JUAL MAHAL BERKALI GANDA : BOLEHKAH ?

Oleh

Zaharuddin Abd Rahman

www.zaharuddin.net

Ramai bertanya sama ada terdapat dalil khusus yang menghadkan keuntungan halal dalam transaksi jual beli.

Jawapan ringkasnya ; tiada dalil khusus dalam hal ini sebagai contoh tiada penyataan dalam nas atau dalil yang melarang kadar untung tidak boleh melebihi 20 %, 30 % dari modal atau lain-lain peratusan. Ini kerana penetapan keuntungan ini akan melencongkan transaksi tersebut dari memberi keadilan buat pihak yang menjual dan membeli.

Di dalam Islam, setiap penjual berhak menentukan harga barangan yang dimilikinya, namun demikian ia masih terikat dengan harga pasaran.

Justeru, harga yang ditawarkan hendaklah :-

a- diterima harga pasaran.
b- Jika ia mahu keluar dari harga pasaran, ia MESTI mempunyai sesuatu add value atau tambahan nilai unik pada kualiti barangan itu, contohnya, harga pasaran bagi jualan sebuah rumah teres tiga bilik dengan keluasan 22 x 75 kaki adalah RM250,000. Namun penjual mahu menjualnya dengan harga RM 400,000 disebabkan renovation dalamannya yang begitu cantik.
c- Tidak dibuat dengan tujuan spekulasi (harga yang ditawar bukan bertujuan untuk jual beli sebenar tetapi hanya dibuat bagi memberi kesan kepada harga pasaran semasa) atau bagi menaikkan harga pasaran.

Tatkala itu, harga jualannya yang jauh lebih tinggi dari harga pasaran rumah sejenis adalah HALAL disebabkan perbezaan dan nilai tambah yang diusahakannya.

Hasil usaha beserta modal tadilah yang menjadikannya halal menerima imbuhan keuntungan.

Satu contoh lagi, saya masih ingat kisah yang heboh diperkatakan dikhabar satu ketika dahulu, berkenaan harga sepinggan nasi dagang yang mencecah RM45 ( jika tidak silap saya). Sudah tentu jika dilihat, ia melebihi harga pasaran sepinggan nasi dagang. Namun, jika berjaya dibuktikan nasi yang dijualnya mempunyai nilai yang sesuai dengan harganya seperti katanya, harga ikan yang digunakan, minyak zaitun atau apa jua yang lain. Ia adalah harus dan halal, namun jika ia tidak sepadan dengan harga pasaran , para ulama berbeza pendapat.

Jelas bahawa, jikalau barang yang dimiliki mempunyai ciri khas istimewa, atau telah ditambahkan ciri-ciri istimewa, tatkala itu ia boleh berbeza dengan harga pasaran biasa.

Adapun bagi penjual barangan yang tiada nilai tambah, atau jika ada sekalipun ia hanyalah nilai tambah yang kecil seperti :

Rumah teres tadi hanya dicat baru sahaja. Tatkala itu, harganya masih tidak boleh naik terlalu tinggi dari harga pasaran.

Bagi aset atau barang yang tiada sebarang perbezaan tambah nilai, para ulama berbeza pendapat, terdapat mereka yang membenarkan tidak lebih dari 1/6 dari harga pasaran, ada yang meletakkan 1/3 (pandangan ulama Maliki), ½ dan lain-lain.

Bagaimanapun, menurut tahqiq atau analisa terkini yang dibuat oleh Syeikh Prof Dr Muyi din AL-Qurrah Daghi, PANDANGAN TERKUAT DALAM HAL INI ADALAH TERSERAH KEPADA URUF atau suasana setempat. Semua kadar-kadar yang diberikan tadi semuanya tidak disokong oleh dalil khusus.

BAGAIMANA JIKA ANDA PENENTU HARGA PASARAN.?

Jika inilah kesnya, keadaannya berbeza dan anda boleh menentukan harga sendiri dan ia akan diikuti oleh yang lain sehingga diterima sebagai 'harga pasaran'.

Namun demikian perlu diingat, untuk diiktiraf menjadi pihak berwibawa dan dirujuk dalam penentuan harga, sudah tentu :-

1) Sebuah syarikat amat besar yang mampu memberi kesan kepada pasaran dan syarikat-syarikat lain,
2) Anda akan terikat dengan kepakaran menilai atau 'evaluation' harga kualiti khidmat ditawar atau barang yang dijual, agar ia bertepatan dengan 'Thaman al-Mithl' ( harga sesuai yang bertepatan dengan nilai barang). Justeru itu, sekiranya anda meningkatkan harga melambung-lambung tanpa justifikasi tepat, saya yakin anda tidak akan lagi menjadi pakar rujuk harga pasaran selepas ini. Wibawa menjadi hilang juga.
Kesimpulannya, walaupun anda atau syarikat adalah penentu harga, namun masih terikat dengan proses-proses penentuan harga yang lain seperti :-

a- Demand and supply
b- kesukaran memperolehinya,
c- ia dari jenis barang asasi atau tidak
d- Pihak yang membeli secara berhutang atau tunai,
e- matawang yang digunakan dan lain-lain.
f- Jenis transaksi dan lain-lain.
Semua ini memberi kesan dalam penentuan harga. Al ini banyak dibincangkan dalam perbincangan ekonomi Islam dan juga pernah dijelaskan oleh Ibn Taimiah dan lain-lain.

NISBAH UNTUNG DAN DALIL

Bagi mereka yang inginkan dalil keharusan harga tanpa had (selagi dalam harga pasaran atau boleh dijustifikasikan secara menepati Shariah), berikut antaranya :-

Keharusan mengambil untung lebih dari 100 % asalkan ia :-

1) Dari hadis berikut :-


أن النبي -صلي الله عليه وسلم- أعطاه دينارًا يشتري له به شاة، فاشتري له به شاتين، فباع إحداهما بدينار، فجاء بدينار وشاة فدعا له بالبركة في بيعه، وكان لو اشتري التراب لربح فيه



Ertinya : Sesungguhnya Nabi SAW memberi 'Urwah satu dinar untuk membeli seekor kambing, maka (atas kebijaksanaannya) dapat dibelinya dua ekor kambing, lalu dijualnya seekor dengan harga satu dinar, lalu ia dating bertemu Nabi membawa satu dinar dan seekor kambing, maka Nabi terus mendoakannya dalam jualannya, yang jika ia membeli tanah sekalipun pasti ia akan mendapat untung" ( Riwayat Al-Bukhari, no 3642 )

Hadith ini menunjukkan bagaimana sahabat membeli dua ekor kambing dengan harga satu dinar, bermakna 1/2 dinar seekor, dan kemudian menjualnya degan harga 100% keuntungan iaitu 1 dinar seekor. Transaksi ini diiktiraf oleh nabi malah dipuji dan didoakannya.

2) Sebuah lagi dalil adalah :-

Apa yang dilakukan oleh sahabat bernama Zubayr Al-‘Awwam r.a di mana beliau telah membeli sekeping tanah hutang dengan harga 170,000 dan kemudian beliau menjualnya kepada Abdullah Bin Zubayr dengan harga 1,600,000. Ini bermakna beliau telah menjualnya dengan Sembilan kali ganda harga asalnya.

Walaupun hadis ini mawquf, namun tanah ini telah dijual kepada sahabat lain seperti Mu'awiyah, Abdullah bin Jaffar dan lain-lain sahabat masih hidup tatkala itu, transaksi ini dibuat di zaman Sayyidina Ali k.w. Para ulama menyatakan, persetujuan para sahabat di zaman itu menjadikannya sebagai ijma' sahabat, yang boleh menjadi satu dalil kukuh akan keharusannya.

Namun demikian, jika ia ada tujuan tidak sihat seperti usaha untuk menaikkan harga secara tidak sihat, melalui sorokan barangan hingga harganya meningkat, mengambil peluang atas kelemahan pembeli tentang harga pasaran atau lain-lain kezaliman, maka harga yang tinggi tadi menjadi haram.

BANK-BANK ISLAM CAJ HARGA LEBIH HARGA PASARAN ATAU TIDAK?

Dalam hal bank-bank Islam yang menjalankan transaksi jual beli ( sama ada atas kontrak BBA, Bai Al-Inah dan Murabahah) dalam produk pembiayaan runcitnya. Bank-bank ini kerap dikatakan menjual semula rumah tadi dengan harga yang terlalu mahal contonya seperti : Pembiayaan sebanyak RM 200,000. Namun jumlah harga yang perlu dibayar semula oleh pelanggan adalah RM 400,000 dalam tempoh 25 tahun sebagai contoh.

Apa hukumnya?. Hukumnya masih harus dan halal kerana itulah harga pasaran bagi setiap pembelian aset yang mahal lagi mudah naik harga (seperti rumah) besar yang ingin dibayar secara ansuran selama 25 - 30 tahun. Buktinya ia harga pasaran adalah cubalah anda melihat tawaran dari bank-bank lain. Malah jika anda punyai pengalaman bekerja dengan bank konvensional atau bank Islam, anda akan mengetahui itulah juga nilai yang dijangka diperolehi oleh bank konvensional sepanjang tempoh 25 - 30 tahun itu walaupun jangkaan harga yang diharapkan oleh bank konvensinoanl sentiasa naik turun berdasarkan.

Jika ingin dibuat perbandingan; sebuah rumah, kebiasaannya nilai semasanya cukup mudah untuk naik dalam beberapa tahun, seorang kenalan saya di Bukit Damansara pernah menyatakan ia membeli rumahnya di kawasan tersebut sekitar 20 tahun lalu dengan arga RM 100,000 ke RM 200,000 sahaja, hari ini nilai rumahnya tanpa sebarang renovation pun sudah mencecah RM 1 juta.

Adakah kita ingin pihak bank menjadikan jangkaan harga selepas 25 tahun itu sebagai harga pasarannya? Sudah tentu tidak rasanya. Justeru, jika pihak bank menawarkan sesuatu harga yang puratanya hanya melebihi 50% - 100% dari harga asal rumah, saya kira itu masih reasonable kerana dalam tempoh 25 - 30 tahun, harga rumah tersebut boleh meningkat jauh dari itu, tidak dinafikan ia boleh juga menurun.

Hakikatnya, nilai harga yang ingin ditawar kepada pelanggan ditentukan dengan cermat dan berhati-hati oleh pihak bank, ia bukanlah melihat sangat kepada harga aset dalam tempoh akan datang, namun ia mempunyai pelbagai aspek kos mengurus minima (cost of fund). Juga melihat kepada kadar faedah semalam yang ditentukan oleh pihak Bank Negara Malaysia.

Bagaimana pula kereta yang harganya tidak naik selepas 5 tahun tetapi turun.? Telah saya sebutkan tadi, nilai harga akan datang biasanya tidak dilihat sangat oleh pihak bank, kerana mereka lebih terikat dengan kadar faedah yang dikeluarkan oleh BNM dan Cost of Fund bank terbabit. Justeru, harga pasarannya adalah melihat kepada harga tawaran oleh bank-bank lain, termasuk bank konvensional. Apapun, harga dan kadar pembelian kereta menggunakan bank konvensional dan Islam adalah hampir sama. Malah pembiayaan kereta secara Islam lebih menarik kerana sebarang kelewatan hanya akan dikenakan 1% penalti tanpa 'compounding' berbanding 3 - 5 % penalti bagi bank konvensional yang bersifat compounding.

Sukar untuk saya terangkan semua fakta dan formula kira-kira di sini, namun sebahagiannya telah saya terangkan di artikel-artikel lain di web ini.

Kesimpulannya, itulah harga pasaran sebenarnya dan ia masih dalam harga pasaran. Saya juga berharap ia lebih murah kerana saya juga adalah pelanggan, namun saya terpaksa akur dengan harga yang ada di hadapan mata, kerana ia masih dalam ruang lingkup HARUS menurut Shariah.


Sekian


Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

31 Oktober 2008

London, United Kingdom

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI