TELUK INTAN DILANDA BANJIR

Johari Jaafar Thu Oct 23, 08 11:48:15 am MYT
TELUK INTAN, 23 Okt (Hrkh) - Hujan lebat yang turun sejak seminggu lalu menyebabkan beberapa buah kampung di Teluk Intan telah dilanda banjir.

Antara kawasan yang teruk dilanda ialah kawasan di sekitar Jalan Changkat Jong, melibatkan Batu 7 sehingga Batu 9 Jalan Changkat Jong.
Sekumpulan sukarelawan dari kalangan Pemuda PAS Teluk Intan semalam telah mengunjungi pusat pemindahan mangsa banjir di Sekolah Kebangsaan Changkat Jong. Ia turut disertai oleh beberapa orang Ahli Jawatankuasa PAS kawasan.
Pada hari tersebut, penduduk di kawasan Batu 7, Batu 7 1/2, Batu 7 3/4, Batu 8 dan Batu 9 Changkat Jong telah dipindahkan ke pusat pemindahan banjir.
Menurut Ketua Kampung Changkat Jong, Salleh Ibrahim, sehingga hari ini seramai 121 orang mangsa banjir telah dipindahkan. Ia meliputi sebanyak 30 keluarga. Usaha menyelamat dengan bantuan pasukan keselamatan masih lagi berjalan sehingga malam ini.
Menurut beliau lagi, buat masa ini, tiga buah bilik darjah telah dibuka untuk mangsa banjir dan ia dikendalikan oleh pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jawatan Kuasa Kemajuan Keselamatan (JKKK) negeri dan Persekutuan.
Pihak pusat pemindahan mangsa banjir sentiasa bersedia untuk menerima mangsa banjir yang dijangka akan bertambah dalam tempoh 24 jam ini sekiranya cuaca masih buruk.
Di pusat penempatan mangsa banjir Sekolah Kebangsaan Changkat Jong, pemuda PAS Teluk Intan sempat membantu membuka dan mengemas bilik darjah sebagai persediaan menerima mangsa banjir dalam masa terdekat ini.
Pasukan penyelamat juga sedang meninjau Kampung Glouster Batu 6. Namun masih ada lagi penduduk yang enggan berpindah walapun telah dinasihati untuk berpindah oleh pihak polis. Kawasan tersebut ialah di Lorong Mesra, Changkat Jong.
Adun Changkat Jong, Mohd Anuar Sudin dan pembantu peribadinya telah mengadakan lawatan ke kawasan yang dilanda banjir.
Dalam pada itu lima buah kampung iaitu Kampung Lalat, Kampung Batu 7, Kampung Batu 9, Kampung Mesra dan Kampung Changkat Jong sering menghadapi banjir disebabkan ia terletak di tebing Sungai Mati, Sungai Bidor dan Sungai Hidup yang cetek dan sebu.
Banjir yang melanda kawasan kampung dan kebun kelapa sawit termasuk tanaman pisang naik antara 0.2 meter hingga 1.2 meter.
Ketua Penerangan PAS Teluk Intan, Mohd Azhar Rafaie berharap pihak Jabatan Perparitan dan Saliran (JPS) dapat menaik taraf keadaan ban konkrit yang ada sekarang ini yang didapati tidak sesuai lagi kerana kedudukannya yang sama dengan permukaan sungai. - mns_

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI