27 Februari 2009

KM Melaka disaran potong gaji , contohi Kedah

Zaili Muhammad Fri Feb 27, 09 9:23:41 am MYT
MELAKA, 27 Feb (Hrkh) - Ketua Menteri Melaka Dato' Seri Ali Rustam dan barisan Exconya disaran agar memotong gaji bulanan masing-masing sebanyak lima peratus kepada tabung kebajikan bagi membantu rakyat yang memerlukan ketika kegawatan ekonomi ini.

"Saya menyarankan supaya Ketua Menteri dan Exconya memotong sekurang-kurangnya lima peratus daripada elaun bulanan mereka untuk disumbangkan kepada tabung kebajikan yang akan digunakan bagi meringankan kehidupan rakyat dalam masa kegawatan ekonomi kini," demikian kata Ketua Pemuda PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek.
"Mereka boleh mencontohi tindakan yang dilakukan oleh rakan sejawatan mereka di Negeri Kedah yang memotong gaji masing-masing ke dalam Tabung Tunku Mahmud iaitu sebuah tabung kebajikan yang diuruskan oleh kerajaan negeri," kata beliau.
Tambahnnya, tabung itu akan digunakan bagi membantu rakyat yang kehilangan pekerjaan atau sumber pendapatan secara tiba-tiba akibat kegawatan ekonomi atau sebab-ebab lain.
"Walaupun Kerajaan Negeri mempunyai badan kebajikan sendiri tetapi kita yakin ianya tidak mencukupi kerana kesan kegawatan ekonomi melibatkan ramai rakyat yang berpendapatan sederhana ke bawah.
"Apa salahnya potong lima peratus daripada gaji mereka memandangkan gaji tetap yang mereka terima jauh lebih cukup untuk menampung keluarga," ujarnya.
Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak baru-baru ini mengumumkan pemotongan gaji sebanyak lima peratus oleh Menteri Besar dan Exconya mulai bulan ini sebagai usaha kerajaan membantu penduduk negeri itu yang susah ekoran kegawatan ekonomi yang sedang melanda negara.
Beliau berkata, pejabat Pegawai Kewangan Negeri akan mengeluarkan surat tawaran kepada kakitangan kerajaan di Kedah sama ada ingin turut menyumbang kepada tabung itu menerusi potongan gaji. - azm _

Tiada ulasan:

Catat Ulasan