Jangan Jadikan Matlamat halalkan cara

Artikel Oleh Ingeniur
Dalam Islam kita telah diajar bahawa sebarang pertaruhan atau pun dengan bahasa mudahnya JUDI adalah sesungguhnya HARAM!

Tiada istilah menghalalkan sebarang bentuk perjudian atau pun pertaruhan ini waima diatas nama kebajikan sebagaimana suatu ketika dahulu diawal-awal kearah kemerdekaan negara kita (awal tahun 50an), UMNO telah cuba memperkenalkan Loteri Kebajikan atas dasar untuk membantu sumber kewangan parti dan juga menolong rakyat yang miskin pada ketika itu!

Atas sifat ketegasan UMNO untuk melaksanakan ‘kebajikan' tersebutlah maka tercetuslah idea untuk para ulama yang berada didalam UMNO ketika itu untuk keluar daripada parti kerana membantah keputusan untuk mengadakan loteri kebajikan tersebut. Di negara kita, keunikannya ialah apabila wujudnya istilah judi halal dan judi haram walaupun terus terang semua orang tahu judi itu haram disisi Islam! Mengikut takrifan yang kita fahami, istilah ‘Judi Halal' itu ialah sebarang bentuk pertaruhan atau perjudian ataupun keinginan untuk mencuba nasib pada tempat yang dibenarkan, dengan kata lain tempat berjudi yang telah di beri lesen oleh pihak kerajaan (Kementerian Kewangan @ MOF) seperti Sport Toto, Magnum, perlumbaan kuda dan berbagai yang lain lagi.
Manakala istilah ‘Judi Haram' pula ialah tempat perjudian atau pertaruhan yang beroperasi tanpa kebenaran secara haram tanpa mendapat lesen yang ‘sah' daripada pihak kerajaan @ MOF. Oleh itu didalam hal ini judi yang haram daripada segi hukum agama telah diisytiharkan sebagai judi haram kerana beroperasi tanpa kebenaran yang sah!
Terkini, apabila pihak MOF bersungguh-sungguh untuk menimbangkan bagi membenarkan pertaruhan ataupun perjudian sempena musim bolasepak Piala Dunia yang bakal bermula pada Jun nanti.
Menurut kata Timbalan Menteri Kewangan, Dato Dr Awang Adek Hussein cadangan untuk membenarkan perjudian ini secara sah adalah disebabkan kerana untuk mengekang daripada berlakunya aktiviti perjudian tidak berlesen ketika kejohanan Piala Dunia yang akan berlangsung nanti.
Justeru itu sekiranya kerajaan tidak mengeluarkan lesen yang sah, dikhuatiri aktiviti pertaruhan atau perjudian ini tetap berlaku tanpa pemantauan yang khusus daripada pihak kerajaan yang boleh mengakibatkan mengalami kerugian dan tidak menguntungkan kerajaan.
Walaupun tidak dapat disahkan lagi akan keputusan untuk membenarkan perjudian ini secara sah, kita melihat apakah kerajaan kini khususnya pihak MOF sudak kehilangan punca untuk mencari atau meneroka bidang yang lain bagi menambahkan hasil kewangan negara sehinggakan terpaksa ‘melutut' kepada perjudian lagi?
Sepatutnya lesen-lesen perjudian yang sedia ada ini kita kurangkan, tetapi lain pula jadinya apabila ianya semakin ingin ditambah! Apa sudah jadi kini? Dimana peranan para alim ulama didalam UMNO khususnya untuk menegur perkara seperti ini? Para Mufti juga harus berperanan dengan lebih agresif lagi kali ini untuk menegur hasrat kerajaan ini.
Tidak cukupkah lagi di negara kita yang telah memiliki berbagai bentuk perjudian dan pertaruhan? Cuba bayangkan daripada ‘atas gunung' sehinggakan ke ‘bawah daratan' sudah pun dilesenkan perjudian, apakah negara kita ini berterusan untuk berada didalam lingkaran yang berbentuk perjudian walaupun ianya telah ‘dihalalkan' atas nama sumber pendapatan negara yang baru?
Yang pasti kita mahukan keberkatan kehidupan didalam negara yang tercinta ini. Kita tidak mahu negara kita hidup diatas landasan hasil perjudian walaupun ianya tidaklah digolongkan sebagai sumber utama pendapatan negara. Jangan jadikan matlamat untuk menghalalkan cara. Hasil yang halal pasti memberi keberkatan kepada kehidupan kita semua, Insya Allah.
Sumber http://ingeniur.blogspot.com

Ulasan

Catatan popular daripada blog ini

NAMA LAIN BULAN RAMADHAN

HAK AHLI ZIMMAH

SAYYID ABUL A"LA AL-MAUDUDI