Adakah Kita Pejuang?

Posted on Saturday, March 20 @ 00:00:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh teori

Oleh: maknun

"
Salam ukhwah fillah...Aku seorang pejuang dan aku ingin menjadi seorang pejuang. Dua ayat ini berbeza sama sekali dari sudut makna tersiratnya. Walaupun kedua-duanya bercita-cita menjadi pejuang, akan tetapi kehidupan mereka saling tidak sama antara satu sama lain.Adapun aku seorang pejuang adalah individu yang sudah mengakui bahawa ia seorang pejuang. Manakala aku ingin menjadi pejuang adalah individu yang belum menjadi pejuang dan bercita-bercita untuk kearah itu.

Seorang pejuang agama Allah bukanlah calang-calang orang. Gelaran tersebut begitu tinggi nilainya. Bergantung kepada kekuatan rohani dan jasmani. Sekiranya seseorang itu menepati ciri-ciri pejuang agama Allah SWT. Nescaya ia tergolong diantara orang-orang yang dekat dan hampir kepada Allah Azza Wa Jalla.

Teringat saya satu kisah mengenai panglima Toriq Bin Ziyad yang cuba memilih pejuang-pejuangnya mengikuti beliau bersamanya ke bumi Andalus. Beliau hanya diminta untuk memilih sebahagian kecil sahaja dari tentera-tentera Islam ketika itu. Kebijaksanaan beliau dalam membuat pilihan tersebut mengagumkan pemerintah ketika itu. Beliau bukan saja memilih orang yang perkasa dari segi fizikal, malah beliau menanyakan kepada tentera-tentera yang berada dihadapan beliau mengenai ibadah yang dituntut.

Pertama, beliau menanyakan kepada sekumpulan tentera tersebut mengenai solat fardhu yang mereka tunaikan. Yang lunas solatnya, boleh mengikutinya. Akan tetapi bilangan tersebut masih melebihi had yang ditetapkan. Kemudian beliau meminta kepada mereka yang tidak melazimi solat sunat untuk duduk, dan yang berbaki menjadi pilihannya. Namun lebihan bilangan masih berlaku. Sejurus kemudian, beliau meminta kepada mereka yang tidak berpuasa sunat untuk duduk, dan yang berbaki mengikutinya. Alhamdulillah, akhirnya bilangan mereka cukup untuk berangkat ke bumi Andalus.

Cuba sahabat-sahabat perhatikan, betapa ketatnya pemilihan yang dibuat oleh panglima Toriq Bin Ziyad dalam memilih pejuangnya. Bukan setakat kuat dan gagah lagi berani dari segi fizikal. Tetapi kukuhnya iman dan aqidah tenteranya menjadi pilihan hati beliau. Inilah sebenar-benar pejuang. Tidak cukup dengan laungan saja, bahkan amalan harian mereka membuktikan bahawa mereka benar-benar pejuang terpilih.

Selain kisah ini juga, terdapat kisah mengenai panglima Solahuddin Al-Ayyubi dalam memerhatikan tenteranya di setiap khemah pada waktu malam. Beliau begitu takut terhadap kelunturan iman tenteranya. Kerana beliau percaya dan yakin bahawa kemenangan bukanlah datang dari kekuatan zahiriah. Tetapi kemenangan datangnya dari pertolongan Allah SWT. Dengan itu, beliau amat takut sekali akan kelemahan iman tenteranya yang boleh mengakibatkan kekalahan di dalam medan pertempuran.

Lihatlah bagaimana umat Islam dahulu begitu kuat mempertahan aqidah Islamiyyah berbanding kita sekarang ini. Mungkin ada yang mampu menjadi demikian. Tetapi alangkah sedihnya sekiranya masih ramai melaungkan "aku ingin berjuang" pada luaran saja tetapi bukan pada dalamannya. Amatlah rugi sekali...


http://junjungansetia.blogspot.com/

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI