Mencari Kemenangan Dengan Acuan Allah

fatih.jpg

“Allah selamatkan penduduk Mekah yang jahiliah itu. Mereka bukan sahaja mengotorkan Masjidil Haram dengan lebih 300 patung, malah bertawaf secara bertelanjang. Tetapi Allah selamatkan mereka dari serangan Abrahah”, saya cuba mengimbas situasi Mekah di ambang kelahiran Rasulullah SAW.

“Jika penduduk Mekah yang jahiliah itu, Allah selamatkan mereka dari kebinasaan, mengapa Allah tidak selamatkan kita? Mengapa kita terus kalah dan kalah? Bukankah kita yang menyembah Allah? Bukankah kita yang berjuang dengan nama Allah? Kenapa Allah tidak tolong kita?”, soalan yang mengganggu fikiran saya ini semakin kritikal.

Malah jika direnung kepada keadaan semasa, yang jahat dan jahiliah itu terus menang dan menang, namun Islam dan kebenaran terus lemah tertindas, bagai tidak terbantu.

Di manakah silapnya?

Fikiran meraba, tangan meraba… lembaran kalam Allah diselak satu persatu dan kita sampai kepada janji Allah ini:

anfaal_33.jpg

“Dan Allah tidak sekali-kali akan menyeksa mereka, sedang Engkau (Wahai Muhammad) ada di antara mereka; dan Allah tidak akan menyeksa mereka sedang mereka beristighfar (meminta ampun)” (Al-Anfaal : 33)

Itu janji Dia.

Bahawa tiada kaum yang terbiar menderita, jika di kalangan mereka itu ada Muhammad SAW.

Biar pun penduduk Mekah itu jahiliah, tetapi dek kerana dari mereka itulah lahirnya Muhammad SAW, maka keberadaan Muhammad itu menjadi sebab untuk Allah selamatkan mereka, sebagaimana Allah menyelamatkan umat Badar, Uhud malah yang kritikal seperti Khandaq.

Hari ini baginda SAW secara fizikalnya tidak ada dan tidak akan ada… kerana jasadnya sudah pulang ke asal. Tetapi bagaimana dengan cara kita beragama? Samakah Islam kita dengan Islam Rasulullah SAW? Serupakah cara kita mencari kejayaan dan kemenangan, jika dibandingkan dengan cara Rasulullah SAW? Atau dalam bahasa yang lebih mudah, ada atau tidak Rasulullah SAW itu dalam kehidupan seharian kita? Hidup minum dan makan, serta hidup di medan perjuangan?

Mungkin Rasulullah SAW tiada… biar pun di sisi mereka yang bernama Muhammad dan berjuang kerana cinta kepada Muhammad… lantaran tidak mengikut acuan yang digunakan oleh Baginda SAW.:

acuanallah.jpg

“Acuan Allah… Apakah ada yang lebih baik dari acuan Allah, sedang kita ini kepada-Nya, adalah HAMBA “ (Al-Baqarah : 138)

JALAN KELUAR

Di belakang mereka maut, di depan juga maut.

Musa dan Bani Israel yang beriman itu dikepung maut. Di belakang mereka adalah Firaun dan bala tenteranya, manakala di hadapan mereka adalah laut yang luas terbentang. Jika dihitung pada upaya helah akal manusia, tiada lagi jalan keluar.

“Bawa-bawalah mengucap!”

Tetapi putus asa dari rahmat Allah itu bukan sifat golongan yang layak dibantu. Kerana segala kesempitan dunia itu, tidak terbanding oleh kuasa Allah untuk menghulur keselamatan.

thalaaq_2-3.jpg

“Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah nescaya akan dijadikan untuknya jalan keluar (dari belenggu masalah) dan dikurniakan rezeki dari sumber yang tidak disangka-sangka” (Al-Thalaq: 2-3)

Laut itu terbelah, membentangkan jalan keselamatan dan pertolongan yang tidak disangka-sangka buat Musa dan Bani Israel. Mereka yang kerdil itu terselamat dan meneruskan perjalanan, Firaun yang gagah, lama berkuasa lagi mencengkam rakyatnya itu tenggelam, binasa… kerana mereka terlalu kerdil di sisi Allah yang Maha Gagah lagi Perkasa.

Syaratnya adalah TAQWA.

musa.jpg

SYARAT TAQWA

Taqwa itu bukan slogan. Ia bukan modal khatib melenakan jemaah Jumaat.

Taqwa adalah kayu ukur Allah terhadap kualiti insan. Sebaik-baik kamu adalah yang paling tinggi nilai taqwanya.

“Apa itu taqwa?”, tanya Umar al-Khattab kepada Ubai bin Ka’ab Radhiyallahu ‘anhuma.

“Pernah kamu susuri jalan yang penuh duri?”, balas Ubai dengan suatu pertanyaan yang menduga.

“Pernah saja”, jawab Umar.

“Apa yang kamu lakukan?”, pintas Ubai.

“Aku angkat sedikit pakaianku, dan melangkah dengan hati-hati”, jawab Umar lagi.

“Itulah TAQWA!”, simpul Ubai bin Ka’ab terhadap soalan Umar al-Khattab tentang TAQWA.

TAQWA itu adalah kualiti manusia yang merentas jalan berliku. Ada manfaat ada mudarat, ada yang boleh ada yang jangan… seorang ahli taqwa itu akan mengambil kira semuanya. Melangkah dengan penuh kesedaran, bijak mengawal pergerakan, dan peduli kepada setiap yang menjadi cabaran di sepanjang perjalanan itu. Itulah taqwa.

Orang bertaqwa bukan orang hidup ikut suka.

Pejuang bertaqwa bukan pejuang yang berjuang ikut suka.

Mereka mengambil kira segala peraturan Allah, perkara yang memenangkan, dan perkara yang membinasakan.

PERATURAN ALLAH

Soalnya peraturan Allah itu bagaimana?

“Patuh pada al-Quran dan al-Sunnah”, jawab kita semua.

Sahih… tepat… tetapi mungkin belum jelas, mungkin belum lengkap dan belum praktikal.

Ketetapan Allah itu ada di dalam al-Quran dan al-Sunnah, tetapi bukan di situ sahaja adanya ketetapan Allah dalam kehidupan ini. Ada petunjuk datang dari nas, ada petunjuk datang dari peraturan alam.

Peraturan nas itu adalah Syariatullah.

Peraturan alam itu adalah Sunnatullah.

BAGINDA SAW, SYARIATULLAH DAN SUNNATULLAH

Ketika Baginda SAW mengajar kita melakukan urusan harian, Baginda SAW sering memberikan demonstrasi perlakuan agama pada mematuhi Syariatullah dan Sunnatullah.

i. Urusan Harian

Lihat sahaja urusan sembelihan. Kita diajar supaya memperelokkan sembelihan, dan Sunnahnya adalah pada Basmalah dan pisau yang tajam. Apakah faedah menggunakan pisau yang tajam?

“Ayam tak sakit!”, jawapan standard kebanyakan kita.

“Syariat diturunkan untuk faedah manusia, bukan ayam”, itu ulasan saya.

korbanlembu.jpg

Penggunaan pisau yang tajam akan mempercepatkan kerja. Kurang tenaga yang diperlukan namun lebih hasilnya. Lebih efisyen, lebih efektif… atau dalam bahasa hari ini, Baginda SAW mengajar kita soal produktiviti.

Maka keelokan pada sembelihan bukan hanya pada Basmalah, tetapi juga pada pisau yang tajam.

ii. Urusan Perjuangan

“Aku Rasulullah, aku kekasih Allah, Allah memerintahkan aku berhijrah dan berjuang, pasti Allah membantu….!?”

Pernahkan Baginda SAW berfikiran begitu? Pernahkah Baginda SAW beranggapan bahawa perjuangannya atas nama Allah, Islam dan kebenaran, pasti perjuangan itu akan menang, lantas baginda lengah dalam strategi dan persiapan?

Tidak sekali-kali.

Untuk Hijrah, Baginda SAW memanfaatkan segala kebijaksanaan, memaksimakan segala strategi hingga boleh menjadi prinsip kepada apa yang kemudiannya dinamakan sebagai SAINS KETENTERAAN.

Begitu banyak lambakan perancangan dan strategi Baginda SAW hingga sahabat bertanya, mana satukah wahyu dan mana satukah pandangan profesional Baginda? Syariatullah pada wahyu menjadi suatu kepatuhan dan ketaatan, manakala Sunnatullah menuntut perbincangan, analisa dan bekerja secara kolektif.

Tiada tinggi rendah antara tuntutan Syariatullah dan Sunnatullah… kerana kedua-duanya merupakan aturan Allah untuk kesejahteraan kehidupan manusia. Ayat hukum terbitan nas, dan ayat sains terbitan alam, kedua-duanya dilaksanakan sepenuh hati.

CONSTANTINOPLE DAN UKURAN RABBANI

Sikap demikian terhadap persoalan Syariatullah dan Sunnatullah, bukan hanya tercatat pada era Nubuwwah, malah ia terus menjadi kayu ukur kepada kesempurnaan kerja Ummah pada agenda seterusnya.

constantinople.gif

“Constantinople itu pasti akan dibebaskan. Sebaik-baik pemimpin adalah pemimpin (penawanan)nya dan sebaik-baik tentera adalah tentera (yang menawan)nya” [Hakim, 4.422; Bukhari, Tarikh al-Saghir, 139; I. Hanbal, 4.335]

constantinople2.gif

44H, Muawiyah bin Abi Sufian Radhiyallahu ‘anhu menghantar delegasi pertama umat Islam ke arah menundukkan Constantinople. Ramai sahabat yang menyertainya, termasuk Abu Ayyub al-Ansari dan Ibn Abbas sendiri. Mereka pergi dengan keyakinan yang tinggi terhadap janji Nabi SAW, bahawa Constantinople yang gah, sombong dan bongkak itu akan tunduk kepada Islam, bukan terjajah tetapi untuk dibebaskan dari perhambaan sesama mereka sendiri.

Bagaimanakah kekuatan Constantinople? Bagaimana cuaca di sana? Bagaimana sosio politik penduduknya?

Sahabat Nabi SAW tidak mengetahuinya. Namun kerana yakin dengan janji Baginda SAW bahawa kemenangan adalah untuk Islam… mereka teruskan jua.

Misi tidak berhasil. Bukan gagal, tetapi belum berjaya. Abu Ayyub al-Ansari radhiyyallahu ‘anhu terbunuh syahid. Biar pun mereka itu generasi sahabat yang dididik sendiri oleh Rasulullah SAW, namun Allah belum mengizinkan kemenangan kerana ada pelajaran besar yang perlu ditekuni oleh Ummah.

Usaha diteruskan lagi di zaman Sulaiman bin Abdul Malik, di zaman Harun al-Rashid dan terus dicuba dan dicuba…hingga ke era Sultan Yildirim Beyazit (1389-1403) dan Murat Ke-2 (1421-1451)di era Othmaniyyah… janji Nabi SAW belum tertunai.

alfatih.jpg

Hinggalah muncul era pemerintah Kesultanan Othmaniyyah, Sultan ke-7 bergelar Sultan Muhammad bin Murad II menaiki takhta. Beliau insan biasa yang luar biasa.

Luar biasa pada keghairahannya terhadap misi Constantinople.

Luar biasa pada ketinggian akhlaq dan ilmunya.

Luar biasa pada penguasaan kemahiran memerintah dan peperangan.

Luar biasa pada Syariatullah dan Sunnatullah yang dijunjungnya atas nama TAQWA.

Sultan Muhamamad al-Fatih mengkaji aspek ketenteraan, aspek politik dan sosial Constantinople. Beliau mengetahui serba serbi tentang kekuatan dan kelemahan kota yang bakal ditundukkan itu lantas bertindak selaras dengannya. Malah bukan sahaja beliau yang hebat, tentera-tenteranya juga sama tinggi.

Semasa beliau bersama ribuan tenteranya bergerak menuju Constantinople, mereka telah melintasi ladang anggur. Sultan Muhammad telah berpura-pura jatuh gering.

“Hanya anggur sahaja yang mampu menyembuhkan sakit ini”, katanya.

Tetapi tidak ada seorang pun daripada tenteranya yang mempunyai buah anggur. Ladang anggur yang bukan milik mereka itu tidak disentuh dan tidak pernah menjadi salah satu daripada pilihan penyelesaian kepada masalah yang ada.

“Beta sudah sembuh!”, kata Sultan Muhamamd al-Fatih.

Ternyata tenteranya adalah sebaik-baik tentera. Sultan Muhammad ’sembuh’ dengan ketinggian Syariatullah pada taqwa tenteranya, di samping Sunnatullah yang telah diperlengkapkan.

Setelah tawaran perdamaian di saat akhir ditolak, serangan dilancarkan bertubi-tubi… lebih sebulan pertempuran berlangsung dan akhirnya tibalah saat yang dijanjikan Allah dan Rasulnya, Constinople rebah di tangan insan biasa yang luar biasa… Sultan Muhammad bin Murad II… Sultan Muhammad al-Fatih.

Insan biasa yang luar biasa, menempa kejayaan hasil menggabungjalinkan Syariatullah dan Sunnatullah.

Sabda Nabi SAW tentang kemenangan Islam di kota Constantinople bukan berlaku di tangan generasi sahabat. Ia berhasil di tangan sebaik-baik ketua dan sebaik-baik tentera, lebih 800 tahun selepas janji itu dilafazkan Baginda SAW.

Itulah formula kemenangan Islam.

Islam tidak menang hanya kerana nama perjuangan itu adalah perjuangan Islam. Kemenangan adalah untuk kesempurnaan usaha melengkapi syarat kemenangan.

Ayuh pejuang Islam… jika mahu menangkan Islam, jangan berikan alasan tembok Constantinople itu terlalu kukuh untuk runtuh. Jangan beri alasan perjalanannya yang jauh. Jangan beri alasan bahawa helahnya licik bagi belut di liku selut. Kemenangan itu dekat, jika pejuangnya melengkapi syarat TAQWA. Iaitu pada mematuhi Syariatullah dan Sunnatullah.

Integiriti itu penting.

Komitmen kepada hukum syarak semasa turun berkempen itu penting.

Halal haram itu sentiasa penting.

Efisyensi rekod dan pengurusan itu penting.

Penggunaan segala skil komunikasi itu penting.

Teknologi itu penting.

Syariat dan Sains kedua-duanya itu penting.

Itulah formula memenangkan Islam.

MOTIVASI AKHIR

“Kota Constantinople itu akan berada di tangan umat ini”, pesan Baginda SAW kepada sahabat yang keletihan di medan Khandaq.

Constantinople?

Janji itu keterlaluan.

Masakan tidak. Penduduk Madinah hanya segelintir. Mereka itu pula antara hidup dan mati, tatkala dikepung segenap Barisan Nasionalis Arab yang bergabung membentuk tentera Ahzab. Tiba-tiba baginda SAW memberikan janji bahawa kita yang kecil, antara hidup dan mati ini, akan menundukkan Constantinople, kota terbesar di dunia itu.

Apakah ini suatu kemustahilan?

Beginilah cara Nabi SAW memotivasikan sahabat.

Percaya selepas melihat sesuatu tiada nilai iman. Ia hanya suatu ikrar pada sesuatu yang telah ada hasilnya. Percaya seperti ini percaya murahan yang tidak berhajatkan kepada usaha dan pengorbanan.

Namun Baginda SAW mengajar para sahabat supaya percaya sebelum melihat sesuatu, dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Itulah hebatnya motivasi minda mukmin profesional.

Mereka percaya sebelum melihat dan bekerja keras untuk melihat apa yang mereka percaya.

Kita belum pernah melihat Syurga, namun kita mempercayainya. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

alfatih2.gif

Kita juga belum pernah melihat kemenangan Islam, bahkan diselubungi kekalahan demi kekalahan. Namun kita percaya bahawa hari esok adalah untuk Islam. Maka bekerja keraslah untuk melihat apa yang kita percaya.

Bahawa kemenangan adalah milik Islam.

Andai cukup syarat-syaratnya.

ABU SAIF @ www.saifulislam.com
56000 Kuala Lumpur

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI