Harga Pemuda Umno RM 500 sahaja ?

Abdul Aziz Mustafa
Sun | Oct 12, 08 | 12:44:34 pm MYT
KUALA LUMPUR, 12 Okt (Hrkh) - Pertandingan merebut jawatan Ketua Pemuda Umno semakin panas dengan dakwaan wujudnya politik wang yang begitu berleluasa sehingga melibatkan jumlah yang sangat besar.

Beberapa blogger Umno mendakwa sebanyak RM180,000 telah dibelanjakan bagi mendapatkan pencalonan dari Pemuda Umno Bahagian Machang sahaja di mana setiap perwakilan yang hendak dibeli undi mereka didakwa diberikan RM500.

Pemuda Umno bahagian tersebut mencalonkan menantu Perdana Menteri, Khairy Jamaluddin sebagai Ketua Pemuda Umno di mana Khairy mendapat 96 undi manakala Exco Pemuda Umno, datuk Mukhriz Mahathir mendapat 78 undi.

Bagaimanapun, setakat berita ini ditulis, dengan slogan "Berani Berubah!", Ahli Parlimen Jerlun itu telah pun mendapat mendapat 30 pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno dan memerlukan hanya lapan pencalonan sahaja lagi untuk melayakkan diri bertanding jawatan itu.

Jumlah minimum pencalonan untuk bertanding jawatan tersebut ialah 38.

Khairy setakat ini mendapat 15 pencalonan manakala Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo mendapat tujuh pencalonan.

Di Kimanis, para penyokong Khairy tidak puas hati dengan keputusan mesyuarat Pemuda bahagian itu di mana Mukhriz akhirnya dicalonkan.

Seorang penyokong Khairy memberitahu Malaysiakini, antara 45 hingga 50 penyokong dihalang untuk masuk semula ke Dewan Orang Ramai Membakut, dekat Papar, tempat mesyuarat itu dijalankan.

Kumpulan tersebut berhenti rihat untuk solat Maghrib. Tetapi mereka kemudiannya tidak dibenarkan masuk semula ke dewan tersebut.

Pengundian kemudiannya diadakan secara mengangkat tangan dan keputusannya Mukhriz mendapat 51 undi dan Khairy pula memperolehi 31 undi.

Waktu Maghrib di Papar kini ialah pada pukul 6.04 sementara mesyuarat tersebut dilaporkan oleh seorang blogger Umno, A Voice (anotherbrickinwall.blogspot.com), telah diadakan pada pukul 8.00 malam.

Di Gelang Patah, suasana menjadi kecoh apabila Khairy diumumkan memenangi pencalonan Pemuda Umno bahagain itu. Calon yang dijangka menang ialah Dr Mohd Khir.

Sebahagian besar dari 146 perwakilan Pemuda di bahagian itu tidak berpuas hati kerana mendakwa 70 peratus dari mereka mencalon Dr Mohd Khir.

Di Pulai, Ketua Pemuda Umno bahagian itu didakwa mengira pencalonan bagi Ketua Pemuda Umno di dalam bilik asing tanpa membenarkan kehadiran pemerhati.

Mesyuarat menuntut kira balik dengan tangan dan Ketua Pemuda Umno Pulai itu yang didakwa yang agak condong kepada regu Khairy dan Datuk Reezal Merican Naina Merican dilaporkan "enggan dan tidak mahu melepaskan kertas undi".

Keadaan kecoh dan tegang tadi manakala usaha A Voice untuk menelefon wakil di sana "kurang berjaya" kerana "suasana latar belakang penuh dengan suara orang tengah mengamuk".

Perkara yang memeranjatkan ialah apabila Sabah, yang dianggap pengkalan pengaruh Khairy, telah menunjukkan sikap untuk menyokong calon "berani berubah," Mukhriz.

Menurut A Voice, momentum dari Kimanis telah membolehkan Mukhriz Tun memperolehi beberapa pencalonan dari kubu kuat Khairy, Kalabakan, Tuaran, dan Kota Belud. _

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI