PASTIKAN PAS TERUS BERGERAK IKUT LANDASAN ISLAM







Roslan Shahir
Fri | Sep 19, 08 | 3:55:14 pm MYT

Kerana sayangkan PAS, satu-satunya gerakan Islam dalam negara yang berjuang mengikut lunas demokrasi bagi memartabatkan Islam di tanah air ini, maka kita akan lakukan apa sahaja untuk memastikan yang PAS ini terus bergerak mengikut landasan Islam yang telah diwarisi sejak dari zaman junjungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w.

Kerana kita gerakan Islam, berjuang atas nama Islam dan Islam itu milik Allah, maka segala detail dan sudut gerak laku dan tindak kerja kita perlulah sentiasa menepati dan selari dengan apa yang telah digariskan oleh Allah dan RasulNya. Panduan tertinggi kita sudah pasti hanyalah al-Quran dan Sunnah selain ijmak dan qias.

Itulah yang membezakan gerakan Islam dengan mana-mana gerakan, organisasi, badan atau parti lain. Dan kita memilih untuk terus berada dalam PAS kerana kita yakin akan janji Allah dan RasulNya, kita sama ada menempuh kejayaan dalam hidup kita atau kita syahid berjuang atau generasi yang mendatang yang bakal menjulang kemenangan itu, apa pun Islam tetap berjaya selagi degupan jantung perjuangan ini terus berdegup, nafas perjuangan ini terus berhembus, yang penting adalah redha Allah SWT.

Hari ini kita merupakan antara parti yang memiliki kekuatan keahlian yang terbesar, dengan cawangan di merata pelosok tanah air, dan pimpinan yang berbagai kelayakan, pengalaman dan latar belakang.

Ia merupakan peningkatan berlipat kali ganda berbanding dengan PAS sewaktu awal penubuhannya dahulu. Hari ini kita merupakan parti di luar BN (saya tidak mahu sebut pembangkang) yang memiliki kerusi Parlimen dan Dun yang terbanyak yakni 107 kerusi. Iaitu 23 parlimen dan 84 Dun (termasuk Dun Sanglang yang terbaru).

Lantas kita sedar bahawa ini merupakan anugerah Allah SWT kepada kita yang perlu dipikul dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Apapun, asas dan prinsip kita tidak sekali-kali akan berubah, kita akan kekal mendaulatkan Islam sama ada dalam keadaan kita tinggal 1 kerusi parlimen dan beberapa kerat kerusi Dun atau kini dengan 107 kerusi.

Oleh itu apabila ada pemimpin yang mengeluarkan kenyataan memperingatkan kita darihal asas dan prinsip asal perjuangan kita, sepatutnya kita terima dan sama-sama akur. Biar kita beringat diwaktu senang jangan sebaliknya.

Semua kita bertanggungjawab memastikan kita tidak tergelincir apalagi berundur atas landasan yang telah ditetapkan, dan siapakah lagi yang terlebih berat tanggungjawabnya jika tidak pimpinan tertinggi.

PAS kita yakin akan terus teguh dan kukuh. Apa sahaja perbezaan pandangan di kalangan kita perlu kembali kepada panduan tertinggi kita. Perbezaan itu tidak wajar dibawa sehingga memecah-belahkan jemaah, kerana ini gerakan Islam, tiada siapa di antara kita yang mahu terlibat dan dipersalahkan dalam memecahkan kesatuan Islam yang telah sama-sama kita bentuk dengan darah dan air mata ini.

Sama-samalah kita bekerja untuk Islam, kita pertahankannya dan dalam waktu yang sama kita berkawan dan bertahaluf dengan sesiapa sahaja yang menghormati dan memahami dasar dan prinsip perjuangan kita itu.

Roslan Shahir bin Datuk Mohd Shahir adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI