PAS TANDING DI KUALA TERENGGANU


Mohd Khalil Abdullah Tue Dec 02, 08 4:14:01 pm MYT
KUALA LUMPUR, 2 Dis (Hrkh) -Timbalan Presiden PAS, Nasharuddin Md Isa hari ini mengesahkan parti itu akan bertanding pada pilihan raya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu yang akan diadakan tidak lama lagi.


Menurut Nasharuddin, pemilihan calon akan melalui proses biasa iaitu berdasarkan cadangan daripada peringkat cawangan, diperhalusi di peringkat bahagian sebelum dikemukakan kepada Majlis Mesyuarat Syura Jawatankuasa Pusat.
"Majlis mesyuarat Syura Jawatankuasa Pusat dijangka akan membuat keputusan akhir berhubung calon yang akan bertanding pada mesyuarat, 21 Disember ini,"katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini, hari ini.
Pilihan raya kecil Parlimen Kuala Terengganu akan diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Dato' Razali Ismail yang juga Timbalan Menteri Pelajaran pada Jumaat lepas.
Pada pilihan raya umum ke-12 Mac lalu, Razali mengalahkan calon PAS, Mohamad Sabu dengan majoriti 628 undi.
Mohamad memperolehi 31,934 undi manakala Razali 32,562 undi dan calon Bebas, Maimun Yusof hanya 685 undi.
Ditanya sama ada PAS akan sekali lagi mempertaruhkan Mohamad Sabu sebagai calon di kawasan itu, Nasharuddin berkata ia bergantung kepada cadangan daripada peringkat akar umbi.
Bagaimanapun, katanya rakan daripada Parti Keadilan Rakyat telah menyatakan persetujuan mereka untuk menyokong calon yang diletakkan oleh PAS. - mks._

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

HAK AHLI ZIMMAH

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI