25 November 2009

PERKUKUHKAN PARTI...!!!

Perkukuhkan Parti ....


Perkukuhkan Parti
Perkasakan Tarbiyyah

1. Parti Islam Se Malaysia [ PAS ] adalah sebuah Gerakan Islam [ Harakah Islamiyyah ] yang mengambil pendekatan menyertai pilihanraya sebagai sebuah parti politik yang berdaftar .

2. Politik adalah sebahagian dari tanggungjawab perjuangan Islam yang wajib dilunas sebaik mungkin . Ianya menjadi alat atau wasilah untuk mendapatkan kuasa bagi mendaulatkan syariat Islam sebagai satu perundangan atau peraturan yang adil , telus , saksama dan bestari .

3. Namun begitu menang dan kuasa hanyalah wasilah perjuangan bagi mencapai matlamatnya iaitu redha Allah swt . [ الله غايتنا ] . Mutaakhir ini saya lihat ada beberapa perkara yang memerlukan allignment dan balancing di dalam PAS agar perjalanan atau pergerakkan PAS menuju destinasi [ matlamat ] tidak makan sebelah dan bergegar sepanjang jalan .

4. Ucapan dasar Presiden PAS telah menegaskan bahawa PAS mesti bergerak seimbang [ tidak makan sebelah ] dan tenang [ tidak bergegar ] dengan 3 fungsi utamanya iaitu :

a] Harakatut Tarbiyyah ,
b] Harakatud Dakwah dan
c] Harakatus Siyasiah .

5. Pada pengamatan saya , kini ramai [ sebahagian ] pimpinan dan anggota PAS agak berlebihan dalam menumpukan gerakkerja politik [ harakatus siyasiah ] sementara sangat tidak mengambil berat terhadap gerakkerja tarbiyyah . Mereka sanggup bersengkang mata untuk memastikan kemenangan kerusi mereka bahkan sanggup jua bertegang leher sesama sendiri demi sebuah strategi politik . Terlalu ghairah untuk menang besar dan menang cepat dalam pilihanraya sehingga mengorbankan sahabat seperjuangan dalam PAS .

6. Amal tarbawi seperti tiada lagi tempat dan ruang . Ukhuwwah sesama pimpinan dan anggota parti dilihat sinis . Mudah bertengkar dan bermasam muka . Sering dipengaruhi rasa curiga antara satu sama lain . Memandang sahabat seperjuangan seperti musuh yang dilapah dan disiat seluruh maruah dan aibnya di dada akhbar dan blog . Sukar bertolak ansur sebaliknya mudah bersengketa . Berbicara sesama sendiri seperti bicara dengan musuh .

7. Bukan sahaja parti bergerak secara tidak seimbang [ makan sebelah ] tetapi juga tidak tenang [ bergegar ] sepanjang jalan . Suara luar boleh masuk dan mempengaruhi sebahagian pimpinan PAS dengan mudah . Tahap thiqah [ kepercayaan ] kepada pucuk pimpinan parti semakin berkurangan . Budaya menghentam pimpinan secara terbuka semakin menjadi trend . Rahsia parti dan minit mesyuarat dibongkar tanpa rasa bersalah . Mereka berpolitik bukan hanya dengan musuh tetapi lebih hebat sesama sendiri .

8. Saya lihat perlunya kedudukan dan perjalanan parti kita ditimbang dan dibetulkan semula . Semua pihak sewajarnya ambil peranan ini dengan penuh insaf dan sedar . Kembalikan izzah berjamaah dengan semarak amal tarbawi . Bina semula wehdatul fikri dan wehdatul amal . Jaga kerahsiaan jamaah dengan mengenal pasti apa yang patut rahsia dan apa yang patut dedah . Fikrah Islam mesti jelas ! jangan biarkan ia kabur disebalik jerebu kemenangan .

9. Semua pihak mesti merendahkan sayap . Kembalikan suasana lazat dan seronok bekerja dalam jamaah . Pastikan berjuang untuk menambah pahala bukan berjuang untuk memperbanyakkan dosa dek kerana fitnah dan pertelingkahan sesama sendiri . Berlapang dada dan bersedia untuk dinasihati dan ditegur . Hidupkan semula amal tarbawi biarpun dengan gaya moden atau paling tidak , kekalkan warisan tradisi yang soleh seperti usrah , tamrin qiadi , mukhayyam tarbawi , liqa fikri , ijtima' tarbawi dan lain - lain .

10. Perkukuhkan parti kita [ PAS ] sebelum kita nak perkukuhkan parti orang lain . Fokus pada potfolio yang diamanahkan kepada kita . Usahlah kita ambil kerja orang lain atau dalam bahasa lain menggali tanah kebun orang lain . Menuding dan menilai kerja orang lain bagaikan nak rak tetapi malang kerja sendiri entah kemana failnya . Pada masa yang sama , perkasakan amal tarbawi . Jangan culas untuk hadhir program yang membina diri , aqidah dan fikrah . Usah berlagak pandai dan bijak . Rendahkan sayap demi amal jamaei . Kurangkan alasan atau jangan banyak sangat bermain alasan untuk tidak melibatkan diri dengan program amal tarbawi , kerana kelak menjadikan kita tidak seimbang [ makan sebelah ] .

Tiada ulasan:

Catat Ulasan