Isu Lesen Perjudian Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia 2010



Posted on Friday, May 28 @ 19:30:00 PDT
Dilulus untuk paparan oleh SongkokPutih

Oleh NASHARUDIN MAT ISA

Judi adalah jelas hukumnya disisi Islam. Allah SWT telah mengharamkan judi melalui firman-Nya di dalam Surah Al Maidah, Ayat 90 :

Maksudnya : "Wahai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) arak, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan Syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."

Begitu juga surah Al-Baqarah, ayat 219 :

Maksudnya : "Mereka bertanya kepadamu tentang arak dan judi. Katakanlah: ""Pada keduanya itu terdapat dosa besar dan beberapa manfaat kecil bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya"

Sesiapa yang beriman dengan Al-Quran, wajib baginya beriman dengan haramnya judi walau apa pun bentuk dan namanya. Begitu juga, tidak ada mana-mana agama di dalam dunia ini yang menghalal dan menggalakkan amalan berjudi yang sentiasa menimbulkan kemudaratan dalam kehidupan sosial umat manusia.

Langkah kerajaan Malaysia yang diumumkan oleh Timbalan Menteri Kewangan, Senator Dato' Dr. Awang Adek yang memberi lesen perjudian bolasepak kepada Kumpulan Berjaya baru-baru ini adalah satu langkah yang tidak sesuai sama sekali dengan kehendak iman dan akal kita.

Saya percaya kerajaan Malaysia di bawah kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak ingin melihat kemakmuran kehidupan rakyat dan ingin melihat keberkatan di dalam pentadbirannya. Saya berharap dan berdoa kepada Allah SWT supaya beliau sedar bahawa dengan langkah kerajaan menghalalkan perjudian bolasepak tersebut, tidak akan bertambah kemakmuran dan keberkatan sebaliknya kemurkaan Allah dan dosa yang bakal diperolehi.

Oleh itu saya ingin memberi nasihat kepada YAB Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia supaya dapat menarik balik lesen perjudian bolasepak tersebut dengan serta merta. Ataupun setidak-tidaknya rujuklah kepada Majlis Fatwa Kebangsaan terlebih dahulu sebelum meneruskan langkah tersebut bagi menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara kita.

Bagi negeri-negeri yang diperintah oleh Pakatan Rakyat, saya percaya tidak akan ada lesen premis perjudian baru yang akan diluluskan. Malahan kita akan berusaha sekiranya dibenarkan oleh undang-undang untuk menyekat perlaksanaan aktiviti perjudian bolasepak ini di negeri-negeri yang diperintah oleh kerajaan Pakatan Rakyat.

Di samping itu, kita akan meneruskan agenda penerangan terhadap masyarakat mengenai kemudaratan dan keharaman aktiviti perjudian. Kita juga akan terus menerus menyuarakan bantahan terhadap langkah terbaru kerajaan tersebut dan akan terus mendesak supaya ianya dibatalkan serta merta demi maslahat rakyat dan negara.

Terima kasih.
NASHARUDIN MAT ISA
Timbalan Presiden PAS
Ahli Parlimen Bachok
27 Mei 2010

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI