadis sohih )

Ia juga jika ditunaikan dengan ilmu dan khsuyu'nya adalah menghasilkan rasa kemanisan iman dan ketenangan sebagaiamana yang ditegaskan oleh Nabi s.a.w


حبب إلي من دنياكم الطيب والنساء وجعلت قرة عيني في الصلاة


Ertinya : "Aku suka terhadap beberapa item dalam dunia kamu, iaitu wangian, wanita (iaitu dalam meningkatkan martabatnya berbanding menjadi barang mainan dan dagangan di zaman Jahiliyah) dan dijadikan ketenangan dan kenikmatanku di dalam solat"( Riwayat Ahmad, al-Baihaqi dan Al-Hakim)

Adapun berkenaan ketenangan yang terpancar di wajah pula adalah petikan dari Al-Quran ketika menerangkan sifat mereka yang bersama perjuangan Nabi s.a.w :-


تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ


Ertinya "..kamu lihat mereka rukuk dan sujud mencari karunia Allah dan keridaan-Nya, tanda-tanda mereka tampak pada muka mereka dari bekas sujud. (Al-Fath : 29)


Imam Fakhruddin Al-Razi menyatakan terdapat dua pendapat dalam mentafsirkan tanda ini ( At-Tafsir Al-Kabir, 28/93 ) :-

Pertama : Tanda itu akan ternampak di akhirat kelak sebagaimana firman Allah dalam surah Ali Imran ayat 106 " Di hari yang Allah memutih dan menggelapkan wajah" dan juga dari surah At-Tahrim ayat 8.

Kedua : Tanda ini akan terzahir di dunia lagi. Terdapat dua kemungkinan yang disebut,
a) Bekas sujud ini adalah tanda hitam di dahi. Namun perlu diingat ada sebahagiannya memang hitam kerana banyaknya sujud, namun banyak sujud belum tentu diterima solatnya. Manakala ada yang hitam sebab-sebab lain.
Justeru secara umumnya, tanda hitam di dahi, boleh membawa erti tanda sujud yang banyak dan lainnya. Jika tanda sujud itu diiringi dengan sifat-sifat mahmudah dirinya dan wajahnya yang menepati ciri kedua di bawah, lalu ia kemungkinan besar tanda yang benar.

b) Satu tanda yang Allah zahirkan di wajah orang yang sujud dari raut yang bercahaya, kelihatan tenang dan menyenangkan. Tanda inilah yang disebut terdapat pada wajah baginda Nabi, para sahabat dan lain-lain ulama.

Sahabat besar nabi seperti Ibn Abbas pula menjelaskan maksud tanda itu dengan katanya ( Tafsir Ibn Kathir, 4/205 ; Ad-Durr Al-Manthur, As-Suyuti, 7/453 ) :-

a- Raut yang baik dan menyenangkan, taqwa dalam urusan agamanya dan pemalu. ( Riwayat Al-Baihaqi dan Ibn Mardawaih)

b- Wajah putih bercahaya di hari kiamat ( Riwayat Al-Bukhari dalam At-Tarikh)

Sudah tentu wajah ini cukup berbeza dengan wajah penzina, orang yang meninggalkan solat, pelaku dosa yang kelihatan gelap walaupun wajahnya berkulit cerah. Inilah beberapa nas dari begitu banyak himpunan nas yang menerangkan berkenaan kesan hebat dari solat kepada umat Islam seluruhnya.

sumber

Sekian

Zaharuddin Abd Rahman

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI