TAHALLUF AS SIASI !

Menguasai Isu Dasar Dalam Pilihanraya
Memahami Hukum Tahalluf As Siasi

Mukaddimah

Selari dengan senario perkembangan politik yang menyelubungi PAS serta kecenderungan ke arah persefahaman dengan parti-parti alternatif lain seumpama PKN, DAP dan PRM yang mengarah ke arah pengekploitan isu oleh parti-parti yang memerintah terutamanya UMNO, maka dirasakan perlu bahawa diutarakan kepada setiap unit Penerangan dan Penyelidikan UPU seluruh Kawasan Selayang akan keperluan memahami agenda ini.

Antara agenda psikologi dan saraf yang bakal diutarakan oleh BN ialah:-

1. Persoalan kafir mengkafir
2. Kepimpinan Negara Oleh Bukan Islam
3. Mengundi Bukan Islam
4. Berkerjasama Dengan Bukan Islam

Semua isu ini banyak berkaitan dengan persoalah tahalluf yang diutarakan oleh PAS dan melihat kepada perkembangan terkini, sekalipun PAS berada di peringkat offensif (menyerang) namun PAS masih perlu ada strategi yang mantap untuk mengatasi isu yang ditimbulkan ini.

Artikel yang dibentangkan ini adalah antara langkah untuk memberi faham kepada setiap jentera Penerangan dan Penyelidikan akan dasar isu dan disebarkan luaskan melalui beberapa kaedah:-

1. Dijadikan sebahagian daripada isi kandungan kuliah oleh para murabbi PAS di setiap madrasah/surau atau masjid.

2. Mengenalpasti setiap UPU mempunyai individu yang banyak berinteaksi dengan masyarakat umum seperti di kedai kopi, pasar atau seumpamanya dan mula membicarakan hal ini secara langsung.

3. Menerbitkan risalah ringkas yang menghuraikan isu dasar ini untuk disebarkan disetiap UPU yang dikenalpasti kubu kuat UMNO, pengundi atas pagar etc.

4. Bahan utama dalam usrah agar setiap ahli mengetahuI isu dasar secara ilmiah (nas dan dalil) untuk berhujah dengan baik dan bernas dengan masyarakat umum.

Takrif

Tahalluf adalah suatu perjanjian persefahaman untuk berkerjasama dan bantu membantu untuk menghadapi lawan. Boleh berlaku di bawah beberapa situasi berdasarkan sirah Rasulullah dan para sahabah:-

1. Boleh berlaku antara kumpulan Islam seperti perjanjian dengan puak Aus dan Khazraj untuk tujuan penyatuan umat di bawah panji Islam dan penegakkan negara Islam

2. Boleh berlaku dengan golongan bukan Islam seperti persefahaman antara Rasulullah dengan golongan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutolib sebelum hijrah. Juga perjanjian antara Rasulullah dengan Kabilah Khaza’ah selepas perjanjian Hudaibiyah.

3. Rasulullah mengiktiraf perjanjian antara sesama gologan jahiliyah yang bersatu untuk menentang kezaliman iaitu peristiwa melibatkan seorang lelaki dari kabilah Zabid telah dizalimi oleh Al-A’as bin Wasil. Beberapa orang bangsawan Mekah yang bersimpati membuat persepakatan perfahaman di rumah Abdullah bin Jad’an untuk menentang sebarang bentuk kezaliman. Berhubung ini Rasulullah bersabda:-

“Sesungguhnya aku telah menyaksikan di rumah Abdullah suatu pakatan yang aku sangat suka kepadanya seperti sayang kepada unta merah. Kalau aku diajak kepadanya di zaman Islam nescaya aku menyahutnya”


Kaedah Hukum

Diizinkan oleh syarak apabila melengkapi syarat-syarat yang boleh dilaksanakan Tahalluf dan bukan ketikamana Tahalluf tidak diizinkan.

Syarat-Syarat

1. Membawa Maslahah dan Tidak Mengikat Sehingga Menjejaskan Prinsip

1.1 Hubungan Rasulullah dengan keluarga dari kalangan Bani Hashim dan Bani Abdul Mutolib khasnya Abu Tolib. Walaupun mereka tidak Islam, tetapi mereka mempertahankan Rasulullah dengan bersedia berkorban apa sahaja. Tetapi apabila Abu Tolib cuba memujuk Rasulullah dengan tawaran golongan bangsawan Quraisy agar baginda bertolak ansur, maka dengan tegas baginda bersabda dengan sabda yang mashyur:-

“Wahai bapa saudaraku. Demi Allah! Kalau mereka meletakkan matahari di kananku dan bulan di kiriku agar aku meninggalkan urusan ini, nescaya aku tidak akan meninggalkankannya sehinggalah Allah memberi kemenangan kepada agamanya ataupun aku mati kerananya”

Akhirnya Abu Tolib dan keluarganya (kecuali Abu Lahab) mengambil keputusan untuk mempertahankan Rasulullah . Ini adalah kerjasama yang jelas antara seorang Rasul dan Abu Tolib yang masih belum Islam. Dan ini berterusan sehingga Abu Tolib meninggal.

1.2 Hubungan antara Abu Bakar dengan Ibnu Dugnah yang sedia memberikan perlindungan kepadanya terpaksa dibatalkan apabila Ibnu Dugnah mensyaratkan kepada Abu Bakar agar jangan membaca al-Quran di luar rumah kerana boleh mempengaruhi orang lain.

Maslahah Diizinkan

1. Ke Arah Kedaulatan Islam dan Perlaksanaan Syariat

Apabila semakin ramai orang Islam yang terjebak dengan pelbagai ideologi asing (seumpama sekularisme, komunisme, sosialisme), dan ketika itu pula kedapatan kumpulan bukan Islam yang sanggup memberikan laluan kepada perlaksanaan Islam untuk mencantas ideologi asing ini. Maka hubungan dengan kumpulan ini boleh dibuat dalam konteks berkerjasama ketika berpilihanraya, persidangan dewan dan seumpamanya dengan syarat mereka bersedia untuk menerima kepimpinan Islam, mengakui kedaulatan dan perlaksanaannya dengan sepenuhnya.

Pada masa yang sama kita tidak memaksa mereka untuk menganut Islam tetapi mengambil peluang memperkenalkan Islam kepada mereka.

Ini berlandaskan kepada dalil Pembentukan Piagam Madinah dengan puak muhajirin Quraish dan puak Yahudi yang bermastautin di Madinah.
Dalam konteks Piagam Madinah ini disebut bahawa Rasulullah telah sanggup mengorbankan dua perkara kecil (tetapi besar pada pandangan kita dan orang yang tidak memahami) yang turut tidak dipersetujui oleh dua sahabat besar baginda iaitu Saidina Umar dan Saidina Ali iaitu:-

i. Menghilangkan perkataan Bismillah pada permulaan isi perjanjian piagam ini

ii. Menghilangkan perkataan Muhammad Rasulullah sesudah Muhammad dan diganti
dengan hanya Muhammad bin Abdullah sahaja.

Apapun penghapusan ini tidak menjejaskan isi kandungan asas Piagam Madinah (terdapat 47 fasal dan peraturan) yakni menuntut agar semua puak Muhajirin Quraisy dan 12 Kabilah Yahudi yang berada di Madinah ketika itu untuk bernaung di bawah pentadbiran dan pemerintahan yang ditunjangi oleh Rasulullah.

2. Menentang Kezaliman, Penyelewengan dan Keruntuhan Moral

Melibatkan perkara yang dirasai oleh semua golongan termasuk juga golongan bukan Islam. Bolah diadakan persefahaman dalam perkara ini seperti mendesak diwujudkan keadilan dalam undang-undang (kes Anwar Ibrahim), pembebasan tahanan tanpa bicara (kes ISA), kejujuran dan kesaksamaan (kes SPR dan kempen pilihanraya) dan seumpamanya.

Dalilnya ialah persetujuan Rasulullah terhadap Persefahaman Pakatan Menentang Kezaliman Semasa Zaman Jahiliyah seperti sabda Rasulullah:-

“Tolonglah saudaramu yang zalim dan yang dizalimi”

2. Mengakui Kepimpinan Islam dan Tidak Menjejaskan Matlamat Perjuangan

2.1 Rasulullah menangguhkan Tahalluf dengan puak Bani Syaiban apabila mereka tidak bersedia untuk bersama menegakkan negara Islam dan mempertahankannya apabila menerima ancaman musuh di mana Bani Syaiban menyatakan mereka tidak sanggup menghadapi Parsi tetapi sanggup menghadapi kabilah Arab sahaja jika berlaku peperangan ketika Piagam Madinah dibentuk.

2.2 Rasulullah membatalkan cadangan untuk Tahalluf dengan Bani Amar apabila mereka mahu bekongsi jawatan kepimpinan negara tanpa menerima Islamnya dalam Piagam Madinah.


3. Tidak Berwala’ Kepada Musuh dan Tidak Redha Dengan Pakatan Mereka

Mengakui dengan kepimpinan orang bukan Islam dan bertahalluf dengan musuh Islam untuk memerangi orang Islam. Firman Allah:-

“Janganlah orang yang beriman itu mengambil orang kafir sebagai wali dengan meninggalkan orang yang beriman. Barangsiapa yang berbuat demikian maka lepas dia dari Allah, melainkan kerana memelihara diri dari sesuatu yang ditakuti dari mereka dan Allah memperingatkan kamu terhadap dirinya (siksanya) dan hanya kepada Allah kembalimu”

Berwali bermakna menjadikannya sebagai pemimpin, teman akrab, pelindung atau penolong. Keadaan takut adalah darurat. Kesetiaan dalam keadaan itu dilahirkan secara zahir tetapi hatinya tidak redha disamping berusaha untuk membinasakan diri dengan merancang bagi meneruskan perjuangan dengan hijrah dan sebagainya.


Mawada’ah

Disana terdapat persefahaman sementara waktu dengan golongan yang bermusuh kerana maslahah. Persefahaman ini dinamakan Mawada’ah dan ada juga ulamak yang meletakkannya dalam perkara Hadanah (Gencatan Senjata)

Disebut dalam syarah mazhab, diantara maslahahnya ialah:-

1. Mengharapkan mereka masuk Islam atau mereka akan membayar jizyah atau menolong kerena memerangi golongan yang lain. Tetapi ulamak bertelingkah menentukan tempoh masanya, ada yang menghadkan empat bulan dan ada juga yang mengharuskan menurut maslahah diantaranya kerana orang Islam masih berada dalam kelemahan.


2. Adapun jika tiada apa maslahah atau mudharat lebih banyak dari maslahah maka tiada diharuskan.


Isti’anah (Meminta Bantuan Atau Pertolongan)

Apabila adanya persefahaman maka berlakulah tolong menolong yakni mereka berjanji untuk menolong kita dan kita juga berjanji untuk menolong mereka dalam perkara yang diizinkan syarak tanpa mengorbankan prinsip dan dasar Islam.

1. Mereka Menolong Kita

Menurut As-Syeikh Syed Sabiq dalam Fiqus Sunnah – Harus menerima pertolongan orang-orang fasik dan munafik kerana Rasulullah membenarkan Abdullah bin Ubai menyertai peperangan bersama-samanya dan kisah penyertaan Abu Mahjan yang mabuk dalam peperangan menentang Quraisyh.

Adapun pertolongan dari orang kafir, terdapat khilaf di kalangan fuqaha’:-

1. Imam Malik dan Imam Ahmad tidak mengharuskannya secara mutlak. Imam Abu Hanifah mengharuskannya dengan syarat orang Islam yang mengusai urusannnya.

2. Imam Syafei mengharuskannya dengan dua syarat:-

2.1 Apabila orang Islam dalam keadaan lemah

1.2 Apabila didapati orang bukan Islam itu cenderung kepada Islam dan memandang baik terhadapnya. Dibenarkan dia memberi pertolongan dengan diberi imbuhan dan bukan bahagian ghanimah (harta rampasan perang)


2. Kita Menolong Mereka

Menurut Syahrusi dalam kitab al-Mabsut dan Syeibani dalam kitab al-syairul kabir, Rasulullah menghantar Tamar Ajwad kepada Abu Sufyan dan mengutus lima ratus dinar ke Mekah supaya dibahagikan kepada orang yang perlu dibantu ketika Mekah dilanda kemarau.

Menurut Ibnu Qaim al Jawazih dalam kitab Ziadul Ma’ad, apabila Samamah bin ‘Asal, seorang pemimpin Bani Hanifah memeluk Islam, beliau telah memerintah supaya jangan dihantar bekalan gandum ke Mekah sehingga Mekah berada dalam kesempitan hidup. Berikutan itu pimpinan Musyrikin Mekah mengutus wakil untuk merayu kepada Rasulullah supaya menasihati Samamah agar menghentikan sekatan tersebut dan ini dilaksanakan.

Kesimpulan

Tahalluf itu boleh dibahagikan menurut keadaan berikut:-

1. Dalam peringkat membentuk kerajaan hendaklah dengan syarat:-

1.1 Kepimpinan mestilah di tangan orang Islam

1.2 Mengiktiraf negara Islam

1.3 Menerima perlembagaan Islam dan syariatnya

2. Tanpa Membentuk Negara:-

2.1 Kerana maslahah untuk menghadapi musuh yang besar

2.2 Maslahah bersama untuk menentang kezaliman, penyelewengan membebaskan
orang tahanan tanpa diadili dan seumpamanya

2.3 Berlindung sementara di masa lemah

2.4 Tidak terikat dengan syarat yang bercanggah dengan Islam dan kepentingan harakah
Islamiyah


Perhatian


Dalam soal Tahalluf ini hendaklah diberi perhatian kepada beberapa perkara yang boleh menjejaskan maslahah, antaranya ialah:-

1. Matlamat menegakkan negara Islam adalah sangat penting dalam strategi yang diambil oleh harakah islamiyah. Oleh itu jangan terikat dengan janji yang boleh menghalanginya atau syarat-syarat yang mengikatnya.

2. Mengutamakan persefahaman dengan kumpulan Islam yang berpengaruh dan mempunyai titik pertemuan dalam perkara prinsip yang boleh dipercayai, bukannya yang lemah dan tidak berperanan, kemudian barulah dengan kumpulan bukan Islam.

3. Kita sedang berhadapan dengan masyarakat yang cetek pengetahuan terhadap Islam. Mereka tidak tahu perbezaan diantara Islam dan perbandingan dengan ideologi asing seperti sekularisme, kapitalisme, sosialisme, komunisme dan seumpamanya.. Oleh itu golongan islam hendaklah mempunyai sakhsiah yang kuat, yang membezakan mereka dengan parti-parti lain dan perlu diberi kefahaman tentang perbezaan antara Islam dengan ideologi lain. Jika tidak maka tahalluf dengan kumpulan bukan Islam akan memberi kesan negatif.

4. Persefahaman dengan kumpulan bukan Islam tidak berpanjangan, samada mereka akan menerima Islam atau pertarungan akan berlaku juga akhirnya. Oleh itu hendaklah membuat ikatan-ikatan yang longgar yang tidak membelenggukan kita dan kepentingan prinsip perjuangan kemudian nanti.

5. Kenyataan lisan dan senario semasa yang perlu dihadapi dengan tegas agar tidak menjejaskan prinsip kerana kumpulan lain pasti cuba menyatakan prinsip berdasarkan selera tersendiri seperti PKN dengan demokrasi ala UMNO, DAP dengan Malaysian Malaysia dan PRM dengan Sosialisme (Kesaksamaan).

6. Berwaspada apabila berhadapan dengan tipudaya mereka (jika ada) dengan bergantung harap sepenuhnya kepada Allah dan kebijaksanaan kurniaNya.


Penutup

Tahalluf boleh dilakukan dalam konteks untuk menguasai negara secara menyeluruh dan secara khusus menghadapi isu atau situasi yang khusus dengan memenuhi syarat dan nas yang diizinkan syarak.

Apabila adanya golongan samada Islam atau fasik atau munafik atau musyrik mengemukakan perkara yang dihormati oleh Islam atau benar menurut dasar dan perlaksanaannya atau diharuskan dan membawa maslahah yang nyata, maka hendaklah diterima dengan syarat tidak ada dalam perlaksanaannya perkara yang boleh menjejaskan jamaah atau hak dan cara yang tidak diizinkan oleh syarak.

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI