25 Mei 2009

PAS tetap laksanakan ' Kepimpinan Ulama"

Ditulis oleh Harakahdaily

Saturday, 16 May 2009

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Majlis Syura Ulama PAS menyerahkan kebijaksanaan pewakilan dalam muktamar nanti untuk membuat pilihan memilih pucuk pimpinan yang bersesuaian dengan keputusan Muktamar pada Oktober 1982.
Muktamar 1982 itu telah memutuskan dengan jelas dan nyata bahawa PAS melaksanakan dasar kepimpinan ulama dalam menerajui PAS.
Majlis Syura Ulama PAS yang bermesyuarat pada 10 Mei lalu yang dihadiri seluruh ahli syura memperincikan keluhan dan rasa tidak puas hati sama ada melalui akhbar atau 'blog'.
Timbalan Mursyidul Am PAS, Dato' Dr Haron Din berkata, keputusan muktamar itu telah digunapakai tanpa sebarang masalah dan dihayati dengan teguh dan patuh.
Maka ketika itu Presiden PAS ialah seorang ulama, iaitu Almarhum Yusuf Rawa dan timbalannya pula adalah Almarhum Dato' Fadhil Noor.
Jelasnya, apabila Fadhil Noor ditabalkan menjadi Presiden pula maka Tuan Guru Dato' Seri Abdul Hadi menjadi timbalannya.
"Manakala selepas Hadi naik menjadi peneraju utama maka Ustaz Hassan Shukri pula menjadi timbalannya dan kemudian bertukar kepada Ustaz Nasaruddin Mat Isa hingga sekarang.
"Itulah mantapnya kepimpinan ulama yang diterima pakai hingga sekarang," tegas Haron Din ketika dihubungi Harakahdaily baru-baru ini.
Beliau juga yakin seluruh ahli PAS memahami prinsip itu dan tidak ada kegusaran kerana mereka akur kepada muktamar.
Jelasnya, selagi muktamar tidak ubah keputusannya maka selama itulah PAS akan terus diterajui kepimpinan ulama.
Bagaimanapun, beliau kesal dengan propaganda oleh media arus perdana yang memainkan isu dalaman PAS dan melaga-lagakan antara ulama dengan profesional.
Katanya, laporan media kerajaan seolah-olah menggambarkan ada pergolakan dalaman PAS dengan merebut jawatan yang dilihat sebagai suatu kurang sihat.
"Mungkin mereka (media) terpengaruh dengan politik Umno yang telah begitu parah dalam persaingan merebut jawatan.
"Maka akhbar yang dipunyai Umno ini seolah-olah sengaja untuk menggambarkan kemelut politik yang ada dalam PAS, sehingga sebahagian pimpinan PAS yang terheret ke dalam kencah itu lalu membuat komen seperti ada pertarungan dalaman merebut jawatan," jelas beliau.
Tambah Haron, modal asas media arus perdana ini adalah pertembungan antara ulama dengan profesional.
Mengulas Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) yang akan memantau pemilihan PAS, Haron berkata badan itu perlu bukti yang kukuh jika benar ada unsur-unsur rasuah.
Apa yang membimbangkan kata beliau, 'penyakit' rasuah dalam Umno cuba hendak dipalitkan ke dalam PAS.
"Keadaan ini seolah-olah hendak menggambarkan bukan sahaja Umno berpolitik wang malah PAS pun sedemikian," katanya.
Justeru, tegas beliau selagi tidak ada bukti nyata yang dapat diketengahkan perkara ini PAS menganggap unsur itu tidak wujud.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan