PUJIAN ATAU "MEMBODEK"


Sekali baca kelihatan kita ditegah sama sekali untuk memuji sesorang di hadapannya. Namun Imam Badr Al-Aini ketika menghuraikan hadis ini menyebut pujian yang "memotong belakang" itu adalah dalam konteks seseorang terlalu berlebihan dalam pujiannya sehingga memuji sesuatu yang tidak dimiliki oleh orang yang dipuji sehingga menyebabkan datangnya sifat ‘ujub dalam diri, merosakkan hati, menghancur keikhlasan dan merasa diri benar lagi hebat sentiasa. Padahal realitinya tidak sedemikian
Perkara ini dalam kata lainnya adalah 'membodek'. Ia kerap berlaku kepada orang berjawatan atau mereka yang mempunyai sesuatu pengaruh atas sesuatu keputusan keduniaan. Justeru jika anda memegang jawatan penting, pemutus keputusan di syarikat atau organisasi, anda perlu berhati-hati kerana akan muncul ramai pemuji dan pemuja yang boleh bertujuan 'bodek'. Kali ini sangka buruk dalam hal ini perlu atas nama berhati-hati dan beringat. Namun bukan semua akan demikian, mungkin segelintirnya akan memuji dengan benar.
Pujian melampau jenis ‘bodek' bukan sahaja boleh dibuat melalui ungkapan lisan malah ia juga dibuat melalui pergerakan fizikal seperti cium tangan dan sebagainya. Hasilnya, orang yang diperlakukan sedemikian boleh diuji dengan hebat sehingga mereka akan menjadi seorang yang menyangka superior atas segala sesuatu, terbijak, paling berpengaruh dan lain-lain. Sehingga tiada lagi proses peningkatan perlu dibuat. Inilah yang pernah memerangkap perasaan bekas Perdana Menteri, beliau sendiri mengakuinya banyak kali, terbaru di dalam web beliau apabila beliau mengatakan :-
"Begitu juga kebanyakan yang lain yang dilantik Menteri oleh saya. Mereka dahulunya merupakan penyokong kuat saya, cium tangan saya dan menangis apabila saya meletakkan jawatan.: ( rujuk http://www.chedet.com/)
Jelasnya, sang bekas perdana menteri terangkap dengan pujian dan gerakan sokongan orang di sekelilingnya. Kebanyakan mereka yang memuji bukan 'pujian sebenar' namun hanya dibuat kerana kepentingan diri masing-masing. Agar dilihat taat, orang setia dan lain-lain.
Ini biasa berlaku bagi orang berjawatan. Lihat sahaja boss di syarikat anda bekerja, sudah tentu ada yang 'kipas' di dalam mesyuarat, di luar mesyuarat dan lain-lain. Sehingga adakalanya keputusan yang 'TIDAK BIJAK' dilihat bijak akibat bodekan dan pujian palsu ini. Selepas si boss tiada jawatan baru akan diketahui pujian itu hakiki atau palsu semata-mata. Inilah yang dirasai oleh bekas Perdana Menteri.
Budaya 'kipas' dan 'bodek' ini tidak lain kecuali satu tindakan yang haram di sisi Islam dan ia ternyata dari hadis di atas. Yang mana ia pasti membawa kesan buruk kepada penerima 'bodekan'. Malah kesan buruk itu bukan sahaja terhenti kepada orang yang di'bodek' malah seluruh organisasi akan terkesan. Sudah tentu, apabila keputusan yang salah terus dipuji dan disokong kerana 'bodek', akhirnya memudaratkan masyarakat, organisasi serta syarikat.
PUJIAN SEBENAR
Bagi sesetengah individu yang dipuji bukan kerana jawatan yang dipegangnya atau apa jua pengaruh keduniaan. Sebagai contoh ia seorang ulama yang alim lagi rendah diri, tokoh masyarakat yang berjasa, penulis buku yang berkualiti, majalah dan lain-lain yang cekap dan bijak dalam bidangnya. Pujian yang ditujukan kepada hasil kerja dan usahanya menurut kebiasaan adalah pujian yang layak dan benar. Ia tidak jatuh dalam kategori 'bodek' tapi ia masih mempunyai kebahayaan yang mendalam kesannya. Sebuah hadis berbunyi :-



احثوا التراب في وجوه المداحين

Ertinya : Taburkan tanah-tanah atas muka orang yang asyik memuji
( Abu Daud, no 4170 )

Sebahagian para ulama mentakwilkan maksud hadis ini kepada pujian kepada yang tidak layak , dan mengada-adakan yang tidak benar sehingga orang yang dipuji merasa benar sentiasa, juga merasa hebat. (Umdah al-Qari, 22/132 )
Imam Al-Khattabi ketika menghuraikan hadis di atas berkata :-


فَأَمَّا مَنْ مَدَحَ الرَّجُل عَلَى الْفِعْل الْحَسَن تَرْغِيبًا لَهُ فِي أَمْثَاله وَتَحْرِيضًا لِلنَّاسِ عَلَى الِاقْتِدَاء بِهِ فِي أَشْبَاهه , فَلَيْسَ بِمَدَّاحٍ

Ertinya : Barangsiapa yang memuji seseorang atas perbuatan baik yang dilakukannya dengan tujuan untuk menggalakkan lagi kerja baiknya dan mendorong orang lain berbuat yang sama sepertinya, maka ia TIDAKLAH TERMASUK dalam kategori "maddah" iaitu yang pemuji terkeji" ( Ma'alim as-Sunan)
Walau apa jua takwil, teks hadis ini juga merangkumkan segala jenis pujian benar di hadapan orang yang dipujinya. Pengajaran dari hadis sudah tentu jangan terlalu banyak memuji orang dihadapannya walalupun pujian itu adalah BENAR DAN IKHLAS kerana ia tanpa disangka boleh membawa perasaan lupa diri, dan menghilangkan ikhlas dalam kerja-kerja yang dilakukannya. Kerana itulah sebuah hadis sohih menyebut :-


سمع النبي ـ صلى الله عليه وسلم ـ رجلًا يُثنى على رجل ويُطْرِيهِ في المِدْحَةِ، فقال أهلكتم ـ أو قطعتم ـ ظهر الرَّجل

Ertinya : Musa Al-Asyaary berkata : Rasulullah mendengar seornag lelaki memuji seorang lelaki lain dan berlebihan dalam pujiannya, lalu Nabi menegur : "Kamu telah memotong diri lelaki tersebut"
( Riwayat Bukhari dan Muslim)

Namun begitu, tidak boleh dinafikan Islam membenarkan pujian secara berdepan dalam situasi-situasi tertentu dan kepada individu tertentu. Situasi tertentu seperti :-

a- Orang yang kehilangan keyakinan diri dalam buat perkara baik. Tatkala itu, kita ungkit kebaikkan tindakannya untuk beri kembali semangat dan ada orang yang menghargai kerja baiknya.
b- Orang yang melakukan tugasan kebaikan yang sukar, berisiko dan manfaatnya tersebar luas. Tatkala itu, boleh diberikan pujian atas keberaniannya dan berniat agar ia mampu dicontohi oleh orang lain.
c- Individu yang layak dicontohi dan diyakini punyai kekuatan iman yang baik dari tergoda dengan sifat ‘ujub (ta'ajub dengan kehebatan diri). Tatkala itu, harus memujinya dengan pengetahuannya. Tujuan utama agar orang boleh mengenali siapa yang wajar dijadikan role model dan contoh ikutan. Hal ini jelas adalah nabi s.a.w memuji secraa terangan beberapa sahabat sebagaimana Nabi memuji Ubadah Al Jarrah sebagai ( Aminul Ummah ) individu yang paling jujur dari umat Muhammad, dan pujian kepada Umar al-Khattab r.a :


لو سلك عمر بن الخطاب طريقاً لسلك الشيطان طريقاً آخر

Ertinya : Sekiranya Umar melalui satu jalan, maka Syaitan akan melalui jalan yang lain ( kerana tidak berani jalan di laluan Umar atau bertembung dengannya') ( Riwayat Al-Bukhari)
Dan juga sebuah lagi hadis :-


ما طلعت الشمس على رجل خير من عمر

Ertinya : Tiadalah terbitnya matahari ke atas seorang lelaki yang lebih hebat dari Umar "
( Riwayat Al-Hakim, 3/96 ; Sohih isnadnya)

Hadis ini bersifat simbolik menunjukkan kekuatan cahaya kebaikan yang dibawa oleh Umar r.a kepada umat Muhammad s.a.w. Sebenarnya terlalu banyak hadis-hadis yang menunjukkan pujian baginda kepada para sahabatnya terutamanya sahabat-sahabat besar seperti Abu Bakar, Umar, Uthman, Ali, Ibn Abbas, sepuluh sahabat yang dijamin syurga dan ramai lagi. Semua mereka berkelayakan dan kukuh imannya.

d- Kanak-kanak dipuji oleh guru dan ibu bapanya bagi merangsang minda dan keyakinan diri si kanak-kanak.
e- Pemimpin yang telus, adil, amanah dan bertanggungjawab dalam melaksanakan tugasan yang diamanahkan oleh Allah s.w.t dengan kadar sederhana.

Walaupun semua jenis pujian dalam beberapa situasi seperti ini dibenarkan, si pemuji tidak tergolong dalam kategori yang dilarang oleh Islam. Satu lagi ingatan Nabi s.a.w bagi orang yang ingin memuji adalah :-


إن كان أحدكم مادحًا أخاه لا محالة فليقُل: أحْسَب كذا وكذا إن كان يَرى أنه كذلك، وحَسِيبُه الله، ولا يُزكِّي عَلَى الله أحدًا



Ertinya : Sekiranya ada dari kalangan kamu ingin tidak dapat untuk mengelak dari perlu memuji saudaranya, maka katakanlah : "Aku rasa akan dikira amalan sekian sekian yang dilakukannya..dan Allah akan mengiranya, dan tiadalah seorang pun yang boleh dipuji (secara pasti) kecuali Allah

( Riwayat Al-Bukhari, no 2519, 2/946)


TUGAS MEREKA YANG DIPUJI
Seterusnya terpulang kepada orang yang dipuji untuk mengawal perasaan dalamannya agar menerima pujian dengan segera mengembalikan kepada izin Allah dan kuasaNya. Justeru, perisai ini akan dapat menghalang dirinya dari merasakan itu kehebatan yang diusahakannya semata.
Sebagai diajar oleh para sahabat Nabi apabila mereka dipuji, mereka akan terus berdoa secara rendah diri dengan doanya :-


اللهم لا تؤاخذني بما يقولون ، واغفر لي مالا يعلمون (واجعلني خيراً مما يظنون)


Ertinya : Ya Allah janganlah kamu mengapa-apakanku kerana apa yang disebut oleh mereka, dan ampunkankan daku berkaitan perkara yang mereka tidak ketahui (jadikanlah daku lebih baik dari apa yang mereka sangkakan)

(Riwayat Abi Syaibah, no 35703, 7/242 ; At-Tarikh Al-Kabir, 2/58)


Sehebat-hebat Nabi s.a.w yang berjaya membuka Mekkah pun tunduk dan menyerahkan pujian kepada Allah, dan demikian juga Zulqarnain sebagaimana yang disebut oleh Allah di dalam surah Al-Kahfi, kejayaannya membina tembok hebat dan kukuh dikembalikan kepada Allah.
Namun demikian, orang yang dipuji janganlah pula terlalu merendah diri secara salah sehingga mencerca diri secara terbuka apabila dipuji orang ramai. Ia tidak diperlukan, jika ingin menewaskan perasaan ujub di hati, cercalah diri secara sendirian.
Jangan juga tiba-tiba berterus terang menyebut diri tidak ikhlas atau apa jua yang merosakkan kepercayaan orang kepada diri.
Jangan pula berlebihan membawa kisah pujian kepada ramai orang lain kerana ia boleh membawa satu penyakit lain di kalangan pendengar pula iaitu HASAD DENGKI. Saya akan tuliskan satu artikel berkenaan kedahsyatan virus dengki dalam mayarakat kita selepas ini InshaAllah.
Jangan juga mengambil pujian itu secara serius dan berhasrat mendapatkannya lagi. Kerana sekali ia terbuku di hati sedemikian, ia akan merosakkan niat dan melemahkan kerja amal kepada pemburuan pujian manusia yang sementara.
Akhirnya, apabila tiada lagi pujian, tamatlah juga usaha kita. Lebih bimbang, usaha berterusan tapi tamatlah catatan amal dan pahala di sisi Allah kerana dilakukan kerana manusia. Nauzubillah.
Sekadar itu artikel ringkas untuk ingatan diri saya dan rakan-rakan. Terutama mereka yang kerap dipuji. Ingatan juga buat mereka yang ringan tangan dan lidah memuji, bukannya niat saya agar anda stop memuji mereka yang layak.
Bukan juga niat saya untuk motivasikan anda untuk terus dan asyik memuji tanpa memikirkan kebahayaan kepada diri yang dipuji dan diharap turut fikirkan orang lain yang mendengar dan membaca pujian-pujian, ada yang mudah jadi cemburu secara tiba-tiba.
Terus terang, dalam dunia internet ini terdapat ramai bloggers yang kerap dipuji sehingga menimbulkan cemburu di sisi pembaca lain atau bloggers lain yang kurang popular. Ini menyebabkan ada kalangan mereka yang menghantar kecaman, kutukan kepada bloggers sbagi merosakkan minda dan kemampuan di bloggers menghasilkan tulisan yang baik. Bayangkan, sampai begitu sekali !!.
Akhirnya, benar terdapat nas yang menyebut bahawa pujian dan nikmat yang diperolehi oleh amalan solehnya seseorang (tanpa ia berniatkan untuk mendapat pujian) adalah merupakan satu nikmat awal dari Allah untuknya, namun kita perlu teringat bahawa terdapat individu yang telah menikmati pujian atas amalan baiknya di dunia ini mungkin akan terlepas dari pulangan nikmat di akhirat. Demikian intipati kata-kata khalifah Abu Bakar yang bimbang nikmat awal di dunia akan menghalang nikmat di akhirat. Itulah akibat terselit keinginan pujian dunia semasa lakukan amal soleh. Demikian berhati-hatinya Abu Bakar as-Siddiq. Allah Akbar !
Tidak dinafikan sedikit-sedikit penghargaan dan pujian perlu untuk merangsang terus menulis secara percuma, bekerja dan beramal untuk ummah, namun ia perlu dilihat secara berhati-hati.
Semoga Allah memelihara kita semua dari tersalah guna pujian yang sebenarnya manis buat hati untuk terus berjuang memartabatkan Islam.

Sekian
Zaharuddin Abd Rahman

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI