Dakwah Non Muslim !

DAKWAH NON-MUSLIM - MASALAH DAN STRATEGI

1.0 Pengenalan

Dakwah Islamiah kepada masyarakat bukan Islam di Malaysia adalah suatu amal yang penting untuk dilaksanakan oleh pendakwah. Menyampaikan risalah Islam kepada manusia sejagat merupakan tanggungjawab setiap Muslim baik saudara baru mahupun di sebaliknya seperti yang ditunjukkan oleh sunnah baginda Rasulullah s.a.w. Baginda diutuskan untuk alam sejagat sebagai suatu rahmat dan menyampaikan mesej Islam kepada masyarakat bukan Islam adalah bertepatan dengan tuntutun menyebarkan rahmat Allah itu. Ia juga berperanan menyumbang kepada keharmonian negara dalam jangka panjang di samping mewujudkan masyarakat bersatupadu yang mampu mempertahankan negara kita.

2.0 Masalah Dakwah Non-Muslim

Peristiwa pengislaman bangsa Monggol yang pernah menakluki empayar Islam dalam tahun-tahun 600H boleh dijadikan renungan bagi semua yang berminat dalam dakwah kepada non-Muslim. Bangsa Monggol yang bengis dan kejam telah memusnahkan sebahagian besar tamaddun Islam serta membunuh beratus ribu orang Islam telah berjaya diIslamkan oleh pendakwah Islam. Dakwah kepada non-Muslim tidak pernah menghadapi cabaran yang begitu besar selepas zaman Rasulullah s.a.w. seperti yang dihadapi semasa penaklukan Monggol itu.

Abul Hasan Ali Nadwi dalam bukunya "Islam and the World" (ms102) telah mencatatkan peristiwa ini dengan katanya mengenai kedudukan orang Islam ketika itu: "They were powerless. Now, when all seemed lost, the spiritual power of Islam brought itself to the fore to accomplish a wonderful miracle of conquest. A few unknown and sincere uslim preachers and courtiers commenced the workd of the propagation of Islam among the ruling circles of the Tartars and its magic did the rest. The conquerors of the Muslims became the captives of Islam."
Tanggungjawab dan tugas dakwah kepada Non-Muslim bukanlah suatu usaha yang baru tetapi iainya mempunyai sejarah yang lama. Masalahyang dihadapi dalam usaha ini boleh dilihat dari segi makro dan dari segi mikronya.

2.1 Masalah Makro

Masalah makro adalah masalah yang disebabkan oleh kedudukan umat secara umum yang menjadi penghalang dan penyebab negatif dalam dakwah kepada non-Muslim.

2.1.1. Prejudis

Islam sebaga satu cara hidup yang mempunyai nilai=nilai yang tinggi tidak begitu difahami dan kurang dapat disaksikan oleh masyarakat bukan Islam amnya baik di Malaysia mahupun di Barat. Media umumnya dan media Barat khususnya amat prejudis dan sering memberikan gambaran buruk dan negatif terhadap dikaitkan secara sedar atau tidak dengan Islam. Ungkapan 'fundamentalist,' extremist', 'terrorist,' dan 'conservative' atau kolot sering dikaitkan dengan Islam. Umat Islam digambarkan sebagai mundur dan jahil dan Islam dipamerkan sebagai ketinggalan zaman dan tidak relevan.
Gambaran negatif oleh media Barat begini merupakan penerusan dari semangat peperang salib dan juga usaha pergerakan zionis yang terus memerangi Islam dan umat Islam. Dakwah kepada non-Muslim menerima padah dari angkara media yang tidak saksama ini.

2.1.2. Keadaan Ummah

Umat Islam umumnya pada hari ini berada dalam keadaan yang mundur dan lemah dalam pandangan mata dunia. Kebanyakan negara Islam digolongkan dalam "dunia ketiga" yang merupakan gelaran bagi negara yang mundur. Negara Islam amat bergantung kepada negara Barat dalam banyak perkara seperti kemajuan sains dan teknologi, kekuatan ketenteraan, dan sebagainya. Masyarakat non-Muslim tidak dapat melihat keagongan dan kebaikan Islam sebagai suatu cara hidup. Hakikat "khaira ummah" seperti yang dijanjikan oleh al-Quran tidak dapat dizahirkan. Dakwah Islamiah tidak mendapat galakan dari keadaan umat Islam hari ini.

2.1.3. Masyarakat dan Negara Islam

Contoh suatu masyarakat dan negara yang menjalankan Islam sebagai satu cara hidup tidak dilihat oleh non-Muslim pada hari ini. Apa yang diutarakan oleh Islam dalam pelaksanaan sistem politik, ekonomi, sosial dan kekeluargaan tinggal konsep sahaja kepada mereka. Penyelesaian yang dijanjikan oleh Islam belum dilihat dan masih teori yang belum diuji. Persoalan begini malah membingungkan setengah orang Islam sendiri, apatah lagi non-Muslim umumnya.

2.2 Masalah Mikro

Masalah mikro pula adalah masalah yang disebabkan oleh kedudukan atau waqi' individu Muslim yang menjadi penghalang dan penyebab negatif dalam dakwah kepada non-Muslim.

2.2.1 Kejahilan

Kejahilan dalam umat yang wujud dalam individu Muslim serta berbagai permasalahan yang disebabkan oleh kejahilan itu merupakan penghalang utama dalam dakwah kepada non-Muslim. Kejahilan berlaku dalam kehidupan seharian seorang Muslim kerana tidak mempunyai ilmu dan kefahaman Islam ayng basic.
Seseorang yang menunaikan haji umpamanya akan melihat penzahiran kejahilan yang amat malang ini. Kita boleh mengambil iktibar dari keadaan umat Islam di beberapa tempat seperti di Kosova, Albania, Rusia mahupun Kemboja dan seumpamanya di mana umat Islam hanya tinggal nama dan jahil dalam amalan Islam. Individu muslim yang tidak beramal dengan Islam dari segi ibadat dam muamalatnya, dari segi aqidah dan akhlaqnya akan menjadi penghalang kepada dakwah umumnya dan dakwah kepada non-Muslim khususnya.

2.2.2. Kesedaran Dakwah

Individu Muslim yang tidak memainkan peranan dakwah tidak dapat membantu usaha dakwah kepada non-muslim. Ramai Muslim tidak menyedari bahawa tanggungjawab menyampaikan Islam walaupun sepotong ayat adalah tanggungjawab setiap individu Muslim. Ianya merupakan tugas utama para Rasul dan gelaran 'rasul' atau 'messenger' itu memberikan gambaran jelas terhadap peranan utama utusan Allah dari Adam as sehingga muhammad saw. Mengikut contoh baginda Rasulullah saw dengan sebaiknya adalah contoh baginda saw sebagai saw sebagai penyampai risalah ilahi yang merupakan penyampaian rahmat ke seluruh alam - rahmatan lil-alamin.

2.2.3 Penyelarasan dan Kerjasama

Usaha dakwah yang serous perlukan penyelarasan dan kerjasama dari pihak yang berkuasa. Sokongan moral dan material merupakan penggalak kepada usaha dakwah seperti yang telah sekian lama dilaksanakan oleh diayah Nasrani di seluruh dunia sejak zaman penjajahan lagi. Penyelarasan boleh mengurangkan pertindihan kerja dan memastikan kesamaan dalam menangani isu-isu yang berkaitan. Keutamaan atau aulawiyah dalam menjalankan usaha dakah kepada non-Muslim boleh ditentukan dan disepakati dan perselisihan terutamanya dalam perkara-perkara furu' yang berkaitan dengan fiqah boleh dihindarkan.

3.0 Strategi

Strategi dkawah kepada non-Muslim boleh diolah setelah mengenalpasti masalah yang dihadapi. Perincian terhadap strategi dari segi jangka panjang dan jangka pendek boleh digariskan jika perlu.

3.1 Mengatasi Permasalahan Makro

Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengatasi permasalahan yang berbentuk makro boleh dikira jangka panjang kerana memerlukan masa dan keupayaan yang melibatkan umat secara seluruhnya.

3.1.1. Prejudis Media

Rangkaian media Islam perlu diwujudkan. Dalam era ICT ini kemudahan media internet boleh dimanfaat dengan segera bagi mengatasi prejudis media conventionla. Sehingga hri ini usaha ke arah membentulkan kefahaman dan imej Islam belum mencapai tahap yang diperlukan walaupun kesedaran dan usaha awal dalam bidang ini ada. Merobohkan tembok yang menghalng kefahaman Islam yang sebenar merupakan strategi dakwah yang penting dalam dakwah kepada non-Muslim.
Di Malaysia, prejudis dan kekeliruan terhadap kesejagatan Islam telah membawa kepada anggapan bahawa Islam itu synonim dengan Melayu. Natijah yang natural dari prejudis sebegini ialah reaksi keluarga seseorang yang ingin memeluk Islam dengan menentang keras hasrat itu kerana menyangka mereka akan kehilangan anak atau saudara yang akan menjadi Melayu. Keadaan sosioekonomi dan politik negara kita seolah-olah memperkuatkan lagi kekeliruan kefahaman ini sehingga apa yang dilakukan oleh orang Melayu, baik orang biasa mahupun pemimpin, disangka berpunca dari ajaran Islam.
Kekaburan terhadap Islam hakiki menebalkan lagi prejudis masyarakat bukan Islam terhadap Islam.

3.1.2 Khaira Ummah

Umat Islam yang maju dan diamis bukanlah suatu yang mustahil. emikir dan penulis Barat seperti Huttington dalam bukunya "The Clas of Civillisations" telah meramalkna kebangkitan semual umat Islam dalam millenium baru ini. Penerimaan Islam oleh masyarakat Barat dan Amerika adalah satu kenyataan yang membimbangkan mereka. Ramai saintis dan teknologis Muslim sedang menyumbang kepada kemajuan hari ini melalui institusi-institusi di Eropah dan Amerika. Pakar-pakar perubatan Muslim memainkan peranan utama dalam perkembangan dan pengamalan perubatan di Barat. Oleh itu kebangkitan umat Islam di bawah identiti Islam bkanlah suatu impian semata-mata. Realiti "khaira ummah" boleh dicapai insya Allah.

3.2 Mengatasi Permasalahan Mikro

Strategi dalam mengatasi permasalahan mikro berkisar sekitar perkara-perkara yang berkaitan dengan pembinaan insan iaitu peningkatan kualiti individu Muslim dalam masyarakat. Dalam hal ini peranan individu Muslim dari kalangan saudara baru adalah penting.

3.2.1 Tarbiyah

Tarbiyah atau pendidikan Islam merupakan perkara yang asasi dalam pembinaan kualiti individu Muslim. Tarbiyah meningkatkan kefahaman Islam secara umum dan ilmu-ilmu Islam secara khusus. Individu yang berilmu dapat menyampaikan Islam secara natural dalam interaksi seharian melalui muamalat dan akhlaq Islam. Perkim telah mempopularkan "dakwah bil-hal" dalam konteks ini di mana dakwah Islam disampaikan melalui perbuatan dan amal yang dikehendaki Islam. Bagi melahirkan pendakwah atau dai', taribyah yang diperlukan adalah lebih serious dari tarbiyah bagi individu Muslim lain. Kemahiran dan ketrampilan yang diperlukan oleh pendakwah hendaklah diberi perhatian. Pengetahuan khusus seperti perbandingan agama, uslub dakwah kepada non-muslim, bahasa yang erkaitan seperti Inggeris, Mandarin dan Tamil adalah perlu. Sehubungan dengan ini memajami masyarakat yang menjadi sasaran dakwah merupakan pengetahuan yang penting bagi melaksanakan dakwah yang efektif.

3.2.2. Masyarakat Sasar Dakwah

Dakwah kepada non-Muslim perlu megambilkira kedudukan mereka dari segi iktiqad dan sosial. Setiap kumpulan sasar dakwah mempunyai ciri yang teretntu yang perlu difahami untuk keberkesanan dakwah. Oarng Cina di malaysia umpamanya dari segi iktiqad kebanyakan mereka adalah beragama tradisi Cina dan terdapat segolongan ang beragama Kristian. Agama tradisi orang Cina mengandungi kombinasi dan suatu campuran di antara agama asal oarng Cina, Taoisme, dengan Confucianisme dan Buddhisme beserta amalan kuno dalam menyembah orang tua yang telah meninggal (ancestor worhsip).
Bagi orang India pua, para pendakwah perlu mengetahui asas-asas Hinduisme dalam perbezaan dan persamaan dengan Islam. Begitu juga dengan asas persamaan dan pebezaan Kristianiti dalam mengajukan mesej dakwah Islam kepada orang Kristian yang terdiri dari Cina, India dan bumiputra Sabah dan Sarawak. Oleh itu perkara utama dalam menjalankan dakwah effektif terhadap masyarakat bukan Islam ialah memahami iktiqad dan kepercayaan mereka.
Dengan maklumat asasi agama anutan golongan sasar itu, pendakwah boleh menimbangkan pendekatan yang terbaik dalam dakwahnya. Selain dari permasalahan iktiqad ialah persoalan perwatakan sosial golongan sasar dakwah dari segi budaya dan adat resamnya. Bagi kaum cina umpamanya, pendakwah hendaklah memahami bahawa tamaddun orang cina merupakan tamaddun yang telah lama wujud dan mempunyai sejarah yang lebih lama dari sejrah Islam. Oleh yang demikian adalah tabii bagi masyarkat cina untuk merasakan ketinggian peradaban dan keunggulan kaumnyua dan tidak mudah melihat Islam sebagai alternatif yang munasabah secara spontan.
Perasaan intellektualisme ini diperkuatkan pula oleh kedudukan masyarakt Cina di Malaysia yang umumnya lebih baik kedudukan duniawinya dari masyarakat Islam. Oleh itu memahami topograpi intellektual dan minda sosial masyarakat yang menjadi sasar dakwah adalah penting untuk dakwah yang berkesan. Masyarakat Islam hendaklah dididik mengenai peranan mereka dalam dakwah secara umumnya dan dakwah kepada non-Muslim secara khususnya.

3.2.3 Sokongan dan Penyelarasan

Sokongan serius dari pihak yang berkuasa dalam berbagai perkara yang berkaitan dengan dakwah kepada non-Muslim adalah penting malah kritikal. Penglibatan secara langsung dari peribadi kepimpinan negara amat membantu seperti yang ditunjukkan oleh Tunku Perdana Menteri dahulu. Beliau dengan usaha dan perhatian peribadinya telah berjaya menyampaikan Islam kepada ramai pemimpin non-Muslim ketika itu.
Perhatian peribadi sebegini terbukti berkesan suatu masa dahulu dan perlu diusahakan agar dakwah kepada bukan Islam umumnya dapat diarus perdanakan. Sokongan moral dan material dari agensi-agensi kerajaan yang ada hubung terus dengan dakwah Islam adalah penting juga. Dasar kerajaan yang khusus terhadapa saudara baru dengan memberi perhatian khas dalam perkara-perkara yang munasabah dapat melonjakkan keberkesanan dakwah kepada non-muslim.
Di Jordan umpamanya masyarakat Islam Chechnya telah sekian lama diberi kerusi perwakilan khas dalm Parlimen dan pemimpin negara terutamanya Malik Hussein dahulu dilihat memberi perhatian terhadap kebajikan golongan tersebut.

4.0 Langkah-langkah Praktikal

Di samping orang Islam sendiri perlu menjadi lebih peka terhadap kepentingan dakwah sebagai tuntutan iman dengan mereka sendiri mengamalkan ajaran Islam, beberapa langkah praktikal dapat diambil. Diantarnya ialah:

4.1 Interaksi Sosial

Interaksi di antara orang Islam dan masyarakat sasar bagi dakwah Islam perlu ditingkatkan. Dalam hal ini peranan orang yang telah amsuk Islam dari kaum berkenaan adalah besar dan lebih berkesan. Pertemuan dan majlis-majlis seperti Majlis Hari Raya atau Kongsi Raya, Majlis Dialog, Majlis Muhibbah dan sebagainya boleh diadakan bagi tujuan penerangan dan penjalinan hubungan persaudaraan. Kegiatan 'outstreach' secara individu ataupun kumpulan boleh meningkatkan interaksi sosial yang dapat mengurangkan prejudis dan salah faham terhadap Islam, Masyarakat bukan Islam yang miskin dan lemah boleh diberi bantuan material melalui pelbagai cara seperti program anak angkat, keluarga angkat, sumbangan aidil fitri, sumbangan ehsan dan sebagainya. Dakwah 'bil hal' sebegini adalah effektif dalam menonjolkan kemurnian Islam dari ceramah dan syarahan yang berapi-api.

4.2. Badan dan Institusi Sasar

Majlis-majlis interaksi boleh diadakan dengan badan dan pertubuhan yang berpengaruh dalam masyarakat bukan Islam. Bagi masyarakat Cina pertubuhan seumpama adalah seperti Dewan Perniagaan Cina, Persatuan Kebajikan Cina mengikut sukunya seperti Persatuan Hokkien, Hainan, Kwantung, Hakka dan lain-lain. Selain dari itu persatuan dan institusi yang berkaitan degnan sekolah-sekolah Cina juga adalah badan-badan yang berpengaruh. Begitu juga keadaannya dengan masyarakat India dan orang Asli.

4.3 Bahan bacaan dan cetakan

Penulisan dan makalah serta buku-buku asas mengenai Islam dalam bahasa Inggeris, Cina dan India hendaklah diedarkan di kalangan masyarakta bukan Islam melalui skeolah-sekolah, rumah-rumah, hotel-hotel, hospital dan klinik, pejabat-pejabat kerajaan yang ada urusan kaunter, kaunter informasi kompleks membeli belah dan lain-lain yang seumpama. Dalam hubungan ini pengiklanan yang berunsurkan dakwah boleh dibaut dalam akhbar-akhbar Inggeris, Cina dan India. Mendapatkan ruang yang tertentu dalam akhbar Inggeris, Cina dan India bagi makalah-makalah Islam secara bersiri juga dapat diusahakan.

4.4 Media Internet

Di samping hubungan media tradis, penggunaan internet dan lama sarang bagi penyebaran Islam dalam bahasa yang berbagai terutamanya Cina dan India boleh digunakan. Walaupun secara menyeluruh lman web Islam dalam bahasa Inggeris masih kekurangan, ianya tidak menghalang dari usaha mewujudkan laman web islam dalam Mandarin dan Tamil.

4.5 Pertubuhan Islam

Saudara Baru Kewujudan pertubuhan sebegini perlu digalakkan bagi membetulkan kefahaman masyarakat bukan Islam tentang kedudukan Islam sebagai agama bagi semua manusia. Persatuan boleh menganjurkan majlis interaksi sosial dan majlis penerangan Islam. Sehubungan dengan ini khasnya bagi dakwah kepada masyarakat Cina, kewujudan masjid atau pusat islam yang mempunyai senibina ala Cina seperti yang tehadap di negeri China dapat menonjolkan kesejagatan Islam dengan berkesan. Khutbah dan majlis ceramah dalam bahasa Cina dan inggeris boleh diadakan dalam masjid ini. Khutbah sebegini boleh disiarkan melalui television ke seluruh negara.
Para pendakwah hendaklah bekerjasama dengan pertubuhan saudara baru yang berkenaan dalam menganjurkan program dan kegiatan di kalangan golongan sasar. Pengalaman berbagai pihak seperti Darul Arqam Singapura mendapati bahawa dakwah yang dijalankan oleh saudara baru sendiri adalan lebih berkesan apabila berhadapan dengan masyarakat bukan Islam.

4.6 Mengekalkan Budaya dan Adat yang sesuai dengan Islam

Masyarakat Islam dan pihak-pihak yang berkuasa perlu lebih toleransi dengan menerima budaya dan adat masyarakat bukan Islam yang tidak bercanggah dengan syariat Islam. Di antaranya ialah mengekalkan penggunaan nama asal yang maknanya baik, masakan dan makanan Cina dan India yang halal, pakaian tradisi yang menutup aurat, dan dialek serta bahasa. Adanya 'kuih bulan' yang halal dalam pasaran boleh dianggap positif dalam merapatkan jurang budaya di antara orang Islam dan Cina.
Tradisi membawa 'tanglung' yang berkaitan dengan 'kuih bulan' boleh dimanfaatkan untuk dakwah. Sehubungan dengan ini kajian secara serius yang berbentuk ilmiah dan objektif perlu dibuat terhadap adat resam dan budaya, khususnya budaya Cina dan India, bagi memahami sejauh mana budaya dan adat resam tersebut tidak bercanggah dengan Islam.
Islam hendaklah ditonjolkan sebagai 'agama mesra' yang boleh menerima nilai-nilai murni dan baik dalam budaya dan adat semua kaum. Usaha biarlah ditumpukan kepada mencari persamaan di antara Islam dan bukan Islam dari membersar-besarkan perbezaan. Budaya hormat ibu bapa dan orang tua begitu ketara dalam masyarakat Cina dan India juga.

4.7 Wasilah yang innovatif

Masyarakat bukan Islam hendaklah didakwah dengan cara yang innovatif. Pendakwah hendaklah sentiasa memikirkan teknik dan cara baru dalam menyampaikan Islam. Umpamanya masyarakat bukan Islam didekati dengan menekankan bahawa penerimaan islam itu bukanlah satu perubahan baru tetapi adalah sebenarnya dalam keadaan fitrah. Kegiatan rekreasi melalui kumpulan nasyid Islam, riyadah, mendaki, pertandingan bola dan sebagainya boleh menarik minat remaja kepada Islam.
Menganjurkan kelas-kelas tution dan komputer munkin berkesan dalam keadaan tertentu. Dalam berinteraksi dengan masyarakat bukan Islam penonjolan hendaklah diberi kepada hubungan persaudaraan dan kemanusiaan.

5.0 Penutup

Masalah Dakwah kepada non-Muslim yang dikemukakan merupakan sebahagian masalah utama sementara strategi yang disarankan adalah pendekatan penting dari pandangan penulis. Dakwah bukanlah tugas dan usaha yang remeh. Oleh kerananyalah para rasul diutuskan dan mereka yang memilih untul melaksanakan tugas dan usaha ini akan dan mereka yang memilih untuk melaksanakan tugas dan usaha ini akan diuji keikhlasan dan ketabahan mereka. Bagi yang berjaya Allah SWT menjanjikan ganjaran yang lumayan. _______________________________________________________________ Ir Dr Muhamad Faud Yeoh BSc(Hons), BA Syariah, MPhil, PhD dilahirkan di Bagan Datoh Perak adalah Timbalan Presiden Cina Muslim Malaysia (MACMA) dan ahli Lembaga Pengarah Intitut Kefahaman Islam (IKIM). Beliau merupakan seorang Jurutera Perunding dan Peguam Syarie yang berdaftar di negeri Perak.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI